Latest News

Items filtered by date: August 2017 - Universiti Malaysia Kelantan

ZiarahPrihatin1

NUR SHAMILATUL AKHMA AZIZAN, 20, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan), Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK Kampus Jeli akan dijadikan sebagai anak angkat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membantu meringankan bebannya selepas kehilangan kedua ibu bapa yang meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal pada 11 Ogos 2017.

ZiarahPrihatin3Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif, berkata, sebagai penuntut UMK, sudah pasti beliau memerlukan sokongan daripada Universiti untuk menguruskan keluarga dan pada masa yang sama melanjutkan pengajian.

“Pihak UMK  amat bersimpati dengan nasib pelajar tersebut dan akan mengusahakan bantuan yang selayaknya untuk membantu beliau meneruskan pengajian disamping memberi motivasi serta suntikan semangat yang dibimbing oleh pihak kaunseling universiti.

“Nur Shamilatul Akma akan diberikan kemudahan serta bimbingan sewajarnya oleh pihak pengurusan universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK,” katanya ketika ditanya pihak media berhubung langkah UMK membantu Nur Shamilatul Akma memulakan penghidupan baharu pada program Ziarah Prihatin di kediaman keluarganya di Taman Putera, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 17 Ogos 2017.

Turut hadir, Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat UMK, Prof. Madya Dr. Mokhtarrudin Ahmad, Ketua Pentadbir Hal Ehwal Pelajar UMK, Puan Alifah Adnan dan Ketua Hal Ehwal Akademik dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Najwa Ahmad Nawawi.

ZiarahPrihatin2

Pada majlis itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz turut menyampaikan wang sumbangan berjumlah RM2000.00 daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar dan RM1800.00 hasil kutipan oleh  Sekretariat PeskoJaya dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UMK.

Pejabat HEPA akan berusaha untuk meringankan beban pelajar itu dengan mendapatkan bantuan kewangan menerusi Tabung Amanah Kebajikan Pelajar dan pembiayaan pengajian daripada badan-badan yayasan seperti Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR).

Sementara itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz, menasihati Nur Shamilatul Akhma supaya meneruskan pengajiannya hingga tamat walaupun menerima tawaran pekerjaan daripada beberapa pihak yang bersimpati terhadap nasib yang menimpa keluarganya.

Katanya,  faktor kewangan bukan penghalang untuk meneruskan pengajiannya kerana banyak biasiswa dan bantuan kewangan ditawarkan oleh universiti dan badan-badan yayasan pendidikan di negara ini seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman.

“Keperluan pendidikan menjadi keutamaan dan menjadi perkara nombor satu dan pihak UMK bersedia memberi bantuan sewajarnya dalam keadaan yang memerlukan.

"Kita bersimpati dengan kejadian tersebut yang berlaku ketika pelajar sedang bercuti sempena cuti semester dan berharap kejadian ini tidak mematahkan semangat Nur Shamilatul Akhma untuk meneruskan pengajian untuk tahun kedua," katanya.

ZiarahPrihatin6Dalam pada itu, bapa saudara Nur Shamilatul Akhma iaitu En. Abdul Aziz Mohd Jiwa, 48, bersyukur dengan keperihatinan serta kesudian pihak universiti yang sudi menjadikan anak saudaranya sebagai anak angkat seperti yang dihasratkan oleh Prof. Dato’ Abdul Aziz.

Beliau yang mewakili keluarga Nur Shamilatul Akma berharap pihak UMK dapat memberi perhatian sewajarnya kepada anak saudaranya yang kehilangan tempat bergantung sebaik sahaja beliau kembali ke kampus pada 8 September 2017 nanti.

“Saya harap pihak universiti mengambil kira keadaan dan situasi mereka ini kerana empat adik-beradiknya masih belajar iaitu Mohd Aqmarul Hisham, 19, di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat Johor dan Mohd Amirul Aiman, 17 (SPM), Mohd Aidil Adli, 15 (PT3) dan Nur Fazlul Ain, 12,” katanya.

