Latest News

PROGRAM FOOD BANK KPDNHEP DILANCARKAN DI UMK

WhatsApp Image 2019 11 19 at 5.46.58 AM

BACHOK 18 November I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi Universiti ke 21 mendapat manafaat dari program 'Food Bank Siswa' bagi melengkapkan sasaran penyertaan kesemua 20 universiti menerusi inisiaitif oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP).

Program Food Bank Siswa UMK merupakan cetusan idea oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, dengan objektif utamanya untuk menyalurkan bantuan lebihan makanan kepada penuntut yang memerlukan.

Selaras dengan hasrat tersebut , Dato’ Seri Saifuddin Nasution hari ini melancarkan Pantri Food Bank Siswa UMK bertempat di Laman Monsun, UMK Bachok, Kelantan.

Menurut Dato’ Seri Saifuddin Nasution, seramai 6,700 siswa daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) membabitkan 22 universiti awam (UA) menerima manfaat menerusi program program Food Bank Siswa yang mula dilancarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada awal tahun ini.

Beliau berkata, pelaksanaan program Food Bank Siswa ini telah mendapat sokongan daripada 430 rakan strategik penyumbang daripada pelbagai syarikat yang menyumbang pelbagai keperluan berasaskan makanan dan keperluan harian siswa.

“Inisiatif ini bertujuan menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan dan pada masa yang sama membantu meringkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh mahasiswa. Program ini juga mengalu-alukan penglibatan mahasiswa terutamanya persatuan pelajar sebagai pelaksanan program dengan berkonsepkan “Daripada Mahasiswa Kepada Mahasiswa,” katanya selepas menyempurnakan Program Siri Syarahan Kementerian dan Majlis Perasmian Food Bank Siswa UMK hasil kerjasama KPDNHEP, Yayasan Food Bank dan Food Aid Foundation.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, Pantri Food Bank Siswa UMK telah pun bermula operasinya sejak Mei 2019. Program ini telah berjaya memanfaatkan 200 pelajar UMK dari golongan asnaf dan B40 yang telah dikenal pasti serta layak menerima bantuan daripada program ini.

Katanya, program ini merupakan strategi 3 dalam 1 yang diinisiatifkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan atau kumpulan B40.

“Program ini membina ekosistem yang membolehkan masyarakat sivil dan semua pihak untuk terlibat sama dalam menguruskan isu ketidakcukupan makanan secara tersusun dan berfokus. Malah, program ini menjadi platform kepada pihak kerajaan, Universiti Awam, badan bukan kerajaan, masyarakat dan pihak korporat untuk menguruskan secara bersama.

“Food Bank Siswa khususnya, menjadi medium kepada pelajar untuk berperanan menguruskan program Food Bank secara langsung. Dalam konteks UMK, saya percaya bahawa UMK mampu untuk menguruskan program Food Bank Siswa dengan baik. UMK mempunyai sistem khusus yang menumpukan kepada pemerkasaan sistem pengurusan Food Bank Siswa, meskipun masih ada ruang yang perlu ditambah baik,” kelas beliau.

Menurut Prof. Ts. Dr. Zaliman, menerusi program ini berjaya mengatasi isu ketidakcukupan makanan berkhasiat, khususnya dalam kalangan pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah. Ini secara langsungnya dapat membantu mereka untuk dapat memberi tumpuan kepada pengajian di universiti.

Dalam pada itu, UMK bersama dengan semua pihak, termasuklah dengan KPDNHEP, untuk memastikan program ini benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
Sebelum ini, melalui jenama “Gerobok Makanan”, UMK secara konsisten menyediakan makanan untuk pelajar berpendapatan rendah di UMK. Usaha ini telah dilakukan secara bersama antara Pusat Islam, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, dan Majlis Perwakilan Pelajar UMK.

“Antara strategi yang telah dilaksanakan adalah menempatkan makanan yang diperlukan di kawasan strategik, seperti di kolej kediaman pelajar dan masjid. Juga pihak UMK membuat kunjungan ke rumah pelajar, sama ada rumah sewa pelajar UMK ataupun ke rumah ahli keluarga mereka,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat UMK

WhatsApp Image 2019 11 19 at 5.47.00 AM

Read 256 times Last modified on Tuesday, 19 November 2019 13:00
Rate this item
(0 votes)

What Our International Students Say?

Latest Update: 12 December 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search