Latest News

DELEGASI THAILAND TERPESONA PERSEMBAHAN SENI TARIAN MAKYONG

makyong 9

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Pusat Sukan dan Kebudayaan UMK

PENGKALAN CHEPA 27 November I Delegasi Thailand yang diketuai oleh Pengerusi Kumpulan Dramatari Ramayana CS Pattani, Senator Dato’ Anusart Suwanmongkol mengakui terpukau dan teruja dengan keunikan seni persembahan Makyong yang dipersembahkan oleh Kumpulan Mak Yong Bunga Emas Sri Temenggong Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di pentas utama Dewan Eksperimental, UMK Kampus Kota, 25 November 2018.

Katanya, antara keunikan seni persembahan Mak yong ini ialah keindahan cerita dan juga pakaiannya yang sangat unik serta agak sama dengan pakaian di selatan Thailand.

“Persembahannya turut diselitkan elemen pengkisahan Ramayana dalam babak pertarungan,” jelasnya.

Sementara itu aktivitis Mak Yong, Prof. Dr. Farok Zakaria, berkata delegasi seramai 10 orang daripada negara Gajah Putih itu menzahirkan rasa terpesona menyaksikan sendiri persembahan Makyong yang memiliki hubungan budaya yang sangat unik dan mempunyai persamaan dengan budaya Thailand.

makyong 5Katanya, rombongan tersebut turut disertai oleh aktivis dan penggiat seni serta pakar Ramayana di Pattani Thailand dan Kumpulan Hubungan Siam dan Princess Galyani Bangkok, Ajarn Chumpot Chuasai.

“Sebelum ini mereka hanya mendengar tentang keindahan seni persembahan Makyong Kelantan, maka dengan inisiatif yang dimulakan oleh Dato’ Anusart itu, akhirnya impian mereka menjadi kenyataan dengan menonton persembahan Makyong selama dua jam oleh kumpulan makyong UMK.  

“Delegasi itu juga berhasrat untuk mempelajari Makyong secara lebih dekat dan mendalam,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Farok yang juga mantan Pengarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) UMK, Makyong adalah satu seni persembahan warisan di negeri Kelantan yang telah dipersembahkan dalam masyarakat Kelantan sejak turun temurun.

Beliau berkata, dalam kesuraman dek kerana kekurangan kekerapan persembahannya, UMK menubuhkan Kumpulan Makyong Bunga Emas Seri Temenggung yang diketuai oleh Pegawai Kebudayaan UMK, Puan Noor Hayati Zakaria dan Puan Noor Amiera Saila Ramlee.

“Inisiatif adalah sebagai langkah pro aktif bagi mempergiatkan semula kumpulan Makyong yang turut disertai pelajar UMK dalam usaha menghidupkan semula Makyong.

“Persembahan ini menggabungkan secara kreatif tiga elemen persembahan warisan dalam satu persembahan berkonsepkan Makyong dan kelainan persembahan kali ini ialah persembahan dibuat dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Teater berkonsepkan Makyong yang telah dipentas pada kali ini adalah bertajuk KESAKTIAN yang menggabungkan secara kreatif tiga elemen seni persembahan tradisi iaitu cerita Makyong Dewa Indera, Indera Dewa, Ramayana dan juga tarian Asyik yang terkenal ketika persembahan di istana suatu ketika dahulu.

Tambah Prof. Dr. Farok, kunjungan delegasi Thailand untuk pra-tonton Makyong Kelantan adalah sebahagian daripada aktiviti tahunan delegasi kebudayaan ke wilayah selatan Thailand.

“Pada kali ini mereka telah menjejaki budaya orang Kelantan bagi membentuk satu hubungan strategik dua hala dalam bidang budaya antara Thailand dan Malaysia memandangkan Kelantan adalah jiran yang terdekat,” katanya.

Prof. Dr. Farok dan pelajar tahun dua Universiti Thaksin Songkhla Pattani, selaku penari kumpulan Ramayana CS turut membuat penampilan istimewa pada persembahan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, berharap program yang sebegini dapat diketengahkan ke negara jiran dengan mengadakan kerjasama dua hala terutamanya bagi dua negara jiran yang mempunyai persamaan budaya dan warisan.

Beliau yang hadir menyaksikan persediaan persembahan Makyong itu sentiasa akan memberi sokongan dan kerjasama kepada semua pihak yang mahu memartabatkan seni budaya dan warisan negara.

“Perkongsian budaya dengan delegasi Thai ini adalah hasil daripada keakraban hubungan dan kerjasama Prof. Dr. Farok dengan pihak yang berminat dengan persembahan Makyong di Thailand,” katanya.

makyong 3

Read 66 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 3 December 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search