Latest News

Items filtered by date: May 2017 - Universiti Malaysia Kelantan

programbakti

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK)) menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM50,000 daripada Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) menerusi program Dermasiswa Universiti BAKTI.

Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor menyerahkan mockup chequekepadaNaib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed pada majlis yang berlangsung di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, Kuala Lumpur, pada 31 Mei 2017.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat BAKTI, Datin Sri Dato' Sri Khamarzan Ahmad Meah,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan

Pada majlis sama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut menerima sumbangan sebanyak RM50,000.


Sumbangan  Program Dermasiswa Universiti anjuran BAKTI itu diadakan setiap tahun bagi tujuan kebajikan untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar agar mereka fokus pada pembelajaran disamping bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk  mencapai taraf pembelajaran lebih baik dan memperoleh keputusan cemerlang.

Seramai 15 pelajar daripada UMK dan 10 pelajar USIM menerima RM300 setiap seorang.

Pada tahun lepas, BAKTI menyumbang RM50,000 untuk tujuan sama kepada pelajar yang memerlukan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Beberapa universiti lain juga menerima sumbangan daripada Bakti sejak 2006 antaranya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley                   Foto : Aiman Syazwan

beritaemas

SERAMAI 25 pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mampu meraih pulangan sebanyak RM3,200 hasil mendulang emas selama tiga hari ketika menjalankan program Kajian Lapangan Misi Mendulang Emas Secara Tradisional di Kampung Perasu, Sungai Emas, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.

Biarpun kali pertama diberi pendedahan teknik mengayak atau mendulang emas secara tradisional menggunakan kayu banir yang dipahat dan kuali tetapi kebanyakan pelajar langsung tidak kekok untuk mencuba berikutan keseronokan melihat butir-butir emas yang diperolehi.

Cubaan pertama itu bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri bagi mahasiswa dan mahasiswi UMK, malah mereka tidak sabar untuk mendulang sebaik sahaja tiba di lokasi selepas menempuh perjalanan yang mencabar kira-kira hampir empat jam perjalanan daripada UMK Kampus Bachok ke Kampung Perasu, Gua Musang.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan FTKW, En.Mohd Aswawi Isa, ekspedisi kajian lapangan mendulang emas secara tradisional di kawasan di Gua Musang adalah sebagai pendedahan kepada pelajarnya untuk mereka merasai sendiri kerja-kerja mendulang emas secara moden dan tradisional iaitu menggunakan kuali dan dulang yang diperbuat daripada kayu banir.

Katanya, kaedah itu adalah warisan turun-temurun dan melalui aktiviti ini dapat  kami memelihara dan memulihara warisan alatan tradisional serta penerokaan kawasan penyelidikan baharu berdasarkan kajian lapangan pelajar dibawah bimbingan pensyarah untuk menganalisis dan menghurai sumber alam yang terdapat di Negeri Kelantan.

beritaemas3“Ternyata misi julung kali ini berjaya diadakan kerana para peserta yang menyertai program selama tiga hari dua malam itu didedahkan teknik mendulang emas secara tradisional yang sebelum ini tidak pernah mereka pelajari.

“Sejak tiga hari berada disini, kami tidak menyangka telah dianugerahkan rezeki walaupun kali pertama mencuba dan memperoleh beberapa gram emas dengan anggaran harga sebanyak RM3,200," katanya.

Turut menyertai program ini ialah 10 tenaga pengajar FTKW dan 10 sukarelawan dari Kelab Kembara 4x4 Kelantan.

Dalam pada itu, En. Mohd Aswawi, berkata, program ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar supaya dapat meningkatkan keupayaan diri untuk menggunakan seni nilai tradisional dalam rekabentuk produk dan mempunyai kesedaran tentang nilai estetika dan sumber asli.

Katanya, kajian ini juga merupakan program akademik bagi penilaian tugasan akhir pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan wakil pelajar bagi kursus CFT 1032 Rekabentuk Seni Tradisional yang bertujuan untuk membantu pelajar menganalisis , menghurai serta mendapat menilai konsep rekabentuk seni tradisional negara.

“Sepanjang program itu, pelajar diajar oleh fasilitator berpengalaman dengan cara mengesan jenis tanah yang berpotensi serta teknik melenggok dulang bagi mengasingkan logam berharga daripada batuan dan unsur lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar FTKW, Wan Nur Atikah Wan Ruslee, 21, menjadi pelajar pertama menemui emas walaupun pertama kali mencuba selepas mendapat bimbingan daripada penduduk kampung yang menjalankan aktiviti sepenuh masa mendulang emas.

“Saya amat teruja selepas beberapa minit mendulang berjaya menemui butir logam berharga itu yang dianggarkan bernilai RM50.

“Menurut pengalaman pendulang emas nilai emas saya temui ini boleh cecah RM50. Buat masa ini, saya tak bercadang untuk jual, saya nak simpan sebagai kenangan,” katanya.

beritaemas2

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat               Foto : Fakulti Sains Bumi

KajianGeosains

KUMPULAN penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mengenalpasti 30,000 hektar hutan membabitkan dua lokasi di Gua Musang termasuk Taman Negara untuk membuktikan kewujudan hidupan haiwan pra sejarah berikutan penemuan beberapa kesan fosil purba dipercayai berusia lebih 500 juta tahun.

