Latest News

PELAJAR FTKW RAIH PENDAPATAN RM3,200 HASIL MENDULANG EMAS SELAMA TIGA HARI

Oleh : Syarimie Wosley                   Foto : Aiman Syazwan

beritaemas

SERAMAI 25 pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mampu meraih pulangan sebanyak RM3,200 hasil mendulang emas selama tiga hari ketika menjalankan program Kajian Lapangan Misi Mendulang Emas Secara Tradisional di Kampung Perasu, Sungai Emas, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.

Biarpun kali pertama diberi pendedahan teknik mengayak atau mendulang emas secara tradisional menggunakan kayu banir yang dipahat dan kuali tetapi kebanyakan pelajar langsung tidak kekok untuk mencuba berikutan keseronokan melihat butir-butir emas yang diperolehi.

Cubaan pertama itu bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri bagi mahasiswa dan mahasiswi UMK, malah mereka tidak sabar untuk mendulang sebaik sahaja tiba di lokasi selepas menempuh perjalanan yang mencabar kira-kira hampir empat jam perjalanan daripada UMK Kampus Bachok ke Kampung Perasu, Gua Musang.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan FTKW, En.Mohd Aswawi Isa, ekspedisi kajian lapangan mendulang emas secara tradisional di kawasan di Gua Musang adalah sebagai pendedahan kepada pelajarnya untuk mereka merasai sendiri kerja-kerja mendulang emas secara moden dan tradisional iaitu menggunakan kuali dan dulang yang diperbuat daripada kayu banir.

Katanya, kaedah itu adalah warisan turun-temurun dan melalui aktiviti ini dapat  kami memelihara dan memulihara warisan alatan tradisional serta penerokaan kawasan penyelidikan baharu berdasarkan kajian lapangan pelajar dibawah bimbingan pensyarah untuk menganalisis dan menghurai sumber alam yang terdapat di Negeri Kelantan.

beritaemas3“Ternyata misi julung kali ini berjaya diadakan kerana para peserta yang menyertai program selama tiga hari dua malam itu didedahkan teknik mendulang emas secara tradisional yang sebelum ini tidak pernah mereka pelajari.

“Sejak tiga hari berada disini, kami tidak menyangka telah dianugerahkan rezeki walaupun kali pertama mencuba dan memperoleh beberapa gram emas dengan anggaran harga sebanyak RM3,200," katanya.

Turut menyertai program ini ialah 10 tenaga pengajar FTKW dan 10 sukarelawan dari Kelab Kembara 4x4 Kelantan.

Dalam pada itu, En. Mohd Aswawi, berkata, program ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar supaya dapat meningkatkan keupayaan diri untuk menggunakan seni nilai tradisional dalam rekabentuk produk dan mempunyai kesedaran tentang nilai estetika dan sumber asli.

Katanya, kajian ini juga merupakan program akademik bagi penilaian tugasan akhir pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan wakil pelajar bagi kursus CFT 1032 Rekabentuk Seni Tradisional yang bertujuan untuk membantu pelajar menganalisis , menghurai serta mendapat menilai konsep rekabentuk seni tradisional negara.

“Sepanjang program itu, pelajar diajar oleh fasilitator berpengalaman dengan cara mengesan jenis tanah yang berpotensi serta teknik melenggok dulang bagi mengasingkan logam berharga daripada batuan dan unsur lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar FTKW, Wan Nur Atikah Wan Ruslee, 21, menjadi pelajar pertama menemui emas walaupun pertama kali mencuba selepas mendapat bimbingan daripada penduduk kampung yang menjalankan aktiviti sepenuh masa mendulang emas.

“Saya amat teruja selepas beberapa minit mendulang berjaya menemui butir logam berharga itu yang dianggarkan bernilai RM50.

“Menurut pengalaman pendulang emas nilai emas saya temui ini boleh cecah RM50. Buat masa ini, saya tak bercadang untuk jual, saya nak simpan sebagai kenangan,” katanya.

beritaemas2

Read 2649 times
Rate this item
(0 votes)

What Our International Students Say?

Latest Update: 22 September 2020

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

 

lamanwebumk

Search