Latest News

Items filtered by date: November 2018 - Universiti Malaysia Kelantan

image 6483441

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Perjabat Perpustakaan & Pengurusan Ilmu

JELI 20 November I Bertepatan dengan persediaan mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat atau I.R 4.0, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) serta American Corner, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI) menganjurkan Bengkel Robotik Program Cakna STEM-Prof@School, di di Dewan Utama UMK Kampus Jeli, Kelantan.

IMG 20181119 094353Program sehari itu adalah seiring dengan kehendak industri bagi mendepani cabaran Industri IR 4.0 khususnya untuk mencambah minat pelajar dalam subjek sains dan matematik dengan memberi peluang kepada pelajar meneroka serta melaksanakan projek kajian inovasi serta kreativiti menerusi automasi dan robotik .

Seramai 50 pelajar daripada tujuh buah sekolah terlibat iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli, Sekolah Menengah Sains Jeli, SMK Agama Wataniah, SMK Tanah Merah 2, SMK Kuala Krai, SMK Sultan Yahya Petra 2 dan SMK Kemahang menyertai Bengkel Robotik 2018.

Menurut Pensyarah Kanan FBKT, Dr. Nor Hakimin Abdullah, objektif utama penganjuran bengkel ini adalah usaha dan pendekatan interaktif kepada pelajar sekolah bagi menarik minat mereka terhadap subjek Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Justeru, beliau berkata meneruasi bengkel asas robotik seumpama ini adalah platform terbaik yang berpotensi besar untuk mencapai misi berkenaan.

Katanya, pada program ini setiap peserta akan diberikan bimbingan pengetahuan serta kemahiran tentang asas robotik meliputi asas pengaturcaraan, penggunaan komponen seperti controller dan rekabentuk robotik serta fungsian robot yang dihasilkan itu sendiri.

“Pengisian bengkel sehari ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu Bengkel Asas Robotik yang merangkumi Pengenalan Komponen, Asas pengaturcaraan dan Rekabentuk Robotik manakala di sebelah petang diadakan Mini Robotic Challenge.

“Cabaran ini diadakan bagi menilai aplikasi pengetahuan dan kemahiran asas robotik pada slot pagi yang dikendalikan oleh dua jurulatih jemputan khas daripada Elvira Systems Sdn. Bhd dengan dibantu oleh 20 mahasiswa FBKT yang bertindak sebagai fasilitator,” katanya.

IMG 20181119 145727Sementara itu, Pustakawan Kanan PPI, En. Amirul Firdaus Zilah, berkata PPI melalui American Corner Kelantan sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan pihak fakulti atau industri yang berminat bagi menganjurkan program seperti ini.

Katanya, kerjasama ini berfokuskan kepada empat bidang utama iaitu pemerkasaan Bahasa Inggeris, STEM, IR 4.0 dan Warisan Budaya demi manfaat warga kampus dan masyarakat khususnya di Kelantan untuk minat kepada ilmu sains dan matematik terutamanya pelajar sekolah.

“Inisiatif ini adalah sebagai satu langkah ke hadapan yang dirintis oleh UMK dalam bidang pendidikan tinggi untuk membangunkan pendidikan yang relevan dan selaras dengan Industri 4.0,” jelas beliau.

Bengkel sehari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan FBKT (Akademik & Pembangunan Pelajar), Dr. Mahani Yusoff dan sesi penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan bersama oleh Dr. Nor Hakimin dan En Amirul Firdaus.

image 6483441 1

Published in Latest News

ls2

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak industri dalam memajukan bidang bio teknologi sekaligus menjana ekonomi baharu kepada negeri ini.

Pengarah Pusat Strategik Korporat UMK, Prof. Dato' Ir. Dr. Badhrulhisham Bin Abdul Aziz, berkata negeri Kelantan berpotensi besar dalam industri bioteknologi ekoran keluasan tanah yang terdapat di negeri dan amat sesuai untuk pembangunan industri tersebut.

Beliau berkata, UMK bersedia untuk berkongsi kepakaran dan penyelidikan saintifik dalam membangunkan industri bioteknologi memandangkan faktor muka bumi dan sumber asli yang masih banyak belum diterokai.

“Negeri ini memiliki pelbagai sumber asli yang boleh dimanfaatkan untuk industri bioteknologi.

