Latest News

CONTOHI RASULLULAH BINA KONSEP RUMAHTANGGA SAKINAH MAWADDAH WA RAHMAH

0I1A5855

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA I Pusat Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Kelab Kebajikan Staf UMK (KKSU) telah menganjurkan Seminar Keluarga Sakinah : Suami Berhemah, Isteri Peramah bertempat di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 20 September 2018.

Seminar yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JAHEIK, Dr Hasnan Hj Ramli, diadakan bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan kepada para peserta, khususnya yang telah berkahwin, tentang ilmu berkaitan memperkukuhkan lagi kerukunan rumah tangga yang menepati konsep yang disebut sebagai Mawaddah wa Rahmah.

Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Hj Nik Abdul Kadir Hj. Nik Mohamad, Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu dan Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad.

Sementara itu, tajuk ceramah yang dibincangkan pada seminar julung kali diadakan itu ialah ‘– Indahnya Berpasangan yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azhar, tajuk slot kedua ialah Suami Handsome, Isteri Owesome oleh Ustaz Mohd Suhaimi Mohamed iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK.

0I1A5846Ceramah ketiga bertajuk Sihir Dalam Rumah Tangga yang disampaikan oleh Dato’ Haji Nik Abdul Kadir.

Menurut Dr Hasnan, institusi kekeluargaan merupakan asas pembangunan sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati.

Beliau berkata kehidupan berumahtangga yang dibina perlu berasaskan nilai-nilai murni sebagaimana yang ditonjolkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana rumahtangga yang bahagia dan sempurna akan mampu menjamin lahirnya suami , isteri, ibu bapa serta anak-anak yang berkualiti.

“Setiap pasangan yang berkahwin semestinya mengimpikan satu kehidupan yang bahagia kerana rumahtangga yang bahagia menjadikan ahli-ahlinya dapat hidup dalam suasana tenang, harmoni dan selesa serta saling kasih mengasihi, hormat menghormati dan dapat melaksanakan setiap aktiviti-aktiviti rumahtangga dengan penuh kerelaan.

“Perjalanan hidup sesebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip prinsip saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lain, sentiasa memberi sokongan semasa menghadapi konflik dan saling bekerjasama dalam mneyelesaikan masalahyang dihadapi,” katanya.

Tambah beliau, kehidupan hidup berumahtangga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam menjalinkan hubungan suami isteri dan kegagalan untuk berbuat demikian akan mengundang ketegangan dan konflik.

“Oleh itu, tidak mustahil jika dikatakan bahawa krisis adalah salah satu perkara lumrah di dalam sebuah rumahtangga kerana situasi ini hanya dapat di atasi dengan kebijaksanaan suami dan sokongan daripada isteri penyayang.

“Sebagai sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk orang Islam di Kelantan, amatlah berharap para suami dan isteri agar bersama-sama mengemudikan rumahtangga ke arah mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, aman damai, disirami dengan kasih sayang, saling menghormati , saling memahami, ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul, saling mempercayai dan memberi sokongan serta dorongan kepada kebaikan dan nasihat menasihati daripada melakukan kejahatan.

Beliau berharap mudah-mudahan seminar Keluarga Sakinah pada hari ini dapat merungkai segala permasalahan yang sering menjadi punca pergaduhan dan kemelut rumahtangga sehingga menjejaskan tanggungjawab kepada pasangan masing-masing.

Dalam pada itu, En. Pauzi berkata, seminar ini diharapkan memberi kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan berumahtangga agar mereka dapat melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT dengan sebaik mungkin.

Katanya, kerukunan rumah tangga yang aman, damai dan bahagia maka staf di mana-mana jabatan pun akan menunjukkan kerja yang baik.

Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, mungkin dalam bentuk skala yang lebih besar.

“Saya percaya kerjasama yang erat antara pihak JAHEAIK dengan Pusat Islam UMK dapat dipertingkatkan dan memberi manfaat kepada kita semua,” katanya.

0I1A5913

Read 130 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 18 October 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search