A- A A+
logoumkmerdeka2017
الخميس, 31 آذار/مارس 2016 00:00

KARNIVAL PINK WALK 2016 KUTIP DANA BANTU PESAKIT KANSER

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan   Foto : Al Azam Razi

SERAMAI 150 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai acara jalan kaki amal Pink Walk 2016 sejauh tiga kilometer bermula dan tamat di Dataran Asrama, UMK Kampus Kota yang  bertujuan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada tabung misi Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dalam usaha membantu meringankan beban pesakit kanser di Malaysia.

Penasihat Program, En. Fauzan Hafiz Muhammad Safri, berkata program itu merupakan pengisian aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Kasih UMK secara serentak di ketiga-tiga kampus UMK iaitu di Bachok, Jeli dan UMK Kampus Kota tepat pada jam 8 malam.

Katanya, program ini bagi menghantar mesej harapan untuk semua orang-orang di Malaysia yang menghidap  kanser dengan menyalakan lilin dan berjalan kaki sejauh tiga kilometer sebagai simbolik kepada kempen mengutip dana untuk Karnival Pink Walk.

“Kami bersama-sama peserta terdiri daripada pelajar UMK berjalan di sepanjang jalan di sekitar Pengkalan Chepa sebagai mesej yang khusus untuk orang yang disayangi dan  pesakit kanser yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya.

Menurut En. Fauzan Hafiz, pada program itu Kelab Kasih UMK  berjaya mengutip sebanyak RM2,250.00 melalui penyertaan dengan bayaran yuran sebanyak  RM15  seorang dan hasil kutipan ini akan disalurkan pada MAKNA.

Beliau berkata, statistik daripada MAKNA mencatatkan seramai 11 juta orang dewasa dan kanak-kanak  menghidap kanser dan enam juta daripada mereka meninggal dunia akibat kanser.

“Di Malaysia sahaja sebanyak 45,000 rakyat Malaysia dilaporkan menghidap kanser setiap tahun dan statistik ini amat membimbangkan kerana tiga daripada empat pesakit kanser gagal diselamatkan atau dipulihkan.

“Ini adalah tujuan kami untuk menjemput mereka untuk datang bersama-sama memberi sinar harapan kepada pesakit kanser untuk masa depan yang cerah tanpa kanser,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelaras Program Pink Walk,  S.Logesh Kumar, berharap karnival Pink Walk ini menjadi perintis kepada usaha untuk menghimpunkan seramai 5,000 peserta untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records bagi acara kemuncak kepada karnival ini   yang akan dijadualkan berlangsung pada 23 April 2016 di UMK Kampus Bachok.

Katanya, acara amal ini  juga menjadi medium penyatuan warga UMK yang berbilang kaum dan secara tidak langsung kita dapat berkongsi perasaan gembira kerana dapat berjalan bersama - sama sejauh tiga kilometer.

“Program ini sebagai  juga titik permulaan untuk kempen Karnival Pink Walk kepada pelajar untuk  menyokong kejayaan program amal ini dengan memberi harapan kepada pesakit dari aspek kewangan dan moral kepada pesakit,” ujarnya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/219

Published in Latest News
الثلاثاء, 08 آذار/مارس 2016 00:00

KELAS TUISYEN PERCUMA DARUL FALAH LONJAK PRESTASI BAHASA INGGERIS

Oleh : Syarimi Wosley   Foto : Abdul Halim Hafiz

PROGRAM Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris Darul Falah yang dilaksanakan secara percuma di kawasan Parlimen Jeli berjaya  melonjakkan prestasi dan mutu pelajaran calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) khususnya dalam subjek Bahasa Inggeris.

Program Kelas tuisyen yang diperkenalkan sejak tahun 2009 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku Ahli Parlimen Jeli, YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, itu berjaya memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar yang kebanyakannya telah melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Menurut YB. Dato’ Sri Mustapa, program tuisyen percuma yang ditubuhkan sejak 20 tahun itu turut mendapat sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli dan Tanah Merah, Kelab Darul Falah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dan ECERDC melalui Latihan Akademik di bawah program Empower ECER.

Katanya, Kelas Tuisyen yang diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu  memberi peluang kepada murid sekolah tahun empat, lima dan enam mengikuti tuisyen secara percuma.

“Sebelum ini, pencapaian murid  di Jeli agak lemah terutamanya dalam subjek bahasa Inggeris, dan pelbagai kaedah telah dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Insha Allah tahun ini lebih ramai pelajar luar bandar dapat menikmati kemudahan kelas tuisyen ini dengan  pembukaan  tiga cawangan contohnya  di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, SK Bukit Jering dan SK Jeli 2,” katanya pada Majlis Pelancaran Kelas Tuisyen Darul Falah dan Peraduan Mengarang Bahasa Inggeris peringkat Parlimen Jeli 2016, di Darul Falah, Jeli, Kelantan, pada 27 Februari 2016.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Prof. Rosdi Ab. Rahman, Pengarah Pendidikan Kelantan, Dato’ Abdul Aziz Abdullah dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pn. Fauziah Hassan.

