Latest News

Items filtered by date: December 2017 - Universiti Malaysia Kelantan
Thursday, 18 October 2018 12:23

PESKO 2018 LEBIH MERIAH LEBIH BERIMPAK

0I1A9025

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi & Abd. Halim Hafiz

PENGKALAN CHEPA 17 Oktober I Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kali Ke 8 yang melabuhkan tirainya semalam berjaya mencapai sasaran 10,000 pengunjung sepanjang enam hari berlangsung bermula pada 12 Oktober sehingga 17 Oktober 2018.

Penganjuran PESKO 2018 adalah salah satu pengisian utama sempena Istiadat Konvokesyen UMK.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata, jumlah kehadiran pengunjung lebih ramai berbanding pada tahun sebelum ini kerana penganjurannya lebih tersusun dan terancang dari sudut perancangan program-program yang lebih meriah dan berimpak tinggi kepada mahasiswa-mahasiswi serta masyarakat setempat khususnya.

Beliau berkata, pihak sekretariat PESKO juga melakukan sedikit perubahan pelan tapak niaga yang dilaksanakan secara berpusat di lokasi lebih strategik bagi memudahkan pengunjung untuk menjamu selera sekali gus membeli belah di sekitar tapak jualan.

“Kawasan tapak bunga dan Food Truck ditempatkan paling hadapan dan berdekatan dengan khemah ibubapa/penjaga yang hadir bagi Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-8.

“Selain itu, pelbagai aktiviti menarik dan istimewa sepanjang berlangsung PESKO turut menjadi faktor penyumbang kepada kehadiran pengunjung seperti Konsert PESKO Megastarz, Fun Ride dan Emoji Run, yang buat pertama kalinya diadakan sewaktu Pesta Konvokesyen UMK berlangsung,” katanya pada majlis perasmian penutup PESKO 2018, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarbangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum & Pembangunan Pelajar, HEP, Dr. Mohd Nazri Muhayiddin.

PESKO 2018 juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung dengan 21 slot program selama enam hari seperti Bengkel Kerjaya dan Kemahiran Berkomunikasi, Projek Diskusi Siswa, PESKO Great Talent, Quran Hour dan Malam Tarbiah.

Pengunjung juga turut berpeluang beramah mesra dengan barisan personaliti yang membuat persembahan seperti Hazama, Aepul Drama Band, Khai Bahar, Nizam Laksamana, Shahrul AF, KuchaiMars dan penampilan khas Erudite Band dan Gamelan Le Waris yang dianggotai oleh Mahasiswa dan Mahasiswi UMK yang sedang meningkat naik.

Selain itu, turut diserikan lagi dengan penampilan juara pertama program Gema Gegar Vaganza 2017, kumpulan nasyid popular iaitu UNIC .

Pengunjung juga boleh membeli-belah pakaian, makanan dan produk lain yang turut dijual di lebih 40 gerai yang terdapat di pekarangan Kolej Kediaman Taman Bendahara.

Published in Latest News
Tuesday, 16 October 2018 12:45

GRADUAN UMK GENERASI HARAPAN NEGARA

44070838 1979291048792253 9041206105711050752 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi & Abd Halim Hafiz

PENGKALAN CHEPA 14 OKTOBER – Graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) harus memiliki keperibadian dan akhlak yang terpuji seperti jujur, ikhlas dan berintegririti dalam melaksanakan amanah dan tugas yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat.

Tengku Pro - Canselor UMK, YBM, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bertitah, sesungguhnya kecemerlangan akademik tidak akan berguna sekiranya perkara itu tidak difahami dan dihayati untuk menjadi seorang graduan yang bernilai kepada gama bangsa serta negara.

Titah baginda, para mahasiswa telah menamatkan satu episod dalam kehidupan kerana fasa baharu telah bermula yang akan dipenuhi dengan cabaran yang memerlukan kebijaksanaan, kematangan, pengetahuan, kemahiran dan jati diri yang utuh.

“Beta mengingatkan gunakanlah segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang pengajian di universiti untuk memberi khidmat bakti kepada keluaraga, masyarakat, bangsa dan negara.

“Jagalah nama baik keluarga dan universiti kerana anda merupakan generasi harapan negara,” titah baginda selepas mengurniakan ijazah pada hari kedua Istiadat Konvokesyen UMK Ke-8, dari 13 hingga 17 Oktober 2018 di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kelantan.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Pada majlis itu, seramai 666 graduan terdiri daripada penerima Ijazah Sarjana Muda Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan yang berjaya menamatkan pengajian di UMK.