KajianGeosains3Lokasi kesan populasi haiwan pra-sejarah yang ditemui  itu membabitkan Hutan Simpan Bukit Hantu seluas 23,400 hektar dan sekitar lokasi lain seperti Pancur Tikam, Pancur Peneram serta Panchur Chelah seluas 8,000 hektar.

Ketua Jabatan GeoSains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Encik Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, sebahagian kesan fosil itu tersebut didapati dalam kawasan perlindungan contohnya di Taman Negara dan hutan simpan berhampiran yang dikaitkan dengan hidupan zaman Jurassic.

Beliau berkata, hasil penemuan itu adalah susulan  daripada tinjauan dan kajian geosains program Geo Mapping International 2016 yang diadakan selama 12 hari di kawasan hutan Gua Musang, pada 28 Mac hingga 8 April 2017.

KajianGeosains1

“Pada program kajian itu, para penyelidik turut berjaya mengenal pasti dengan lebih tepat bahawa struktur batuan di kawasan penemuan objek berusia 400 sehingga 500 juta tahun itu mempunyai bentuk muka bumi sama di kawasan penemuan fosil dinosaur di Wilayah Khon Khen, Thailand beberapa bulan lalu.

Katanya, selama beberapa hari menjalankan kajian kumpulan kami berjaya menemui fosil yang baharu iaitu  fossil moluska dari spesies Posidonia Kedahensis pada batuan batu lumpur karbonat daripada formasi Rabong di Kampung Pulai dalam skala tempoh usianya sekitar 241 sehingga 237 juta tahun yang lampau.

“Selain itu, pihak kami juga menemui fosil pada batu Kapur formasi Gua Musang yang merupakan fosil Ekinodermatadari spesies Crinoid yang hidup kira-kira 250 juta tahun yang lampau.

“Menerusi penemuan ini para peserta juga menjelajah kawasan lain yang berpotensi  kemungkinan untuk menjumpai sebahagian fosil yang membuktikan bahawa Kelantan turut menjadi tempat hidupan prasejarah,” katanya.

KajianGeosains2

Program Geo Mapping International 2017 membabitkan penyertaan seramai  80 pelajar yang dibahagikan kepada 12 kumpulan untuk menjalankan kajian di kawasan lapangan seperti Kampung Renok, Subong, Bandar lama Gua Musang, Kundur, Lepan Jaya, Mentara Jaya, Pulai, Batu Puteh dan sebagainya.

Katanya, peserta adalah terdiri daripada  kalangan pelajar yang mengambil jurusan Geosains Tahun Dua dan pelajar jurusan geologi daripada universiti tempatan dan luar negara di sekitar Asia Tenggara iaitu daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Padjajaran (UNPAD) Indonesia dan Universiti Teknologi Bandung (ITB) Indonesia.

KajianGeosains4

“Objektif penganjuran aktiviti ini adalah untuk pertukaran ilmu pengetahuan  atau kefahaman akademik yang berjaya  diwujudkan antara mahasiswa-mahasiswi UMK dengan universiti luar kerana setiap peserta akan diberi tugasan yang berkaitan subjek asas pemetaan untuk dipelajari.

“Selain itu, sepanjang  kajian tentang batuan dijalankan para peserta turut menemui  mineral dan fosil yang baru termasuklah penemuan penting seperti deposit mineral logam besi dan manganese, indikasi deposit emas, morfologi dolina, gua-gua batu kapur, tanda-tanda lubang tinggalan purba dan fosil,” jelas beliau.

Tambah En. Arham Muctar, pada hari terakhir, para peserta turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan erat antara pelajar dengan penduduk sekitar Gua Musang.

“Antara aktiviti yang diadakan seperti sukaneka, pertandingan mewarna, senamrobik dan aktiviti gotong-royong bersama-sama penduduk Kampung Batu Papan,” katanya.

KajianGeosains5

Program International Geomapping Gua Musang (IGGM) merupakan program tahunan di bawah kelolaan Jabatan Geosains sebagai salah satu kerja lapangan untuk subjek Asas Pemetaan Geologi.  

Menurut En. Arham Muctar, program ini adalah untuk pelajar yang mengambil jurusan Geosains untuk memenuhi keperluan enam puluh hari kerja lapangan dan justeru program ini pad masa sama  untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa/wi terhadap pemetaan geologi serta mengaplikasikan di dalam kerja lapangan ini.

Program ini juga bertujuan mengkaji morfologi kawasan Gua Musang dan mengemaskini peta geologi kawasan Gua Musang memlalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.

KajianGeosains6

Published in Latest News

kik2017

KUMPULAN Medixin daripada Jabatan Pendaftar muncul johan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), bertempat di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, baru-baru ini.

Kemenangan menerusi kategori utama itu membolehkan Kumpulan Medixin membawa pulang geran daripada pihak universiti bernilai RM10,000, berserta trofi, sijil dan hadiah iringan.

