A- A A+
logoumkramadhan

Oleh : Syarimi Wosley   Foto : Abdul Halim Hafiz

PROGRAM Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris Darul Falah yang dilaksanakan secara percuma di kawasan Parlimen Jeli berjaya  melonjakkan prestasi dan mutu pelajaran calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) khususnya dalam subjek Bahasa Inggeris.

Program Kelas tuisyen yang diperkenalkan sejak tahun 2009 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku Ahli Parlimen Jeli, YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, itu berjaya memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar yang kebanyakannya telah melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Menurut YB. Dato’ Sri Mustapa, program tuisyen percuma yang ditubuhkan sejak 20 tahun itu turut mendapat sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli dan Tanah Merah, Kelab Darul Falah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dan ECERDC melalui Latihan Akademik di bawah program Empower ECER.

Katanya, Kelas Tuisyen yang diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu  memberi peluang kepada murid sekolah tahun empat, lima dan enam mengikuti tuisyen secara percuma.

“Sebelum ini, pencapaian murid  di Jeli agak lemah terutamanya dalam subjek bahasa Inggeris, dan pelbagai kaedah telah dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Insha Allah tahun ini lebih ramai pelajar luar bandar dapat menikmati kemudahan kelas tuisyen ini dengan  pembukaan  tiga cawangan contohnya  di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, SK Bukit Jering dan SK Jeli 2,” katanya pada Majlis Pelancaran Kelas Tuisyen Darul Falah dan Peraduan Mengarang Bahasa Inggeris peringkat Parlimen Jeli 2016, di Darul Falah, Jeli, Kelantan, pada 27 Februari 2016.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Prof. Rosdi Ab. Rahman, Pengarah Pendidikan Kelantan, Dato’ Abdul Aziz Abdullah dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pn. Fauziah Hassan.

Sementara itu, Penyelaras Darul Falah, En. Mohammad Noor Resat, berkata, pada tahun ini seramai 420 murid daripada 22 sekolah di Parlimen Jeli dan murid jemputan daripada sekolah di Tanah Merah berpeluang mengikuti kelas tuisyen ini.

Beliau berkata, sasaran awal pada tahun ini ialah sebanyak 500 murid dan jumlah itu dijangka bertambah kerana terdapat sekolah yang menghantar pelajar mereka mengikuti kelas tuisyen ini.

“Hasil daripada program itu pencapaian sekolah dan minat murid terhadap subjek bahasa Inggeris UPSR menunjukkan peningkatan dan membrangsangkan,” katanya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/209

Published in Latest News

HOT TOPIC