Baginda juga berharap UMK terus mempertingkatkan hubungan dan kerjasama erat dengan pihak kerajaan negeri mahu pun persekutuan demi kecemerlangan UMK sebagai institusi pendidikan tinggi negara.

Titah baginda, UMK seharus menyumbang kepada kesejahteraan dan kebaikan rakyat keseluruhanya kerana kepakaran ada masih banyak ruang yang boleh digerakkan oleh universiti untuk memperkukuhkan lagi insiaitif sedia ada bagi sama-sama memajukan negeri ini.

“Antaranya berkaitan dengan pembangunan keusahawanan, teknologi pertanian dan penternakan, industri pelancongan tempatan dan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

“InshaAllah, saya yakin perkara ini dapat dilaksanakan dengan jayanya jika konsep sinergi antara kesemua pihak yang disebutkan tadi dapat direalisasikan dengan sebaiknya,” titah baginda.

Published in Latest News

HLM 4707

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Abdul Halim Hafiz

KOTA BHARU I Alumni Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disaran menyumbang kembali kepada UMK dalam kapasiti masing-masing demi manfaat bersama.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata, dengan pengalaman dan kematangan yang dimiliki seniors telah tibalah masanya warga alumni menjadi inspirasi cemerlang kepada pelajar baharu (juniors) anda yang masih menuntut di UMK.

Beliau berkata, secara relatifnya Universiti ini masih muda berbanding sebahagian Universiti Awam (UA) lain di Malaysia, namun usia 11 tahun tersebut bukanlah alasan kepada kita untuk tidak berbuat sesuatu pada hari ini bagi melakar masa depan yang lebih gemilang di masa mendatang.

“Pada tahun ini, UMK meraikan majlis konvokesyennya yang kelapan dan ini menunjukkan bahawa universiti sudah melahirkan lapan generasi alumni.

“Bayangkanlah betapa besar impak yang dapat diberikan oleh lapan generasi ini kepada UMK sekiranya peranan mereka sebagai alumni dijalankan secara fully utilized dan dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya pada perasmian majlis Alumni Meet And Greet 2018, di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, Kelantan, pada 13 Oktober 2018.

Turut hadir, Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA), En. Mohd Akhmal Abu Bakar dan Presiden Protem Persatuan Alumni UMK, En. Mohd Saffiri Ibrahim.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, jumlah keseluruhan alumni UMK telah mencecah seramai 9, 694 orang menandakan bahawa usrah graduan kita semakin bertambah tahun demi tahun.

Katanya, dengan jumlah keseluruhan itu menjadikan UMK sebagai sebuah Universiti Keusahawanan yang progresif dan berdaya saing dengan universiti-universiti awam yang lain dalam negara kita.

“Para alumni dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada UMK sebagai alma mater dalam konteks kelestarian kewangan sesebuah Universiti sebagaimana yang telah dibuktikan di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Saya berpendapat bahawa satu model kemandirian dan kelestarian UMK hendaklah dirangka demi meletakkan peranan alumni pada posisi yang signifikan iaitu dalam konteks jaringan pasaran dan penjanaan endowmen,” jelas beliau.

Justeru, beliau percaya bahawa kepimpinan Persatuan Alumni UMK yang sedia ada berkeupayaan untuk berperanan dalam kapasiti yang saya nyatakan sebentar tadi berbekalkan kelebihan-kelebihan yang ada.

Sementara itu, En. Mohd Saffiri berkata sebagai alumni perlu mengenang jasa universiti serta berusaha menyumbang semula kepada universiti dengan apa cara sekalipun.

Katanya, melalui program seperti ini adalah salah satu cara untuk kita menunjukkan penghargaan dan kesetiaan kepada Universiti yang telah memberi peluang untuk memperolehi ilmu.

“Alumni juga perlu berfikir di luar kebiasaan selain ingin mengapai cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya di luar sana,” jelasnya.

Beliau berkata, tempoh belajar di UMK selama empat tahun bagi graduan pra-siswazah dan beberapa tahun bagi pelajar pasca siswazah adalah satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Banyak kenangan pahit manis dan suka duka terpahat di dalam sanubari siswazah.

“Bukan mudah untuk mendapatkan segulung ijazah tak kiralah sama ada sarjana muda, sarja ataupun doktor falsafah cabarannya tetap ada. Namun, tanpa cabaran dan semangat serta kecekalan yang jitu tidak mungkin kita dapat menamatkan pengajian kita di Universiti ini,” katanya.

