Latest News

Items filtered by date: December 2018 - Universiti Malaysia Kelantan

2018 12 19 11.35.47

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU, 18 Disember I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kedutaan Perancis di Malaysia akan bekerjasama menerbitkan dua buah buku kajian oleh penyelidik wanita berbangsa Perancis, Jeanne Cuisiner untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bagi menjadi rujukan lengkap kepada semua pihak termasuk penuntut di Universiti.

2018 12 19 11.36.11Buku berjudul Danses Magiques de Kelantan dan Le Theatre D Ombres A Kelantan yang yang diterbitkan pada 1936 dan 1957 adalah sebuah catatan tulisan hasil pemerhatian dan penemuan menarik oleh Jeanne Cuisinier selama 20 bulan mengenai keistimewaan dan keunikan tradisi serta adat resam di negeri Kelantan sekitar 1930 an.

Duta Perancis ke Malaysia, TYT Frederic Laplanche berkata, Jeanne Cuisinier yang dilahirkan di Perancis pada tahun 1890 merupakan seorang penyelidik yang datang ke Kelantan pada tahun 1932 untuk menjalankan kajian berkisar tentang budaya, adat resam dan gaya hidup masyarakat Melayu Kelantan pada zaman tersebut.

Beliau berkata, selama 20 bulan berada di negeri ini beliau mempelajari muzik, Bahasa Melayu dan dilatih sebagai pakar etnologi untuk membawa misi daripada Kementerian Pendidikan Perancis untuk melaksanakan kajian etnologi di Tanah Melayu.

“Hasil daripada pemerhatian, kajian dan temubual daripada keluarga kerabat diraja, orang kampung, golongan miskin dan orang Asli beliau menulis dua buah buku yang diterbitkan dalam bahasa Perancis pada tahun 1930 an dan 1950 an tentang Tarian Magical Kelantan dan Wayang Kulit.

“Selain itu, Jeanne Cusinier juga pernah mengadakan beberapa siri penerangan dalam radio Perancis pada tahun 1935 yang menyentuh mengenai adat perkahwinan, masakan dan kesopanan Melayu serta budaya orang Asli,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Seorang Etnologis Perancis di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Pameran yang bermula pada 15 Disember 2018 sehingga 15 Januari 2019 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

2018 12 19 11.36.36Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Pengarah Perpustakaan Kelantan, En. Ruslan Ludin, Pengarag Pejabat Antarabangsa UMK, Dr. Nasirin Abdillah dan Pengarah Pameran Seorang Etnologis Perancis di Kelantan, Dr. Raja Iskandar Raja Halid.

Menurut TYT Frederic Laplanche, pameran yang berlangsung selama sebulan ini bakal menarik perhatian rakyat Kelantan untuk melihat sendiri sejarah masyarakat di negeri Kelantan pada tahun 1930 an melalui kaca mata orang asing yang membawa sudut padangan yang berbeza dan bermanfaat untuk dihayati.

Katanya, memahami sejarah juga membantu kita mencari inspirasi untuk menentukan masa depan kita pada hari ini.

“Melalui pameran ini juga melihat bahawa betapa pentingnya memahami budaya, sejarah, tamadun lain untuk mewujudkan hubungan yang baik antara kaum dan negara untuk membina keamanan dan keharmonian yang kekal.

“Kedutaan Perancis amat berbangga dengan hubungan serta kerjasama yang dibina bersama UMK kerana kami amat menggalakkan pertukaran budaya antara masyarakat termasuk pelajar untuk melihat bahasa Perancis di ajar di universiti ini dan beberapa sekolah menengah di negeri Kelantan,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, berkata, kerjasama UMK dan Kedutaan Perancis di Malaysia menghasilkan buku terjemahan dalam bahasa Melayu merangkumi pelbagai aspek sejarah kehidupan masyarakat di Kelantan termasuklah pelbagai jenis tarian tradisional seperti belian, gebiah, makyong, putri, topeng, manora, main perok, wayang kulit dan sebagainya.

Katanya, buku yang dihasilkan oleh Jeanne Cusinier turut menjadi rujukan banyak universiti terkenal seperti Universiti Monash, Universiti Melbourne, Universiti Sydney dan universiti lain.

“Sewajarnya kita berbangga dengan sejarah tradisi dan budaya masyarakat orang Melayu di Kelantan berjaya menarik perhatian orang asing untuk melakukan penyelidikan dan menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada kita.