“Sebelum ini, UMK telah terlibat dengan kerajasama kerajaan Negeri dalam membangunkan industri teknologi hijau dan akan meningkatkan lagi kerjasama yang lebih luas dalam membangunkan industri bioteknologi yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri Kelantan malah kepada pelajar, universiti dan masyarakat setempat,” katanya pada syarahan Program Chairman Lecture Series (CLS) di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Program Siri Syarahan Pengerusi atau Chairman Lecture Series 2018 adalah anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menampilkan Pengarah Solution Bioforce Sdn. Bhd, Dato' Mohd Nazlee Kamal dan Profesor Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Prof. Dato' Ir. Dr. Badhrulhisham sebagai penceramah.

Manakala moderator adalah Profesor FBKT, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Mengulas mengenai industri bioteknologi, Prof. Dato’ Dr. Ir Badhrulhisham berkata, tanaman herba merupakan salah satu antara yang cukup berpotensi untuk dimajukan kerana Kelantan memiliki tanah yang masih banyak dan bersesuaian untuk pembukaan ladang baharu.

Katanya, pihak UMK masih dalam menjalankan kajian dan penyelidikan untuk kawasan tanah mana yang sesuai dan tanaman apa yang berpontensi untuk dibangunkan.

“Kita sebagai universiti hanya boleh buat kajian dan penyelidikan dan memerlukan sokongan kerajaan negeri serta persekutuan untuk bekerjasama untuk memanfaatkan kepakaran kita dan secara tidak langsung akan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Sementara itu, Dato' Mohd Nazlee berkata pembangunan industri berasaskan bioteknologi adalah merujuk kepada semua aktiviti ekonomi yang diperolehi dari aktiviti saintifik dan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada bioteknologi.

Beliau berkata, pasaran bahan bioaktif telah muncul dengan mendadak dan melalui kesedaran dan kebimbangan kesihatan yang semakin meningkat orang ramai ingin mendapat info yang jelas terhadap sesuatu produk makanan dan minuman yang membantu mengekalkan diet seimbang dan kesihatan yang betul.

“Selain itu, pengilang juga mengambil kira faktor kemudahan untuk pengguna dan menyediakan nutrien yang sihat dalam makanan tambahan dan produk kosmetik yang semakin berkembang menggabungkan bioaktif dengan penjagaan diri.

“Pada masa kini terdapat lebih kurang 60 syarikat yang mengkhususkan diri dalam industri sebatian bioaktif dan ekstrak herba dimana mereka memerlukan lebih banyak bahan untuk pengeluaran dan pembangunan produk baharu,” katanya

Beliau berkata, kerjasama dan perkongsian kepakaran dengan pihak industri akan membawa banyak manfaat kerana pihak industri memerlukan lebih banyak usahawan untuk membolehkan industri bio berkembang dengan lebih pantas.

“Kita boleh memberi kerjasama dan tumpuan untuk membantu para usahawan mencari peluang membuat pembaharuan dalam membangunkan industri ini.

“Sebatian Bioaktif dari tumbuhan, rumpai laut, alga dan cendawan amat berpontensi untuk dibangunkan dan bakal menjadi industri bio yang mampan untuk Malaysia dan memberi peluang terbesar untuk melancarkan produk baharu ke pasaran dunia,” jelas beliau.

ls1

Published in Latest News
Monday, 26 November 2018 08:30

PESILAT UMK MENANG DUA EMAS DAN SATU PERAK

46445871 2028383420549682 5460372707168223232 n

Oleh : Pusat Sukan Dan Kebudayaan UMK

PASUKAN pencak silat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraih dua pingat emas dan satu gangsa di Kejohanan Silat Antarabangsa Kementerian Pendidikan Malaysia-Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2018 dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-9 2018, di Batu Pahat, Johor.

46476162 2028383353883022 1060829863818035200 nPingat emas pertama dimenangi oleh atlet silat, Che Iskandar Rashidi Che Din pada acara olahraga Putera kelas G manakala pingat emas kedua diraih oleh Aizza Husna Mohd Azam pada acara olahraga Puteri kelas BB.

