Latest News

KONVENSYEN INOVATIF, KREATIF UMK HASILKAN PENJIMATAN KOS OPERASI DAN PENGURUSAN RM1.2 JUTA

kik2017

KUMPULAN Medixin daripada Jabatan Pendaftar muncul johan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), bertempat di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, baru-baru ini.

Kemenangan menerusi kategori utama itu membolehkan Kumpulan Medixin membawa pulang geran daripada pihak universiti bernilai RM10,000, berserta trofi, sijil dan hadiah iringan.

Manakala tempat kedua, dimenangi oleh Kumpulan Adrenalin daripada Pejabat Pengurusan Infrastruktur dan Aset (PPIA) yang membawa pulang geran berjumlah RM7,000 dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Legasi 19 daripada Pejabat Perpustakaan Dan Pengurusan Ilmu (PPI) yang berjaya membawa pulang geran berjumlah RM5,000, piala dan sijil.

Sementara itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang diwakili oleh kumpulan Wisdom, turut menyerlah pada KIK 2017 apabila menggondol Anugerah Persembahan Terbaik manakala Timbalan Pendaftarnya, Puan Alifah Adnan membuat kejutan muncul sebagai pemenang Anugerah Fasilitator Terbaik.

Dalam pada itu, Kumpulan Adhoc daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) memenangi Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Visual Terbaik dimenangi oleh Kumpulan 4Rest daripada gabungan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Agro Park.

Manakala, Penolong Pendaftar, Pejabat Pentadbiran UMK Kampus Jeli, En. Azzhar Mohd Nawi daripada Kumpulan Try N Error pula membuat kejutan apabila muncul sebagai pemenang Anugerah Pembentang Terbaik KIK 2017.

Menurut wakil kumpulan Medixin, kemenangan itu adalah menerusi idea menghasilkan sistem pengurusan cekap iaitu E-Medical yang merupakan sistem yang telah dibangunkan sebagai akses untuk staf mendapatkan rawatan perubatan di mana-mana klinik panel UMK yang berdaftar.

Katanya, melalui sistem E-Medical, pengguna atau warga UMK mendapat manfaat daripada kelebihan ini yang memudahkan penyimpanan rekod maklumat staf yang mendapatkan rawatan.

“Staf yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik panel tidak perlu lagi menggunakan buku rawatan sebaliknya hanya perlu menunjukkan kad staf atau kad pengenalan/tanggungan sebagai pengenalan diri,” katanya.

Sebanyak 14 kumpulan yang bertanding di peringkat akhir konvensyen itu dimana proses penghakiman diketuai oleh Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Negeri Kelantan dan juri-juri profesional.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd. Osman berkata, manfaat daripada penganjuran Konvensyen KIK 2017 adalah UMK dapat memperkenalkan sistem dan cara kerja baru yang boleh menjana kecemerlangan organisasi melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai (value creation).

Katanya, penghasilan inovasi dan kreativiti yang lahir daripada kumpulan KIK universiti itu juga memberi impak besar kepada universiti menerusi penjimatan kos operasi yang dicatatkan secara terkumpul daripada kesemua 15 kumpulan KIK iaitu sebanyak RM 1,276,476.06.

"Dengan kepakaran dan pelbagai input yang dihasilkan kita dapat mengurangkan kos perbelanjaan operasi dan pengurusan universiti,” katanya.

Kumpulan KIK yang memenangi Konvensyen pada kali ini akan diberi peluang untuk mewakili UMK dalam konvensyen KIK peringkat Universiti Awam pada tahun ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Selain itu, pemenang juga berpeluang untuk menyertai Konvensyen Peringkat Wilayah Anjuran MPC dan pelbagai pertandingan lain.

Read 1239 times
Rate this item
(0 votes)

What Our International Students Say?

Latest Update: 30 March 2020

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

 

lamanwebumk

Search