A- A A+
logoumk10tahun

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan   Foto : Al Azam Razi

SYARIKAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diminta mengembangkan perniagaan mereka dengan menyertai Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) untuk menghasilkan produk berkualiti serta meningkatkan daya saing bagi menembusi pasaran yang lebih besar dan meluas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kewujudan PPRN oleh kerajaan adalah sebagai kumpulan sokongan kepada usahawan dan syarikat tempatan untuk mempertingkatkan produktiviti dan inovasi dalam perniagaan yang mampu menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi negara terhadap produk serta perkhidmatan.

Katanya, PPRN dilancarkan sejak setahun lalu oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah satu model kerjasama strategik antara pemain industri dengan pihak akademik untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi PKS dan kaedah penyelesaian melalui penyelidikan.

“Selepas lebih daripada satu tahun beroperasi, PPRN menunjukkan impak yang positif dari penyertaan industri, kadar langganan serta kos yang efektif dalam bidang perniagaan.

“Terdapat 11 projek percubaan sebelum  pelaksanaan dilakukan bagi menganjak pendapatan rendah kepada pendapatan tinggi melalui kaedah inovasi. Sehingga kini, bermula Februari tahun lalu sebanyak 304 projek telah berjaya dilancarkan,” katanya pada  perasmian Seminar dan Bengkel PPRN anjuran KPT  dengan kerjasama UMK, di Pengkalan Chepa, pada 29 Mac 2016.

Turut hadir, Ketua Unit Keusahawanan PPRN/KPT, YBhg. Datin Dr. Syahira Hamidon, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed,  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Abd. Aziz Ab. Latif dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini, menerusi projek penyelidikan berinovasi ini produk jualan dapat dipasarkan dengan lebih berkualiti dengan meraih pembeli dalam dan luar negara menerusi kualiti pembungkusan, pengiktirafan akreditasi agensi yang menyediakan logo halal dan bersih.

Beliau berkata, melalui PPRN setiap produk memperoleh penjagaan kualiti, pengeluaran barangan tempatan dapat ditingkatkan dan boleh dipasarkan dengan lebih meluas dan terbuka serta harga pasaran yang lebih tinggi.

“Syarikat-syarikat dan perusahan tempatan digalakkan mengambil inisiatif daripada program ini untuk mendapatkan khidmat kepakaran penyelidik tempatan bagi menambahbaik produk dan melalui program PPRN  mampu mengurangkan pengambilan pekerja-pekerja asing dalam industri,” ujarnya.

Program tersebut katanya, menghubungkan pemain industri sebagai ‘pengguna kepada pengetahuan’ dengan pihak institusi pengajian yang merupakan ‘pengeluar kepada pengetahuan’ bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menjana keuntungan menerusi budaya inovasi.

Menurut Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, seminar Demand-Driven Innovation Project dan PPRN membantu usahawan-usahawan untuk mengenalpasti teknologi dan permasalahan teknikal yang dihadapi dalam bidang perniagaan.

“Program yang berlangsung ini adalah untuk mewujudkan ekosistem yang mesra pengetahuan di Malaysia (Knowlwdge-Friendly-Ecosystem) melalui penyelidikan yang menghubungkan pihak industri.

“Ini juga merupakan inisiatif dan inovatif KPT bagi menggalakkan program inovasi dan berasaskan keperluan dalam memacu peningkatan produktiviti serta mengukuhkan ekonomi Malaysia.

“Inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh KPT adalah untuk mewujudkan ekosistem inovasi yang diterajui institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, objektif penubuhan PPRN adalah untuk mewujudkan knowledge friendly ecosystem  antara industri, institusi pendidikan tinggi dan institusi penyelidikan dengan persekitaranya menghasilkan pengetahuan dan inovasi yang boleh diaplikasikan dan dimaanfaatkan.

“Dalam konteks UMK, kita memiliki sedikit kepakaran dalam bidang tertentu seperti dibawah program Fakulti Sains Bumi (FSB), Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Fakulti Perubatan Veterinar untuk produk-produk industri yang boleh dimanfaatkan,” jelas beliau.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/220

Published in Latest News

HOT TOPIC