Latest News

Items filtered by date: July 2018 - Universiti Malaysia Kelantan

37382978 2278627152364429 5479793698877210624 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Al Azam Razi

KUBANG KERIAN 18 Julai I Pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) B muncul johan dalam acara sukan sepaktakraw Karnival Sukan MASUM Fasa I selepas menumbangkan UPM A dalam persaingan mendebarkan di peringkat akhir di Dewan Badminton, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, pagi tadi.


Kedua-dua regu UPM menepati ramalan untuk mara ke peringkat final, selepas Regu UPM A membuktikan kehebatan menewaskan regu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) B di pada perlawanan peringkat separuh akhir pertama semalam.


37337303 2278627502364394 623193101745258496 oManakala, pada separuh akhir kedua, Regu UPM B memastikan tiket perlawanan akhir untuk berentap sesama sendiri dengan menumpaskan Regu Universiti Teknologi Mara (UiTM) A.
Pada perlawanan akhir tadi, Jurulatih UPM, En. Ahmad Sufi Mohamed Hashim, menurunkan tekong utama UPM B Muhammad Ikhwan Abdul Rahman manakala Regu UPM A diwakili tekong utama, Meor Muhamad Zulfikar.


Regu UPM B yang mendominasi pertandingan berjaya menepikan kehebatan Regu UPM A dengan jumlah mata 2 – 0 sekaligus meraih pingat emas dan perak pada hari terakhir acara sepaktakraw.


Manakala tempat ketiga dimenangi oleh regu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan keempat regu UTHM B.


Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Zaliman Sauli yang diiringi Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UMK, Dr. Mohd Nazri Muhayiddin.

37409003 2278627382364406 5440436229189402624 o

Published in Latest News
Thursday, 19 July 2018 18:30

UiTM JUARA KESELURUHAN CATUR MASUM FASA I

37416123 2278625322364612 1715242554556940288 o

PENGKALAN CHEPA 18 Julai I Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara keseluruhan acara catur Karnival Sukan MASUM Fasa I apabila berjaya mendominasi semua pingat yang dipertandingkan pada perlawanan yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, petang tadi.

Pasukan catur UiTM  mempamerkan prestasi cemerlang dengan meraih pingat emas menerusi kategori Berpasukan Lelaki dan Wanita serta kategori Individu Wanita.

Pada kategori Berpasukan Lelaki, pasukan UiTM selaku juara diwakili oleh Muhd Irfan Haqqim Azhar, Muhd Aziz Farhan Noor Akbar, Fikri Salleh dan Amir Qayimm Mohd Saprin.

Manakala tempat kedua kategori Berpasukan (Lelaki) dimenangi oleh pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibarisi oleh pemain Subramaniam Sivanesan, Thasvindran Surendran, Ooi Yen Hoe dan Teo Yao Aik, yang membawa balik pingat perak.

37386779 2278625382364606 8886455564998017024 o

Tempat ketiga bagi gangsa diraih oleh pasukan catur Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang di barisi oleh Mohd Yamin Mustafar, Haikal Zharif Abdul Jamil, Muhd Faiz Sakeri dan Mohd Nor Hafiz Jamil.

Bagi kategori Berpasukan (Wanita), pasukan catur UiTM turut mencatat kejayaan manis dengan merangkul gelaran juara dengan membawa balik pingat emas menerusi barisan pemain yang terdiri daripada Nur Nabila Azman Hisham, Nur Najiha Azman Hisham, Najihah Mohd Saufi dan Anis Fariha Saleh.

Manakala pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat kedua yang memenangi pingat perak menerusi Nur Farhana Rosli, Seri Aisyah Che Hassan, Ong Jin Han dan Nur Farhana Atiqah Amir Hafidz.

Tempat ketiga bagi pingat gangsa dimenangi oleh pasukan catur UIA iaitu Nurril Syi’finatul Afifie Jamaludin, Mizan Izzati Mat Zin, Zakira Afina Zainudin dan Wan Nur Fadhilah Wan Hassan.