Published in Latest News

SYBFizo

SEMINAR Start Your Business (SYB) edisi Kelantan adalah platform terbaik jalinan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Fizo Omar Channel (FOC) dalam usaha menyerlahkan potensi para usahawan atau bakal usahawan dengan menyediakan peluang pemasaran yang lebih luas dalam dunia bisnes menerusi siri pengkongsian pengalaman Ikon Usahawan selebriti tanah air yang tersohor iaitu Fizo Omar.

Penganjuran seminar siri jelajah SYB di Kelantan dengan kerjasama UMK selaku tuan rumah ini memberi nafas baharu kepada usahawan untuk mendalami teknik-teknik perniagaan yang diformulasikan beliau  sendiri  sepanjang menceburi pelbagai bisnes dari tepi jalan sehinggalah tertubuhnya lima syarikat.

SYBFizo3Menurut Pengasas dan Pemilik FOC, Fizo Omar,  siri jelajah SYB di Kelantan mendapat sambutan hangat dengan jumlah kehadiran di luar dugaan kerana hampir 600  peserta memenuhi dewan.

“Pihak FOC amat berpuas hati dengan penerimaan masyarakat di Kelantan khususnya berkaitan program keusahawanan dan seminar bisnes yang meliputi konsep, cabaran serta metodologi perniagaan dalam arus dunia keusahawanan melalui kaedah yang lebih segar.

"Saya berharap SYB siri jelajah Kelantan ini dapat mencipta fenomena tersendiri dengan permulaan yang sangat baik melalui kerjasama baik yang diberikan oleh pihak UMK dengan menyediakan kemudahan tempat dan penyertaan 50 pelajar UMK,” katanya pada Program Bersama Usahawan Fizo Omar: SYB di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 5 Ogos 2017.

Dalam pada itu, Fizo yang pernah dianugerahkan sebagai Ikon Belia Malaysia (2012 & 2013), Usahawan Muda Muncul (2014)  dan  Ikon Belia Keusahawanan (2015)  berkata,  pihak FOC dan UMK bercadang meneruskan program yang sama pada masa hadapan berikutan sambutan rakyat Kelantan yang mencatatkan kehadiran tertinggi pada program SYB.

Beliau berkata, misi utama SYB adalah program Tanggung Jawab Sosial (CSR) oleh pihak FOC untuk menggalakkan orang ramai menceburi bidang keusahawanan yang kemudiannya menyumbang semula kepada masyarakat dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan ilmu.

SYBFizo4“Ini kerana pihak kami tidak ada kepentingan politik dan secara peribadinya dengan sedikit sumbangan kami ini dalam dunia keusahawanan ini dapat membawanya lebih dekat kepada Maha Pemurah dan pemberi rezeki yang luas.

“Kami juga membuka peluang perniagaan kepada mereka yang benar-benar berminat, selain latihan pengendalian sebagai persediaan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan dan harapan saya kepada  mereka ialah semangat serta minat,” katanya pada sesi seminar SYB yang dikendalikan oleh Personaliti TV dan Pakar Motivasi, En. Abu Talib Husin selaku moderator yang memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada Fizo Omar.

Dalam ceramahnya, Fizo Omar berkata ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya ialah apabila membuat sesuatu bisnes jangan takut untuk berkongsi idea dan ilmu kepada orang lain.

Katanya, seorang usahawan perlu mempunyai pemikiran yang tajam serta bijak mengolah idea dan mencari peluang di depan mata selain peniaga perlu kenalpasti bisnes yang hendak dijalankan dan siapa pembeli atau pelanggan produk yang kita jual.

“Contohnya untuk memulakan bisnes produk pakaian bayi atau kanak-kanak  mesti kena tahu siapa sasaran kita kerana kebiasaannya citarasa untuk pemilihan baju adalah bergantung kepada naluri seorang wanita atau ibu kepada bayi serta kanak-kanak itu.

“Selain itu, semangat untuk berniaga harus ada dalam diri anak-anak muda zaman kini dan apa-apa jua perniagaan yang mahu dilakukan ialah niat kita, kejujuran dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara. Insya Allah bisnes kita akan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman berkata, program SYB  adalah inisiatif UMK dan FOC berkolaborasi dengan tujuan utama adalah untuk memberi pendedahan berkaitan perniagaan dan keusahawanan kepada 50 pelajar UMK yang terlibat dalam penganjuran Pesta Konvokesyen UMK (PESKO Jaya) pada bulan Oktober nanti.