Manakala tempat kedua, dimenangi oleh Kumpulan Adrenalin daripada Pejabat Pengurusan Infrastruktur dan Aset (PPIA) yang membawa pulang geran berjumlah RM7,000 dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Legasi 19 daripada Pejabat Perpustakaan Dan Pengurusan Ilmu (PPI) yang berjaya membawa pulang geran berjumlah RM5,000, piala dan sijil.

Sementara itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang diwakili oleh kumpulan Wisdom, turut menyerlah pada KIK 2017 apabila menggondol Anugerah Persembahan Terbaik manakala Timbalan Pendaftarnya, Puan Alifah Adnan membuat kejutan muncul sebagai pemenang Anugerah Fasilitator Terbaik.

Dalam pada itu, Kumpulan Adhoc daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) memenangi Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Visual Terbaik dimenangi oleh Kumpulan 4Rest daripada gabungan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Agro Park.

Manakala, Penolong Pendaftar, Pejabat Pentadbiran UMK Kampus Jeli, En. Azzhar Mohd Nawi daripada Kumpulan Try N Error pula membuat kejutan apabila muncul sebagai pemenang Anugerah Pembentang Terbaik KIK 2017.

Menurut wakil kumpulan Medixin, kemenangan itu adalah menerusi idea menghasilkan sistem pengurusan cekap iaitu E-Medical yang merupakan sistem yang telah dibangunkan sebagai akses untuk staf mendapatkan rawatan perubatan di mana-mana klinik panel UMK yang berdaftar.

Katanya, melalui sistem E-Medical, pengguna atau warga UMK mendapat manfaat daripada kelebihan ini yang memudahkan penyimpanan rekod maklumat staf yang mendapatkan rawatan.

“Staf yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik panel tidak perlu lagi menggunakan buku rawatan sebaliknya hanya perlu menunjukkan kad staf atau kad pengenalan/tanggungan sebagai pengenalan diri,” katanya.

Sebanyak 14 kumpulan yang bertanding di peringkat akhir konvensyen itu dimana proses penghakiman diketuai oleh Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Negeri Kelantan dan juri-juri profesional.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd. Osman berkata, manfaat daripada penganjuran Konvensyen KIK 2017 adalah UMK dapat memperkenalkan sistem dan cara kerja baru yang boleh menjana kecemerlangan organisasi melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai (value creation).

Katanya, penghasilan inovasi dan kreativiti yang lahir daripada kumpulan KIK universiti itu juga memberi impak besar kepada universiti menerusi penjimatan kos operasi yang dicatatkan secara terkumpul daripada kesemua 15 kumpulan KIK iaitu sebanyak RM 1,276,476.06.

"Dengan kepakaran dan pelbagai input yang dihasilkan kita dapat mengurangkan kos perbelanjaan operasi dan pengurusan universiti,” katanya.

Kumpulan KIK yang memenangi Konvensyen pada kali ini akan diberi peluang untuk mewakili UMK dalam konvensyen KIK peringkat Universiti Awam pada tahun ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Selain itu, pemenang juga berpeluang untuk menyertai Konvensyen Peringkat Wilayah Anjuran MPC dan pelbagai pertandingan lain.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat Foto : Al Azam Razi

BukuPDatu

PENASIHAT Sosio-Budaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, berhasrat untuk membawa hasil kajian dan penyelidikan oleh Kluster Warisan dan Peradaban UMK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  berkaitan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD) kepada Kerajaan Pusat memandangkan kawasan itu kaya dengan khazanah warisan dan nilai sejarah.

Beliau berkata, keunikan dan kewujudan sejarah yang tersendiri di LSPD termasuk warisan alam semulajadi yang menarik mampu menjana pendapatan sampingan kepada penduduk di kawasan itu terutamanya dalam sektor pelancongan.

Justeru itu, beliau mencadangkan UMK mewujudkan sebuah jawatankuasa kecil bersama bagi membuat penyelidikan terperinci bagi melihat LSPD yang terletak di Mukim Sering sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

BukuPDatu2

“Dengan adanya jawatankuasa seumpama itu akan memudahkan perancangan dan keutamaan yang perlu diberikan untuk membangunkan projek tersebut khususnya dari aspek mewujudkan pemerhatian terhadap pembudayaan warisan dan sektor pelancongan yang terdapat di kawasan ini.

"Saya percaya keunikan dan sejarah pembangunan Sungai Pengkalan Datu di negeri ini merupakan sumber pelancongan yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu, di Restoran Cerana, Kota Bharu, Kelantan, 22 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’. Dr. Mortaza Mohamed, Prof Adjung FTKW, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Dekan FTKW,  Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FTKW, Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Pengerusi Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), En. Mohd Asri Husin.

BukuCeritaKelantan1

BukuCeritaKelantan4

Sebelum itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim  menghadiri Program Pidato Warisan dan Peradaban Melayu yang telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Wira Abdul Latif yang bertajuk Perjuangan dan Cabaran Memartabatkan Warisan dan Peradaban Melayu.

Beliau turut merasmikan majlis pelancaran dua buah buku bertajuk Cerita Rakyat Kelantan dan Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris di UMK Kampus Bachok.