Tambah beliau, oleh itu hargailah jasa pensyarah, profesor serta staf UMK kerana tanpa mereka siapalah kita pada hari ini.

Published in Latest News

43951494 1977588265629198 5834221959285571584 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 13 Oktober I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraikan 2,721 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada 13 sidang Istiadat Konvokesyen yang berlangsung pada hari ini sehingga 17 Oktober (Rabu).
Seramai 10 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 55 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 2,618 graduan Ijazah Sarjana Muda.


Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, berkata, dengan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Ke-8 hari ini menunjukkan dari segi enrolmen pelajar, UMK kini mempunyai seramai 8,875 orang pelajar yang mengikuti pengajian di lapan fakulti yang melibatkan 24 program pengajian di peringkat Sarjana Muda.


Beliau berkata, fakulti pengajian merangkumi ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Kota, Kampus Bachok dan Kampus Jeli yang mana turut melibatkan pelajar di peringkat Sarjana, MBA, DBA dan Doktor Falsafah.


“Kebolehpasaran graduan UMK atau Graduate Employability secara keseluruhan berdasarkan data pengesanan graduan 2017 mencatatkan 68.6 peratus yang mendapat pekerjaan (selepas 6 bulan bergraduat).


“Peratusan ini termasuk graduan yang menjalankan pekerjaan sendiri, melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran,” katanya pada Istiadat Konvokesyen Ke-8, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Menurut Prof. Dato; Dr. Husaini, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) berperanan menghasilkan graduan perubatan veterinar yang kompeten dan bercirikan keusahawanan dimana sejak 2014 sehingga September 2017.


“FPV telah pun menghasilkan seramai 149 doktor perubatan veterinar dengan kebolehpasaran graduan yang membanggakan iaitu 100 peratus,” katanya.


Sementara itu, beliau memberitahu bahawa pemantapan sistem penyampaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui penggunaan pelbagai strategi e-pembelajaran atau e-learning.
“Pada tahun 2018 merupakan detik kejayaan UMK apabila menduduki tempat kedua dalam pembelajaran teradun (Blended Learning) daripada 20 Universiti Awam.


“UMK juga menggondol emas terbanyak apabila memenangi Enam Emas, Tiga Perak dan Enam Gangsa menerusi kategori Invention, Innovation And Design On E-Learning dan juga Outstanding e-Learning Product Award 2018 dalam International Carnival On E-Learning yang berlangsung di UIAM pada bulan September lalu.


Prof. Dato’ Dr. Husaini juga berbangga dengan pencapaian pasukan MOOC UMK yang telah mengendalikan Bengkel Pembangunan MEDLIT MOOC di Chulalongkorn University, Srinakharinwirot University di Thailand, serta University of Social Science and Humanities dan Academy of Journalism & Communication di Vietnam.


Katanya, dalam aspek keusahawanan UMK sebagai universiti berteraskan keusahawanan, penglibatan pelajar dalam syarikat perniagaan di kampus sentiasa ditekankan dan telah menunjukkan peningkatan.


“Sehingga kini, berdasarkan pangkalan data E-SSU sehingga Ogos 2018, seramai 694 pelajar telah terlibat dengan perniagaan semasa dalam pengajian dengan pendaftaran sebanyak 367 buah syarikat.


“Menerusi program latihan dan pembangunan keusahawanan pelajar yang turut dijalankan, usaha ini diharap dapat meningkatkan bilangan graduan usahawan yang akan dihasilkan selepas menamatkan pengajian,” jelasnya.


Prof. Dato’ Dr Husaini berkata dalam usaha merancakkan agenda keusahawanan, UMK telah menganjurkan program Social Business Forum pada april 2018 yang lalu, dengan harapan mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan di mana syarikat yang diuruskan secara social business ini dapat berkembang dengan baik.

Beliau mahu pelajar-pelajar yang dihasilkan adalah pelajar atau graduan yang mencipta pekerjaan dan bukan lagi semata-mata mengharapkan peluang pekerjaan yang sedia ada sahaja.
“Sehubungan itu, pihak kementerian pendidikan juga telah mengiktiraf UMK sebagai pusat keusahawanan sosial atau Social Enterprise Centre (SEC) pertama di Malaysia yang bakal menyumbang kepada pemantapan aspek Social Business di Malaysia dengan peruntukkan geran padanan sebanyak RM1 juta beserta pelancaran Dana Keusahawanan Sosial (DKS) berjumlah RM2.6 juta,” katanya.