Sementara itu, kejayaan cemerlang pasukan silat diteruskan pada kategori olahraga Putera kelas E dengan merangkul pingat gangsa oleh pesilat UMK, Muhammad Afiq Abdul Kahar.

Pembantu Belia Dan Sukan, Pusat Sukan Dan Kebudayaan UMK, En. Mohamad Nasrullah Izani, berkata, kejayaan tiga atlet itu telah berjaya menjulang nama UMK bukan sahaja di pentas negara malah di peringkat antarabangsa.

Katanya, kejohanan silat turut menyaksikan penyertaan pesilat-pesilat daripada negara luar bagi kategori Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Netherlend, Yaman, Singapore dan lain-lain.

“Pencapaian pasukan silat itu pengalaman dan menguji sejauh mana kemampuan pesilat-pesilat dalam bersaing di peringkat IPT,” katanya.

Sebanyak 34 pasukan bertanding dalam kategori IPT tempatan pada Kejohanan Silat Antarabangsa KPM-UTHM 2018 dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-9 2018 pada tahun ini.

Manakala bagi kategori seni silat asli melibatkan 35 pasukan daripada seluruh Malaysia dan antarabangsa iaitu Perak, Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Bandung, Jakarta, Tanjung Pinang dan lain-lain.46313364 2028383467216344 5497251916301729792 n

Published in Latest News

46495223 2036830346371656 2741630749210836992 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 25 November I Seramai 24 calon diumumkan menang pada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Sesi 2018/2019 yang berlangsung secara serentak di ketiga-tiga kampus UMK.

Pengumuman keputusan rasmi itu dibuat oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli sebaik sahaja pusat membuang undi ditutup pada jam 5.00 petang, di Halaman Llamar, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, proses pemilihan MPPUMK Sesi 2018/2019 atau pilihanraya kampus UMK kali ini berjalan dengan lancar dengan mencatatkan seramai 54.11 peratus atau 4330 pelajar daripada jumlah keseluruhan pelajar UMK seramai 8002 keluar mengundi.

Beliau berkata, bilangan yang keluar mengundi di UMK Kampus Kota mencatatkan seramai 2573 undi atau 52.84 peratus, UMK Kampus Jeli mencatatkan seramai 1034 undi atau 65.15 peratus manakala UMK Bachok mencatatkan jumlah keluar mengundi seramai 723 atau 46.77 peratus.

46683155 2036831453038212 6746011866612367360 o“Alhamdullilah, proses pengundian menerusi e-vote berjalan lancar dan peratusan yang keluar mengundi menunjukkan minat yang besar di kalangan para pelajar untuk mengundi calon-calon pilihan masing-masing.

“Pada tahun ini proses pengundian amat memberangsangkan yang dilaksanakan secara terbuka dan dikendalikan menerusi penglibatan para pelajar yang merupakan sukarelawan selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia untuk dalam memperkasakan fungsi student empowerment dalam merancang dan melaksanakan aktiviti,” katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum dan Pembangunan Pelajar, Dr. Mohd Nazri Muhayiddin.

Prof. Dr. Zaliman memaklumkan bahawa sebanyak 16 kerusi fakulti dipertandingkan manakala lapan kerusi umum dipertaruhkan pada pemilihan MPPUMK sesi 2018/2019.

Katanya, sebanyak dua kerusi dipertandingkan pada setiap fakulti iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Fakulti Senibina dan Ekistik (FAE), Fakulti Sains Bumi (FSB), Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT).

46517309 2036831336371557 706049961552248832 o“Manakala agihan kerusi umum melibatkan UMK Kampus Kota sebanyak tiga kerusi, Kampus Bachok sebanyak dua kerusi dan UMK Kampus Jeli sebanyak tiga kerusi dipertandingkan.

“Keputusan undi mencatatkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik Dan Perniagaan Pengedaran) Dengan Kepujian, Muhamad Ikhram Ahmad Shafri mendahului senarai saripada tujuh calon yang bertanding pada kerusi umum dengan memperoleh 1557 undi,” katanya.

Diikuti pelajar FHPK, Intan Noor Shaziera Ridzuan dengan meraih undi 1418 undi dan pelajar FKP, Muhammad Amirul Muhaimin Mazeli meraih 1385 undi.

