Latest News

SISWA FHPK TEROKA KHAZANAH DAN AKTIVITI ESKTREM DI HUTAN LIPUR SUNGAI SEDIM

1

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan

CABARAN 24 jeram berbatu-batu yang ekstrem dan kelajuan deras air sungai menjadikan lokasi Hutan Lipur Sungai Sedim antara destinasi popular sukan whitewater rafting atau sukan ekstrem arus deras antarabangsa di negara ini.

Lebih mengujakan ialah terdapatnya jeram yang mencapai tahap empat daripada enam tahap kesukaran yang mencabar mental dan fizikal mereka yang berjiwa kental untuk mencuba sukan lasak yang semakin popular di kalangan generasi muda pada hari ini.

Selain daripada cabaran ekstrem, Hutan Lipur Sungai Sedim menyimpan khazanah hutan dan keindahan alam semulajadi yang sesuai menjadi daya tarikan pelancongan dalam dan luar negeri.

Justeru itu, seramai 40 orang pelajar diiringi oleh dua pensyarah dari Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai lawatan bagi subjek Rekreasi dan Senggang (ATS3063) dan Ekopelancongan(ATS3073) di Hutan Lipur Sungai Sedim selama 3 hari 2 malam pada April lalu.

Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FHPK selaku Pengarah Program, Dr. Roslizawati Che Aziz berkata, lawatan ini adalah julung kali di adakan di kawasan Hutan Lipur Sungai Sedim bertujuan untuk menerokai khazanah alam semulajadi yang terdapat di kawasan ini.

Beliau berkata, menerusi lawatan ini pelajar yang mengambil subjek ini dapat mengenalpasti aktiviti rekreasi secara mendalam dan terperinci bukan sahaja melalui teori bahkan secara praktikal.

“Pendedahan ini secara tidak langsung memberi pengalaman kepada mahasiswa tentang aktiviti-aktiviti rekreasi yang mencabar dan menyeronokkan secara realiti untuk dimanfaatkan pada pembelajaran secara amali.

“Selain itu, mahasiswa dapat pengalaman berharga dan pengetahuan berkenaan aktviti rekreasi yang ditawarkan dalam industri pelancongan malah pelajar juga dapat merasai sendiri pengalaman aktiviti mencabar ini,” katanya.

Menurut Dr. Roslizawati, pihak FHPK memilih lokasi lawatan ini kerana Hutan Lipur Sungai Sedim amat terkenal kerana terdapat Sungai Sedim yang mengalir sepanjang 15 kilometer yang berarus deras serta mempunyai beberapa buah jeram sesuai untuk aktiviti lasak berkayak.

Malah, hutan lipur ini sinonim sebagai tapak pekelahan Di Raja Kedah dengan memiliki lapan anak sungai yang mengalir sepanjang Sungai Sedim adalah Sungai Reyau, Sungai Merbok, Sungai Tebuan, Sungai Karangan, Sungai Terona, Sungai Bekui, Sungai Bikan dan Sungai Buloh.

“Tidak hairanlah, kawasan ini dipilih sebagai destinasi pertandingan kayak arus deras diperingkat antarabangsa,” katanya.

“Selain itu, aktiviti mendaki gunung juga menjadi pilihan pelancong menerokai Gunung Inas, Gunung Bintang Utara, Gunung Bintang dan Banjaran Bintang.

“Para pelancong juga boleh melaksanakan aktiviti mandi-manda dan berkelah, pengunjung juga boleh berkhemah, merentas hutan, bersiar-siar, berkayak, mendaki gunung dan menikmati keindahan flora dan fauna yang semulajadi.

Sementara itu, pelajar FHPK, Zainur Hafiza Zaidin, berkata, peserta lawatan seramai 40 orang tiba di Kulim Kedah pada jam 2.30 petang selepas hampir lapan jam perjalanan daripada UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

Katanya, kehadiran kami disambut oleh dengan Encik Azman selaku jurupandu dan jurulatih sepanjang berada di Hutan Lipur Sungai Sedim.

“Antara aktiviti yang dilakukan semasa lawatan ialah ice breaking, night walk, jungle trekking, water abseiling, kem motivasi, team building, summer camp, rock climbing, jungle trekking, flying fox, river cross, treasure hunt jungle walk dan pelbagai lagi aktiviti menarik

“Kami cukup teruja dengan aktiviti menyeronokkan sekaligus menjadikan satu pengalaman untuk dimanfaatkan dalam subjek pembelajaran,” katanya.

Read 115 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 11 Jun 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search