“Buku ini juga turut memuatkan penemuan oleh penulis termasuk gambar-gambar objek kraftangan yang dibeli beliau yang kini disimpan rapi sebagai bahan arkib di muzium-muzium di Paris,” katanya.

2018 12 19 11.36.26

Published in Latest News

48275092 2387550281472115 411293034701914112 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU 13 DISEMBER I Graduan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Amirah Mohd Zahari, 24, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas disahkan menghidap jangkitan kuman dalam otak, menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan (Sastera), pada Istiadat Konvokesyen Mini, di Wad 3 Utara, HUSM Kubang Kerian, hari ini.

Penganugerahan ijazah itu disampaikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, yang disaksikan oleh pengurusan tertinggi UMK termasuklah ibu bapa Amirah iaitu, Mohd Zahari Saat dan Noriah Mamat.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan, Pemangku Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Adam Husein dan Yang Menjalankan Tugas Pendaftar, En. Mohd Akhmal Abu Bakar.

Amirah, yang bercita-cita menjadi seorang penyelidik merupakan graduan cemerlang apabila mendapat keputusan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.20.

Beliau sepatutnya turut serta dalam Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-8 pada 13 hingga 17 Oktober 2018 tidak dapat menghadiri istiadat tersebut ekoran tahap kesihatan yang tidak mengizinkan bagi menerima segulung ijazah daripada Yang Berhormat Mulia Tengku Pro-Canselor, YBM, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Menurut Prof. Dr. Husaini, pihak UMK melalui Unit Kaunseling, Kerjaya dan Alumni (UKKA), Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), mengambil inisiatif mengadakan penyerahan skrol sempena Istiadat Konvokesyen Mini di HUSM bagi meraikan kejayaan Amirah yang merupakan graduan FTKW.

Beliau berkata, Amirah merupakan pelajar cemerlang dan telah menerima rawatan selama enam minggu selepas penyakit yang tiba-tiba itu menyerangnya sejak Jun lalu selepas tamat Latihan Industri baru-baru ini.
“Pihak UMK mengambil insiatif ini untuk berkongsi kesedihan dengan apa yang berlaku terhadap beliau dan kita amat bersyukur apabila mendapat sokongan kuat daripada pakar perubatan HUSM yang merawat Amirah,” katanya selepas menyampaikan skrol Ijazah di Wad 3 Utara.

Turut berlangsung adalah pengisytiharan Amirah sebagai alumni UMK oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr Zaliman.

Senyuman jelas terpancar di wajah Amirah apabila diberi kesempatan untuk menerima segulung ijazah dengan berjubah lengkap walaupun terlantar sakit di dalam wad.

Sementara itu, Mohd Zahari Saat bapa Amirah, berterima kasih kepada pihak pengurusan UMK diatas keperihatinan dan satu penghargaan oleh universiti untuk meraikan kejayaan anak beliau yang menamatkan pengajian di UMK.

Katanya, penyakit Amirah sejak Jun lalu akibat jangkitan kuman menyebabkan pergerakannya lemah termasuk percakapan dan penglihatannya terjejas.

“Ekoran penyakit yang dialami itu anak saya tidak dapat menghadiri Istiadat Konvokesyen UMK pada Oktober baru-baru ini.

“Usaha murni UMK pada hari ini amat bermakna kepada kami sekeluarga,” katanya.

48086517 2387550294805447 5364884898299510784 n

Published in Latest News

47178786 2052812184773472 4578751612201205760 o

PENGKALAN CHEPA 11 Disember I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan 11 produk baharu hasil daripada penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada kemajuan dan pembangunan industri sekaligus berjaya dikomersialkan melalui padanan geran-geran penyelidikan.

Produk itu dilancarkan secara rasminya pada Karnival Penyelidikan dan Inovasi (CRI) 2018 oleh Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim, yang berlangsung selama tiga hari di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 3 hingga 5 Disember 2018.

