Latest News

Items filtered by date: December 2016 - Universiti Malaysia Kelantan

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat & Nor Suzila Ramli             Foto : Al Azam Razi

MPNGotongRoyong3

BACHOK 17 April 2018 I TERKENAL dengan panggilan 'Pulau Nami Malaysia' kerana keindahan panorama rimbunan pohon rhu yang tersusun rapi memukau pandangan mata persis Pulau Nami di Korea Selatan menjadikan Pantai Senok satu lagi tarikan baharu pelancongan di daerah Bachok, Kelantan.

MPNGotongRoyong2Pantai Senok yang terletak lebih kurang 15 kilometer daripada bandar Kota Bharu begitu popular selepas keindahan pantainya menjadi buah mulut dan tular di laman sosial sehingga dikunjungi ramai pengunjung dan pelancong setiap kali hujung minggu.

Justeru, dengan kehadiran pengunjung yang ramai di kawasan itu sejak Pantai Senok popular menyebabkan tempat yang indah ini menjadi kotor kerana sikap pengunjung membuang sampah merata-rata biarpun tong sampah telah disediakan oleh Majlis Daerah Bachok.

Atas kesedaran itu, Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turun padang menjalankan aktiviti gotong-royong perdana membersihkan Pantai Senok bersama-sama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik dan kolej vokasional.

MPNGotongRoyong5

Program gotong royong perdana diadakan sempena Program Bersama Profesor yang berlangsung selama dua hari bermula pada 16 sehingga 17 April 2018 di UMK Bachok.

Upacara perasmian telah disempurnakan Timbalan Presiden MPN, Prof. Dr. Kamarudin Said dan Timbalan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, program gotong-royong ini membabitkan seramai 350 sukarelawan dan 40 profesor dari MPN turun padang membersihkan kawasan sekitar pantai yang merupakan sebuah tempat tumpuan pengunjung untuk berkelah dan merehatkan minda mencari ketenangan.

Katanya, hasil daripada aktiviti yang dijalankan ini kawasan pantai dipenuhi dengan sampah sarap yang dibuang oleh pengunjung.

MPNGotongRoyong

“Keadaan itu sudah menjadi tabiat dalam masyarakat kita dan perkara ini haruslah diambil tindakan oleh semua pihak untuk mengubah cara hidup dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Pembersihan sekitar pantai meliputi semua kawasan pantai termasuklah di pinggiran pantai dan di tepi jalan masuk pantai tersebut,” katanya.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berharap program ini bukan yang pertama dan terakhir yang dijalankan dibawah projek pertama (kebersihan dan kelestarian) dan percaya bahawa program seperti ini diadakan pada masa hadapan untuk mengekalkan kebersihan dan kelestarian di negeri MPNGotongRoyong4Kelantan.

“Bagi program susulan, sukarelawan yang digerakkan oleh UMK akan menjalankan kempen kesedaran kepada pengunjung pantai melalui pemasangan poster dan penyediaan tong sampah serta pengurusan sampah berjadual.

“Selain itu, sesi ceramah juga akan diadakan untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang pentingnya amalan menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian dan terhadap persekitaran,” katanya.

 

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli             Foto : Al Azam Razi

DamAji4

KOTA BHARU 5 APRIL 2018 I Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini mengiktiraf Kejohanan Dam Aji Antarabangsa 2018 anjuran Yayasan Generasi Malaysia dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rekod Penyertaan Terbesar dengan penyertaan lebih 2,626 peserta.

DamAji1Timbalan Pengurus MBOR, En. Mohammad Alex Edward yang mengumumkan rekod itu tepat jam 12.10 tengahari di Dewan Institut Pendidikan Guru Kota Bharu, Pengkalan Chepa, pada 5 April 2018.

Sijil pengiktirafan MBOR itu diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dato’ Zaluzi Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGM, Dr. Roslan Basaruddin dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UMK, Prof. Madya Dr Mohad Anizu.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, kejohanan hari ini mencatat satu sejarah baharu dimana kejohanan Dam Haji peringkat antarabangsa menerima penyertaan teramai dengan 2,626 peserta pada kejohanan julung kali diadakan ini.

