Print this page

BANTUAN SARA HIDUP BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR FTKW HIDAP PENYAKIT KANSER HIDUNG

1 1

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Ustaz Binyamin Yaakob

MACHANG I Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (PIUMK) akan mempertimbang untuk mendapatkan Bantuan Sara Hidup kepada penuntut tahun empat program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Abdul Halim Mat Hassan untuk membantu meringankan penderitaan yang dialaminya.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad, berkata bantuan sara hidup itu bagi membantu meringankan perbelanjaan Abdul Halim yang mengalami penyakit kanser hidung sejak tahun 2018.

Beliau berkata, pihak PIUMK berusaha untuk pertimbangkan Bantuan Sara Hidup memandangkan beliau bergantung hidup kepada susu khas yang dicadangkan doktor dengan perbelanjaan mencecah RM700 sebulan.

Perbelanjaan tersebut agak membebankan kerana bapanya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sebanyak RM150 sebulan.

“Bantuan kewangan itu akan disalurkan terus kepada beliau secara bulanan bagi membantu beliau menjalankan rawatan dan menjalankan Latihan Industri di kediaman keluarga beliau.

“Ekoran penyakit yang dialaminya, Abdul Halim terpaksa menangguhkan pengajian Latihan Industri pada tahun akhir pengajian akibat serangan penyakit tersebut pada tahun lepas,” katanya pada Program Lawatan Mahabbah Pusat Islam, di Kampung Kok Kiak Baka, Ulu Sat, Machang, Kelantan, pada 21 Januari 2019.

Turut hadir Ketua Unit Zakat Kebajikan dan Keusahawanan PIUMK, En. Mohd Binyamin Che Yaacob dan staf PIUMK.

Pada lawatan itu, Prof. Madya Dr. Azhar telah menyampaikan bantuan zakat di bawah program zakat PIUMK.

Sementara itu, pada majlis lain PIUMK telah menyampaikan bantuan zakat kepada, pelajar tahun dua Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Adhwa Nazihah Abdullah yang menghidapi ketumbuhan di kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Penyampaian zakat turut diserahkan kepada pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Siti Nurzahira Che Tahrim, yang mengalami lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada awal tahun 2018.

Sumbangan zakat itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah PIUMK, Prof. Madya. Dr Mohd Zain Mubarak kepada Dekan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah sebagai wakil majikan beliau.

Dalam ucapannya, Timbalan Pengarah PIUMK berharap pihak bank, syarikat korporat dan persendirian bermurah hati menyalurkan dana zakat kepada PIUMK untuk memberi bantuan kepada lebih ramai pelajar dan staf UMK yang memerlukan.

2

Read 1427 times
Rate this item
(0 votes)