Sementara itu, dalam kategori Individu (Lelaki), pasukan USM meraih pingat emas yang disumbangkan oleh  Subramaniam Sivanesan, pingat perak dimenangi oleh pasukan UiTM menerusi Muhd Irfan Haqqim Azhar dan Muhd Aziz Farhan Noor Akbar, untuk pingat gangsa.

Bagi acara catur kategori Individu (Wanita) pasukan UiTM membawa balik pingat emas dan perak  menerusi gabungan barisan pemainnya iaitu Nur Nabila Azman Hisham dan Nur Najiha Azman Hisham manakala pingat gangsa diraih oleh pasukan UTM iaitu Nur Farhana Rosli.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Zaliman Sauli yang diiringi Ketua Kontingen UMK, Dr. Mohd Nazri Muhayiddin

37339606 2278624852364659 9165144121545850880 n

 

Published in Latest News

bolakeranjang

Oleh: Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 18 Julai I Universiti Sains Malaysia (USM) merangkul gelaran juara keseluruhan Skuad Bola Keranjang (Lelaki) selepas menundukkan pasukan Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) dengan jumlah jaringan 20 – 13 sekaligus membawa pulang pingat emas pada acara Bola Keranjang (3 lawan 3) di Karnival Sukan MASUM Fasa 1, pagi tadi.

Manakala tempat kedua kategori lelaki itu disandang oleh UniMAS (perak), pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tempat ketiga (gangsa) dan keempat pasukan Universiti Teknikal Melaka (UTEM).

Sementara itu, pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengungguli pasukan bola keranjang kategori wanita dengan merangkul pingat emas selepas menewaskan skuad Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan mata 10 - 9 pada perlawanan akhir sebentar tadi.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Seksyen Pembangunan Atlet dan Kecemerlangan Sukan UPM, En. Muhamad Malik Ahmad Tobias dan Timbalan Ketua Kotingen UMK, En. Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib.

Kesemua acara berlangsung di Dataran Kolej Kediaman, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

 

Published in Latest News

37280624 1849436868444339 1125251074723151872 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 17 Julai – Pasukan Taekwando Universiti Teknologi Mara (UiTM) menutup tirai hari terakhir acara taekwando dengan menambah pungutan pingat menerusi lima pingat emas, dua perak dan satu gangsa sekaligus dinobatkan sebagai juara keseluruhan sukan itu pada Karnival Sukan MASUM Fasa I 2018.

Selaku juara bertahan, skuad UiTM secara keseluruhan meraih sembilan pingat emas, dua perak dan dua gangsa daripada 16 emas yang dipertandingkan sepanjang dua hari acara itu diadakan di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, di sini.

Skuad taekwando UiTM mempamerkan aksi bertenaga apabila mendominasi hampir keseluruhan kategori yang dipertandingkan disusuli oleh pasukan Universiti Putra Malaysia (tempat kedua), manakala tempat ketiga diraih oleh pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tempat keempat pasukan Universiti Teknikal Melaka (UTEM).

Dalam pada itu, pasukan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula berjaya memenangi pingat pertamanya selaku tuan rumah dengan memenangi pingat perak menerusi Chin Sing Yee dalam kategori Welter (74 Kg – 80 kg) yang terpaksa akur dengan kehebatan pasukan UiTM pada perlawanan akhir selepas tewas dengan kiraan jumlah mata tipis iaitu 23 – 16.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kontingen UMK, En. Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib berkata, antara acara sukan yang berlangsung pada hari kedua Sukan MASUM Fasa I adalah sukan bola baling peringkat kumpulan di Arena Futsal, bola jaring di Dewan IKTBN Bachok, pertandingan catur di UMK Kampus Kota dan sepaktakraw di Dewan Badminton, USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian.

37282239 1849448525109840 1415594866842271744 o

Published in Latest News

37245034 2274638866096591 7345081137783373824 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 15 Julai I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi tuan rumah Karnival Sukan MASUM FASA 1 2018 yang bermula hari ini, iaitu 15 hingga 22 Julai 2018.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr. Mohd. Gazali Abas, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli.