Antara produk yang dihasilkan ialah Inovasi Rumah Burung Walet oleh Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Soft Gelatin Madu Kelulut oleh Prof. Ir. Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, produk Smart Aqua Monitoring System oleh Dr Mohamad Faiz Mohd Amin, produk NaMOS dan Innovative Of Teaching And Learning In Technology Based Entrepreneurship oleh Dr. Mohd Hafizie Suhaimi dan produk Beehive Certified Social Entrepreneurial Innovator Training dan produk SME Innovation Index (SMEII): Innovation-Based Capability And Competency Index To Measure SME’s Success oleh Prof. Dr. Nik Maheran binti Nik Muhammad.

Selain itu, produk Singgora Roof Tile oleh Prof. Madya Dr. Ir. Julie Juliewatty Mohamed, My-Aktif-FIL dan produk AcBioC oleh Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah dan produk pengajaran dan pembelajaran E-Siyahah : Arabic For Tourism Purpose Via Web Based Learning oleh Wan Ab Aziz Wan Daud.

Menurut Prof. Dr. Raha, melalui penyelidikan ini para penyelidik berusaha memperkenalkan hasil kajian masing-masing untuk tujuan pengkomersialan.

Beliau berkata, kajian penyelidikan ini amat penting kerana Universiti mempunyai kepakaran dan bakat serta teknologi yang mampu menghasilkan inovasi yang boleh membawa kepada kemajuan dan pembangunan yang diharapkan.

“Penyelidikan ini juga menjadi tanda aras penting khususnya bagi membudayakan inovasi R&D tempatan untuk tujuan pengkomersialan,” katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Pada edisi CRI 2018 kali ini, Prof. Dr. Raha turut menyempurnakan perasmian pelancaran tiga naskah buku penyelidikan buku bertajuk Industrial Biotech oleh Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, buku bertajuk Nefeli oleh Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar dan naskah ketiga bertajuk Case Study In Retail: Challenges, Solutions And Outcome oleh Prof. Dr. Nik Maheran.

CRI 2018 berjaya menghimpunkan kira-kira 100 pemain industri mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi sepanjang tahun ini menerusi padanan dengan pemain industri menerusi geran-geran penyelidikan.

47343721 2052805794774111 4024917610901536768 oSementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, produk inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik UMK amat berpotensi dikomersialkan kerana Universiti berperanan dalam kemajuan penyelidikan dan pembinaan bakat untuk membantu industri.

Katanya, selaras dengan penganjuran CRI 2018 adalah bertujuan untuk memberikan pengiktirafan terhadap penyelidik yang berpotensi dan cemerlang, dalam penyelidikan dan inovasi.

“Program ini sangat relevan dengan arus penghayatan pencapaian kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi di mana Universiti, akademia dan pemegang taruh seperti industri bersama-sama memainkan peranan penting.

“Kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi yang mampan dan menyahut agenda pendidikan Negara akan memberi impak kemajuan yang sangat bererti untuk mensejahterakan rakyat dan Negara,” katanya.

Sempena CRI 2018, turut berlangsung majlis penyerahan dokumen MOU/MOA bagi kerjasama penyelidikan dan inovasi antara UMK dengan Pulau Banding Foundation (PBF), Bangladesh Agricultural University (BAU), Universiti Malaya (UM), Tazila New Life Agrofarm Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan syarikat Bumiputra Retailers Organization (BRO).

Kerjasama ini juga membabitkan Monash University Malaysia Campus, D&Y Coldchain Venture, Proficient Lab, Aj Sinari Venture, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Curtin Sarawak (UCS) dan Jabatan Perangkaan.

47363160 2057466034308087 1722787132763799552 o 1

Published in Latest News

80db5ad8 2d2d 46e6 9ffd 207b2ee27c86

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Pusat Islam UMK

BACHOK 6 Disember I Tanda mencintai Nabi Muhammad SAW adalah dengan mengamalkan perkara yang pernah dilakukan Rasulullah SAW atau mempelajari semua sunah yang terkandung daripada hadis sahih serta sirah hidup Baginda SAW.

Mencontohi sifat Rasulullah SAW adalah amalan terbaik melahirkan umat Islam yang unggul dalam melahirkan generasi yang berjaya bukan sahaja di dunia malah juga akhirat.

Bagi menyuburkan konsep amalan dan sunnah Rasullulah, Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Staf Universiti (KKSU) menganjurkan Kem Bestari Fardu Ain selama dua hari yang diadakan di Pusat Islam, UMK Bachok, Tangok, Kelantan, pada 2 hingga 3 Disember 2018.

