A- A A+
logoumk10tahun

Oleh : Syarimie Wosley   Foto : Al Azam Razi

KEPRIHATINAN Tengku Puan Temenggong Kelantan, YM. Dato’ Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menggalas tanggungjawab untuk membantu rakyat Kelantan yang kurang bernasib baik bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah dan meringankan beban mereka malah berjaya meningkatkan tahap ekonomi dan pendidikan rakyat di negeri ini.

Rakyat Kelantan sememangnya bertuah kerana Tengku Puan Temenggong yang sentiasa tidak jemu-jemu mencemar duli  menghulurkan bantuan dan sumbangan sejak dua tahun lalu sehingga lahir sebuah tabung amal kebajikan yang diberikan nama Yayasan Noor Al Syakur atau YANAS.

Yayasan Noor Al Syakur yang diilhamkan pada bencana banjir besar pada penghujung 2014 dan awal 2015 adalah salah satu daripada saluran kebajikan dengan matlamat utama mengurangkan keperluan kewangan rakyat Kelantan dengan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Pada awal penubuhanya, YANAS bergerak sendiri namun hasil daripada kejayaan beberapa siri program amal yang telah dilaksanakan YANAS mula mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak diantaranya Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Selain itu, YANAS turut mendapat kerjasama baik daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Kemasyarakatan, RELA, bomba, Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan, Angkatan Tentara Malaysia dan lain-lain.

Keikhlasan YM Tengku Puan Temenggong  dan Tengku Temenggong Kelantan, YBM. Dato’ Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz  jelas terpancar di wajah kedua-dua pasangan diraja ini dan tidak mustahil beliau sentiasa mendapat tempat amat istimewa di hati rakyat tanpa mengira usia, serta latar belakang, malah kehadiran di dalam masyarakat sentiasa ditunggu-tunggu walaupun sekadar kunjungan ringkas.

Kesederhanaan yang ditonjolkan dengan mempamerkan wajah yang manis membuatkan ramai menyenangi pasangan diraja ini.

Menurut YM Dato’ Tunku Noor Hayati, matlamat utama penubuhan YANAS adalah untuk mengurangkan keperluan kewangan rakyat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti di sekitar Kelantan yang  bertujuan untuk  membantu menghidupkan semula ekonomi Kelantan selepas musibah bah besar.

Katanya, kami berhasrat untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi mangsa banjir dan rakyat Kelantan supaya mereka dapat berdikari dan berdiri di atas kaki mereka serta bersedia untuk kembali bekerja.

“Hasil lawatan kami mendapati terdapat ramai mangsa banjir kehilangan pendapatan ada diantara mereka kehilangan sumber ekonomi apabila mesin jahit mereka ditenggelami lumpur.

“Malah, ada ladang pisang, padi dan ladang jagung mereka habis musnah ditenggelami banjir,” katanya pada Majlis Amal Minum Petang anjuran YANAS, di Menara FELDA, Kuala Lumpur, pada  26 Mac 2016.

Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abd. Aziz bin Ab. Latif, menyaksikan YM Dato’ Tunku Noor Hayati menerima sumbangan berjumlah RM75,000 hasil daripada kutipan dana Kejohanan Golf Amal YANAS pada 5 Mac 2016.

YM Dato’ Tunku Noor Hayati, berkata, pihak YANAS juga telah bekerjasama dengan UMK dengan menganjurkan program kemasyarakatan iaitu projek Rumahku pada 2013 dan 2014, yang menjadi perintis dengan membuka jalan kepada titik penjelajahan bantuan ke kampung-kampung di pedalaman.

Beliau berkata, YANAS juga telah menubuhkan satu tabung zakat dengan mengenal pasti dana yang berasingan untuk digunakan kepada golongan  di bawah Asnaf, seperti  rumah anak yatim, Muaalaf (mualaf), warga emas dan ibu tunggal.

“Dana ini juga akan disalurkan kepada madrasah, sekolah Agama dan sekolah pondok bagi  memastikan penubuhan sekolah pondok yang menjadi identiti negeri serambi Mekah dan dapat dikekalkan sepanjang tahun,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Abd. Aziz, berkata UMK telah lama menjalinkan hubungan kerjasama dengan YANAS dengan menyokong pelbagai program yang dianjurkan sebagai memperkasakan hubungan universiti dengan masyarakat melalui program kemasyarakatan dan pembangunan sosial setempat.

Katanya, melalui program kemasyarakatan ini memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar universiti dalam aktiviti amal jariah yang penting dalam kehidupan seharian disamping mengeratkan hubungan dengan kerabat DiRaja Kelantan dan masyarakat melalui projek amal yang terancang.

“Kerjasama ini secara tidak langsung dapat meletakkan UMK sebagai sebuah institusi awam yang sentiasa menyokong pembangunan Negeri Kelantan yang bukan sahaja dari segi ekonomi bahkan merangkumi pembangunan sahsiah dan sosiali,” katanya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/224

Published in Latest News

HOT TOPIC