Latest News

UMK TUAN RUMAH KARNIVAL SUKAN MASUM FASA 1 2018

37245034 2274638866096591 7345081137783373824 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 15 Julai I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi tuan rumah Karnival Sukan MASUM FASA 1 2018 yang bermula hari ini, iaitu 15 hingga 22 Julai 2018.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr. Mohd. Gazali Abas, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli.

37135617 2274641472762997 8657056143333392384 n

Karnival Sukan MASUM 2018 anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bersama UMK melibatkan 20 Universiti Awam dengan penglibatan 2520 orang atlet serta pegawai yang menyaksikan sebanyak tujuh acara dipertandingkan dengan menawarkan 166 buah pingat.

Antara acara yang akan dipertandingkan adalah Bola Baling, Bola Jaring, Bola Keranjang (3 lawan 3), Catur, Sepak Takraw, Taekwondo dan Silat.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Ghazali, penganjuran Karnival Sukan MASUM ini sebagai salah satu ruang yang ada untuk atlet di Universiti Awam (UA) menonjolkan potensi mereka sekaligus potensi ini nanti perlu dilihat untuk membawa atlet-atlet ini beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kejohanan ini juga merupakan salah satu medan pemilihan bagi atlet- atlet yang akan mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN yang akan berlangsung pada 10 – 21 Disember 2018 nanti di Nay Pyi Taw, Myanmar.

“Adalah menjadi harapan KPM, bahawa karnival sukan ini, menjadi pembakar semangat kepada semua untuk mempamerkan aksi terbaik untuk dipilih mewakili Malaysia ke kejohanan tersebut.

“Malah, kejayaan Malaysia terpilih sebagai penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa juga dilihat sebagai pengiktirafan kepada kejayaan atlet-atlet UA di peringkat tertinggi sebagai contoh kejayaan atlet seperti Saudari Cheong Jun Hong, mahasiswi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah muncul Juara dunia di Kejohanan Dunia FINA di Budapest pada tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan itu menjadi inspirasi kepada semua atlet yang ada di sini untuk berusaha gigih mencipta kecemerlangan di peringkat tertinggi.

Dalam penganjuran di peringkat antarabangsa Malaysia juga dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada 2018 FISU World Badminton Championship pada 15 hingga 21 Oktober 2018 di Bukit Kiara Kuala Lumpur.

“Pemilihan ini harus dijadikan satu medan terbaik untuk kita cemerlang bukan sahaja dalam menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, malah juga melahirkan atlet yang bertaraf dunia.

“Kementerian seterusnya berharap agar penganjuran kejohanan seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan kecemerlangan sukan di universiti selari dengan teras pembangunan sukan negara yang menjadikan Universiti sebagai salah satu hub melahirkan atlet berkelas dunia,” jelasnya.

Justeru, Dato’ Dr. Mohd Ghazali menyifatkan bakat yang telah digilap diperingkat sekolah dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tetapi juga meneruskan kerjaya profesional dalam bidang sukan yang dipilih.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, UMK buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi Karnival Sukan MASUM Fasa 1/2018 setelah 10 tahun ditubuhkan.

Katanya, karnival ini adalah salah satu temasya sukan yang terbesar dan sentiasa dinantikan kemeriahannya oleh setiap mahasiswa/mahasiswi UA di seluruh negara.

“Walaupun UMK merupakan Universiti yang paling muda dengan pelbagai kemudahan prasarana yang masih banyak perlu dibangunkan namun ianya tidak menghalang UMK untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebagai tuan rumah bagi temasya yang penuh bermakna pada kali ini.

“Karnival ini bukan sahaja menarik minat warga universiti awam bersukan malah dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk diserapkan sebagai pelapis atlet peringkat kejohanan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berharap menang ataupun tewas dalam sesuatu pertandingan atlet dapat menerimanya dengan hati yang terbuka kerana adat pertandingan dan kita hendaklah bermain dengan penuh semangat kesukanan.

“Selain itu semangat kesukanan yang tinggi dikalangan atlet juga dapat melatih diri para atlet untuk mempunyai minda yang terbuka dan sanggup menerima dan memberi respon dalam pelbagai situasi,” katanya.

37252265 2274638912763253 4194374665096921088 n

Read 587 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 3 December 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search