37135617 2274641472762997 8657056143333392384 n

Karnival Sukan MASUM 2018 anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bersama UMK melibatkan 20 Universiti Awam dengan penglibatan 2520 orang atlet serta pegawai yang menyaksikan sebanyak tujuh acara dipertandingkan dengan menawarkan 166 buah pingat.

Antara acara yang akan dipertandingkan adalah Bola Baling, Bola Jaring, Bola Keranjang (3 lawan 3), Catur, Sepak Takraw, Taekwondo dan Silat.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Ghazali, penganjuran Karnival Sukan MASUM ini sebagai salah satu ruang yang ada untuk atlet di Universiti Awam (UA) menonjolkan potensi mereka sekaligus potensi ini nanti perlu dilihat untuk membawa atlet-atlet ini beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kejohanan ini juga merupakan salah satu medan pemilihan bagi atlet- atlet yang akan mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN yang akan berlangsung pada 10 – 21 Disember 2018 nanti di Nay Pyi Taw, Myanmar.

“Adalah menjadi harapan KPM, bahawa karnival sukan ini, menjadi pembakar semangat kepada semua untuk mempamerkan aksi terbaik untuk dipilih mewakili Malaysia ke kejohanan tersebut.

“Malah, kejayaan Malaysia terpilih sebagai penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa juga dilihat sebagai pengiktirafan kepada kejayaan atlet-atlet UA di peringkat tertinggi sebagai contoh kejayaan atlet seperti Saudari Cheong Jun Hong, mahasiswi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah muncul Juara dunia di Kejohanan Dunia FINA di Budapest pada tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan itu menjadi inspirasi kepada semua atlet yang ada di sini untuk berusaha gigih mencipta kecemerlangan di peringkat tertinggi.

Dalam penganjuran di peringkat antarabangsa Malaysia juga dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada 2018 FISU World Badminton Championship pada 15 hingga 21 Oktober 2018 di Bukit Kiara Kuala Lumpur.

“Pemilihan ini harus dijadikan satu medan terbaik untuk kita cemerlang bukan sahaja dalam menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, malah juga melahirkan atlet yang bertaraf dunia.

“Kementerian seterusnya berharap agar penganjuran kejohanan seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan kecemerlangan sukan di universiti selari dengan teras pembangunan sukan negara yang menjadikan Universiti sebagai salah satu hub melahirkan atlet berkelas dunia,” jelasnya.

Justeru, Dato’ Dr. Mohd Ghazali menyifatkan bakat yang telah digilap diperingkat sekolah dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tetapi juga meneruskan kerjaya profesional dalam bidang sukan yang dipilih.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, UMK buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi Karnival Sukan MASUM Fasa 1/2018 setelah 10 tahun ditubuhkan.

Katanya, karnival ini adalah salah satu temasya sukan yang terbesar dan sentiasa dinantikan kemeriahannya oleh setiap mahasiswa/mahasiswi UA di seluruh negara.

“Walaupun UMK merupakan Universiti yang paling muda dengan pelbagai kemudahan prasarana yang masih banyak perlu dibangunkan namun ianya tidak menghalang UMK untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebagai tuan rumah bagi temasya yang penuh bermakna pada kali ini.

“Karnival ini bukan sahaja menarik minat warga universiti awam bersukan malah dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk diserapkan sebagai pelapis atlet peringkat kejohanan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berharap menang ataupun tewas dalam sesuatu pertandingan atlet dapat menerimanya dengan hati yang terbuka kerana adat pertandingan dan kita hendaklah bermain dengan penuh semangat kesukanan.

“Selain itu semangat kesukanan yang tinggi dikalangan atlet juga dapat melatih diri para atlet untuk mempunyai minda yang terbuka dan sanggup menerima dan memberi respon dalam pelbagai situasi,” katanya.