Sementara itu, Prof. Dr. Zaliman berharap calon pelajar yang berjaya memenangi kerusi pada pemilihan kali ini dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik sekaligus menjadi wakil mahasiswa untuk menyalurkan sebarang permasalahan kepada pihak pengurusan universiti.

"Justeru, mereka yang dipilih menjadi wakil pelajar ini bakal mengisi kekosongan barisan anggota MPPUMK sesi 2018/2019 serta menjadi suara pelajar," katanya.

46516498 2036830553038302 2020337781221359616 o

Published in Latest News

0I1A8102

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU 25 November I Penggunaan teknologi internet dalam memasarkan produk kepada pelanggan secara dalam talian perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan untuk memastikan perniagaan kekal relevan serta sebagai kaedah terbaik dalam usaha mengembangkan portfolio perniagaan.

Pengarah Urusan, Mydin Mohamed Holdings Bhd, Dato’ Wira Ameer Ali Mydin, platform membeli belah secara atas talian yang semakin mendapat perhatian pada era digital ini menuntut usahawan lebih kreatif dan bergerak seiring perkembangan teknologi tanpa meminggirkan nilai moralnya.

Beliau berkata, ini adalah selari dengan peralihan revolusi industri IR4.0 yang menuntut supaya masyarakat mampu menyesuaikan diri dengan peralihan seperti yang berlaku terhadap perkembangan teknologi masa kini.

“Dunia perniagaan semakin mencabar dan melalui persaingan yang sengit namun sikap tidak berputus asa perlu menjadi asas kuat untuk berjaya,” katanya pada Seminar Keusahawanan dan Perniagaan Antarabangsa (ISEB) kali ke-6 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada 24 November 2018.

ISEB 2018 adalah anjuran Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dengan kerjasama Universitas Jayabaya, Universitas La Tansa Indonesia dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Indonesia.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Husaini Omar, telah menyempurnakan perasmian ISEB 2018 yang bertemakan Empowering Entrepreneurship Through Industrial Revolution 4.0.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Dekan FKP, Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah dan Tokoh Akademik, Prof. Adjung Shamsuddin Mohd Mahayidin

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, penganjuran ISEB 2018 adalah bermatlamatkan menggalakkan pembudayaan dan perkongsian idea dikalangan penyelidik, pelajar, pembuat polisi dan pengamal dalam bidang berkaitan untuk lebih memahami berkaitan isu-isu global (berkait bidang keusahawanan, perniagaan dan ekonomi, teknologi maklumat, kewangan islam dan pengurusan).

Katanya, ISEB adalah juga sebahagian usaha UMK memperkasa bidang keusahawanan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0. untuk membuka ruang kepada UMK melalui FKP membina jaringan dan kerjasama dengan pemain industri dan institusi yang berkaitan dalam perniagaan.

“Persidangan ini sebagai platform dan wadah dalam konteks percambahan minda dikalangan ahli akademik khususnya dan masyarakat umumnya untuk lebih memahami berkaitan tema-tema yang akan diutarakan (seperti kreativiti, pemasaran, logistik dan sebagainya).

“Bidang keusahawanan mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan teknologi dan keadaan itu menuntut usahawan dan pemain industri mempersiapkan diri menguasai bidang tersebut,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, kajian dan penemuan dalam bidang ini bukan sahaja boleh dikongsikan kepada pelajar tetapi lebih menyeluruh kepada semua pihak terutama usahawan dalam memperkasa keupayaan mendepani cabaran semasa dunia perniagaan.

0I1A8166

Published in Latest News

0I1A7141

Oleh   : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto   : Al Azam Razi

BACHOK 22 November I Sikap Orang Melayu hari ini yang kurang mampu dan mapan mengurus Bahasa Melayu dalam mendepani cabaran semasa antara faktor yang mempengaruhi kedudukan Bahasa Kebangsaan itu tidak berada pada kedudukan sewajarnya.

Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, berkata, secara perlembagaan Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik dan kerana sikap orang Melayu sendiri sebagai pencipta dan pemilik bahasa ini amatlah penting.

Beliau berkata, memetik kenyataan dalam satu artikel oleh tokoh terkenal iaitu Prof. Teo Kok Seong mengatakan orang Melayulah sendiri punca menjadikan Bahasa Melayu sebagai melukut di tepi gantang.

