A- A A+
logoumkmerdeka2017

kerjasama-umk-kedutaanperancis1

Oleh : Syarimie Wosley      Foto  : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menjalinkan kerjasama erat dengan Kedutaan Perancis di Malaysia menerusi Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoA) dengan tujuan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Perancis di kalangan para pelajar terutamanya dari segi kemahiran berkomunikasi, menulis dan penghayatan kebudayaan.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, kerjasama itu akan  membolehkan para pelajar mendalami kemahiran dan pengetahuan bahasa Perancis yang ditawarkan di semua ketiga-tiga kampus secara lebih komprehensif melalui tenaga pengajar yang disediakan.

Katanya, pada masa ini kira-kira 300 pelajar UMK mengambil bahasa Perancis sebagai kursus elektif dengan bantuan empat orang guru Perancis termasuk satu penutur asli.

“Kerjasama MOA ini mengesahkan hubungan baik yang telah terjalin antara UMK dan Kedutaan Perancis  untuk membangunkan peranan dan kualiti pengajaran bahasa Perancis khususnya di Kelantan.

“Bahasa Perancis telah dilaksanakan di UMK sejak beberapa tahun lalu dan terus berkembang dengan cepat dimana kira-kira 300 pelajar mempelajarinya pada 2016,” katanya pada majlis menandatangani MOA tersebut di kediaman Kedutaan Perancis, di Kuala Lumpur, pada 27 Julai 2016.

kerjasama-umk-kedutaanperancis2Majlis menandatangani MOA itu disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mortaza dan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Mr.Christophe Penot .

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Dr. Farok Zakaria dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kedutaan Perancis, Mr. Nicholas Gouletquer.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, kerjasama yang dibentuk ini juga membolehkan universiti mengambil tutor daripada Perancis yang akan membantu guru bahasa Perancis di UMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam meningkatkan kemahiran komunikasi lisan.

Beliau berkata, selain itu pihak universiti juga dapat membina rangkaian hubungan yang lebih baik antara UMK dan universiti-universiti yang terdapat di Perancis khususnya dalam mempromosikan bahasa dan budaya Malaysia di kalangan pelajar mereka disana.

Sementara itu, Mr.Christophe Penot berkata, perjanjian itu bakal membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar selain membolehkan pelajar mengetahui lebih mendalam mengenai kebudayaan Perancis.

Beliau berkata, kerjasama di bawah memorandum ini, UMK bakal menerima seorang tenaga pengajar dari Perancis yang dilihat dapat meluaskan lagi peranan dan kualiti bahasa Perancis dalam kalangan penuntut UMK.

“Program latihan bahasa Perancis itu telah bermula sejak 2011 melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi yang membolehkan semakin ramai pelajar Malaysia mengikutinya,” jelasnya.

Tambah beliau, peranan tenaga pengajar daripada Perancis ini adalah untuk membantu guru bahasa di UMK untuk  meningkatkan kemahiran komunikasi lisan pelajar dan pengetahuan mereka mengenai budaya Perancis.

“Mereka juga bukan sahaja membantu menyokong aktiviti pembelajaran di kelas tetapi juga membawa kumpulan kecil pelajar untuk aktiviti komunikasi untuk menggalakkan mereka belajar bercakap di dalam di Perancis

“Selain itu, mereka juga bertanggungjawab untuk menganjurkan sesi penerangan mengenai pendidikan tinggi di Perancis untuk merangsang pertukaran antara UMK dan universiti Perancis.

Manakala Mr. Nicholas Gouletquer, berkata, pengajaran Bahasa Perancis sedang berkembang dengan pesat di Malaysia melibatkan kira-kira 13,000 pelajar di sekolah menengah dan 3,500 pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia.  

Katanya, bagaimanapun jumlah itu terus meningkat dua kali ganda kerana sokongan daripada universiti dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Ini membuktikan semakin ramai pelajar Malaysia berminat untuk mempelajari bahasa Perancis dan jumlahnya semakin bertambah," katanya.

kerjasama-umk-kedutaanperancis3

Published in Latest News

Oleh : Nor Alizam Shafie        Foto : Al Azam Razi

MELIHAT kekangan industri penternakan negara yang terlalu bergantung kepada pembelian makanan import, Universiti Malaysia Kelantan melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) bekerjasama dengan Agilent Technologies serta SIRIM Measurements Technology untuk menghasilkan produk makanan ternakan yang lebih berkualiti dan berkhasiat.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, kerjasama UMK, Agilent Technologies, dan SIRIM Measurements Technology ini bakal melihat usahasama membangunkan sebuah makmal nutrisi dan teknologi makanan haiwan ternakan yang menggunakan teknologi pembangunan mengikut piawaian standard makanan haiwan ternakan.