37252265 2274638912763253 4194374665096921088 n

Published in Latest News

37045757 1844154542305905 219606402308505600 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 15 Julai I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meletakkan sasaran lima pingat emas pada saingan Karnival Sukan MASUM FASA 1 2018 yang akan berlangsung pada 15 hingga 22 Julai 2018 bertempat di UMK Kampus Kota dan beberapa venue di sekitar Kelantan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, sasaran itu bersandarkan kepada pencapaian kontingen dalam beberapa acara sukan yang dipertandingkan dan kelebihan UMK selaku tuan rumah.

Beliau berkata, penyertaan UMK pada MASUM Fasa 1 2018 ini melibatkan 20 buah Universiti Awam (UA) di seluruh Negara bagi acara Bola Baling, Bola Jaring, Taekwondo, Silat dan Catur yang melibatkan seramai 67 atlet dan 20 pegawai.

“Saya yakin dengan kemampuan atlet menerusi Ketua Kontingen UMK, Dr. Mohd Nazri Muhayiddin yang mempamerkan prestasi tinggi pada sesi latihan di bawah bimbingan jurulatih bertauliah.

“Saya juga percaya dengan penganjuran kejohanan MASUM 2018 dan UMK sebagai tuan rumah menjadi penanda aras bagi UA serta UMK,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Karnival Sukan MASUM Fasa I 2018 di Dewan Eksperimental, UMK Kampus kota, baru-baru ini.

Tambah beliau, penganjuran ini juga mencatatkan sejarah pada universiti kerana diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah memilih UMK sebagai venue pertama MASUM 2018 pada tahun ini.

“Karnival Sukan MASUM 2018 adalah platform terbaik bagi satu acara sukan pelajar di UA yang menjadi tumpuan untuk beberapa acara sukan terpilih untuk dipertandingkan bagi menyediakan atlet yang cemerlang serta berpotensi untuk bertanding di kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kejohanan MASUM 2018 pada kali ini membabitkan tujuh acara sukan dengan penyertaan seramai 1,200 atlet daripada 20 UA daripada seluruh negara,” katanya

Published in Latest News
Wednesday, 11 July 2018 16:57

251 STAF CEMERLANG UMK TERIMA ANUGERAH

apc2017 1

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi & Ab Halim

PENGKALAN CHEPA 11 Julai I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraikan 251 staf akademik dan bukan akademik dengan memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan sepanjang tahun 2017 pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2017 di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, pada hari ini.

Seramai 103 staf telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 38 staf menerima Anugerah Gemilang Universiti (AGU) dan 102 staf penerima Anugerah Jasa Universiti (AJU).

Manakala enam staf dipilih penerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) dan dua staf menerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Dalam pada itu, Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) telah dimenangi oleh Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu bagi kategori bukan akademik manakala Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) menerima AKNC kategori akademik.

Masing-masing membawa hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000.00 dan sijil penghargaan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar serta Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu

Prof. Dato’ Dr. Husaini, berkata pihak UMK menggariskan tiga aspek penting yang harus diberi penekanan dalam usaha untuk menggerakkan Universiti ke arah kecemerlangan.

Beliau berkata, tiga aspek utama yang digariskan adalah peningkatan produktiviti untuk memenuhi kehendak pelanggan.

“Produktiviti sering dikaitkan dengan konsep kecekapan, keberkesanan dan kualiti, ini kerana sesebuah organisasi dikatakan produktif apabila dapat menggunakan segala sumber yang diperuntukkan kepadanya dengan cara yang paling optimum dan cekap.

“Keberkesanan sesebuah organisasi pula ditentukan sama ada hasil atau perkhidmatan yang diberikan dapat memenuhi ekspektasi stakeholder atau pemegang taruh,” katanya.

Justeru itu, pengurusan universiti hendaklah mengambil langkah-langkah penambahbaikan ke atas faktor-faktor yang menyumbang kepada produktiviti iaitu tenaga manusia, sistem prosidur kerja, struktur organisasi, gaya pengurusan, persekitaran kerja, teknologi, bahan dan modal.

Tambah beliau, aspek kedua ialah Modal Insan Berkualiti iaitu sumber manusia merupakan faktor yang paling penting dalam peningkatan produktiviti sesebuah organisasi.