Menurut Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Bin Muhammad, mencontohi sunah baginda bererti mengamalkan semua aspek kehidupan Baginda yang menjadi amalan dalam kehidupan yang sesuai diamalkan oleh umat Islam.

686a536d 89f8 4f8a bc2a 533f02be182aJusteru, Pusat Islam mengambil inisiatif menganjurkan Kem Bestari Fardu Ain dengan matlamat membimbing generasi muda seawal usia enam tahun sehingga 12 tahun bagi menguasai ilmu fardu ain dengan memberi penekanan dalam aspek mempelajari wudhu yang betul dan solat sepertimana amalan Rasulullah.

“Peserta juga diperkenalkan dengan memahami konsep sanad azan yang sampai kepada Saidina Bilal bin Rabah bagi melahirkan muazzin cilik yang sebenar sesuai dengan kehendak Islam.

“Selain itu terdapat pertandingan azan merdu, pertandingan bercerita kisah Rasulullah SAW, bacaan dan hafazan surah-surah Lazim, pertandingan Hafazan Al-Qu’ran, kuiz dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Kem Bestari Fardu Ain, Encik Mohd Binyamin Che Yaacob, berkata, kem kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada anak-anak staf dan masyarakat setempat walaupun pertama kali diadakan.

Katanya, pengisian kem berbentuk islamik dan kerohanian ini adalah selaras dengan saranan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ (Dr.) Hussamuddin Hj Yaacub dalam menerapkan nilai-nilai rohani dan agama kepada masyarakat dan warga UMK.

“Peserta kem adalah seramai 150 orang terdiri daripada anak-anak staf dan komuniti setempat sekitar Bachok yang dikendalikan oleh 20 pelajar UMK yang memiliki latarbelakang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibawah bimbingan staf Pusat Islam selaku fasilitator.

“Program kem seumpama ini wajar diteruskan bagi mendekatkan lagi universiti dengan masyarakat setempat dengan meletakan sasaran kepada kanak-kanak sebagai satu usaha terbaik mendidik generasi muda untuk mencintai keperibadian mulia baginda SAW,” jelasnya.

Published in Latest News

makyong 9

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Pusat Sukan dan Kebudayaan UMK

PENGKALAN CHEPA 27 November I Delegasi Thailand yang diketuai oleh Pengerusi Kumpulan Dramatari Ramayana CS Pattani, Senator Dato’ Anusart Suwanmongkol mengakui terpukau dan teruja dengan keunikan seni persembahan Makyong yang dipersembahkan oleh Kumpulan Mak Yong Bunga Emas Sri Temenggong Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di pentas utama Dewan Eksperimental, UMK Kampus Kota, 25 November 2018.

Katanya, antara keunikan seni persembahan Mak yong ini ialah keindahan cerita dan juga pakaiannya yang sangat unik serta agak sama dengan pakaian di selatan Thailand.

“Persembahannya turut diselitkan elemen pengkisahan Ramayana dalam babak pertarungan,” jelasnya.

Sementara itu aktivitis Mak Yong, Prof. Dr. Farok Zakaria, berkata delegasi seramai 10 orang daripada negara Gajah Putih itu menzahirkan rasa terpesona menyaksikan sendiri persembahan Makyong yang memiliki hubungan budaya yang sangat unik dan mempunyai persamaan dengan budaya Thailand.

makyong 5Katanya, rombongan tersebut turut disertai oleh aktivis dan penggiat seni serta pakar Ramayana di Pattani Thailand dan Kumpulan Hubungan Siam dan Princess Galyani Bangkok, Ajarn Chumpot Chuasai.

“Sebelum ini mereka hanya mendengar tentang keindahan seni persembahan Makyong Kelantan, maka dengan inisiatif yang dimulakan oleh Dato’ Anusart itu, akhirnya impian mereka menjadi kenyataan dengan menonton persembahan Makyong selama dua jam oleh kumpulan makyong UMK.  

“Delegasi itu juga berhasrat untuk mempelajari Makyong secara lebih dekat dan mendalam,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Farok yang juga mantan Pengarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) UMK, Makyong adalah satu seni persembahan warisan di negeri Kelantan yang telah dipersembahkan dalam masyarakat Kelantan sejak turun temurun.