Tambah beliau, dari aspek penyelidikan dan inovasi, UMK turut memberi penekanan kepada penyelidikan yang berimpak kepada dunia akademik dan masyarakat melalui penumpuan terhadap pelbagai bidang tujahan mengikut kepakaran di Universiti.
Katanya, sehingga September tahun ini sebanyak 26 geran penyelidikan bernilai RM1 juta diperoleh melibatkan geran kerajaan, agensi luar dan antarabangsa.

“Aktiviti penyelidikan turut menyumbang kepada universiti dalam meraih anugerah dan pengiktirafan. Pada tahun ini UMK terus meraih beberapa kejayaan yang membanggakan dengan memenangi enam Emas dan Enam Perak di ITEX 2018.
“Kejayaan ini memberi motivasi kepada staf dan juga pelajar siswazah untuk terus berusaha dengan lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Published in Latest News

44032514 1977576358963722 7174738233698287616 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Al Azam Razi dan Abdul Halim Hafiz

PENGKALAN CHEPA 13 OKTOBER I Pemangku Sultan Kelantan, Yang Maha Mulia (YMM), Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra mahu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bergerak dengan lebih berkesan dalam mencapai agenda kecemerlangannya selaras dengan status autonomi yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.


Baginda selaku Canselor UMK bertitah, pengiktirafan ini menunjukkan UMK telah bersedia menggalas tugas dan tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan tadbir urus institusi, kewangan, sumber manusia dan akademik berada pada landasan yang tepat.
Titah baginda, kewujudan UMK sejak 11 tahun mendokong aspirasi sebagai Universiti berteraskan keusahawanan dengan memiliki peranan yang amat penting dalam mengasah bakat dan minda mahasiswa mendepani cabaran masa hadapan yang semakin mencabar serta kompleks.


“Beta percaya dengan komitmen dan kesungguhan pihak Universiti terus berusaha membawa UMK ke peringkat yang lebih cemerlang dan mampu bersaing dengan Universiti dalam dan luar negara,” titah baginda di Istiadat Konvokesyen UMK ke-8, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, hari ini.


Turut berangkat, Tengku Temenggong Kelantan selaku Pro Canselor UMK, Yang Berhormat Mulia (YBM), Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Tengku Laksamana Kelantan, YBM Tengku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Ibrahim.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Bentara Kanan Dato’ Ahmad bin Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Mohd Gazali bin Abas, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.


Pada Istiadat Konvokesyen Ke 8 hari ini, UMK meraikan seramai 2,721 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam 13 sidang istiadat konvokesyen yang bermula pada hari ini sehingga Rabu.


Daripada jumlah tersebut, seramai 10 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 55 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 2,618 graduan Ijazah Sarjana Muda.


Selain itu, YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra juga berkenan menganugerahkan Anugerah Diraja kepada graduan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, Dr. Ng Kian Ying dan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan Kepujian, Darwisy Shahidy Baharudin.
Sementara itu, bagi Anugerah Canselor, Yagacillan A/L Asogan graduan Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) dengan Kepujian dan Nur ‘Adilatul Fitry Jamaluddin graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains) dengan Kepujian.

Manakala Anugerah Naib Canselor, Sarmila A/P Rathamanalan (Sarjana Muda Sains Gunaan - Sumber Asli), Teoh Xiu Pei (Sarjana Muda Sains Gunaan - Penternakan), Natasha Yussof (Sarjana Muda Keusahawanan – Perdagangan), Yew Ching Ryu ( Sarjana Muda Keusahawanan – Pelancongan), Nur Syakirin Zulhaimi – Doktor Perubatan Veterinar) dan Noraidah Hoo@Mohd Amir (Sarjana Muda Sains Gunaan – Teknologi Bahan).


Bagi Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA diberikan kepada graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains), Nur ‘Adilatul Fitry Jamaluddin, Anugerah Keusahawanan Komersial di raih oleh Darwish Shahidy Baharuddin dan NurSyahmina Baharuddin iaitu graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam).


Dalam pada itu, YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, UMK sewajarnya menjadi peneraju ke arah kecemerlangan hub pendidikan di Kelantan dengan mengembalikan Kelantan sebagai pusat pendidikan terulung di dalam Negara.
Baginda bertitah, perkara ini boleh dilaksanakan melalui kepakaran yang ada pada Universiti yang mampu menjadi rujukan semua pihak berkepentingan untuk memajukan pembangunan keusahawanan, teknologi pertanian dan penternakan, industri pelancongan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.