DamAji3Beliau berkata, ini merupakan satu rekod baharu telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai satu kejohanan dam aji peserta paling ramai dan berlangsung Parlimen Pengkalan Chepa.

“Peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

“Kejohanan ini menawarkan hadiah utama sebanyak RM3,000 bagi setiap kategori selain cabutan bertuah berupa motosikal,” katanya.

Tambah Prof. Dr. Zaliman, kejohanan seumpama ini akan terus diperkasakan dimana dam aji ini merupakan satu permainan tradisional yang menguji kebijaksanaan akal dan memupuk minat kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah.

“Kejohahanan ini bukan sahaja menerima penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah dan persatuan-persatuan dan kelab tetapi peserta daripada luar negara seperti Jepun,London,Thailand,Indonesia dan lain-lain negara,” katanya.

DamAjiSementara itu, Dato’ Zaluzi berkata, kejohanan ini merupakan kejayaan yang cemerlang kepada rakyat di kawasan Pengkalan Chepa dan rekod ini boleh menjadi contoh kepada kejayaan yang lebih cemerlang lagi selepas ini.

“Saya berharap pelbagai kejayaan cemerlang lagi boleh ditempa untuk masa akan datang dan harap juga kejohanan seumpama ini akan terus diperkasakan memandangkan dam aji ini adalah permainan yang amat bagus untuk menguji minda dan matematik.

“Permainan dam aji adalah permainan tradisional bukan sahaja popular di Kelantan, tapi semua tempat,” katanya.

DamAji2Tambah beliau, pembabitan dari sekolah yang memberangsangkan ini amat penting kerana ia memberi pendedahan kepada pelajar sekolah untuk berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah,” katanya.

Prof. Dr. Anizu berkata, kejohanan ini juga mendapat sokongan dan kerjasama yang erat dari pelbagai jabatan kerajaan termasuklah Pejabat Perdana Menteri, agensi kerajaan dan NGO di seluruh negara.

Katanya, kejohanan ini berjaya memperkenalkan budaya Malaysia kepada negara luar kerana dam aji adalah satu permainan seperti catur namun ia agak istimewa kerana dam aji ini dimainkan sejak dulu lain sejak nenek moyang lagi.

DamAji5

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli          Foto : Al Azam Razi & Ab Halim Hafiz Ab Aziz

BangunanSiswa1

BangunanSiswa2

BANGUNAN Pusat Mahasiswa yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Idris Jusoh memainkan peranan penting sebagai pusat sehenti atau one stop centre yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Pusat Kesihatan Universiti di bawah satu bumbung.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kolonel Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata, Pusat Mahasiswa yang memulakan pembinaan bangunan pada 21 Mei 2015 dan mula diduduki secara keseluruhan pada Jun 2017.

Beliau berkata, bangunan berkonsepkan tradisional Kelantan itu menempatkan Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Bahagian Tatatertib dan Kebajikan Pelajar, Bahagian Kaunseling, Kerjaya dan Alumni, Bahagian Kebudayaan dan Pusat Kesihatan Universiti.

BangunanSiswa3

“Kemudahan di bawah satu bumbung itu adalah salah satu usaha dan inisiatif pihak UMK bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada mahasiswa di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan.

“Mahasiswa boleh membuat pelbagai urusan dengan Pejabat Hal Ehwal dan Alumni dalam satu bangunan yang memberi kemudahan secara teratur dan menjimatkan masa tanpa perlu pergi berulang-alik ke bangunan-bangunan lain,” katanya selepas Majlis Perasmian Bangunan Pusat Mahasiswa di UMK Bachok, pada 1 April 2018.

BangunanSiswa4

Turut hadir, Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, bangunan dua tingkat yang terletak di lokasi yang paling strategik berhampiran dengan pelbagai kemudahan lain seperti kafeteria, kolej kediaman, Masjid Universiti, Pusat Islam dan Kompleks Sukan Universiti.