Beliau berkata, dalam kesuraman dek kerana kekurangan kekerapan persembahannya, UMK menubuhkan Kumpulan Makyong Bunga Emas Seri Temenggung yang diketuai oleh Pegawai Kebudayaan UMK, Puan Noor Hayati Zakaria dan Puan Noor Amiera Saila Ramlee.

“Inisiatif adalah sebagai langkah pro aktif bagi mempergiatkan semula kumpulan Makyong yang turut disertai pelajar UMK dalam usaha menghidupkan semula Makyong.

“Persembahan ini menggabungkan secara kreatif tiga elemen persembahan warisan dalam satu persembahan berkonsepkan Makyong dan kelainan persembahan kali ini ialah persembahan dibuat dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Teater berkonsepkan Makyong yang telah dipentas pada kali ini adalah bertajuk KESAKTIAN yang menggabungkan secara kreatif tiga elemen seni persembahan tradisi iaitu cerita Makyong Dewa Indera, Indera Dewa, Ramayana dan juga tarian Asyik yang terkenal ketika persembahan di istana suatu ketika dahulu.

Tambah Prof. Dr. Farok, kunjungan delegasi Thailand untuk pra-tonton Makyong Kelantan adalah sebahagian daripada aktiviti tahunan delegasi kebudayaan ke wilayah selatan Thailand.

“Pada kali ini mereka telah menjejaki budaya orang Kelantan bagi membentuk satu hubungan strategik dua hala dalam bidang budaya antara Thailand dan Malaysia memandangkan Kelantan adalah jiran yang terdekat,” katanya.

Prof. Dr. Farok dan pelajar tahun dua Universiti Thaksin Songkhla Pattani, selaku penari kumpulan Ramayana CS turut membuat penampilan istimewa pada persembahan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, berharap program yang sebegini dapat diketengahkan ke negara jiran dengan mengadakan kerjasama dua hala terutamanya bagi dua negara jiran yang mempunyai persamaan budaya dan warisan.

Beliau yang hadir menyaksikan persediaan persembahan Makyong itu sentiasa akan memberi sokongan dan kerjasama kepada semua pihak yang mahu memartabatkan seni budaya dan warisan negara.

“Perkongsian budaya dengan delegasi Thai ini adalah hasil daripada keakraban hubungan dan kerjasama Prof. Dr. Farok dengan pihak yang berminat dengan persembahan Makyong di Thailand,” katanya.

makyong 3

Published in Latest News

27fa821b dc3f 40b1 8b9c 540e237786c0

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Kelab Debat dan Pidato UMK

PENGKALAN CHEPA 27 November I Penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Ahmad Faizrie Abdul Rasip, 21, dinobatkan sebagai johan pada Pertandingan Pidato Piala Timbalan Naib Canselor yang diadakan di Laman Llamar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Ahmad Faizrie adalah kelahiran Negeri Sembilan merupakan pelajar aktif dalam pertandingan pidato dan pernah menjuarai pertandingan Pidato Peringkat Kebangsaan dan menjawat jawatan Pengerusi Forum Remaja Peringkat Kebangsaan.

Beliau menerima Piala Pidato TNC yang julung kali diadakan itu daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Turut hadir, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FKP, Dr. Asrul Hery Ibrahim, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FHPK, Dr. Roslizawati Che Aziz, Penasihat Kelab Debat dan Pidato, En. Mohd Hafizie Abd Rahman dan Penasihat Pertandingan Pidato Piala TNC merangkap Ketua Hakim, Dr. Shah Iskandar Fahmie Ramlee.

Manakala naib johan dan ketiga turut dimenangi oleh penuntut FKP iaitu Lis Batuhun Sania Hanifah dan tempat Nurul Hasanah Mohd Zuki

Tempat keempat pelajar Muhammad Azril Fahmee Sahrom (FKP), tempat kelima pelajar Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan (FHPK), Thurga Nandini A/P Muthu Kumar, tempat keenam Nur Hikmah Ahmad (Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan), tempat ketujuh Nurul Husna Abd Wahab (FKP) dan tempat kelapan Muhamad Iqbal Ishak (Fakulti Industri Asas Tani).

Sementara itu, Prof. Dr. Zaliman berkata, Pertandingan Pidato Piala TNC kali pertama diadakan sebagai platform terbaik dalam meningkatkan kemahiran pengucapan awam.

Katanya, secara tidak langsung program ini mampu memupuk sifat keusahawanan, profesionalisme dan semangat ingin memajukan diri dalam kalangan mahasiswa mahasiswi.