Titah baginda, kewujudan UMK dalam tiga kampus utama mampu menjayakan agenda pembangunan negeri sekiranya ia disenergi dengan semua pihak dan dapat direalisasikan dengan sebaiknya.


“Beta amat gembira UMK turut mendapat pengkitirafan antarabangsa dengan wujudnya Pusat Sumber Digital MOOC di UMK hasil kerjasam Erasmus+ melalui projek Media Literacy Competence For Social Change By European Union.


“Selain itu, kerjasama persefahaman akademik dengan universiti luar negara se[perti Universiti Of Seoul, Korea Selatan dalam aspek pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar serta penubuhan American Corner oleh Kedutaan Amerika Syarikat di UMK,” titah baginda.


Baginda juga berbangga dengan pencapaian UMK dalam memperkasakan Program Keusahawanan Sosial yang dianjurkan pada April 2018 dimana wujdunya kerjasama strategik antara industri dalam negara dan luar negara.


“Beta percaya program Social Business ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan di mana syarikat yang diuruskan secara Social Business ini dapat berkembang dengan baik,” titah baginda.

Published in Latest News

1

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU 2 Oktober I Selaras dengan hasrat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyebarluaskan kepakaran penyelidik kepada industri, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menganjurkan Hari UMK Bersama Industri di Hotel Grand Riverview, di Kota Bharu, Kelantan.

Program sehari itu adalah anjuran Pejabat Jaringan Industri dan Kolaborasi (ILCO) dan Pejabat Perundingan, Harta Intelek & Pengkomersilan (CICO) turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Institut Keusahawanan UMK (UMKEI), Institut Perusahaan Kecil Dan Sederhana (ISME) serta Pusat Penyelidikan Keusahawanan & Inovasi Global(GERIC).

4

Penyertaan membabitkan 71 industri merangkumi pelbagai bidang perniagaan seperti pembuatan perabut, pemprosesan makanan, percetakan, pengeluaran batik, pembuatan seni kreatif tradisional, penyediaan khidmat kreatif dan penyediaan makanan ternakan hadir pada program ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar berkata, program ini adalah insiatif UMK dalam mendapatkan kerjasama positif dengan pihak industri menerusi jalinan hubungan baik dalam mempergiatkan kepakaran dalam menanggani permasalahan yang berlaku di industri.

Beliau berkata, program ini bermatlamat mengalakkan jalinan kerjasama antara Universiti dengan Industri dalam penyelidikan, perundingan dan pengkomersialan dalam memastikan pemindahan penyelidikan kepada komuniti berjaya dilaksanakan.

“Bagi memastikan jalinan kerjasama ini dapat berlangsung, seramai 75 orang penyelidik telah menghadiri program ini dan penglibatan ini adalah dari semua fakulti untuk ketiga-tiga kampus UMK.

“Melalui program ini membuka peluang kepada industri untuk melibatkan penyelidik dalam peluang-peluang kerjasama di peringkat universiti seperti perundingan, geran padanan dan pengkomersialan,” katanya pada majlis perasmian Hari Bersama Industri.

Turut hadir, Pengarah MITI, En. Nik Mohd Fahim Muhaimin, Pengarah Jalinan Industri dan Komuniti, Dr. Mohd Hafiz Jamaludin dan Timbalan Pengarah Aktiviti KeusahawananUMKEI, Encik Wan Mohd Yusuff Wan Ibrahim.

Sementara itu, Dr. Mohd Hafiz berkata, program ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu, taklimat kepakaran Universiti, taklimat geran Public Private Research Network (PPRN) dan pameran inovasi.

Katanya, pelbagai peluang jalinan kerjasama dalam dijalankan memandangkan UMK mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian, seni kreatif, keusahawanan dan perniagaan serta teknologi kejuruteraan.

“Program ini adalah platform kepada penyelidik untuk memahami kehendak industri bagi memastikan penyelidikan yang akan dihasilkan mampu dipindahkan kepada industri dan secara tidak langsung mendekatkan penyelidik dengan industry dalam profram khidmat komuniti seperti pemindahan teknologi dan lain-lain.

“Program ini juga membantu universiti dalam pengumpulan maklumat jumlah industri yang terdapat di Kelantan dan seterusnya digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran seperti penempatan Latihan Industri kepada pelajar UMK, “ katanya.