Katanya, pihak HEPA juga turut menyediakan ruang khas untuk Majlis Perwakilan Pelajar UMK (MPPUMK) yang dilengkapi dengan bilik mesyuarat dan bilik aktiviti untuk kemudahan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan universiti.

BangunanSiswa7

Published in Latest News
Wednesday, 04 April 2018 16:09

UMK BERPERANAN UBAH SOSIO EKONOMI KELANTAN

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli                Foto : Al Azam Razi

TokpaMPP1

TokpaMPP2

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata kewujudan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam tempoh yang singkat telah mencipta banyak sejarah dan kejayaan melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang hebat setanding dengan universiti-universiti lain.

Beliau berkata, walaupun usia UMK masih setahun jagung tetapi universiti ini telah mampu melahirkan pelajar-pelajar yang boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat, politik,ekonomi dan pentadbiran yang dapat membantu dalam pembangunan negara.

Katanya, kebanyakkan graduan-graduan UMK turut mendapat permintaan tinggi daripada pihak-pihak majikan dan industri.

“Saya berharap UMK menjadi satu institusi pembinaan tamadun ilmu dan pendorong kepada kemajuan anak-anak Kelantan yang dapat mencipta kemajuan ekonomi yang baharu dan berada di barisan hadapan atau pentas utama di dalam Malaysia mahupun di luar negara.

“UMK juga boleh menjadi pemimpin dalam pentadbiran dan keilmuan dimana profesornya yang hebat dan sentiasa tampil kehadapan di pentas forum atau persidangan di dalam negara atau peringkat antarabangsa,” katanya pada pertemuan dengan 300 mahasiswa UMK sempena Majlis Ramah Mesra Pelajar UMK Bersama Menteri Mentor UMK anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UMK (MPP), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 29 Mac 2018.

TokpaMPP

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Presiden HIMSAK, Dato’ Faizal Daud.

Menurut Dato’ Seri Mustapa yang juga Menteri Mentor UMK adalah antara pemimpin Kelantan yang terlibat secara tidak langsung dalam pembangunan UMK di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa yang kini dikenali sebagai UMK Kampus Kota.

Taman Bendahara suatu ketika dulu mendapat jolokan ‘kawasan bankrap’ namun situasi itu kini berbeza apabila kawasan ini menjadi pusat komersial utama di Pengkalan Chepa.

TokpaMPP3Katanya, kedudukannya yang strategik terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang dihubungkan melalui utama ke bandar Kota Bharu pada hari ini berubah 100 peratus dengan kewujudan UMK di Taman Bendahara yang dikenali UMK Kampus Kota.

“Dengan adanya universiti ini, wujudlah pelbagai kemudahan seperti restoran dan kopitiam yang penuh dengan pelajar UMK yang menjadikan Taman Bendahara sebagai salah satu revolusi yang menjadi pemangkin masa depan negara dalam sudut keilmuan,ekonomi dan budaya,” katanya.

Dato’ Seri Mustapa menyifatkan dengan ciri-ciri itu sesebuah universiti menjadi sebuah institusi pengajian yang tersohor yang memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat setempat.

Katanya, itulah antara matlamat beliau untuk mewujudkan sebuah revolusi di Taman Bendara dan bukan hanya memberi impak yang besar kepada masyarakat Kelantan tetapi melahirkan pelajar yang holistik dan pensyarahnya yang berwawasan tinggi.

“Pelajar-pelajar juga banyak menyumbang kepada kegiatan dan aktviti yang memberi impak yang besar kepada kerajaan dan ini secara tidak langsung pelajar terbabit akan mendapat peluang dan sumbangan dari pihak lain,” katanya.

Published in Latest News
Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK              Foto : Al Azam Razi
UMKSBF6

UMKSBF4

BACHOK 1 April 2018 I MENTERI Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Keusahawanan Sosial atau Social Enterprise Centre (SEC) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bakal menyumbang kepada pemantapan aspek  Social Business di Malaysia.
 