Beliau berkata, kerjasama ini merangkumi penyelidikan pembangunan standard makanan ternakan dan kajian penilaian sumber makanan haiwan alternatif dari bahan-bahan tempatan, dan penggunaan teknologi bagi memastikan keselamatan sumber makanan haiwan adalah terjamin dan berkualiti.

“Aktiviti pemindahan dan perkongsian terknologi juga bakal kerap diadakan bagi memastikan penyelidik sentiasa kehadapan dari segi ilmu dan teknologi didalam bidang nutrisi dan makanan ternakan. 

“Sebagai langkah awal, satu kumpulan penyelidik dari UMK, Agilent Technologies dan SIRIM Measurements Technology yang sedang menyediakan kertas kerja permohonan untuk “Newton-Ungku Omar Fund dibawah UK-Southeast Asia Small Scale Research Partnerships” bersama rakan-rakan penyelidik dari United Kingdom,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMK, SIRIM Measurement dan Agilent Technologies di Dewan Eksprimental, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 21 Julai 2016.

Turut hadir,  Presiden dan Ketua Ekskutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato' Dr. Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Measurements Technology Sdn Bhd,  En. Chew Teck Ming dan Pengurus Negara Agilent Technologies Sales (Malaysia) Sdn Bhd,  YBrs. En. Soh Lam Seng.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Abd. Aziz Ab Latif.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, industri penternakan, terutamanya ruminan, poltri dan akuakultur berpotensi untuk dimodenkan dan dimajukan namun pemerosesan makanan ternakan masih dibeli dari luar serta kita tahu makanan merupakan kos yang paling besar didalam pengeluaran penternakan haiwan sama ada ruminan, poltri mahupun akuakultur.

“Oleh demikian, pemilihan makanan yang murah dan efisen untuk tumbesaran haiwan sentiasa menjadi pilihan penternak dan masalah besar yang dialami penternak ialah tidak dapat lari dari tanggungjawab memastikan nutrisi haiwan sentiasa diberi perhatian bagi memastikan penghasilan output yang optima dan dalam masa yang memenuhi keperluan etika serta keselamatan hasil produk kepada pengguna.

“UMK telah mengambil langkah proaktif membincangkan inisiatif untuk mempertingkatkan kemampuan negara dengan  menghasilkan makanan haiwan sendiri menerusi   pengetahuan domain bagi penyelidikan Concentrated Animal Feeding Total Operation Control (CAFTOs),” ujar beliau.

Kerjasama antara tiga pihak ini (UMK, Agilent dan SMT) akan mengkhususkan kepada kelestarian industri ternakan negara terutama ke arah memastikan kecukupan dan keselamatan sumber makanan.

Tumpuan utama juga diberikan terhadap penggunaan teknologi-teknologi baru bagi meningkatkan nilai pemakanan sumber-sumber makanan tempatan, terutama daripada bahan-bahan agro-industri pertanian.

Sementara itu, Dato’ Dr. Zainal Abidin berkata, kerjasama antara ketiga-tiga pihak ini dapat memajukan lagi penyelidikan dalam bidang ini, di mana makanan bersumberkan haiwan adalah antara yang paling mencabar bagi ahli kimia analisis untuk menyelidik dengan berkesan, terutamanya bagi antibiotik/ubat-ubatan veterinar.

Katanya, kerumitan matriks dan analog farmaseutikal menuntut pendekatan yang canggih untuk pengujian dan pengukuran, dan keperluan perundangan yang berbeza di pelbagai negara turut memerlukan sampel rujukan yang memenuhi pelbagai syarat kawal selia.

“Oleh itu, CAFTOs telah menjadi sebahagian daripada trend pertanian baru-baru ini ke arah pengeluaran ternakan milik korporat berskala besar.

“Makanan haiwan adalah sebarang bahan makanan pertanian yang digunakan khusus untuk diberi kepada ternakan seperti lembu, kambing, biri-biri, kuda, ayam, ikan, udang dan khinzir dan seperti kita maklum bahawa kebanyakan makanan haiwan adalah dari tumbuh-tumbuhan tetapi ada antaranya berasal dari haiwan,” katanya.

Beliau percaya melalui memorandum persefahaman ini, pelbagai peluang akan diterokai bersama oleh ketiga-tiga pihak demi kemajuan dalam penyelidikan Makanan Haiwan untuk negara.

“SIRIM Measurements Technology,mengambil pendekatan komited untuk bekerjasama dengan Agilent Technologies dalam menyumbang empat komponen utama kepada UMK bagi menjayakan perkongsian ini.