Dalam pada itu, taklimat geran dan tatacara pengisian permohonan PPRN telah disampaikan oleh Penolong Setiausaha Unit Keusahawanan & Public Private Research Network (PPRN), Tuan Mohd Nizam Tuan Mustapa.

Published in Latest News

HLM 2369

JELI 2 Oktober I Dalam usaha melestarikan pembudayaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja untuk kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Politeknik Jeli, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Kelantan menganjurkan program OSH4U & OSHTVET, bertempat di Dewan Serbaguna UMK Kampus Jeli, Kelantan.

Program yang mendapat penyertaan seramai 200 pelajar tahun akhir UMK pelajar Politeknik itu telah disempurnakan perasmian oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Lt. Kolonel Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kelanta, Ir Abdul Aziz Bin Salim, Timbalan Pengarah Politeknik Jeli, En. Mohd Noor Salleh dan Ketua Unit Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekejaan UMK, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rasdan Ismail.

HLM 2359Menurut Prof. Dr. Zaliman, penganjuran program ini adalah bertujuan sebagai langkah awal untuk menerapkan ilmu pengetahuan, kesedaran dan kemahiran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) kepada pelajar sebelum menceburkan diri ke alam pekerjaan.

Katanya, pendedahan awal ini juga dapat membuka peluang serta nilai tambah untuk digunapakai apabila menempuh alam pekerjaan kelak.

“Mengikut peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Seksyen 15, adalah menjadi tanggungjawab universiti dan lain-lain pusat pengajian (sebagai majikan) untuk memastikan pengetahuan dan kepentingan budaya kerja selamat dikongsikan kepada semua bakal pekerja,” jelas beliau.

Beliau berharap melalui program seperti ini serta penyertaan dari semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi dapat membantu para pelajar dalam menghadapi alam pekerjaan yang lebih mencabar

“Pengetahuan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan amatlah penting dalam membina generasi pekerja yang berkualiti dan mementingkan aspek keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Published in Latest News

42397388 1951930264861665 2281927050761601024 o

PENGKALAN CHEPA : Bilangan kemasukan pelajar Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menunjukkan peningkatan kepada 542 pelajar atau kenaikan sebanyak 40 peratus pada sesi semester September 2018/2019 berbanding tahun lepas iaitu 340 pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rafi Yacob, berkata, peningkatan ini adalah satu perkembangan yang baik kepada industri pelancongan dan hospitaliti yang mampu memberi manfaat serta pelbagai peluang kerjaya dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, antara faktor utama peningkatan pelajar ini adalah ekoran penambahan tawaran tempat di FHPK kerana mendapat permintaan tinggi daripada calon.

“Selain itu, peluang yang terbuka luas di industri ekoran permintaan tinggi daripada industri terhadap graduan dalam bidang pelancongan, hospitaliti dan kesejahteraan selepas mereka tamat pengajian juga menjadi penarik kepada peningkatan ini.

“Penyertaan industri dalam akademik di universiti turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman sebenar semasa belajar di universiti juga menjadi penyumbang kepada peningkatan pelajar FHPK,” katanya pada majlis perasmian program One Step Closer dan penyampaian sijil Anugerah Dekan FHPK, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 23 September 2018.

Turut hadir, Dekan FHPK, Prof. Madya Dr Ghazali Ahmad, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Dr. Roslizawati Che Aziz, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Mohd Fadil Mohd Yusof dan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan, Dr. Wan Mohd Nazdrol Wan Mohd Nasir.

Prof. Dr. Rafi menyarankan kepada FHPK untuk bekerjasama dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK khususnya dalam melaksanakan program-program kesukarelawanan, program kelab dan persatuan.

“Kerjasama ini bagi memastikan fakulti FHPK khasnya dan UMK amnya dapat melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah cemerlang dalam bidang-bidang lain serta pelajar-pelajar FHPK seimbang dalam kedua-dua bidang.

“Ini satu cabaran kepada pihak fakulti kerana pelajar FHPK perlu cemerlang dalam akademik dan bukan akademik kerana ini merupakan nilai tambah yang penting untuk pelajar dalam menempuhi sesi temuduga untuk bekerjaya dan akan meningkatkan peratusan Graduate Employability FHPK,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ghazali berkata, majlis Anugerah Dekan meraikan seramai 118 orang pelajar FHPK yang mencapai gred nilai kumulatif cemerlang (CGPA) iaitu 3.70 ke atas pada semester lepas.