Kementerian Pendidikan Tinggi turut mengumumkan peruntukkan Geran Padanan sebanyak RM1 juta bagi memastikan program Keusahawanan Sosial ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 
UMK juga turut melancarkan Dana Keusahawanan Sosial (DKS) berjumlah RM2.6 juta bagi memperkukuhkan bantuan kewangan untuk membolehkan sumbangan itu dijadikan dana pelaburan dalam bentuk mikrokredit kepada syarikat-syarikat start up Universiti Awam.
 

UMKSBF1

Menurut Dato’ Seri Idris, semua pelajar UA boleh memohon dana ini dan menubuhkan syarikat untuk menjalankan sebarang perniagaan.
 
Beliau berkata, SEC akan memainkan peranan punting bagi memastikan dana ini diagihkan kepada pemohon yang berjaya secara microcredit di mana pelaburan dari dana ini ke atas syarikat berdasarkan business plan yang dinilai sahaja.
 
“Syarikat pula hanya perlu membayar balik jumlah dana yang dipinjam dengan sedikit yuran perkhidmatan yang dikenakan manakala hasil keuntungan syarikat akan kekal dalam syarikat bagi membolehkan syarikat terus berkembang.
 
“SEC juga akan memainkan peranan memberi latihan tentang perniagaan, pengurusan kewangan, pasaran dan pemasaran kepada mana-mana syarikat yang kita panggil start up business ini,” katanya pada Majlis Perasmian Social Business Forum 2018, UMK Bachok, Kelantan, pada 1 April 2018.
 

UMKSBF2

Turut hadir, Timbalan  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dato’ Dr . Awang Adek Hussin dan Naib Canselor UMK, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YB Senator  Dato’ Hanafi Mamat dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.
 
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kol. Prof. Dr. Zuliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.
 
Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini, berkata, melalui social business ini kita dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan dimana syarikat yang diuruskan secara social business ini dapat berkembang dengan baik. Katanya, UMK mahu pelajar-pelajar yang dihasilkan adalah pelajar atau graduan yang mencipta pekerjaan dan bukan lagi semata-mata mengharapkan peluang pekerjaan yang sedia ada sahaja.
 
UMKSBF3“Bagi memastikan usaha ini berjaya dilaksanakan, UMK bekerjasama dengan pihak industri yang merupakan satu daripada perkara yang akan ditekankan dan selari dengan kehendak KPT atau Academia and Industry Are One.
 
“Justeru, pada hari ini UMK menjalinkan kerjasama strategik dengan 19 Industri dan UA yang akan memberikan keuntungan kepada kedua belah pihak,” katanya.
 
Menurut Prof. Dato’ Dr. Husaini, dengan penubuhan pusat SEC ini merupakan titik permulaan kepada usaha memperkasa ekonomi negara menerusi aktiviti Social Business bagi UMK dimana agenda tersebut telahpun didokong oleh beberapa agensi kerajaan dan organisasi melalui penyaluran dana.
 
Katanya, peruntukan dana tersebut dijangka memanfaatkan pelajar, masyarakat setempat dan individu bagi membiayai projek keusahawanan atau perniagaan sosial mereka dimasa akan datang.
 
UMKSBF5”Peruntukan dana Keusahawanan Sosial ini diperoleh dengan kerjasama UMK dengan Funding From Mohamed Moosa, Maldives, Celcom Axiata Sdn Bhd, Yayasan Muhibbah, Chengaljati Sdn. Bhd., Halimuza Corporation Sdn. Bhd. dan Azhar Azhari Architect.
”Turut menyumbang, Blackfox Engineering Sdn. Bhd., GEO Solution Resources, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd,” katanya.
 
Selain itu, kerjasama ini turut membabitkan kerjasama sedia ada antara UMK dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 
Kerjasama strategik itu juga membabitkan International Council of SME & Entrepreneurship Malaysia (ICSMEE), Universitas Brawijaya dan Universitas Jayabaya.
UMKSBF7
Published in Latest News
Thursday, 29 March 2018 11:17

UMK LANCAR BUKU KEUSAHAWANAN SOSIAL

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat & Nor Suzila Ramli                Foto : Al Azam Razi

BedahBukuPBI

KOTA BHARU 28 Mac 2018 I PUSAT Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) dengan kerjasama Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini melancarkan buku berjudul 'Keusahawanan Sosial Islam:Gagasan dan Perspektif’ sempena Program Bedah Buku@PBI, di Dewan Eksperimental, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 28 Mac 2018.

