Latest News

SIKAP ORANG MELAYU PUNCA BAHASA MELAYU TERPINGGIR

0I1A7141

Oleh   : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto   : Al Azam Razi

BACHOK 22 November I Sikap Orang Melayu hari ini yang kurang mampu dan mapan mengurus Bahasa Melayu dalam mendepani cabaran semasa antara faktor yang mempengaruhi kedudukan Bahasa Kebangsaan itu tidak berada pada kedudukan sewajarnya.

Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, berkata, secara perlembagaan Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik dan kerana sikap orang Melayu sendiri sebagai pencipta dan pemilik bahasa ini amatlah penting.

Beliau berkata, memetik kenyataan dalam satu artikel oleh tokoh terkenal iaitu Prof. Teo Kok Seong mengatakan orang Melayulah sendiri punca menjadikan Bahasa Melayu sebagai melukut di tepi gantang.

“Malah, dalam satu lagi artikel oleh Dr. Sarjit S Gill yang menyindir bahawa segolongan orang Melayu yang ingin menjadi orang Putih.

“Cabaran kedua yang dihadapi oleh Bahasa Melayu ialah telah mula dipinggirkan dalam sistem pendidikan nasional iaitu Program DLP (Dual Language Program) yang dianggap sebagai penjelmaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dikatakan gagal dan telah ditamatkan pada 2012,” katanya pada syarahan bertajuk Budaya Membaca, Ilmu Tinggi Dalam Bahasa Melayu dan Peduli Nasib Rakyat sempena program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, di Laman Monsun UMK Bachok, pada 18 November 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Dato’ A. Aziz Deraman.

Program ini adalah anjuran PERADABAN dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kluster Penyelidikan Peradaban dan Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan dihadiri lebih 300 pelajar.

Syarahan A. Kadir Adabai adalah bertujuan memupuk kesedaran mendalam generasi muda agar mengenali tokoh terkemuka tanah air serta menghayati pemikiran, bakti dan sejarah perjuangan mereka.

Menurut Dato’ Dr. Anwar, Bahasa Melayu juga semakin kurang digunakan dalam mata pelajaran kuliah-mata kuliah di universiti-universiti awam di negara ini.

Katanya, malah universiti-universiti swasta negara ini kedudukan bahasa Melayu lebih malang lagi kerana tidak mendapat tempat langsung.

“Justeru, kerajaan hari ini termasuk pihak kerajaan tempatan perlu memberi contoh serta isyarat yang jelas dan tegas terhadap status, kedudukan dan masa depan Bahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan yang rasmi atau pun tidak rasmi.

“Apakah ada komprador dalam kalangan kita. Komprador ialah pewaris nilai kolonial yang terdiri daripada peribumi dan melaksanakan agenda neokolonilaisme secara sistematik, bukan lagi secara keganasan dan penjarahan fizikal.

“Watak-watak peniru dalam kalangan peribumi dilahirkan oleh dasar kolonial bagi kepentingan mereka sebagai penyambung warisan nilai barat untuk dikekalkan dalam kalangan peribumi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan terdapat banyak lagi cabaran yang sedang dihadapi oleh Bahasa Melayu.

“Bagaimanapun, pada syarahan hari ini saya hanya menyebut tiga perkara dan cabaran-cabaran yang nyata adalah pada kita dapat memperlihatkan jumlah buku-buku ilmu tinggi dalam bahasa Melayu kian menurun jumlahnya.

“Padahal untuk terus berkembang, bahasa Melayu mesti mempunyai kepustakaan ilmu dan persuratan yang banyak malah dibaca secara meluas.

“Kepustakaan ini mestilah memenuhi selera, minat serta tuntutan ilmu pelbagai golongan –kanak-kanak remaja dan dewasa dan kepustakaan ini mesti meliputi semua bidang dan sub bidang,” katanya.

Dato’ Dr. Anwar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaa (ASWARA), turut memberikan contoh dalam tiga dekad penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan bahasa Melayu boleh digunakan sebagai bahasa ilmu tinggi melalui pengajaran, penyelidikan, penulisan dan penerbitannya.

“Namun, UKM kemudian perlahan-lahan meninggalkan kisah kejayaan ini.

“Sementara itu, dalam pembentangan Belanjawan 2019 awal bulan ini juga tiada perhatian dan peruntukan yang disuntik untuk menyegarkan industri perbukuan negara,” katanya.

0I1A7152

Read 96 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 3 December 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search