Katanya, daripada jumlah 118 pelajar itu, seramai 50 pelajar adalah dari bidang Hospitaliti (SAH), 52 pelajar dari bidang Keusahawanan Kesihatan (SAW) dan 16 pelajar dari bidang Pelancongan (SAP).

Selain, majlis penyampaian anugerah dekan juga berlangsungnya program ceramah bertajuk One Step Closer Programme yang disampaikan oleh En Mohd Jamil bin Abdul Wahab iaitu Profesional Learning Fasilitator.

“Ceramah motivasi ini adalah bertujuan untuk meningkatkan semangat pelajar-pelajar FHPK untuk meneruskan kecemerlangan akademik dalam semester ini dan semester-semester seterusnya,” katanya.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

Published in Latest News

0I1A5855

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA I Pusat Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Kelab Kebajikan Staf UMK (KKSU) telah menganjurkan Seminar Keluarga Sakinah : Suami Berhemah, Isteri Peramah bertempat di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 20 September 2018.

Seminar yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JAHEIK, Dr Hasnan Hj Ramli, diadakan bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan kepada para peserta, khususnya yang telah berkahwin, tentang ilmu berkaitan memperkukuhkan lagi kerukunan rumah tangga yang menepati konsep yang disebut sebagai Mawaddah wa Rahmah.

Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Hj Nik Abdul Kadir Hj. Nik Mohamad, Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu dan Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad.

Sementara itu, tajuk ceramah yang dibincangkan pada seminar julung kali diadakan itu ialah ‘– Indahnya Berpasangan yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azhar, tajuk slot kedua ialah Suami Handsome, Isteri Owesome oleh Ustaz Mohd Suhaimi Mohamed iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK.

0I1A5846Ceramah ketiga bertajuk Sihir Dalam Rumah Tangga yang disampaikan oleh Dato’ Haji Nik Abdul Kadir.

Menurut Dr Hasnan, institusi kekeluargaan merupakan asas pembangunan sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati.

Beliau berkata kehidupan berumahtangga yang dibina perlu berasaskan nilai-nilai murni sebagaimana yang ditonjolkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana rumahtangga yang bahagia dan sempurna akan mampu menjamin lahirnya suami , isteri, ibu bapa serta anak-anak yang berkualiti.

“Setiap pasangan yang berkahwin semestinya mengimpikan satu kehidupan yang bahagia kerana rumahtangga yang bahagia menjadikan ahli-ahlinya dapat hidup dalam suasana tenang, harmoni dan selesa serta saling kasih mengasihi, hormat menghormati dan dapat melaksanakan setiap aktiviti-aktiviti rumahtangga dengan penuh kerelaan.

“Perjalanan hidup sesebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip prinsip saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lain, sentiasa memberi sokongan semasa menghadapi konflik dan saling bekerjasama dalam mneyelesaikan masalahyang dihadapi,” katanya.

Tambah beliau, kehidupan hidup berumahtangga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam menjalinkan hubungan suami isteri dan kegagalan untuk berbuat demikian akan mengundang ketegangan dan konflik.

“Oleh itu, tidak mustahil jika dikatakan bahawa krisis adalah salah satu perkara lumrah di dalam sebuah rumahtangga kerana situasi ini hanya dapat di atasi dengan kebijaksanaan suami dan sokongan daripada isteri penyayang.

“Sebagai sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk orang Islam di Kelantan, amatlah berharap para suami dan isteri agar bersama-sama mengemudikan rumahtangga ke arah mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, aman damai, disirami dengan kasih sayang, saling menghormati , saling memahami, ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul, saling mempercayai dan memberi sokongan serta dorongan kepada kebaikan dan nasihat menasihati daripada melakukan kejahatan.

Beliau berharap mudah-mudahan seminar Keluarga Sakinah pada hari ini dapat merungkai segala permasalahan yang sering menjadi punca pergaduhan dan kemelut rumahtangga sehingga menjejaskan tanggungjawab kepada pasangan masing-masing.

Dalam pada itu, En. Pauzi berkata, seminar ini diharapkan memberi kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan berumahtangga agar mereka dapat melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT dengan sebaik mungkin.

Katanya, kerukunan rumah tangga yang aman, damai dan bahagia maka staf di mana-mana jabatan pun akan menunjukkan kerja yang baik.

Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, mungkin dalam bentuk skala yang lebih besar.