“Komponen pertama adalah dalam pemindahan teknologi dengan menyokong penyelidik UMK melalui perkongsian teknologi dalam pengetahuan domain tertentu dalam penyelidikan termaju, analisis dan kawalan,” jelas beliau.

Tambahnya, komponen kedua pula adalah dalam pembangunan modal insan, di mana bersama-sama UMK, prasarana sokongan akan dibangunkan melalui pusat latihan domain teknologi yang berkaitan bagi membolehkan pembangunan kumpulan modal insan yang diterajui oleh UMK ditanda aras kepada standard industri yang diiktiraf dengan sempadan pengetahuan domain.

Manakala untuk komponen ketiga  adalah dengan membina kemudahan penyelidikan bertaraf dunia berkenaan CAFTO di UMK yang dapat menyokong industri dalam negara dengan menyediakan prasarana ‘shared service’ yang merangkumi perkhidmatan teknologi dan perkhidmatan profesional dalam penyelidikan termaju, analisis dan kawalan dalam pengetahuan domain tertentu.

“Komponen keempat merangkumi penyelidikan bersama yang berpotensi dengan Penyelidikan Perindustrian SIRIM dalam kemajuan teknologi, dan mungkin dalam pembangunan kaedah pengujian dan pengukuran serta standard untuk keperluan perundangan, rujukan sampel dan syarat kawal selia,” ujarnya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/254

Published in Latest News

Oleh: Aiman Syazwan  Foto : Mohd Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menggorak langkah menerusi kerjasama strategik di dalam usaha meningkatkan tahap kemahiran dan kepakaran penyelidikan bagi melahirkan graduan yang berkualiti  daripada kedua-dua buah universiti itu.

Kerjasama itu adalah bagi pembangunan model atau kerangka kerjasama melalui Kolokium Kesamaan dan Keserakanan menerusi kerjasama  yang berfokus seperti saranan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam konsep kebersamaan dan keserakanan.

Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, berkata, kerjasama itu merangkumi bidang akademik, penyelidikan, pengajian siswazah, sumber manusia dan fasiliti setiap univeristi dalam menjalankan misi Strategi Laut Biru negara.

Katanya, kerjasama antara UMK dan USM adalah bertujuan untuk kedua-dua universiti  saling bantu-membantu antara dua bidang berbeza serta menjadikan bidang itu lebih meluas dan besar.

"Sebelum ini, kerjasama UMK dan USM telah pun bermula pada tahun 2007 lagi khususnya dalam program keusahawanan dan pengurusan kesihatan.

"Pihak UMK pernah menghantar dua pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran makmal di USM dan mungkin di masa hadapan, USM boleh menghantar pelajar mereka bagi mempelajari bidang keusahawanan dan kejuruteraan yang terdapat di UMK," katanya pada Majlis Kolokium Keserakanan dan Kebersamaan di Antara USM dan UMK, di Kampus USM Cawangan Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, pada 27 Mac 2016.

Turut hadir, Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK,  Prof. Dato' Dr. Ibrahim Che Omar serta Pendaftar USM, Prof. Dr. Abdul Aziz Tajuddin dan Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, sebagai universiti baharu dan kami memerlukan bantuan dari universiti lama seperti USM untuk turut tampil ke barisan hadapan bersama mereka.

"Ada pelajar kami terutamanya pelajar veterinar dihantar ke USM untuk menjalankan kajian bukan sahaja untuk menggunakan alatan di USM tetapi untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tatacara yang betul oleh pakar-pakar USM.

"Kami berbesar hati untuk menerima pertolongan dari USM dan sebaliknya kami lebih berbesar hati untuk menolongnya dalam menjalankan usaha kerjasama dua pihak ini," katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Osman berkata,  jalinan kerjasama bersama UMK mampu bertukar kepakaran dan mewujudkan kolaborasi dalam usaha memperkasakan pengajian tinggi bagi mencapai hasrat pelan strategik pendidikan negara.

Beliau berkata, walaupun USM dan UMK berfokus kepada bidang yang berlainan, namun ketidaksamaan inilah yang akan memberikan sinergi yang begitu baik dalam pengurusan.

“Contohnya, USM mempunyai pakar dalam alam bina yang mana akan diperlukan oleh UMK yang mempunyai pengajian dalam bidang Sains Warisan dan sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, kepakaran-kepakaran UMK dalam bidang keusahawanan terutamanya kaedah untuk mengembangkan industri kecil dan sederhana yang tidak memerlukan kos pelaburan yang tinggi juga satu kerjasama boleh dilakukan khususnya di wilayah pantai timur.

 

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/221

Published in Latest News

HOT TOPIC