“Malah, dalam satu lagi artikel oleh Dr. Sarjit S Gill yang menyindir bahawa segolongan orang Melayu yang ingin menjadi orang Putih.

“Cabaran kedua yang dihadapi oleh Bahasa Melayu ialah telah mula dipinggirkan dalam sistem pendidikan nasional iaitu Program DLP (Dual Language Program) yang dianggap sebagai penjelmaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dikatakan gagal dan telah ditamatkan pada 2012,” katanya pada syarahan bertajuk Budaya Membaca, Ilmu Tinggi Dalam Bahasa Melayu dan Peduli Nasib Rakyat sempena program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, di Laman Monsun UMK Bachok, pada 18 November 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Dato’ A. Aziz Deraman.

Program ini adalah anjuran PERADABAN dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kluster Penyelidikan Peradaban dan Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan dihadiri lebih 300 pelajar.

Syarahan A. Kadir Adabai adalah bertujuan memupuk kesedaran mendalam generasi muda agar mengenali tokoh terkemuka tanah air serta menghayati pemikiran, bakti dan sejarah perjuangan mereka.

Menurut Dato’ Dr. Anwar, Bahasa Melayu juga semakin kurang digunakan dalam mata pelajaran kuliah-mata kuliah di universiti-universiti awam di negara ini.

Katanya, malah universiti-universiti swasta negara ini kedudukan bahasa Melayu lebih malang lagi kerana tidak mendapat tempat langsung.

“Justeru, kerajaan hari ini termasuk pihak kerajaan tempatan perlu memberi contoh serta isyarat yang jelas dan tegas terhadap status, kedudukan dan masa depan Bahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan yang rasmi atau pun tidak rasmi.

“Apakah ada komprador dalam kalangan kita. Komprador ialah pewaris nilai kolonial yang terdiri daripada peribumi dan melaksanakan agenda neokolonilaisme secara sistematik, bukan lagi secara keganasan dan penjarahan fizikal.

“Watak-watak peniru dalam kalangan peribumi dilahirkan oleh dasar kolonial bagi kepentingan mereka sebagai penyambung warisan nilai barat untuk dikekalkan dalam kalangan peribumi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan terdapat banyak lagi cabaran yang sedang dihadapi oleh Bahasa Melayu.

“Bagaimanapun, pada syarahan hari ini saya hanya menyebut tiga perkara dan cabaran-cabaran yang nyata adalah pada kita dapat memperlihatkan jumlah buku-buku ilmu tinggi dalam bahasa Melayu kian menurun jumlahnya.

“Padahal untuk terus berkembang, bahasa Melayu mesti mempunyai kepustakaan ilmu dan persuratan yang banyak malah dibaca secara meluas.

“Kepustakaan ini mestilah memenuhi selera, minat serta tuntutan ilmu pelbagai golongan –kanak-kanak remaja dan dewasa dan kepustakaan ini mesti meliputi semua bidang dan sub bidang,” katanya.

Dato’ Dr. Anwar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaa (ASWARA), turut memberikan contoh dalam tiga dekad penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan bahasa Melayu boleh digunakan sebagai bahasa ilmu tinggi melalui pengajaran, penyelidikan, penulisan dan penerbitannya.

“Namun, UKM kemudian perlahan-lahan meninggalkan kisah kejayaan ini.

“Sementara itu, dalam pembentangan Belanjawan 2019 awal bulan ini juga tiada perhatian dan peruntukan yang disuntik untuk menyegarkan industri perbukuan negara,” katanya.

0I1A7152

Published in Latest News

rasuah

PENGKALAN CHEPA 21 November I Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antaraangsa), Prof, Dr. Mohd Rafi Yaacob, mengetuai bacaan lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama 13 Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat UMK, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini.

Bacaan ikrar dan majlis menandatangani dokumen IBR disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Kelantan, En. Ramli Ismail dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof, Dr. Zaliman Sauli dan Menjalankan Tugas Pendaftar, Encik Mohd Akhmal Abu Bakar.

Sambutan Hari Integriti UMK diadakan oleh warga UMK yang mencerminkan komitmen warga UMK untuk memastikan UMK bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

Terdahulu, turut diadakan Ceramah Integriti: Shh…! Itu Rahsia (Akta Rahsia Rasmi 1972) yang disampaikan oleh Pengarah Keselamatan Negeri Kelantan, En. Ibirin Anak Ina.

