Latest News

PROJEK PEMBINAAN KERETAPI ECRL BAKAL UBAH EKONOMI BACHOK

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Mohd Norhafizan Muhammad

East Coast Railway Link MalaysiaPELAKSANAAN Projek Rangkaian Rel Pantai Timur atau ECRL bakal mengubah landskap pembangunan dan ekonomi di Bachok sekaligus membawa banyak impak besar khususnya kepada perkembangan pembangunan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin berkata, projek ECRL yang masih dalam pembinaan awal itu mempunyai stesen berhampiran dengan universiti yang terletak di Jelawat atau dikenali dengan nama Stesen UMK.

Beliau berkata, penduduk Bachok amat bertuah kerana terdapat sebuah stesen ECRL dibina di daerah ini yang akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan memberi manfaat besar bukan sahaja di kawasan berkenaan malah kepada perkembangan kampus UMK.

“Pembangunan ECRL akan membawa lebih ramai pelancong daripada luar yang akan menggunakan stesen keretapi di Jelawat malah dengan penambahan jumlah pelajar UMK seramai 5000 akan memainkan peranan yang besar dalam memajukan ekonomi Bachok yang akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan ECRL.

“Dengan jumlah pelajar seramai itu bukan sahaja menghidupkan suasana kampus Bachok tetapi mereka juga akan mempunyai permintaan kepada perkhidmatan dan barang-barang keperluan yang dihasilkan oleh rakyat Bachok di sekitar universiti ini,” katanya pada sesi temuramah Dokumentari Pembangunan Negeri Kelantan oleh FINAS di UMK Bachok, Tangok, Kelantan, pada 7 Januari 2018..

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab Latif, Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu dan Penolong Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penilaian Projek, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, En. Wan Suhardi Wan Sukri.

ecrl

Menurut Dato’ Dr. Awang Adek, selain projek ECRL, Bachok berpotensi besar untuk berkembang dan dibangunkan sebagai hub pendidikan di Pantai Timur menerusi perkembangan UMK dengan penambahan empat buah fakulti tidak lama lagi.

“Buat masa ini, UMK Bachok menempatkan seramai 2248 pelajar di dua buah fakulti dan dengan penambahan empat buah fakulti yang besar itu pelajar UMK dijangka akan bertambah seramai 5000 pelajar,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Dr. Awang Adek selaku Ketua UMNO Bahagian Bachok membayangkan daerah Bachok bakal bertukar wajah dalam tempoh yang singkat dengan terlaksananya projek dibawah Kerajaan Persekutuan seperti Hospital Bachok dan Tok Bali Supply Base (TBSB) di Tok Bali yang masih dalam pembinaan.

Katanya, melalui pelaksanaan pembangunan itu banyak memberi kesan positif kepada perkembangan Bachok dimana ini menjamin masa depan yang baik kepada kawasan ini dan Kelantan.

“Walaupun Tok Bali terletak di Pasir Puteh tetapi lokasinya yang bersempadanan memberi kesan positif dan impak besar kepada Bachok itu sendiri.

“Kita berharap semua pelaksanaan projek pembangunan ini akan disambut baik oleh rakyat Kelantan di Bachok dan mereka menyokong usaha kerajaan untuk memajukan Bachok terutamanya pembangunan di UMK,” katanya.

Read 1413 times
Rate this item
(0 votes)

What our Students say?

Latest Update: 17 April 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search