“Ini kerana struktur dan sistem yang mantap serta kecanggihan teknologi belum tentu dapat menjamin kejayaan sesebuah organisasi jika sumber manusia organisasi berkenaan tidak dilengkapi dengan kepakaran dan kemahiran yang sewajarnya,” jelas beliau.

Oleh demikian, setiap staf yang berkualiti dan berdaya saing perlu terlebih dahulu memahami dan menghayati visi dan misi organisasi masing-masing untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

“Kita seharusnya mempunyai visi, misi, strategi dan nilai yang dikongsi bersama ke arah membentuk UMK sebagai organisasi yang berprestasi tinggi.

“Sehubungan itu, setiap staf UMK perlu mempunyai ilmu berpengetahuan dan berkemahiran serta bersedia meningkatkan kecemerlangan melalui pembelajaran berterusan,” katanya.

Manakala, aspek ketiga ialah Peningkatan Kualiti iaitu adalah aspek utama menjamin produktiviti yang dihasilkan menepati kehendak stakeholder kerana kualiti dalam penyampaian bermaksud sesebuah organisasi mempunyai satu sistem yang konsisten untuk menghasilkan sesuatu produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan.

“Sehingga kini, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh pihak UMK untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan di semua jabatan termasuk dalam sistem penyampaian perkhidmatan cekap dan berkesan amat dituntut oleh semua’’stakeholder’’ Universiti.

“Bagi menghadapi cabaran ini, semua kakitangan UMK perlu sentiasa menganalisis pencapaian dan melakukan penanda arasan (benchmarking) terhadap pencapaian sekarang,” katanya.

Justeru, usaha UMK mendapat pensijilan MS ISO secara menyeluruh di semua jabatan, merupakan satu strategi yang akan membuktikan bahawa UMK sentiasa berpandangan jauh dan bersedia untuk bersaing di peringkat global sekaligus membuktikan bahawa kualiti adalah penting dalam apa juga aspek, termasuk pengurusan pengajian tinggi.

“Berdasarkan kepada penekanan Universiti untuk meningkatkan dan mendapatkan pengiktirafan dari aspek kualiti, Universiti pada tahun ini telah menjadikan peningkatan dan pengiktirafan kualiti tadbir urus Universiti dijadikan sebagai salah satu daripada KPI,” jelasnya.

Dalam pada itu, En Pauzi, berkata usaha merancakkan dan melaksanakan agenda pembangunan serta mengejar aspirasi Universiti harus melibatkan seluruh warga kerja secara lebih holistik bagi tahun-tahun mendatang.

Katanya, adalah penting bagi semua staf menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi, meningkatkan pengetahuan dan kepakaran, mengutamakan kualiti kerja yang tinggi, berdaya saing dan juga melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berintegriti.

“Nilai insaniah yang tinggi dalam diri staf akan dapat memastikan usaha UMK mencapai sasaran yang telah digariskan dalam Hala Tuju dan Pelan Strategik Universiti dijayakan dengan berkesan.

“Saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan semua akan terus memberikan komitmen terbaik seterusnya menjadi role model kepada seluruh warga kerja Universiti sekaligus meneruskan kecemerlangan dan jadikannya sebagai budaya kerja dalam melaksanakan tugas pada setiap masa,” katanya.

36923452 2270094553217689 336450214502072320 o

Published in Latest News

kik18

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Pejabat Pendaftar UMK

BACHOK 9 Julai I Kumpulan Medixin yang mewakili Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) daripada Pejabat Pendaftar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkul pingat emas pada Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur 2018, yang berlangsung di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang, pada 4 hingga 5 Julai 2018.

Kumpulan Medixin meneruskan kecemerlangan merangkul pingat emas kali kedua pada konvensyen tahunan anjuran Malaysia Productivity Corporation (MPC) menerusi projek Apps UMK yang dibangunkan untuk membantu Unit Promosi Universiti bagi mengurangkan masa dan kos percetakan bahan promosi.