BedahBukuPBI3Buku ini mengandungi 11 bab setebal 240 muka surat dihasilkan menerusi gabungan idea pemikiran dan penulisan 15 ahli akademik daripada Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah serta Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK.

Suntingan buku ini dibuat oleh Pengarah PBI, Dr. Burhan Che Daud, Dr. Nik Yusri Musa dan Ruzaini Ijon.

Manakala majlis pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pustakawan Kanan PPI, Encik Fahmi Abdullah.

Turut berlangsung ialah Forum Program Bedah Buku@PBI yang mengulas kandungan buku Keusahawanan Sosial Islam oleh empat orang narasumber yang juga penulis dalam buku tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Zain Mubarak (PBI), Dr. Marwan Ismail (PBI), Prof. Dr. Rafi Bin Yaacob (FKP), Dr. Noor Hisham Md Nawi (PBI) dan Dr. Nik Yusri Bin Musa selaku moderator.

BedahBukuPBI4Menurut Prof. Dr. Mohd Hassan, tradisi membaca pada hari ini memang tidak wujud lagi di kalangan generasi muda pada zaman sekarang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Oleh yang demikian, katanya UMK menerusi PBI mainkan peranan penting signifikan dengan suasana pada hari ini untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan mahasiswa dengan menganjurkan Program Bedah Buku@PBI.

“Program ini adalah bertujuan untuk menggalakkan para pelajar dan orang awam agar lebih dekat dan mencintai buku untuk meluaskan pengetahuan.

”Dalam erti sebenar bedah buku bukan bermaksud ‘book surgery’ tetapi adalah‘book review’ yang mencungkil isi kandungan yang terdapat pada buku setebal 240 muka surat ini,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Hassan menyifatkan melalui penganjuran program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan dan mengalakkan budaya membaca dalam kehidupan masyarakat serta menggelakkan pembaziran masa lapang yang terluang dalam kalangan mahasiswa.

BedahBukuPBI6

Tambah beliau, mahasiswa yang proaktif adalah mereka yang mengisi masa mereka dengan perkara dan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat seperti bersukan,beriadah serta membaca buku.

"Mereka juga bijak dalam menguruskan dan membahagikan masa mereka secara teratur dalam menjalani kehidupan sebagai penuntut ilmu,” katanya.

Sementara itu, Dr. Burhan berkata, pelancaran buku ini dan program Bedah Buku adalah untuk merangsang percambahan minda para pembaca selain ia dapat bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan pengetahuan yang baru 

BedahBukuPBI7

melalui pembacaan dan perkongsian tersebut.

Katanya, program ilmu ini memberi peluang kepada hadirin untuk mendapatkan sedikit perkongsian tentang intipati dan kandungan didalam buku yang terpilih.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan, berkata, idea dan konsep keusahawanan sosial Islam merupakan refleksi dari konsep keusahawanan sosial sebagai suatu pendekatan baharu dalam mendepani cabaran pembangunan yang semakin kompleks di abad ke-21.

Katanya, menerusi buku ini memupuk kesedaran ahli akademik untuk mendalami bidang keusahawanan sosial berteraskan acuan Islam, dengan harapan dapat memperkembangkan lagi ilmu keusahawanan sosial Islam sama ada daripada aspek epistemologi, antologi dan aksiologi.

BedahBukuPBI5

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK dan Nor Suzila Ramli        Foto : Al Azam Razi

 NLP

NLP1PEMIMPIN kelab dan persatuan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu berada di barisan hadapan mempertahankan universiti daripada serangan berita atau maklumat negatif yang di sebarkan pihak tertentu di media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, sejak kebelakangan ini media sosial menjadi platform kepada keyboard warrior melemparkan kritikan dan tomahan negatif yang ditujukan kepada universiti dan pemimpin negara.