“Dalam konteks ini, mahasiswa mampu memberikan penerangan terhadap fungsi, polisi, dan mekanisme yang digunapakai oleh pentadbiran kerajaan dalam menangani isu-isu keusahawanan dan isu-isu semasa melalui medium berpidato.

“Penganjurannya juga dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan mahasiswa khususnya pelajar UMK Bachok dan UMK Kampus Jeli,” katanya.

Tambah Prof. Dr. Zaliman, program ini dapat membantu memberikan sumbangan dalam memberikan perkongsian intelektual semua mahasiswa mahasiswi khususnya dalam mengangkat isu-isu keusahawanan dan isu-isu semasa agar mudah difahami.

Menurut En. Mohd Hafizie, format pertandingan ini setiap fakulti diwajibkan menghantar dua wakil bagi menyertai Pertandingan Pidato Piala TNC 2018.

Katanya, pada 20 November 2018 telah diadakan Peringkat Saringan Pertandingan Pidato Piala TNC, manakala pada 26 November 2018 berlangsungnya peringkat pusingan Separuh Akhir di Dewan Eskperimental, UMK Kampus Kota dan pusingan Akhir berlangsung di Laman Llamar.

“Kelab debat dan pidato ditubuhkan dengan tujuan mengajar dan meningkatkan tahap pemikiran mahasiswa pelajar yang menyentuh isu-isu semasa disamping memningkat sahsiah dan keyakinan diri berkomunikasi di tempat awam,” jelas beliau.

Published in Latest News

inovasi

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Pusat Pengajian Bahasa & Pembangunan Insaniah

BACHOK I Sebanyak 14 produk penyelidikan dan inovasi daripada 13 peserta bersaing dalam Pertandingan Inovasi (CCI 2018) anjuran Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) yang diadakan di UMK Bachok, Tangok, Kelantan, pada 30 November 2018.

Penganjuran CCI 2018 bagi menggalakkan penghasilan inovasi dan kreativiti berdasarkan hasil penyelidikan dan perkongsian idea-idea baharu dan inovatif daripada staf akademik dan bukan akademik di PBI.

Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan, berkata, program itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 13 peserta yang mempamerkan pelbagai hasil kajian dan projek penyelidikan.

inovasi2Beliau berkata, pertandingan ini bertujuan berkongsi pengalaman dan idea-idea baharu dan inovatif untuk membangunkan budaya berfikir kreatif dan inovatif di kalangan kakitangan akademik dan bukan akademik PBI.

“Selain itu, dapat mewujudkan semangat bersaing secara positif dalam konteks ilmiah di PBI sekaligus memberi pengalaman baharu khususnya untuk penyertaan pertandingan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan dalam CIC 2018 iaitu kategori A : Invention, Innovation & Amp; Design on e-Learning, kategori B : Creative & Amp; Innovative Ideas dan kategori C : Research Grants dengan menawarkan sebanyak 15 pingat iaitu (lima pingat emas, lima pingat perak dan lima pingat gangsa),” katanya.

Turut diadakan program Syarahan Kesarjanaan PBI siri 4/2018 oleh Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Abdul Ghani yang bertujuan untuk memperkenalkan dan memperkasa bidang kepakaran yang dimiliki oleh Profesor atau Profesor Madya di PBI.

Selain itu, turut diadakan aktiviti keusahawanan untuk staf PBI dengan pembukaan gerai jualan bagi menggalakkan dan membudayakan semangat keusahawanan dalam kalangan staf PBI.

Menurut Prof. Madya Dr. Yohan, program pertandingan CCI 2018 membolehkan pihak PBI menjana penerokaan produk dan idea kreatif dan inovatif baharu di kalangan staf PBI.

“Ini secara tidak langsung membuka minda dan persepsi staf PBI berhubung pertandingan inovasi menerusi pengiktirafan produk kreatif dan inovatif daripada staf PBI untuk dipertandingan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

“Pencapaian terbaik adalah kita berjaya memupuk budaya dan semangat mengikuti pertandingan inovasi dalam kalangan staf PBI dengan meningkatkan pengetahuan dan pengalaman menyertai mengikuti pertandingan inovasi dalam kalangan staf PBI,” katanya.

Published in Latest News

What our Students say?

Latest Update: 17 September 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search