Justeru itu, pihak Pengurusan Universiti berharap warga UMK mengamalkan tadbir urus cemerlang yang berpaksikan ketelusan, integriti dan profesionalisme yang tinggi selaras dengan Visi dan Misi UMK.

Laungkan semangat IKRAR BEBAS RASUAH.

Published in Latest News

0I1A4089

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU 30 OKTOBER I Menyedari persaingan sengit dalam dunia kerjaya pada masa kini, setiap mahasiswa harus melengkapi diri dengan penguasaan kemahiran ilmu keusahawanan yang relevan dan diperlukan khususnya untuk menceburi perniagaan dan bergelar usahawan yang berjaya.

Justeru, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Keusahawanan UMK (UMK-EI) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menganjurkan program Corporate Directors Training Programme (CDTP ) selama 3 hari 2 malam, bertempat di Hotel Crown Garden, Kota Bharu, Kelantan, pada 29 Oktober sehingga 31 Oktober 2018.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata, menerusi program itu UMK yakin dapat melahirkan lebih ramai mahasiswa menjadi usahawan sekali gus melahirkan lebih banyak majikan pada masa depan.

Beliau berkata, usaha itu lebih berkesan dengan penyampaian dan teknik pembelajaran kepada para pelajar tentang pengurusan, pentadbiran syarikat dan mengetahui tentang garis panduan perniagaan dan undang-undang yang perlu diikuti oleh semua pengarah syarikat mahasiswa universiti yang berdaftar.

“Pada program ini juga, para pelajar akan terlibat dengan aktiviti pembentangan perniagaan business pitching yang menawarkan hadiah bagi tiga kumpulan terbaik.

“Selain itu, pelajar akan diberi gambaran dan pengetahuan dalam bidang perniagaan yang lebih jelas kepada pengarah syarikat mahasiswa dalam memastikan syarikat mereka berkembang dengan baik mengikut lunas undang-undang dan peraturan dari semasa ke semasa,” katanya pada majlis perasmian program CDTP Siri Ke 4.

Turut hadir, Pengarah Akademi Latihan dan Pengurusan Pengetahuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) En. Amir Ahmad.

Program CDTP disertai seramai 140 peserta yang terdiri daripada lapan peserta setiap Universiti Awam (UA) di Seluruh Malaysia untuk mempersembahkan pengembangan perniagaan dan idea perniagaan.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, pada program itu pelajar juga diberi pengetahuan dan pendedahan dalam aspek-aspek dalam perniagaan seperti pemasaran, sumber manusia, dan kewangan disamping memberi kesedaran kepada peserta mengenai tanggungjawab dan peranan jawatan di dalam sesebuah syarikat serta pendedahan mengenai kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan dalam sesebuah syarikat.

0I1A4104Katanya, program seumpama ini akan dapat memberi peluang kepada pelajar universiti seluruh Malaysia untuk mengamalkan atau mempraktikkan sedikit sebanyak ilmu berkaitan dengan perniagaan, undang-undang dan peraturan perniagaan serta melatih mereka menjadi usahawan yang berjaya mengikut perkembangan teknologi terkini.  

“Di samping itu, program ini amat bermanfaat dan dapat membantu mahasiswa menceburi bidang perniagaan agar mereka tidak tersilap langkah dan akan merugikan mereka di masa hadapan dan seterusnya melahirkan graduan yang bercirikan job creator dan bukannya job seeker.

“Kejayaan pelaksanaan program ini akan melahirkan usahawan pelajar yang mendapat pendedahan dan pengalaman sebagai seorang usahawan sebenar, di samping dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat serta menjadi pencipta kerjaya di masa hadapan,” jelas beliau.

Sementara itu, En. Amir yang mewakili SSM telah menyumbang RM50,000 bagi menganjurkan program CDTP Siri Ke 4 sebagai salah satu inisiatif untuk memberi manfaat kepada golongan mahasiswa menjadi usahawan pada masa depan.

Katanya, program ini berkaitan ilmu menjadi usahawan berjaya dan bimbingan kepada pelajar untuk mengikuti latihan program keusahawanan seumpaama ini untuk meningkatkan pengetahuan.