Penerbitan buku Warisan Cerita Rakyat Kelantan memuatkan sebahagian kisah yang dikumpulkan oleh 230 pelajar Kursus Tradisi Lisan FTKW 2016 bawah penyeliaan Tan Sri Dato’ Wira Abdul Latiff manakala buku Perjuang Tok Janggut Menentang Inggeris pula mengisahkan perjuangan tokoh itu menentang Inggeris hasil hasil pembentangan sarjana dalam seminar perjuangan Tok Janggut pada September 2016 sempena memperingati 100 tahun perjuangan Tok Janggut di Kelantan (1915-2015).

BukuCeritaKelantan3Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais, berkata, projek LSPD perlu dilihat sebagai sumber sejarah dan bagaimana harus dijadikan sebagai inspirasi kepada perancangan pelancongan dan warisan negara.

Beliau percaya bahawa Resolusi Kongres yang diadakan baru-baru ini dapat diterjemahkan di negeri Kelantan dan UMK sebagai peneraju program Hal Ehwal Warisan dilihat sebagai penyumbang nilai serta penyokong kepada usaha ini.

“Setiap pembangunan dan warisan yang ada akan membawa pelbagai kepentingan kepada seluruh masyarakat kerana kedua-duanya mempunyai manfaat dan penambahbaikan untuk masyarakat.

BukuCeritaKelantan2

“Ini memandangkan terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal, di samping pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber ekonomi negara. Oleh itu,  sudah tiba masanya Kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap pembangunan sungai berkenaan dan melihat warisan itu lebih dekat memandangkan ia menghasilkan satu perkembangan yang produktif,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais berkata kedudukan bahasa Melayu perlu ditegakkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan dan yakin bahawa Bahasa Melayu mampu cemerlang seperti bahasa antarabangsa lain.

"Kita perlu memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan bahasa lain malah kita mahu Bahasa Melayu sama penting dengan Bahasa Inggeris.

“Bahasa adalah identiti sesuatu bangsa yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah peradaban. Kita tidak mahu warisan bangsa ini dibunuh oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

BukuCeritaKelantan

Published in Latest News

Oleh : Aiman Syazwan               Foto : Al Azam Razi

program infaq1

PUSAT Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengagihkan sebanyak 300 bungkus  makanan  menerusi Program Infaq yang berkonsepkan sedekah melalui pengagihan makanan dan minuman secara percuma kepada pelajar.

Menurut Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Mubarak, pengagihan makanan percuma ini menggunakan sepenuhnya hasil sumbangan staf UMK menerusi potongan gaji bulanan bermula pada bulan Mac

“Program Infaq juga adalah satu inisiatif bagi membolehkan staf UMK turut bersama memenuhi tanggungjawab sosial dengan menyumbang dana kepada program ini. 

program infaq2

Sempena dengan pelancaran pada hari ini sebanyak 300 bungkus nasi serta minuman diagihkan seawal jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tengahari bertempat di Laman Siswa, UMK, Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 18 Mei 2017.

Turut hadir,  Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UMK, Ust. Wan Mohd Amir Yusoff.

Menurut Dr. Mohd Zain program seperti ini diharap dapat membantu pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan menerima makanan percuma hasil sumbangan daripada staf UMK sendiri.

Hasrat program ini juga adalah untuk menyuburkan amalan bersedekah dalam kalangan warga Universiti dan ini menjadi tanggungjawab Pusat Islam untuk membantu merealisasikannya. 

Tambah beliau, sempena kehadiran bulan Ramadan dana Infaq digunakan sepenuhnya untuk majlis berbuka puasa pelajar di ketiga-tiga kampus iaitu di Kampus Kota, Bachok dan Jeli.

“Mengenai kutipan bulanan Infaq ini sehingga Mei mencatatkan sebanyak RM1,400.00 sebulan hasil potongan gaji seramai 113 orang staf.

program infaq3

“Pihak kami akan meneruskan usaha untuk mempertingkatkan lagi penglibatan staf dalam program ini agar manfaatnya dapat disalurkan dengan lebih kerap dan melibatkan pelajar yang lebih ramai,” katanya.   

Sehubungan itu, pihak Pusat Islam amat mengalukan penglibatan staf UMK untuk menyumbang dan merebut ganjaran pahala bersedekah dengan kadar minimum sebanyak RM3.00 sebulan melalui potongan gaji  seperti mana kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti Bil.1/2017 (Kali Ke-169).

Sumbangan boleh dibuat dengan mengisi borang Penyerataan Program Infaq melalui Potongan Gaji dan dihantar kepada Pusat Islam UMK.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung perkara ini sila berhubung wakil Pusat Islam UMK iaitu Ustaz Mohd Binyamin Che Yaacob di talian 09-7717158 @ 014-8371158 (UMK Kampus Kota), Ustaz Nor Zakwan Che Musa di talian 013-2129283 (UMK Bachok) dan Ustaz Mohd Hafizhuddin Mat Naziz di talian 09-9477197 @ 013-3344198(UMK Kampus Jeli). 

