Print this page

TIGA ALUMNI SME@UMK 2016 DIPILIH IKUTI KURSUS LANJUTAN SME@UNIVERSITI DI JEPUN

sme graduasi2017

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGARAH Urusan Gahara Galore Sdn Bhd, En. Nik Mohd Faiz Nik Mohamed Amin dan dua graduan alumni SME@UMK 2016 iaitu Puan Zarini Riana Zainal (Pemilik K’rai Design Sdn Bhd) serta Mohd Nizam Mohamed (Moinizone Resources Sdn Bhd) dipilih untuk mengikuti Kursus Lanjutan SME@Universiti di Jepun pada Januari 2018.

Kursus Lanjutan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau SME@Universiti di Jepun ini mula diperkenalkan sejak 2013 dengan kerjasama Pusat Sokongan PKS Jepun dan Institut Latihan PKS Tokyo, sebagai inisiatif SME Corp Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk memastikan kesinambungan program lanjutan ke peringkat seterusnya kepada para graduan SME@University di seluruh Malaysia.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Keusahawanan SME Corp, En. Zaky Moh, program lanjutan yang dikenali sebagai Advanced Course For SME @ University in Japan dilaksanakan dengan kerjasama daripada SME Support, Japan dan Tokyo SME Trainning Institute, diadakan selama enam hari di Jepun.

Katanya, kursus jangka pendek ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk membina pengalaman dan pengetahuan dari Japanese SME Support Agencies dan juga PKS Jepun.

“Program ini dijalankan secara intensif di mana para peserta menghadiri kelas modul lanjutan dan lawatan ke syarikat PKS Jepun dan platform bagi menjalinkan rangkaian perniagaan dan juga perkongsian pengalaman antara PKS Jepun dan Malaysia.

“Sejak diperkenalkan seramai 31 peserta telah dipilih mengikuti program ini dan mereka merupakan alumni SME@University dari setiap universiti yang terlibat,” katanya pada Majlis Graduasi SME@UMK 2017 anjuran Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) dengan kerjasama SME Corp Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Disember 2017.

Seramai 23 graduan SME@UMK 2017 menerima sijil pada Majlis Graduasi SME@UMK 2017 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman.

Turut hadir, Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff, Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob dan Pengarah UMK Entrepreneurship Institute (UMKEi), Prof. Dr. Razli Che Razak.

Dalam pada itu, En. Zaky Moh, berkata program SME@UMK University mula dilaksanakan bersama dengan lima buah universiti sahaja pada tahun 2011 dan berkembang kepada 10 buah universiti terkemuka (sembilan Universiti Awam dan satu IPTS) di Malaysia.

Beliau berkata, program ini telah memberi manfaat kepada 846 CEOs syarikat PKS dengan penyertaan CEO daripada syarikat PKS daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan juga pengalaman perniagaan.

“Saya amat berharap agar para peserta telah mendapat manfaat daripada kesemua modul yang telah dikongsi sepajang program ini dijalankan termasuklah modul khusus yang diperkenalkan oleh UMK iaitu Business Succession Planning.

“Program ini pastinya telah membantu para usahawan kita memperkembangkan pemahaman perniagaan terutamanya dari sudut pemasaran kreatif , strategi pertumbuhan perniagaan, rangkain perniagaan yang inovatif serta apa yang diperlukan untuk menjadi CEO bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Hassan, berkata program SME@UMK dilaksanakan bagi menangkis persepsi negatif PKS terhadap program latihan kerana banyak kajian yang dilakukan menunjukkan usahawan terutamanya PKS tidak berminat menghadiri latihan kerana ia tidak memberi kesan kepada operasi perniagaan.

Katanya, impak program ini dalam meningkatkan kualiti pengurusan PKS mungkin tidak dapat dilihat oleh graduan yang ada disini dalam jangkamasa yang singkat atau segara.

“Program SME@Universiti telah memberi manfaat kepada para peserta dan kesannya kepada para peserta boleh dilihat dalam jangka masa empat hingga lima tahun.

“Kesannya jelas melalui kajian yang dilakukan menunjukkan PKS yang kerap menerima latihan dan khidmat nasihat memiliki prestasi dan pertumbuhan yang jauh lebih baik berbanding PKS lain yang tidak menyertai SME@Universiti,” katanya.

Read 416 times
Rate this item
(0 votes)