“Trend kebelakangan ini, melibatkan diri dalam perniagaan atas talian adalah salah satu platform terbaik untuk menceburi perniagaan di mana ianya juga wajib didaftarkan.

“Pihak SSM sentiasa memberi sokongan kepada semua pihak termasuk UA dalam menjayakan program keusahawanan ke arah melahirkan golongan usahawan yang berilmu sekaligus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Published in Latest News

0I1A3648

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

DALAM usaha memastikan asas pendidikan negara dimartabatkan, Pengasas dan Pengarah Urusan Epic Valley Holdings, Prof. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Fng Ah Seng, menyumbang dana RM1 juta melalui geran penyelidikan kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk tempoh 10 tahun bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan bidang keusahawanan.

Geran penyelidikan yang diusahakan oleh UMK dengan kerjasama Yayasan Muhibah sebagai satu langkah mewujudkan penglibatan para akademik dan pihak industri khususnya dalam pembangunan pendidikan keusahawanan di negara ini.

Prof. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Fng Ah Seng berkata, sumbangan ini adalah untuk membantu UMK membangunkan projek-projek yang memberikan manfaat dalam bidang keusahawanan khususnya program inovasi dan penyelidikan keusahawanan dibawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK.

Beliau berkata, sumbangan RM 1 juta ini bagi tujuan penyelidikan khususnya UMK iaitu sebuah universiti yang mementingkan bidang keusahawanan.

“Sumbangan ini adalah selaras dengan saranan kerajaan untuk pihak industri membantu membangunkan pendidikan negara yang bertepatan dengan dasar Yayasan Muhibah dengan memberi fokus kepada pendidikan dan perubatan,” katanya selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk The Application of The Law of Laverage: In Achieving All Our Goals in Life, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

0I1A3752Sementara itu, Prof. Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Fng, dalam syarahannya di hadapan 1,000 pelajar memberitahu untuk mencapai kejayaan dan impian yang dicita-citakan kerana setiap pelajar atau usahawan perlu mendapatkan khidmat daripada mereka yang berjaya untuk dijadikan sumber inspirasi dan mentor.

Katanya, ini adalah kaedah terbaik untuk pelajar mendapatkan ilmu dan kepakaran daripada mereka yang berjaya dalam perniagaan.

“Sumber rujukan atau mentor akan membantu usahawan baru mencapai matlamat dalam perniagaan kerana mereka yang berjaya ini akan menjadi rujukan khususnya dalam aspek khidmat nasihat atau urusan perniagaan.

“Kepakaran ilmu atau meminjam sumber kuasa, pengalaman ilmu daripada orang berjaya untuk membantu kita mencapai objektif atau strategi yang menjadi impian kita selama ini kerana lazimnya mereka yang berjaya itu bijak, berkuasa dan memiliki ciri-ciri seorang pemimpin,” katanya.

Tan Sri Dato 'Paduka Prof. Dr. Fng Ah Seng dalam syarahannya telah berjaya menarik perhatian audien kerana kaedah penyampaian ceramahnya berbeza daripada penceramah motivasi lain kerana mempunyai asas akademik membolehkan beliau berkongsi rahsia dan formula kejayaan dalam pendekatan sistematik.

Pada syarahan itu, beliau turut berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan berkongsi idea-idea untuk diterapkan dalam kehidupan seharian untuk mencapai kejayaan.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat              Foto : Al Azam Razi  & Abd Halim

MA

MA3PENGKALAN CHEPA 5 November I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah sebagai Universiti Awam (UA) pertama melancarkan aplikasi E-Sedekah  yang menggunakan kemudahan transaksi tanpa wang tunai menerusi teknologi imbasan Quick Response Code (QR Code) atau dikenali juga kod QR.

Pelancaran aplikasi E-Sedekah ini membolehkan warga kampus menyalurkan derma dan bersedekah dengan kaedah paling mudah, pantas dan selamat menerusi sistem teknologi digital.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, berkata, perincian aplikasi E-Sedekah itu melibatkan kerjasama antara UMK dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

MA6Beliau berkata, aplikasi terkini ini adalah medium terbaik untuk memudahkan setiap urusan bersedekah dan infaq dilakukan dengan lebih mudah malah setiap tranksasi serta jumlah sumbangan yang disalurkan tidak akan didedahkan kepada umum.