Published in Latest News

ZakatAgeCouncil1

ZakatAgeCouncil3

PRESIDEN  Kumpulan SEGI University & College selaku ahli Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE Council) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Mohamed Azahari Mohamed Kamil, menyerahkan sumbangan zakat peribadi kepada 100 pelajar asnaf UMK dan 52 asnaf kariah Masjid Mukim Kamil Hassan.

Beliau ketika ditemui memberitahu pengagihan sumbangan zakat peribadinya itu sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu khususnya kepada Masjid Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama melibatkan penuntut universiti iaitu daripada UMK.

Katanya, sumbangan dan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar bagi tujuan pembelajaran dan persediaan menyambut kehadiran bulan Ramadan al Mubarak tidak lama lagi.

ZakatAgeCouncil4“Masyarakat atau sesiapa sahaja yang berkemampuan sewajarnya mengeluarkan zakat kepada pelajar yang memerlukan dan golongan yang kurang berkemampuan agar dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya selepas majlis penyampaian zakat kepada mahasiswa UMK dan asnaf kariah Mukim Kamil Hassan, Kampung Cabang Tiga Pendek , Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Mei 2017.

Turut hadir,  Dekan Fakulti Seni Bina dan Ekistik, Prof. Madya Ab Aziz Bin Shuaib serta Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Bin Mubarak.

Menurut Dato’ Mohamed Azahari,  mengambil peluang untuk menjemput mahasiswa/i asnaf untuk bersama-sama mengimarahkan Masjid Kamil Hassan dengan meraikan pemberian zakat bagi membantu mereka yang memerlukan.

ZakatAgeCouncil2Beliau berkata, setiap tahun pemberian zakat dilakukan di Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama yang melibatkan ketiga-tiga kampus dengan kerjasama UMK.

“Selain itu, melalui sumbangan itu pihak Masjid Kamil Hassan dapat menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan seperti ceramah dan majlis berbuka puasa bersama-sama pelajar UMK dan ahli kariah.

“Ini adalah tanggungjawab sosial kami sekeluarga bagi membantu golongan yang memerlukan dan melalui program ini dapat memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja untuk sentiasa saling membantu antara satu sama lain, jelasnya.

Sementara itu, Dato’ Mohamed Azahari berkata, pihaknya kini sedang berusaha keras untuk membangunkan sebuah pusat tahfiz di masjid tersebut.

ZakatAgeCouncil6“Pusat tahfiz yang didirikan di hadapan masjid ini sudah hampir 30 peratus siap dan masih memerlukan suntikan dana.

“Kos anggaran bagi penubuhannya mencecah RM500,000 dan setakat ini, kami berjaya mengutip RM150,000 daripada orang ramai," katanya.

Tambahnya, beliau akan berusaha mencari lagi dana daripada golongan berkemampuan serta syarikat korporat untuk mendapatkan jumlah yang cukup bagi menyiapkan pusat tahfiz tersebut.

ZakatAgeCouncil5

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat Foto : Al Azam Razi & Pejabat HEP

SPARK171

UNIVERSITI Awam (UA) perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mempertingkatkan pengurusan asrama dan pembangunan pembelajaran di kolej kediaman untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dalam akademik serta sosial.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, berkata, pihak pentadbir dan pengurusan asrama dibawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bertanggungjawab dalam membentuk pelajar yang berdaya saing dan progresif selari dengan aspirasi universiti dan Negara.

Katanya, pengurusan kolej kediaman dan asrama di IPT pada masa kini amat penting sekali kerana kebanyakan masa mahasiswa dihabiskan di asrama.

“Justeru itu, pihak kolej hendaklah merancang dan menyediakan aktiviti serta program yang bersesuaian bagi memastikan masa di asrama dapat diisi dengan sebaik mungkin seperti program kesukarelawanan, kepimpinan, sukan, kebudayaan dan lain-lain program yang bertujuan untuk mengasah bakat mahasiswa di peringkat kolej kediaman.

SPARK172“Pengurusan asrama menjadi semakin penting dan mencabar bagi melahirkan graduan yang cemerlang dan terbilang dan penganjuran seminar seperti ini amat bertepatan bagi menjadi platform perkongsian maklumat dalam menguruskan asrama di IPT masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian padamajlis perasmian Seminar Pengurusan Asrama Kebangsaan (SPARK) 2017 anjuran UMK dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 16 Mei 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab Latif, Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Mahasiswa Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Madya Dr. Supian Bujang, Pendaftar UMK, Mej. (K) Pauzi  Pak Chu dan Pengerusi SPARK,  En. Mohd Firdaus Mohd Nasir.

SPARK176Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, SPARK 2017 adalah platform terbaik untuk membincangkan dan perkongsian maklumat-maklumat penting dalam memastikan kebajikan mahasiswa-mahasiswa yang tinggal di asrama terjaga.

Beliau berkata, kolej kediaman merupakan satu kemudahan yang seharusnya digunakan oleh mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan akademik mereka kerana kemudahan dan perantauan yang ada dapat menyemai bibit keilmuan dalam jiwa mahasiswa di asrama.

“Dengan adanya kemudahan asrama dapat menghasilkan pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang berkualiti disamping mempunyai ciri-ciri peribadi yang positif.