Justeru, beliau berharap mahasiswa dan pemimpin pelajar atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) perlu sentiasa bersedia membantu universiti menyalurkan maklumat positif dan benar dalam usaha membasmi penularan berita palsu yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

NLP2

“Dengan itu, kursus kepimpinan ini menggalakkan pemimpin pelajar ini menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain untuk mempertahankan universiti melalui sebaran matlumat yang tepat ataupun membalas isu-isu mahupun kritikan –kritikan yang dilemparkan dengan tindakbalas yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Kursus Kepimpinan Dan Penerapan NLP Kepada Pemimpin Kelab Dan Persatuan 2018 anjuran Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK, di D’wasin Campsite, Gerik,Perak, pada 23 Mac 2018.

Turut hadir, Pegawai Psikologi UMK, En Nik Zulkamal Nik Hassan, Penolong Pendaftar, En. Muhamad Hafizuddin Mat Nawi dan En. Mohd Hafizie Abd Rahman.

NLP3Kursus tiga hari yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mac 2018 adalah pendekatan baharu BAPP untuk memberi pendedahan dan menerapan elemen kepimpinan, pembentukan jati diri dan NLP bagi memantapkan pemimpin kelab dan persatuan yang berdaftar di bawah Pejabat HEPA.

Program itu dihadiri kira-kira 80 peserta terdiri daripada pemimpin kelab dan persatuan daripada UMK Bachok, UMK Kampus Jeli dan UMK Kampus Kota.

Menurut Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman, kursus kepimpinan ini adalah satu agenda penting di dalam universiti kerana selain melahirkan mahasiswa cemerlang dalam akademik universiti juga mahu mereka terlibat dengan persatuan dan kelab untuk menjadi pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang cekap dan efisyen.

NLP7

Katanya, sekiranya mahasiswa tidak dilatih dan didedahkan dengan nilai kepimpinan kemungkinan besar sesebuah organisasi itu mungkin tidak akan dapat diuruskan dengan baik dan sempurna.

“Kursus kepimpinan ini juga menerapkan nilai –nilai seperti amanah dan cekap supaya tidak berlaku penyelewengan ataupun penyalahgunaan kuasa apabila mereka memimpin persatuan dan organisasi mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, En. Mohd Hafizuddin berkata, program ini memberikan pendedahan berkenaan tatacara dan garis panduan yang betul bagi penyediaan kertas kerja, laporan repot kejayaan projek bagi setiap program NLP6yang telah diadakan dan proses-proses yang perlu sebelum dan selepas program diadakan.

“Kursus ini juga dapat meningkatkan soft skill excellent dalam diri wakil-wakil pemimpin kelab dan persatuan.

“Penerapan modul di dalam program ini merangkumi latihan fizikal, rohani dan kesediaan pelajar dalam membawa kelab/persatuan yang lebih baik dan cemerlang dalam membantu merealisasikan matlamat universiti bagi melahirkan graduan yang berkepimpinan, berkeyakinan dan berketerampilan,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat       Foto : Unit Empower ECER-UMK

MUHAMAD AMIRUDDIN BIN SAIDI2

KERJASAMA Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menerusi Program Latihan Akademik Empower ECER telah mampu meningkatkan mutu dan prestasi pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2017 khususnya di negeri Kelantan.

m.amirul izzat

Kerjasama itu membabitkan UMK yang bertindak sebagai Penyedia Perkhidmatan Program di bawah Empower ECER bagi kawasan Ketereh, Bachok, Jeli dan Gua Musang.

Menurut Pengarah Unit Empower ECER-UMK, Dr Arbaiah Abdul Razak, kejayaan itu dibuktikan dengan pencapaian cemerlang 360 pelajar SPM 2017 di empat daerah di negeri ini yang mendapat keputusan 100 peratus lulus seterusnya melayakkan mereka untuk mendapat Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 40 pelajar memperolehi keputusan 5A ke atas dan sebahagian besar pelajar yang mendapat keputusan 5A ke atas ini adalah pelajar dari Parlimen Jeli.