Katanya, ciri QR dalam aplikasi itu boleh digunakan pada semua papan iklan dan poster yang memaparkan pengesan barcode yang boleh terus mengimbas kod QR E-sedekah secara automatik akan terus ke isi kandungannya.

“Untuk menggunakan sistem aplikasi ini pengguna hendaklah memuatnaik aplikasi pengesan barcode untuk membolehkan mereka menggunakan tranksasi ini di mana-mana lokasi dan bila-bila masa sahaja. 

MA10"Aplikasi E-Sedekah boleh dimuat turun di Google Store dan Apps Store yang di perkenalkan bertujuan untuk mendekati warga kampus sebagaii insiatif  UMK mendepani Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) pada era ekonomi digital hari ini,” katanya selepas menyempurnakan majlis Malam Apresiasi UMK  2018, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, semalam.

Terdahulu, Prof. Dato’ Dr. Husaini, meraikan  400 staf UMK yang cemerlang dalam akademik, urus tadbir dan penyelidikan termasuk para atlit yang mempamerkan kecemerlangan serta mengharumkan nama UMK di persada negara serta antarabangsa.

MA4Beliau juga turut menyempurnakan pelancaran Program Read@UNI anjuran Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK bertemakan With Knowledge We Lead bagi  kempen meningkatkan galakan membaca di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta bermula 1 Oktober 2018.

Program ini  adalah untuk mempergiatkan aktivti galakan membaca di kalangan kumpulan sasaran khususnya mahasiswa, pensyarah dan warga institusi.

MA5Selain itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini turut merasmikan kempen Memperkasakan Alumni (Alumni Homecoming) sekaligus menyempurnakan majlis penyampaian cenderamata, sijil penghargaan dan kecemerlangan kepada jawatankuasa Istiadat Konvokesyen dan PESKOUMK 2018,    Kecemerlangan Penyelidikan dan Akademik 2018 serta meraikan kejayaan para atlet SUKUM 2018.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, berkata, Malam Apresiasi UMK 2018 yang diadakan ini bertujuan mengiktiraf kejayaan dan sumbangan warga UMK yang telah meraih pelbagai kegemilangan dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

MA9Katanya, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan inovasi diraih oleh UMK antaranya pencapaian 2 pingat emas, 1 pingat perak dan 6 pingat gangsa dalam  K-Novasi Pengajaran dan Pembelajaran 2018 (K-Novasi 2018) pada 17 dan 18 Januari 2018 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Selain itu, UMK menempa kejayaan pada International University Carnival On E-Learning (IUCEL) 2018 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 12 dan 13 September 2018 dengan meraih 6 pingat emas, 3 pingat perak, dan 6 pingat gangsa. 

“Pada majlis sama, Projek MEDLIT For Social Change Delphi – MOOC telah meraih kejayaan sebagai Outstanding e-Learning Product Award,” jelas beliau.

MA11Menurut Prof. Dr. Mohd Rafi, UMK juga telah mencapai kejayaan memperolehi pingat emas, perak dan gangsa dalam penyelidikan melalui penyertaan di Malaysia Technology Expo, 3rd International Invention Innovation Competition, International Invention and Technology Exhibition, The 4th World Invention Innovation Contest dan SME Innovex. 

Beliau berkata, UMK juga turut diiktiraf untuk menerima anugerah Malaysia’s Research Star Award dan dilantik sebagai Visiting Research Profesor serta Visiting Profesor di pelbagai universiti terkemuka dalam dan luar negara.  

MA8“Pada bidang sukan, UMK juga tidak ketinggalan apabila para atlet yang membawa nama UMK telah mencapai kejayaan pingat dalam Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM), Sukan Institusi Pengajian tinggi (SUKIPT), Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Liga Sukan Bola Sepak IPT anjuran Kementeriaan Pendidikan Malaysia.

“Justeru, saya berharap agar semua yang diraikan pada malam ini agar sentiasa mengekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang anda telah tunjukkan selama ini demi membina legasi kecemerlangan UMK,” katanya.

Published in Latest News
Page 1 of 2

What our Students say?

Latest Update: 17 July 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search