SPARK174“Peranan pihak pentadbiran asrama amatlah penting dalam membentuk pembangunan diri pelajar seterusnya menghasilkan mahasiswa yang cemerlang dalam akademik dan sosial,” jelas beliau.

Tambah Prof. Dato’ Mortaza, secara umumnya kolej kediaman universiti berfungsi menyediakan prasarana penginapan bagi meningkatkan kebajikan dan perkembangan pelajar ini memandangkan proses pendidikan berlaku secara menyeluruh dan bersepadu, maka kolej kediaman pelajar harus diletakkan statusnya setaraf dengan universiti.

“Ia merupakan tempat yang strategik untuk membentuk perkembangan atau pembangunan pelajar seiring dengan fungsi universiti yang menyediakan pendidikan formal kepada para pelajar.

SPARK175“Dalam teori Vektor Pembangunan Pelajar, pembangunan pelajar adalah dipengaruhi oleh persekitaran universiti iaitu objektif universiti yang jelas dan konsisten dari aspek saiz, kurikulum, pengajaran dan penilaian, susunatur asrama, fakulti dan pentadbiran dan akhir sekali budaya pelajar,” katanya.

Prof. Dato’ Mortaza memberitahu, sewajarnya  pentadbiran kolej menggunakan peluang yang ada melalui perancangan beberapa bentuk aktiviti pendidikan dalam mempertingkatkan akademik para pelajar di kolej kediaman.  

Justeru itu pentadbir asrama bukan sahaja berperanan untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat, tetapi sebagai pusat pengembangan ilmu serta pembinaan sahsiah yang baik.

“Ini membuktikan bahawa proses pembangunan pelajar perlu seiring berganding bahu dengan pengurusan pihak pentadbiran sesebuah kolej kediaman,” katanya.

SPARK177

Sementara itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz berkata, penganjuran SPARK 2017 ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecemerlangan pengurusan kolej kediaman di IPT kerana melalui platform ini semua peserta yang datangnya dari semua UA dapat berkongsi idea dan inovasi bagi menangani masalah – masalah pelajar di kolej kediaman serta di kampus.

Katanya, terdapat 24 kertas kerja dibentangkan daripada 20 UA dan swasta yang bertujuan berkongsi pengalaman dan  mengupas pelbagai isu selaras dengan tema seminar Memperkasakan Pengurusan Asrama Dan Pembangunan Pelajar Ke Arah Kelestarian Negara.

“Selain itu, pelbagai isu turut dikupas seperti pengurusan penginapan pelajar antarabangsa di kolej kediaman, pengurusan penginapan pelajar di dalam kampus dan di luar kampus, peranan pengurusan kolej kediaman dan institusi kefeloan dalam membentuk ciri-ciri kepimpinan serta sahsiah di kalangan pelajar, penjanaan pendapatan melalui fasiliti dan perkhidmatan kolej kediaman

“Turut mendapat perhatian dalam seminar ini ialah pemerkasaan kemudahan dan prasarana di kolej kediaman berasaskan yuran penginapan, isu dan cabaran keselamatan di kolej kediaman dan pelaksanaan pembaikan kecil di kolej kediaman,” katanya.

SPARK179

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz berkata, fungsi kolej kediaman ialah untuk menjaga kebajikan mahasiswa, memberi perkhidmatan, menyediakan kemudahan dan keperluan untuk mencapai matlamat kolej.

Katanya, kolej kediaman juga berfungsi sebagai tempat menyediakan perkhidmatan dan kemudahan penginapan, menjaga kualiti dan perkhidmatan pemakanan yang disediakan serta akhir sekali menyediakan kemudahan pelajaran yang kondusif.

SPARK173“Proses pendidikan berlaku secara menyeluruh dan bersepadu, maka kolej kediaman pelajar harus diletakkan statusnya setaraf dengan fakulti. Ini membuktikan bahawa pembangunan pembelajaran tidak hanya berlangsung di fakulti sahaja tetapi akan diteruskan lagi oleh pihak pentadbiran supaya pengurusan akademik pelajar menjadi lebih baik dan maju.

“Justeru, sudah sewajarnya program pendidikan kolej kediaman mengambil tanggungjawab dan peranannya dan sekaligus menjadi pelengkap kepada pendidikan formal di fakulti bagi menjayakan sistem pendidikan yang bersepadu di universiti ini,” jelas beliau.

SPARK1710

Published in Latest News

itex2017

PENYELIDIK UMK BOLOT DUA PINGAT EMAS DAN ENAM PERAK

PRODUK N-Macom: Nano Magnectic Adsorbent Composite yang dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan terbuang yang membolehkan teknologi nanomagnetik dihasilkan bagi kegunaan merawat air sisa industri memperoleh pingat emas dalam kategori Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-28 (ITEX 2017) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pada 11 hingga 13 Mei 2017.

Kajian itu adalah rekaan oleh penyelidik Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah dengan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada En. Rizki Wannahari dan Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin.

Menurut Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi, teknologi produk nano magnetik adalah penemuan penting dalam kajian penyelidikan ini bagi mengurangkan pencemaran air yang berpunca daripada bahan pencemar toksik seperti logam berat dan pewarna oleh kebanyakan pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan Pantai Timur.