Ketua Kumpulan Medixin, En, Mohd Zulfadli Mat Husin, berkata, idea projek pembangunan aplikasi ini penting untuk dibangunkan kerana sebelum ini Unit Promosi Universiti kerap menjalankan aktiviti promosi menggunakan pelbagai bentuk bahan cetakan promosi yang tidak efektif dan tidak seragam.

Katanya, melalui pembangunan platform ini Unit Promosi dapat mengurangkan kos berjumlah RM100 ribu setahun daripada kos sebenar percetakan bahan promosi.

“Secara tidak langsung, melalui penggunaan apps ini dapat menyumbang kepada pengurangan kos percetakan bahan promosi yang mengalami peningkatan pada setiap tahun,” katanya.

Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur tahun ini disertai oleh 44 kumpulan daripada 22 organisasi seluruh wilayah pantai timur dan melalui produk inovasi yang dibangunkan berjaya menghasilkan kos penjimatan berjumlah sekitar RM83.5 juta.

Menurut Mohd Zulfadli, Kumpulan Medixin terdiri daripada sebahagian besar ahli kumpulan tahun lepas dan diselia oleh fasilitator Dr Arbaiah Abd Razak serta pegawai dan staf daripada bahagian-bahagian di Pejabat Pendaftar.

Beliau berkata, selepas kejayaan ini Kumpulan Medixin seterusnya akan memberi fokus kepada persediaan untuk Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam dan peringkat Dalaman UMK yang dijadualkan diadakan pada bulan Ogos nanti.

“Penyertaan Medixin dalam konvensyen Team Excellence ini merupakan kesinambungan langkah peningkatan produktiviti Universiti serta pembudayaan kualiti tempat kerja selain menjenamakan imej dan reputasi UMK kepada masyarakat luar.

“Adalah menjadi harapan kumpulan kami agar aplikasi yang dibangunkan ini mempunyai potensi cerah pada masa depan serta bermanfaat kepada Universiti selari dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya.

kik181

Published in Latest News

pereka

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

BERINSPIRASIKAN elemen Cik Siti Wan Kembang pada rekaan busana berjaya membawa tuah kepada pelajar Tekstil Fesyen, Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW), Wan Nur Nisa' Nabihah Mohd Sukri apabila dinobatkan pemenang Anugerah Koleksi FINALE Terbaik sekaligus memenangi pingat emas pada Grand Finale 2018 bersempena Program Exhibition and Assesment Day Kali Ke 13 (XAD XIII).

Manakala tempat kedua dimenangi oleh Nur Syahirah Isma Rosman dan tempat ketiga Nur Farhanah Mohd Yusoff, masing-masing membawa balik pingat perak dan gangsa berserta sijil penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.

Konsep busana yang ditonjolkan oleh Wan Nur Nisa dilihat begitu menyerlah dengan paparan berkonsepkan lagenda agung Negeri Kelantan yang terkenal dengan keberanian dan kelembutan sekali gus mengalahkan 38 peserta lain.

Wan Nur Nisa’ bijak bermain dengan warna dari rona ultraviolet gelap dimana warna gelap dipilih dengan menerapkan elemen sejarah The Dark Side of Cik Siti Wan Kembang iaitu menceritakan kisah keperibadian puteri raja itu sebelum memeluk agama Islam.

busana

Beliau menggelarkan rekaan busana kreatif itu dengan nama The Spiritual Journey of Cik Siti Wan Kembang sebagai inspirasi untuk mengangkat keperibadian raja yang tersohor di zaman pemerintahan Raja-Raja Melayu Kelantan.

Menurut Wan Nur Nisa, Pertandingan Tekstil dan Fashion (Texfas) sempena XAD XIII diadakan bertujuan memberi pengikitirafan terhadap penghasilan karya / produk berasaskan projek penyelidikan tahun akhir (Final Year Project) yang diadakan di Laman Monsun, UMK Bachok, Kelantan, pada 25 Jun 2018.

