Latest News

FHPK CATAT PENINGKATAN 40 PERATUS KEMASUKAN PELAJAR BAHARU SESI 2018/2019

42397388 1951930264861665 2281927050761601024 o

PENGKALAN CHEPA : Bilangan kemasukan pelajar Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menunjukkan peningkatan kepada 542 pelajar atau kenaikan sebanyak 40 peratus pada sesi semester September 2018/2019 berbanding tahun lepas iaitu 340 pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rafi Yacob, berkata, peningkatan ini adalah satu perkembangan yang baik kepada industri pelancongan dan hospitaliti yang mampu memberi manfaat serta pelbagai peluang kerjaya dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, antara faktor utama peningkatan pelajar ini adalah ekoran penambahan tawaran tempat di FHPK kerana mendapat permintaan tinggi daripada calon.

“Selain itu, peluang yang terbuka luas di industri ekoran permintaan tinggi daripada industri terhadap graduan dalam bidang pelancongan, hospitaliti dan kesejahteraan selepas mereka tamat pengajian juga menjadi penarik kepada peningkatan ini.

“Penyertaan industri dalam akademik di universiti turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman sebenar semasa belajar di universiti juga menjadi penyumbang kepada peningkatan pelajar FHPK,” katanya pada majlis perasmian program One Step Closer dan penyampaian sijil Anugerah Dekan FHPK, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 23 September 2018.

Turut hadir, Dekan FHPK, Prof. Madya Dr Ghazali Ahmad, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Dr. Roslizawati Che Aziz, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Mohd Fadil Mohd Yusof dan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan, Dr. Wan Mohd Nazdrol Wan Mohd Nasir.

Prof. Dr. Rafi menyarankan kepada FHPK untuk bekerjasama dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK khususnya dalam melaksanakan program-program kesukarelawanan, program kelab dan persatuan.

“Kerjasama ini bagi memastikan fakulti FHPK khasnya dan UMK amnya dapat melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah cemerlang dalam bidang-bidang lain serta pelajar-pelajar FHPK seimbang dalam kedua-dua bidang.

“Ini satu cabaran kepada pihak fakulti kerana pelajar FHPK perlu cemerlang dalam akademik dan bukan akademik kerana ini merupakan nilai tambah yang penting untuk pelajar dalam menempuhi sesi temuduga untuk bekerjaya dan akan meningkatkan peratusan Graduate Employability FHPK,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ghazali berkata, majlis Anugerah Dekan meraikan seramai 118 orang pelajar FHPK yang mencapai gred nilai kumulatif cemerlang (CGPA) iaitu 3.70 ke atas pada semester lepas.

Katanya, daripada jumlah 118 pelajar itu, seramai 50 pelajar adalah dari bidang Hospitaliti (SAH), 52 pelajar dari bidang Keusahawanan Kesihatan (SAW) dan 16 pelajar dari bidang Pelancongan (SAP).

Selain, majlis penyampaian anugerah dekan juga berlangsungnya program ceramah bertajuk One Step Closer Programme yang disampaikan oleh En Mohd Jamil bin Abdul Wahab iaitu Profesional Learning Fasilitator.

“Ceramah motivasi ini adalah bertujuan untuk meningkatkan semangat pelajar-pelajar FHPK untuk meneruskan kecemerlangan akademik dalam semester ini dan semester-semester seterusnya,” katanya.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

Read 277 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 3 December 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search