Latest News

EMPAT RAJA SEHARI DIRAI PADA MAJLIS PERSANDINGAN PENUH ADAT ISTIADAT MELAYU

raja sehari

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KEMERIAHAN Majlis Persandingan Warisan Cik Siti Wan Kembang dan Bekwoh sempena Program Merakyatkan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Kelantan 2017, menjadi kenangan yang terukir indah buat empat pasangan Raja Sehari termasuk satu pasangan pengantin mualaf yang diraikan secara serentak pada majlis yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, Kelantan, pada 15 Disember 2017.

Program anjuran Pusat Tranformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (Inspek) itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Ketua UMNO Bahagian Bachok, TYT Dato’ Dr. Hj. Awang Adek Hussin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu Mohd Nor, wakil Setiausaha Bahagian Unit National Blue Ocean Strategy (NBOS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Siti Normazlina Azam dan Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu

Selain pengantin, hampir 500 hadirin terdiri daripada anggota keluarga dan rakan pasangan pengantin turut diraikan pada majlis yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu.

Majlis resepsi bermula jam 3.00 petang dimulakan dengan perarakan masuk keempat-empat pengantin diiringi dengan muzik tradisional Kelantan iaitu paluan kompang, rebana ubi, kertuk serta alunan muzik silat serta Raja Berangkat.

Persembahan diteruskan pelbagai aturcara yang sarat dengan adat tradisi masyarakat Melayu seperti persembahan silat, tarian asyik, majlis menepung tawar pasangan pengantin dan kemuncaknya ialah persembahan Tarian Mengadap Rebab iaitu salah ritual pembukaan seni tari Makyong.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, penganjuran program Merakyatkan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Kelantan meliputi semua aspek seperti adat, makanan dan acara kemuncak program ini ialah majlis persandingan oleh pasangan pengantin daripada golongan asnaf yang tidak mampu untuk mengadakan majlis kenduri dan persandingan.

Katanya, turut diadakan majlis berkhatan melibatkan 26 kanak-kanak membabitkan Pusat Kesihatan UMK dengan kerjasama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) yang mendapat sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai..

“Program yang berlangsung selama empat hari ini bermula pada 13 - 16 Disember 2017 tidak membabitkan peruntukan yang banyak kerana kami mengambil pendekatan NBOS ini bagi mendokumentasikan legasi kesenian, kebudayaan dan warisan Negeri Kelantan.

“Sehubungan itu, kerjasama erat antara pihak Universiti Awam (UA) iaitu UMK bersama pemimpin masyarakat serta jabatan/agensi-agensi dibawah kerajaan amatlah penting demi memastikan segala program kebajikan yang dilaksanakan dapat dinikmati serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu berkata, program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada kepada masyarakat luar mengenai tradisi pemakaian, makanan serta permainan tradisional yang menarik.

Beliau berkata, program ini berlangsung selama empat di sekitar Kampus Bachok dan kemuncak aturcara program ini adalah untuk meraikan pasangan pengantin yang terdiri daripada golongan asnaf yang tidak mampu untuk mengadakan kenduri kesyukuran.

"Aktiviti ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada pasangan kerana menjimatkan masa dan kos perbelanjaan perkahwinan kerana dilaksanakan serentak kerana pasangan pengantin ini adalah daripada golongan asnaf,” katanya

“Pelbagai aturcara menarik diadakan antaranya ialah pertandingan serunai/ flute, persembahan nyanyian lagu rakyat Kelantan (arwah Megat Nordin), Wayang Pacak Wayang kulit Rewang/ gotong royong memasak, perkhidmatan klinik gigi bergerak, aktiviti jualan, majlis khatam quran/ (pengantin), permainan rakyat, permainan gasing, sepaktakraw, persembahan kebudayaan, dikir barat dan gotong royong menumbuk dan membuat inai,” katanya.

Read 587 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 21 July 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search