Print this page

PROF DATO' DR HUSAINI OMAR MULA TUGAS RASMI SEBAGAI NAIB CANSELOR BAHARU UMK

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat              Foto : Al Azam Razi

DatoHusaini

PROF DATO’ DR HUSAINI OMAR memulakan tugas secara rasmi sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu pada 1 Januari 2018 (Isnin) menggantikan Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed yang bersara wajib pada 25 Disember 2017.

Pelantikan Prof. Dato’ Dr. Hussaini sebagai Naib Canselor Keempat  bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2020 diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Beliau tiba di Pejabat Canseleri yang terletak di UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa kira-kira jam 8.00 pagi  diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarbangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif.

Beliau kemudian diberi taklimat ringkas struktur dan operasi pentadbiran kampus UMK Kampus Kota  oleh Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan Infrastruktur & Pengurusan Aset), Prof. Ir. Dr. Shah Nor Basri.

Setengah jam kemudian beliau ke Pejabat Canseleri yang terletak di UMK Bachok untuk hadir mesyuarat pertama bersama pihak pengurusan UMK.

Prof. Dato’ Dr. Hussaini adalah anak kelahiran Kelantan  pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam bidang Geologi, sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di University of Leeds, United Kingdom dalam bidang sama.

2 dato nc baru 2018

Beliau kemudian meneruskan pembelajaran di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di UPM dalam bidang Kejuruteraan Sistem, sebelum memulakan kerjaya sebagai pensyarah di universiti berkenaan pada 1996.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama UPM, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Dekan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan serta Pengarah Urusan UPM Holdings.

Ketokohan beliau dalam bidang akademik, tadbir urus korporat dan kemampuan memastikan kemampanan kewangan universiti turut terserlah apabila berjaya mengenengahkan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan.

3 dato nc baru 2018

Pihak Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar diatas pelantikan sebagai Naib Canselor Baharu UMK yang bakal meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan terhadap kecemerlangan UMK dalam mencapai visi serta misi sebagai universiti berteraskan keusahawanan.

Read 430 times Last modified on Wednesday, 03 January 2018 12:47
Rate this item
(0 votes)