Beliau berkata, produk NmaCom dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan yang terdiri daripada  kulit manggis, daun kering, jagung dan sebagainya yang melalui proses karbonisasi, pengaktifan serta pemagnetan khusus yang lebih mesra alam.

“Penghasilan produk ini bagi merawat air yang tercemar bagi pengunaan industri berikutan kebanyakan industri pembuatan batik menghadapi kekangan kos, kepraktikalan, teknikal, penyelenggaraan jika mengguna-pakai sistem perawatan fiziko-kimia yang sedia ada di pasaran yang lebih mahal mahal,” katanya

Sementara itu, turut menyumbang emas ialah produk Press (Palted Rubber System) hasil penyelidikan oleh  Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), En. Razman Hafifi Redzuan bersama Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Prof. Dr. Mohd Rosli Mohamad, Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, Dr. Mohd Zulkifli Muhammad dan Encik Ahmad Ridhuwan Abdullah.

Kajian yang dibuat oleh En. Razman Hafifi dengan memperkenalkan produk pengawalan identifikasi bagi menangani kes kecurian getah yang semakin berleluasa berikutan ekoran peningkatan harga getah yang tinggi di pasaran pada hari ini.

Beliau berkata, acuan identifikasi getah itu dihasilkan pada pembuatan bekas getah dengan secara makronya inovasi ini telah terbukti mampu mengurangkan kerugian yang tidak sepatutnya namun secara mikronya dengan mengunakan konsep ini ia mampu membantu perancangan penanaman getah yang lebih sistematik dan menghasilkan susu getah yang optimum.

“Produk ini membolehkan pihak kami mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah kecurian getah dengan mewujudkan identifikasi getah bagi setiap ladang dimana dengan pengawalan identifikasi yang dikeluarkan oleh pihak syarikat Agri’Pro dengan kerjasama RISDA Malaysia bagi pengawalan identifikasi setiap ladang.

“Setiap peraih dan pemborong getah mempunyai akses kepada data pemilik ladang. Identifikasi yang dinyatakan terdiri daripada huruf dan nombor dan dengan kemudahan ini digunakan sebagai pengenalan pekebun/pemilik, yang merupakan pengiktirafan UMK kepada pekebun kecil getah yang menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran getah negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, enam produk inovasi penyelidik UMK  menjadi penyumbang pingat perak di ITEX 2017.

Produk tersebut  ialah High Frequency Super Capacitor CCTO hasil penyelidikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Ir. Julie Juliewatty Mohamed, produk G Technique oleh Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), En. Mohammad Amizi Ayob dan            produk penyelidikan teknologi pembiakbakaan anak benih pisang bertajuk Tisc-Tech’ On-Farm Nursery Technique For Acclimatization Of Tissue-Cultured Banana Seedlings oleh Pensyarah Kanan FIAT, Dr. Suhaimi Othman.

Turut menyumbang pingat perak ialah produk rekaan aplikasi telefon pintar iaitu Entrepreneurial Characteristic Anndroid Mobile Game – Freezer ciptaan oleh Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya PM Dr. Mohamad Ismail, produk inovasi Pengajaran dan Pembelajaran bertajuk Designing Of Research Ideantion Canvas : Visualize Research Ideas From Strategic Perspectives oleh Ketua Bahagian Pusat Keusahawanan Global, Penyelidikan & Inovasi, Dr. Nik Zulkarnaen Khidzir  dan produk Herbal Rice Syrup oleh Dekan Fakulti Sains Bumi, Prof. Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak 

ITEX 2017 adalah merupakan pameran ciptaan terbesar diperingkat antarabangsa bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat pelesenan dan orang awam.

Pameran itu dianjurkan oleh  Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS), mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 11 sehingga 13 Mei 2017.

Published in Latest News

apc2017

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mahu memperluaskan lagi peranannya dalam bidang pendidikan keusahawanan melalui proses penjenamaan semula khususnya dalam pengurusan dan pembangunan aspek keusahawanan bagi memastikan jenama UMK bertapak kukuh dan menjadi rujukan serantau.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata, warga Universiti seharusnya mula merangka strategi dan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan jenama UMK diperkukuhkan.

Justeru, beliau berkata dengan genap 10 tahun usia penubuhannya di persada pendidikan negara program-program akademik yang ditawarkan haruslah menepati keperluan pasaran dan berdaya saing disamping melaksanakan penyelidikan-penyelidikan berkualiti yang mampu dikomersialkan.

“Selain itu, universiti sewajarnya membina jaringan yang kukuh dengan industri dan pemain antarabangsa dengan memperkasakan penglibatan pihak industri dalam usaha mengukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajarnya.

“Dengan kerjasama dengan pihak industri dalam penubuhan syarikat di peringkat universiti seharusnya sektor ini perlu diperkembangkan sejajar tranformasi dalam dunia perniagaan.