Katanya, pemilihan busana bertemakan Cik Siti Wan Kembang adalah bertujuan untuk memartabatkan sejarah negeri Kelantan kepada masyarakat khususnya pelancong dari dalam dan luar negara sekali gus dapat memperkenalkan lagi Kelantan di mata dunia.

“Saya juga meletakkan motif ketam guri sebagai motif mampu memberi kelainan pada batik itu sendiri tambahan pula pada hari ini kita dapat lihat banyak motif batik yang digunakan adalah sama sahaja.

“Justeru, untuk mencari kelainan dan identiti tersendiri saya mengambil unsur-unsur sejarah dan menerapkan ukiran tradisional Kelantan dalam menghasilkan batik sekali gus ia dapat menambah nilai pada batik itu sendiri,” katanya.

Menurut Wan Nur Nisa, rekaan busana menerapkan unsur dari motif ukiran kayu iaitu motif ketam guri kerana lazimnya corak atau motif itu banyak digunakan pada ukiran kayu di Kelantan.

“Tambahan pula, ketam guri, iaitu sejenis tumbuhan, dipercayai memiliki pelbagai khasiat termasuklah menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

“Pada pemilihan material kain, saya menggunakan fabrik yang bersifat ringan dan berangin seperti fabrik sifon dan crinkle silk kerana ia bertepatan dengan konsep koleksi yang diketengahkan iaitu cruise collection .

Wan Nur Nisa juga menitik beratkan soal keselesaan dimana rekaan pakaian ini bersifat semi casual dan sesuai untuk pakaian santai atau majlis rasmi.

Dalam pada itu, kejayaan memenangi pingat emas tidak semudah itu kerana cabaran untuk menghasilkan rekaan sudah pastinya terpaksa meredah halangan seperti pemilihan rona warna yang dikehendaki kerana kesukaran untuk mendapatkan warna yang bersesuaian.

36272079 1815928451795181 75893991970701312 o

Selain itu, bagi memastikan busananya itu menepati konsep pakaian sebenar Cik Siti Wan Kembang beliau terpaksa terbang ke Songkla, Thailand untuk mendapatkan fakta sejarah lagenda itu.

Wan Nur Nisa berhasrat membuka perniagaan dengan menggunakan jenama sendiri iaitu Nisa Sukri mezahirkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menyokongnya sehingga berjaya memperoleh kejayaan ini.

“Saya juga berterima kasih kepada tulang belakang disebalik kejayaan ini iaitu Pensyarah FTKW, Dr. Hanisa Hassan yang banyak mengajar saya mengenai dunia batik dan fesyen itu sendiri.

“Selain itu, pengasas Ruzz Gahara, Nik Faiz Nik Amin adalah sumber inspirasi saya dan antara individu yang amat saya kagumi khususnya dalam industri fesyen batik yang telah berjaya membawa batik ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Published in Latest News

36268075 2256229647937513 1288326872668569600 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi dan FTKW

BACHOK 26 JUN – Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan (FTKW) meraikan 480 siswa/wi tahun akhir dengan memberi pengikitirafan terhadap penghasilan karya / produk berasaskan projek penyelidikan tahun akhir (Final Year Project) yang dipamerkan dalam program Exhibition And Asessment Day kali ke 13 (XAD XIII) yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, telah menyempurnakan perasmian XAD XIII yang berlangsung selama tiga hari, pada 25 Jun 2018.

Hadir sama, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan dan Penilai Profesional Jemputan, Pengurus Saluran Astro Citra-Kirana, En. Amal Ziaq Nawawi, Ikon Fesyen, Datin Mimi Waheeda Yusop, Ahli Akademik Prof Madya Dr. Hariri Abdullah daripada Majlis Rekabentuk Malaysia, Dr Zaimi Sahibil daripada UMS, Dr Deny Ariyanto (Universitas Sebelas Maret, Indonesia) dan Mantan Dekan Fakulti Senibina dan Ekistik, Prof. Madya Ab Aziz Shuaib.