“Kejayaan yang diperolehi oleh kesemua pelajar dibawah Empower ECER-UMK itu cukup membanggakan kerana 89 peratus pelajar ini telah menunjukkan prestasi dari segi Gred Purata Murid (GPM) sekaligus membuktikan kejayaan program Empower ECER,” katanya pada Majlis Kecemerlangan SPM 2017, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Bachok, Kelantan, pada 15 Mac 2018.

Turut hadir, Pengurus Besar ECERDC Kelantan, En. Jalaludin Omar.

ECERSPM20186Pada majlis itu, pelajar cemerlang SPM 2017 yang terlibat di bawah program Latihan Akademik empower ECER telah diraikan dan menerima sijil serta hadiah sagu hati bagi menyuntik semangat mereka untuk mengekalkan meneruskan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

Dr. Arbaiah berkata, majlis Kecemerlangan SPM 2017 untuk Program Latihan Akademik 2017 itu merupakan satu usaha untuk memberi memberi semangat dan galakan kepada pelajar untuk terus berjaya dan mencapai cita-cita mereka selepas tamat peperiksaan.

"Program ini merupakan salah satu program anjuran ECERDC dengan kerjasama UMK,” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan ini seharusnya diiringi dengan usaha yang berlipat kali ganda lagi kerana SPM bukannya pengakhiran perjuangan untuk mengejar cita-cita,

“Pelajar seharusnya berusaha dengan lebih gigih lagi dengan memasuki institut pengajian tinggi samada universiti awam, swasta dan juga bidang teknikal.

ECERSPM2018“Kejayaan ini amat membanggakan apabila pelajar dibawah program Latihan Akademik empower ECER merupakan pelajar yang lemah matapelajaran dan dalam golongan B40 telah mampu mencapai kejayaan yang hasil program anjuran Empower ECER dengan kerjasama UMK,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Jeli (2), Mohamad Amirul Izzat Sabri, yang berjaya memperoleh keputusan 5A pada SPM 2017 menyifatkan kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kerjasama dan bimbingan yang diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya program Empower ECER.

Katanya, sebelum menyertai program latihan akademik Empower ECER keputusan peperiksaannya kurang baik dan lemah dengan hanya mendapat 1B1C1D dan 6G.

“Selepas menyertai program tersebut saya terkejut dan gembira selepas mendapat keputusan SPM baru-baru ini kerana berjaya memperolehi 5A dan lulus semua matapelajaran.

“Kejayaan ini adalah dorongan menerusi program Empower ECER yang dianjurkan di sekolah seperti program Gilap Minda, Campus Life, English Fun Day dan Superb Mind telah banyak memberi manfaat khususnya kaedah untuk meningkatkan cara pembelajaran dan ulangkaji yang betul dan sistematik,” katanya.

Mohamad Amirul, turut bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak kerana memberi telah menyuntik semangat dan motivasi dalam diri untuk beliau berjaya dalam mengejar cita-cita saya sebagai seorang pegawai polis.

Katanya, dengan pendapatan keluarga ayahnya seorang pemandu lori dan ibunya seorang suri rumah sepenuh masa amat sukar baginya untuk mendapatkan tuisyen luar yang pasti menelan belanja ratusan ringgit.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat             Foto : Pusat Islam UMK

Picture4

SERAMAI 1,180 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat manfaat daripada program Infaq anjuran Pusat Islam UMK, sepanjang tempoh Januari sehingga Disember 2017 membabitkan peruntukan berjumlah RM21,357.80.

Picture5

Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad berkata, usaha yang dilaksanakan itu bertujuan untuk meringankan beban pelajar melalui sumbangan berupa bantuan makanan dengan menyasarkan pelajar daripada golongan asnaf.

Beliau berkata, program Infaq ini meliputi bantuan makanan dan berupa bantuan lain yang dilaksanakan bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan.

“Program yang bermula sejak tahun lalu itu memberi manfaat kepada pelajar membabitkan ketiga-tiga universiti iaitu UMK Bachok, UMK Kampus Kota dan UMK Kampus Jeli.

