Latest News

UNIT PALAPES LAUT-TLDM UMK BERAZAM JADI PASUKAN DIGERUNI

pelapis

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli

Foto : Al Azam Razi

TERIAKAN semangat ‘Gempur Wira’ sebanyak tiga kali oleh 60 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut atau Palapes Laut UMK dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bergema memecahkan kedamaian pesisiran pantai Pulau Perhentian Kecil membuktikan kewibawaan kental barisan Palapes Laut UMK sedia mara berkorban mempertahankan negara.

Biarpun suhu mencecah 34 darjah celcius dan keadaan panas terik namun semangat serta emosi barisan Pasukan Palapes Laut UMK tidak hilang fokus sebaliknya berjaya menghabiskan kursus dan latihan Program Kepimpinan Pegawai Kadet Palapes Laut yang diadakan selama tiga hari di Tapak Perkhemahan Awatif, Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, pada 14 hingga 16 April 2018.

Penubuhan Pasukan Palapes Laut UMK merupakan satu peristiwa sejarah yang penting kerana UMK kini mara selangkah lagi dalam usaha menubuhkan pasukan beruniform untuk mahasiswa dan mahasiswi bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, berkata, penubuhan pasukan Palapes Laut UMK adalah idea daripada Pemangku Raja Kelantan, Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra merangkap Tuanku Canselor UMK.

Katanya, kewujudan pasukan itu bukan sekadar satu sejarah selepas hasil perbincangan antara TLDM dan UMK untuk bersetuju meluluskan penubuhan pasukan Palapes Laut di UMK.

“Menerusi penubuhnya, UMK perlu memikul satu amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya untuk mengukuhkan kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Tinggi demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Komandan Palapes Laut UMK berkata penubuhan pasukan Pertama Palapes Laut UMK yang terdiri daripada seramai 60 g pelajar ini seterusnya akan menjalani kursus Asas Rekrut selama lima hari di Kem Latihan D’Wasin Campsite & Village, Gerik, Perak, pada 17 hingga 25 April 2018.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kolonel Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, kursus kepimpinan yang diadakan selama 3 hari 2 malam di Pulau Perhentian adalah bertujuan untuk memantapkan barisan kepimpinan unit Palapes Laut UMK.

Katanya, menerusi pemantapan program ini barisan anggota juga diberi pendedahan awal nilai-nilai jati diri yang tinggi, percaya diri serta semangat berpasukan.

“Selain itu, program ini juga untuk meningkatkan disiplin para peserta untuk mematuhi segala arahan dari pihak atasan dengan penglibatan pelajar yang memberikan komitmen yang tinggi sepanjang kursus ini menerusi modul-modul yang telah disediakan oleh pihak urusetia.

“Melalui kursus ini,para pelajar mendapat suntikan semangat yang baru bukan sahaja melalui etika pemakaian badan beruniform yang kemas dan berprotokol malah mereka diterapkan juga dengan nilai yang membina seperti pengurusan masa dan kerjasama dengan ahli kumpulan,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, pasukan Palapes Laut UMK turut mendapat sokongan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur yang berkesempatan mengadakan kunjungan tidak rasmi memberikan semangat dan motivasi kepada anggota pegawai kadet laut ketika lawatan pada program tersebut baru-baru ini.

Katanya, penubuhan pasukan ini juga bertepatan dengan pelan pembangunan pendidikan tinggi digariskan oleh KPT iaitu untuk melahirkan pelajar yang seimbang antara akademik dan sahsiah mereka.

“Oleh itu, penglibatan pelajar dalam menerusi aktiviti kokurikulum ini sekaligus dapat memberi kesedaran kepada pelajar dalam kesukarelawan dan jati diri mereka,” katanya.

Pasukan Palapes Laut UMK dibimbing oleh tujuh jurulatih TLDM yang dipimpin oleh Ketua Jurulatih Palapes Laut UMK, Leftenan Mohd Hashim Ibrahim.

Menurut Lt. Mohd Hashim, seramai 60 calon pelajar telah lulus proses temuduga dan pemeriksaan kesihatan bagi Pengambilan Pegawai Kadet PALAPES Laut UMK Ambilan 1 2017/2018 yang telah diadakan di UMK pada 23 November 2017 dan 14 Januari 2018.

Katanya, penerapan modul selama tiga hari itu merangkumi latihan fizikal, mental dan kesediaan pelajar untuk memberi pendedahan dan menerapkan elemen kepimpinan serta pembentukan jati diri.

“Kursus ini juga dapat meningkatkan soft skill dan aktiviti water confident dalam diri anggota pasukan untuk lebih berkeyakinan dan berketerampilan serta kesiap-siagaan dalam diri setiap kadet.

“Para pegawai kadet juga mengadakan Program Jiwa Murni untuk membersihkan kawasan sekitar pantai di Pulau Perhentian ini dengan bergotong-royong membersihkan sampah sarap yang terdapat di sekitar pantai, katanya.

Bagi Pegawai Kadet Palapes Laut UMK, Puteri Nabila Amanda, tempoh tiga hari menjalani latihan di Pulau Perhentian bukan sahaja melatih para pelatih merasai suasana sebenar tetapi dapat mempelajari prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam pasukan TLDM.

Katanya, keperluan latihan itu selari dengan kehendak pasukan ini iaitu sebuah unit yang mampu menjadikan UMK lebih kuat dan gah di mata dunia.

Manakala Pegawai Kadet Mohd Ikram Mohd Syafri, penyertaan dalam pasukan Palapes Laut UMK adalah cita-cita yang dipendam dari awal persekolahan lagi.

Tambah beliau, anggota TLDM adalah salah satu pasukan pertahanan yang sangat kuat diserata dunia dan digeruni bila disebut perkataan NAVY.

“Dengan itu,dengan menyertai Palapes Laut sangat berkait rapat dengan keberanian untuk mencabar diri sendiri dan menguatkan mental dan fizikal ahli mereka,” katanya.

Read 506 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 18 October 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search