"Jadi, universiti sewajarnya mengambil pendekatan dengan membentuk pelajar menjadi paksi kepada perniagaan baharu agar bersedia dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan, sekali gus membolehkan mereka bukan setakat berniaga tetapi mampu kekal dan kukuh dalam perniagaan masing-masing," katanya pada perasmian Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2016, di Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Hj.Hanafi Hj. Mamat dan En. Zulkifli Mohd Zan.

Hadir sama,  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu.

Pada majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah turut menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada 101 staf UMK yang menerima anugerah APC manakala 52 staf  menerima anugerah menerima Anugerah Gemilang Universiti (AGU).

Turut menerima ialah empat penerima Anugerah Jasa Universiti (AJU) dan empat lagi staf menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) manakala dua penerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftar UMK membuat kejutan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) sekali gus membawa pulang RM10,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, unversiti telah dipertanggunjawabkan untuk menghasilkan graduan yang bersifat holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dimana apabila menyebut graduan yang berciri keusahawanan, tidak lain tidak bukan bahawa UMK yang paling faham dan arif dengan objektif ini.

Katanya, keadaan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar dengan peluang pekerjaan yang terbatas dan persaingan yang semakin sengit ini menuntut dari kita pihak universiti agar sentiasa cakna akan tuntutan pasaran.

“Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, tugas kita di sini bukan sekadar melahirkan job seekers tapi misi besar kita adalah untuk melahirkan job creators.

“Daripada kajian terbaru menunjukkan bahawa hampir separuh daripada semua pekerjaan yang ada di dunia pada hari ini akan boleh diautomasikan menjelang tahun 2055, melibatkan sejumlah pendapatan keseluruhan sebanyak USD15 trillion,” jelas beliau.

Tambah beliau, bagi Malaysia sendiri, workforce automation potential adalah pada tahap 51 peratus dan ini dijangka memberi kesan kepada lebih 6.3 juta pekerja.

“Jelas sekali, tugas kita ini bukannya mudah dan pendekatan yang diambil juga mestilah sejajar atau pun lebih terkehadapan (forward looking) atau mungkin nasib kita sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi akan menjadi seperti syarikat- syarikat seperti Nokia atau Kodak kerana mereka tidak mampu bergerak seiring peredaran zaman untuk terus kekal relevan dalam memastikan visi dan misi nya dapat dicapai,” katanya.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, dalam kajian yang dijalankan oleh MIT Skoltech Initiative yang bertajukCreating University-based Entrepreneurial Ecosystems: Evidence from Emerging World Leaders merumuskan bahawa terdapat lima faktor utama yang telah menyumbang kepada kejayaan 10 buah universiti- universiti antarbangsa yang berjaya dalam aspek pembangunan ekosistem keusahawanan.

Katanya, pendekatan strategik yang dilaksanakan iaitu pihak pengurusan universiti memperjuangkan agenda keusahawanan yang bersifat responsif dan relevan dengan suasana keusahawanan setempat dan nasional.

“Kedua, pihak fakulti atau jabatan membudayakan bidang akademik yang menyokong dan memberi ganjaran terhadap penerokaan keusahawanan dalam konteks rentas disiplin (cross disciplinary context), ketiganya ialah kegiatan keusahawanan dipacu oleh pihak Universiti dengan jabatan atau unit dalam sesebuah universiti mengambil langkah proaktif dalam memastikan penyampaian sebarang kegiatan keusahawanan.

“Faktor keempat ialah gerakan keusahawanan yang diterajui oleh para siswazah sendiri dimana komuniti pelajar ini juga telah menggunapakai kelebihan ekosistem sedia ada seperti akses kepada mentor yang berpengalaman dan juga hubungan rapat dengan pihak pengurusan universiti,” katanya.

Tambah beliau, selain itu faktor kelima ialah peranan komuniti usahawan luar dimana semua universiti mempunyai hubungan yang teguh yang dibina berdasarkan kepercayaan dan faedah bersama antara universiti. 

“Universiti berperanan dalam menyediakan platform untuk individu-individu ini dengan memainkan peranan yang jelas dalam kehidupan universiti,” jelasnya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata,  universiti itu yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya terus mengorak langkah ke hadapan agar setanding universiti awam lain di seluruh negara.

Beliau berkata, universiti telah memanfaatkan sepenuhnya 1,300 kakitangan selain kekuatan 530 pensyarah yang kini kembali menyumbang bakti kepada universiti ini selepas menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Urus tadbir Universiti semakin hari kian kompleks dengan pelbagai cabaran yang dihadapi, termasuklah cabaran sumber kewangan, sumber manusia, infrastruktur dan pelbagai lagi termasuklah perubahan teknologi yang begitu pesat.

“Dalam menghadapi cabaran tersebut, kita tidak boleh leka dan hanyut dibuai angan-angan, kerana tanggungjawab untuk memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa memenuhi ekpektasi pelanggan harus tetap dipikul,” katanya.

Tambah beliau, semua staf disarankan untuk terus meningkatkan produktiviti kerja, melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dan sentiasa berkhidmat berpaksikan kepuasan pelanggan.

“Rebutlah peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing ke arah meningkatkan kecemerlangan Universiti,” jelasnya.                                                                                            

Published in Latest News
Page 1 of 2

What our Students say?

Latest Update: 16 August 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search