"Antara inisiatif dan pendekatan yang telah dilaksanakan oleh Pusat Islam UMK adalah dengan memberi bantuan kupon makanan percuma dan tajaan berbuka puasa,” katanya selepas Majlis Budaya Ilmu, di Masjid UMK, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Picture1

Menurut Prof. Madya Dr. Azhar, pada semester lepas pihak Pusat Islam telah mengagihkan kupon makanan sebanyak RM70 seminggu untuk setiap pelajar bagi membolehkan mahasiswa mendapatkan makanan dan minuman secara percuma di kafe atau restoran telah disediakan.

Katanya, pihak Pusat Islam UMK juga menitikberatkan program kerohanian seperti aktiviti memasak bubur Asyura, majlis berbuka puasa dan sebagainya

Prof. Madya Dr. Azhar berkata, objektif utama program Infaq adalah bertujuan membudayakan amalan infaq/sedekah dalam kalangan warga universiti dan merealisasikan misi UMK dalam memberi perkhidmatan berasaskan tanggungjawab sosial.

Katanya, program ini dilaksanakan melalui skim potongan gaji daripada staf sebagai usaha untuk membudayakan amalan infaq untuk menampung perbelanjaan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti berorentasikan kebajikan yang dianjurkan.

Picture2

"Saya yakin peruntukkan hasil daripada pemotongan gaji ini boleh ditambah sekali ganda lagi pada tahun depan, sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar kurang berkemampuan untuk mengikutinya.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan lebih 1500 pelajar untuk mendapat manfaat daripada program infaq ini dengan penambahan bilangan staf yang menyertai skim pemotongan gaji,” katanya.

Sehubungan itu, pihak Pusat Islam amat mengalu-alukan penglibatan staf UMK untuk menyumbang dan merebut ganjaran pahala bersedekah dengan kadar minimum sebanyak RM3.00 sebulan.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Al Azam Razi

021D085C 7E32 4BDA 81A6 5DAFED17E7CA

BESUT 18 Mac 2018 – UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) yang dikenali sebagai kampus Universiti P. Ramlee, di Taman Ilmu, Besut, Terengganu, pada 15 Mac 2018.

658A725C 203D 4C40 BEFB C2E0EF114356MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar manakala ASWARA diwakili oleh Rektornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Mohd. Rizon Johari.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Dato’ Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Terengganu, YB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Rashidi Hasbullah yang mewakili Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Kerjasama UMK dengan ASWARA memfokus kepada bidang seni kreatif iaitu latihan, bidang pendidikan, pembangunan modal insan, penyelidikan dan perkongsian pengetahuan serta pembangunan dan pertukaran pelajar dan pensyarah.

Menurut Prof. Datuk Dr. Ir. Mohd. Rizon, kampus Universiti P.Ramlee yang bakal membuat pengambilan pada September ini di Taman Ilmu adalah cawangan pertama selain kampus induk di Kuala Lumpur .

Beliau berkata, sesi pengambilan pertama pelajar dijangka dalam lingkungan 500 hingga 1,000 orang untuk September ini.

6B5C36D2 2470 442C 8B0E FC74B802DE0A“Kampus Universiti P. Ramlee itu akan menggunakan sembilan blok bangunan di Taman Ilmu, dan pihaknya menyasarkan jumlah keseluruhan pelajar akan mencecah sekitar 5,000 apabila berkembang kelak.

“Pada hari ini berlangsungnya majlis penyerahan tapak kampus Universiti P. Ramlee oleh Menteri Besar Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Rashidi Hasbullah yang mewakili Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz,” katanya.

Tambah beliau, pada majlis itu juga, berlangsungnya majlis menandatangani MoU antara ASWARA dengan dua buah universiti awam iaitu UMK dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menjalinkan kerjasama apabila kampus itu beroperasi.

“Menerusi kerjasama itu, kedua-dua buah Universiti Awam itu akan menfaatkan semua kemudahan yang terdapat di kampus ini seperti asrama, kompleks Pusat Pelajar, Dewan Konvokesyen Dan Kompleks Sukan Serta Mini Stadium dan Masjid,” katanya.

Published in Latest News

What our Students say?

Latest Update: 15 July 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search