Selain itu, turut dihadiri Pengurusan Tertinggi UMK, panel penilai jemputan lokal dan antarabangsa, ibu bapa, pelajar FTKW 1, 2, 3 & 4, pensyarah dan staf UMK.

Pada majlis itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini turut menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik, Grand Finale 2018 & Majlis Sambutan Raya Aidilfitri 1439 H Warga Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan (FTKW), UMK.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata dalam ucapan perasmian XAD XIII, FTKW melalui slogannya iaitu pemerkasaan warisan menerusi teknologi kreatif dan keusahawanan amat bersesuaian dengan matlamat universiti sebagai universiti keusahawanan.

Katanya, melalui dua program iaitu Program Teknologi Kreatif dan Program Pengajian Warisan telah bergerak seiring dengan aspirasi universiti untuk mengangkat kedua-dua bidang berkenaan melalui keusahawanan.

“Bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan pihak fakulti telah melaksanakan Student Start Up Company menerusi Centre of Acceleration (CAC) yang berperanan membimbing dan melatih pelajar untuk mewujudkan syarikat sendiri dengan mengangkat industri kreatif sebagai bidang yang mampu menyediakan peluang pekerjaa apabila bergelar graduan kelak.

“Menerusi pewujudan Student Start Up Company, FTKW telah berjaya menjana pendapatan mencecah RM30,453,25 sehingga Jun 2018 melalui 150 buah syarikat milik pelajar,” katanya.

Tambah beliau, melalui inisiatif ini, beberapa syarikat berkenaan telah berjaya mewujudkan pekerjaan dalam bidang industri kreatif dan diiktiraf di peringkat nasional menerusi program e-GHI dibawah MDEC.

“Pihak Universiti berharap perkara ini dapat membantu dalam mengurangkan kebergantungan graduan kepada pasaran pekerjaan yang amat tinggi persaingannya,” jelasnya.

Menurut Prof. Madya Ahamad Tarmizi, anugerah tahunan program Exhibition and Assessment Day atau (XAD) ini merupakan program akademik bagi penilaian akhir yang wajib dihadiri dan diikuti oleh setiap pelajar-pelajar di FTKW setiap akhir semester dan setara dengan peperiksaan akhir.

Beliau berkata, pada XAD XIII 2018, pihak FTKW memperkenalkan satu Anugerah Pereka Terbaik Elektif Bidang Pengajian dan dua Anugerah Tokoh Keusahawanan Kreatif serta tiga Anugerah Siswa Keseluruhan Terbaik yang pertama kali diperkenalkan sejak penubuhan fakulti pada 2006.

“Turut diperkenalkan ialah tiga anugerah utama iaitu Anugerah Emas, Perak Dan Gangsa bagi peragaan fesyen rekaan siswa siswi FTKW UMK pada Program Grand Finale 2018.

“Pada malam ini, semua penerima anugerah dinilai oleh juri profesional dari kalangan sektor industri kreatif dan ahli akademik di peringkat antarabangsa dan tempatan yang dijemput khas untuk menilai peragaan fesyen mencapai tahap piawaian industri,” katanya.

Tambahnya, menerusi program XAD juga berjaya mencungkil dan mempraktikan nilai kreativiti serta keusahawanan bagi pelajar Jabatan Teknologi Kreatif dan warga FTKW secara amnya bagi memberi peluang kepada pereka muda untuk menghasilkan serta mempamerkan produk akhir rekaan mereka yang eksklusif, sofistikated dan unik kepada komuniti dalam dan luar FTKW.

Justeru, XAD menjadi platform untuk mempamerkan bakat dan rangkaian diantara para pelajar dalam setiap bidang pengajian di FTKW dalam industri Kreatif di Malaysia.

“Selain itu, memberi pendedahan dan melatih pelajar untuk berhadapan dengan situasi sebenar kerjaya sebagai usahawan yang melibatkan sesuatu rekaan di peringkat Universiti,” jelas beliau.

36343660 2256229671270844 3338771378202476544 n

Published in Latest News
Page 1 of 12

What our Students say?

Latest Update: 21 July 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search