SYBFizo2Beliau berkata, seminar ini adalah satu peluang kepada mereka untuk belajar tentang  perancangan dan pengurusan dalam mengendalikan sesuatu majlis atau aktiviti yang memerlukan mereka berfikir cara seorang usahawan untuk menjana pendapatan.

“Selain itu, seperti kita maklum Fizo Omar merupakan seorang ikon usahawan seleberiti yang terkenal dan melalui kerjasama ini juga dapat membantu memperkenalkan UMK kepada pihak umum bahawa universiti ini adalah sebuah Universiti Keusahawanan,” katanya.

Manakala bagi Timbalan Presiden Sekretariat Pesko Jaya, Mohd Taufik Mohd Nazri, berkata, melalui seminar ini para peserta khususnya pelajar UMK dapat berinteraksi dengan ikon usahawan dalam satu jaringan ekosistem yang khusus.

“Selain itu, seminar ini banyak memberi impak yang positif kepada mahasiswa untuk mendapat tips dan panduan untuk mencari penajaan bagi penganjuran program PESKO Jaya 2017.

“Saya juga berbangga diberi peluang menyertai seminar SYB yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada para peserta  yang teruja untuk mendalami ilmu bisnes dan keusahawanan di peringkat awal dan seterusnya mencipta kejayaan,” katanya.

SYBFizo1

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                            Foto  : Pejabat Pendaftar

KIKUnimap

KUMPULAN Medixin Pejabat Pendaftar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mempamerkan kecemerlangan apabila berjaya merangkul penarafan emas bagi kategori Pengurusan pada Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam (UA) Kali Ke 13 bertempat di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau , Perlis, pada 3 Ogos 2017.

Pada pertandingan itu kumpulan Medixin mempertaruhkan projek inovasi  sistem E-Medical yang dibangunkan untuk memberi kemudahan kepada staf mendapatkan akses rawatan perubatan di mana-mana klinik panel UMK yang berdaftar dibawah universiti telah berjaya menarik perhatian pihak juri.

KIKUnimap1Turut mencipta kemenangan ialah Kumpulan Adhoc yang mewakili Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang berjaya mendapat anugerah penarafan perak untuk kategori Teknikal manakala Kumpulan Legasi 19  dan Adrenalin masing-masing mendapat penarafan gangsa.

Menurut Penolong Pendaftar Pejabat Pendaftar UMK, En. Mohd Zulfadli Mohd Hussin, pencapaian UMK pada konvensyen KIK  kali ini amat memberangsangkan kerana buat  pertama kalinya UMK menghantar empat kumpulan yang telah berjaya memberi reputasi yang membanggakan biarpun kali pertama menyertainya.

KIKUnimap4Beliau berkata, pihak universiti telah menghantar dua kumpulan bagi kategori pengurusan dan dua kumpulan bagi kategori teknikal.

“UMK telah berjaya membuktikan melalui penyertaan konvensyen ini bahawa komitmen dan perancangan ke arah menjadikan kumpulan staf kreatif dan berinovasi mencapat matlamat serta menyumbangkan hasil kreatif mereka dengan menerapkan idea dalam sistem yang berfungsi atau produk untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

KIKUnimap5“Pihak UMK, amat berbangga dapat menyertai Konvenyen KIK ini yang diadakan setiap tahun secara giliran dengan objektif utamanya untuk mencungkil idea rekabentuk dan inovasi di kalangan kakitangan UA selain menjadi platform percambahan idea dan segala ilmu pengetahuan serta letusan idea baharu di atas platform inovasi daya cipta unggul dengan memupuk nilai pengurusan yang berkesan,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup KIK UA 2017 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat.

Pada pertandingan KIK 2017 itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berjaya dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan menewaskan 39 pasukan yangn mempertandingkan projek KIK mereka pada konvensyen kali ini.

KIKUnimap2Antara UA yang terbabit ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, UMK, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Islam Antarabangsa, UniSZA, dan tuan rumah UniMAP.

 Johan, naib johan dan tempat ketiga akan membawa pulang hadiah masing-masing berupa wang tunai RM6,000, RM4,000, RM2,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Published in Latest News

What our Students say?

Latest Update: 21 July 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search