“Saya percaya kerjasama yang erat antara pihak JAHEAIK dengan Pusat Islam UMK dapat dipertingkatkan dan memberi manfaat kepada kita semua,” katanya.

0I1A5913

Published in Latest News

0I1A5721

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 19 September I Dalam usaha memperkukuhkan profesion perancangan kewangan di kalangan masyarakat dan institusi pendidikan di Malaysia, Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Malaysia Financial Planning Council (MFPC) bekerjasama menganjurkan Seminar Perancangan Kewangan Kali Ke 2 2018 bertemakan Health is Wealth ataupun Kaya itu Sihat.

Seminar sehari yang berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota turut diserikan dengan keberangkatan tetamu khas diraja, Yang Berhormat Mulia Dato’ Hajah Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

0I1A5708Majlis perasmian seminar dan Pelancaran Buku Takaful Ikhtiarku telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah.

Turut hadir, Pengarah GERIC, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Presiden Khalifah Group, En. Mohd. Rizal Hussin, Pengurus Kanan AIA, En. Mohd Azhar Md. Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif, Salihin Shariah Advisory, Prof. Madya Dr. Ahcene Lahsana.

Seminar Perancangan Kewangan kali ke 2, itu turut mendapat kerjasama daripada MFPC, Khalifah group, AIA, Prince court Medical Centre dan Persatuan Perancangan Kewangan Bijak Malaysia.

Menurut Prof. Madya Dr. Zailani, pengurusan kewangan dan merancang perbelanjaan dengan bijak daripada awal bukan sahaja membantu memudahkan menguruskan wang malah dapat menyelamatkan masyarakat daripada krisis kewangan.

Beliau berkata, setiap daripada kita memerlukan kemahiran untuk menguruskan wang supaya kita dapat menyelamatkan, dan jika mungkin, melabur untuk membantu memenuhi jangkaan kita untuk kehidupan yang selesa dan gaya hidup yang mencukupi dalam tahun-tahun persaraan kita.

Justeru itu, kerajaan telah melaksanakan strategi menyeluruh untuk meningkatkan tahap literasi kewangan kepada semua rakyat Malaysia, dan membolehkan mereka untuk mengambil bahagian dalam pasaran kewangan dengan yakin.

“Program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar, dan masyarakat setempat dalam membuat pilihan kewangan yang bijak bagi merancang masa depan dan masa persaraan mereka.

“Inisiatif oleh GERIC menubuhkan WEALTH LAB atau Makmal kekayaan di UMK ini diharapkan dapat bekerjasama dengan pemain kewangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih celik kewangan,” katanya.

Tambah Prof. Madya Dr. Zailani, program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar, dan masyarakat setempat dalam membuat pilihan kewangan yang bijak bagi merancang masa depan serta masa persaraan mereka.

“Seminar ini juga membantu mendidik dan memberi maklumat kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhan dan Kementerian Pengajian Tinggi menyambut baik inisiatif universiti industri yang membina platform baru untuk meningkatkan pendidikan kewangan dan industri pengurusan wang.

“Inilah contoh kerjasama Rakan Profesional UMK dan Pemain Industri kewangan ini, yang bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme industri perancangan kewangan,” jelas beliau.

Tambah beliau, pada seminar itu pihak GERIC telah berjaya mengumpulkan pelajar, siswazah, insuran dan ejen amanah serta penasihat kewangan berlesen di bawah satu payung untuk menyediakan standard pendidikan kewangan yang konsisten.

“Program ini bukan sahaja akan meningkatkan pengetahuan dan keyakinan kewangan dalam industri perancangan kewangan, tetapi juga membantu mewujudkan kesedaran dan literasi di kalangan masyarakat di Kelantan.

“Matlamat utama ialah kita mahu penduduk di negara memiliki pengetahuan dan pendidikan serta menghargai peranan perancangan kewangan.

Beliau berharap komuniti celik kewangan adalah sangat penting untuk membina keyakinan pengguna di pasaran kerana mereka lebih bersedia untuk memilih pelaburan mereka dengan bijak.

“Pelabur mesti memahami hubungan risiko berbanding ganjaran untuk menguruskan wang secara bertanggungjawab dan untuk melindungi diri daripada penipuan skim cepat kaya yang menjanjikan wang mereka dua kali ganda dalam masa yang singkat.

“Sekali lagi saya ulangi bahawa tiada jalan pintas untuk penciptaan kekayaan,” katanya.

0I1A5794

Published in Latest News
Page 1 of 15

What our Students say?

Latest Update: 18 October 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search