Sementara itu, Penyelaras Darul Falah, En. Mohammad Noor Resat, berkata, pada tahun ini seramai 420 murid daripada 22 sekolah di Parlimen Jeli dan murid jemputan daripada sekolah di Tanah Merah berpeluang mengikuti kelas tuisyen ini.

Beliau berkata, sasaran awal pada tahun ini ialah sebanyak 500 murid dan jumlah itu dijangka bertambah kerana terdapat sekolah yang menghantar pelajar mereka mengikuti kelas tuisyen ini.

“Hasil daripada program itu pencapaian sekolah dan minat murid terhadap subjek bahasa Inggeris UPSR menunjukkan peningkatan dan membrangsangkan,” katanya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/209

Published in Latest News
الأربعاء, 03 شباط/فبراير 2016 00:00

INSPEK AGRESIF BANTU TINGKATKAN PENDIDIKAN DAN JANA EKONOMI MASYARAKAT KELANTAN

Oleh : Syarimie Wosley             Foto : Al Azam Razi

INSTITUT Penyelidikan dan Pembangunan Kemiskinan (INSPEK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sekali lagi diberi kepercayaan oleh pihak Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) bagi melaksanakan projek kecemerlangan akademik melalui program pembangunan akademik melibatkan 1,800 pelajar di seluruh Kelantan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata,  InsPeK dan rakan strategik akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan amanah dalam menjayakan misi pembasmian kemiskinan dengan pelbagai pendekatan yang berkesan berasaskan penyelidikan dan tindakan susul yang pantas.

Katanya, projek kecemerlangan akademik itu bakal melibatkan anak-anak keluarga miskin yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Sepanjang tahun 2014 dan 2015  hampir 2,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini mendapat manfaat menerusi program Sains On Wheels:'Science In Action Inspiring The New Scientist.

“Manakala pada program Kelantan Arts Vocational Camp  yang diadakan dengan kerjasama Majlis Adat Istiadat Islam Kelantan (MAIK), Fullbright Scholars  dan agensi lain telah memberikan kelainan dalam memperkasakan Bahasa Inggeris khususnya kepada 100 pelajar sekolah bantuan kerajaan dan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK),” katanya pada Majlis Makan Malam Penghargaan InsPeK Bersama Rakan Strategik, di Bangunan Canselori, UMK Kampus Bachok, pada 31 Januari 2016.

Turut hadir Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr. Mortaza Mohamed, Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Ab. Aziz Abdullah, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti) selaku Pengarah InsPeK, Prof. Rosdi Abdul Rahman dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, pada tahun ini dua daerah iaitu Jeli dan Bachok juga telah dipilih sebagai lokasi tumpuan program pembangunan keusahawanan untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah bermula bulan Mei depan.

Beliau berkata, secara keseluruhan program pembangunan keusahawanan ini akan melibatkan seramai 400 peserta daripada kedua-dua daerah berkenaan.

“Program ini akan memberi penekanan kepada latihan kemahiran dan proses bimbingan (hand holding)  untuk memastikan keberkesanan dan kelestarian aktiviti ekonomi serta keusahawanan peserta,” ujarnya.

Tambah beliau, pada program peningkatan kemahiran Juru Perancah yang dilaksanakan bersama Human Architecture Technologies di bawah naungan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), telah berjaya menampilkan 69 orang dalam kalangan anak muda Kelantan daripada keluarga miskin mendapat latihan dan sijil yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan tetap dengan gaji yang lumayan.

"Manakala, Projek Agropolitan Kelantan Selatan (SKA) bersama dengan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) dan KESEDAR sebagai agensi pelaksana telah dilaksanakan untuk tiga tahun berturut-turut dengan merekodkan peningkatan dalam pencapaian akademik anak keluarga miskin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah memberitahu bahawa InsPeK ditubuhkan selaras dengan hasrat Pro Canselor UMK, YTM Tengku Mahkota Kelantan untuk memikul  tanggungjawab bagi memainkan peranan bersama dengan agensi-agensi lain dalam menanggani masalah yang wujud terutama di kalangan masyarakat di Kelantan.

Katanya, InsPeK dan rakan strategik seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan terus menggerakkan perjuangan membasmi kemiskinan masyarakat selain menjadi sumber rujukan berhubung kaedah membangunkan ekonomi dan paradigma  kumpulan sasaran.

“Staf  yang menganggotai institut ini adalah penyumbang utama dalam pembentukan dasar, membangunkan model, memberi idea dan alternatif serta menjana pendekatan penyelesaian yang kreatif dan inivatif bagi penambahbaik dan meningkatkan tahap keberhasilan aktiviti pembasmian kemiskinan ang dilaksanakan.

Menurutnya, beberapa program yang telah dilaksanakan sebelum ini adalah melibatkan aspek peningkatan kemahiran, sahsiah dan akademik keluarga miskin memberi impak yang positif kepada golongan miskin yang dikenalpasti.

"Kajian yang dilaksanakan di bawah naungan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPPK) dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) yang kini berada dalam peringkat akhir akan membantu usaha pembasmian kemiskian dilaksanakan secara tersusun dan berkesan," katanya 

Published in Latest News

HOT TOPIC