Latest News

Items filtered by date: January 2018 - Universiti Malaysia Kelantan

boling1

PASUKAN Tenpin Boling Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya meraih tempat ketiga untuk kategori Individu (Wanita) pada Kejohanan Persahabatan Tenpin Boling Universiti Awam (UA) Wilayah Pantai Timur anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Kompleks Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 5 Januari 2018.

boling4Pemain boling wanita UMK, Pn Siti Suhaila Mohd Nawi yang memberi saingan sengit kepada pasukan lawan dengan melakukan 739 jatuhan pin dalam acara individu wanita berjaya meraih tempat ketiga dengan membawa balik piala serta sijil penyertaan.

Kejohanan persahabatan empat penjuru itu melibatkan empat UA di Pantai Timur iaitu Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dan UMK.

Penyelaras Kejohanan Tenpin Boling UA Pantai Timur, En. Mohd Saiful Azuwan Ismail, berkata, objektif utama penganjuran kejohanan kali ini adalah berikutan kejayaan penganjuran kejohanan persahabatan pertama membabitkan USM, UMK dan Kolej Teknologi PolyTech Mara (KPTM) pada tahun 2017.

Katanya, pada kejohanan kali ini pasukan UniSZA berjaya menggungguli pertandingan apabila meraih tempat pertama secara keseluruhan dengan jatuhan pin terkumpul sebanyak 9475, tempat kedua USM Kampus Kesihatan memperolehi 8548 jatuhan pin, manakala UMK di tempat ketiga dengan jumlah jatuhan pin 8405 dan UMT tempat keempat dengan jumlah jatuhan pin 8256.

“Bagi kejohanan kali ini, pihak penganjur telah memberi kelainan kepada penentuan tempat bagi kategori individu di mana kedudukan empat tertinggi kategori individu ditentukan dengan persaingan stepladder dimana penetapan persaingan di peringkat stepladder pula ditentukan melalui pemilihan peserta yang memiliki jumlah jatuhan pin tertinggi bagi dari setiap universiti bertanding.

“Ini memberi peluang kepada semua wakil universiti merasakan debaran dan tekanan emosi bersaing pada peringkat stepladder,” katanya.

boling2Sementara itu, keputusan acara stepladder berpihak kepada pasukan UNisZA yang mempamerkan aksi cemerlang apabila Mohd Fadhil Hussein mengungguli stepladder individu lelaki dengan menewaskan Sarudin Abas daripada USM Kampus Kesihatan dengan jatuhan pin sebanyak 177.

“Manakala Noraini Md Zain daripada USM Kampus Kesihatan menang selesa dengan pemain wanita UniSZA, Nur Nabilah Ammar Mohd Nasir bagi merebut Juara Step Ladder Wanita,” katanya.

Mohd Saiful Azuwan, berharap pertandingan seumpama ini dapat menjadi acara kejohanan tahunan bagi melebarkan jaringan persahabatan di kalangan staf di dalam bidang sukan antara universiti di Pantai Timur melibatkan staf dan pelajar di masa hadapan.

“Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan ini dan ini merupakan penyatuan kepada staf UA khususnya keempat-empat untuk bersama dalam setiap program seumpama ini,” katanya.

boling3

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                  Foto : Al Azam Razi

celcom umk

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menempa sejarah sebagai Universiti Awam pertama di Malaysia menjadi perintis kepada program Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)-CELCOM Siswapreneur@UMK melalui kerjasama strategik UMK dengan Celcom Axiata Berhad.

Melalui kerjasama itu, Celcom Axiata Berhad menyerahkan dana berjumlah RM50,000 kepada UMK untuk dua buah 'food cart' yang lengkap dengan alatan menggoreng dan peti sejuk beku untuk kemudahan pelajar asnaf terpilih menjalankan perniagaan.

Majlis penyerahan Mockup Cek itu telah disempurnakan oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Tanggungjawab Korporat Celcom Axiata Berhad, En. Saiful Bahrin Abd Ghaffar kepada Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut En. Saiful Bahrin, pelaksanaan projek ini akan dimulakan di UMK pada Februari ini sebelum diikuti enam UA lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, menerusi pelaksanaan projek itu pihak Celcom Axiata Berhad telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk tujuh buah universiti awam dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Ini merupakan salah satu usaha Celcom Axiata Berhad dibawah kerjasama UMK-EI untuk menyumbang kepada pembangunan usahawan dengan merangka program bagi membantu pelajar dikalangan asnaf yang terpilih di setiap UA di negara ini.

“Dalam usaha membudayakan ekonomi digital dalam kampus, setiap ‘food car' juga akan sediakan kemudahan wifi dan aplikasi boos' bagi menggalakkan pembelian tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, Celcom Axiata Berhad juga telah melantik tiga buah syarikat siswa universiti sebagai agen jualan Celcom dengan membekalkan kiosk Celcom X-Pax dan kelengkapan promosi di tiga kampus UMK yang beroperasi setiap hari bekerja.

Tiga syarikat itu ialah Thinker Biz (UMK Kampus Kota), NSR Group Enterprise (UMK Bachok ) dan Starlight Enterprise (UMK Kampus Jeli).

Program pengurusan Kiosk Celcom ini memberi peluang kepada pelajar membentuk satu perniagaan yang menekankan kepada servis pelanggan dan jualan langsung disamping diberi latihan dan bimbingan tentang pengurusan acara dan program promosi jualan di bawah penyeliaan pihak Celcom.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat             Foto : Al Azam Razi

UmkAgeCouncil

DALAM usaha mengembangkan portfolio Majlis Action Group Entrepreneurship (AGE) Council, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan buku Coffee Table berjudul Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK bagi menyokong penglibatan serta impak yang dibawa oleh pihak industri untuk menjayakan agenda keusahawanan dan bidang berkaitan di UMK.

UmkAgeCouncil4

Buku yang diterbitkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dalam Bahasa Melayu setebal 120 halaman itu menghimpunkan maklumat merentasi berbagai skop termasuk bantuan kewangan, bimbingan, khidmat komuniti, perniagaan pelajar, program akademik pelajar, pembangunan kurikulum, program sangkutan staf akademik serta penyelidikan bersama.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Terdahulu, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah mempengerusikan Mesyuarat UMK AGE Council Bil. 1/2018 (Kali Ke – 6) dengan tujuan membincangkan jalinan kerjasama ahli UMK AGE Council.

Turut berlangsung ialah majlis pelancaran buku Menyelusuri Warisan Pelancongan dan Alam Semulajadi Lembangan Pengkalan Datu dan pelancaran Buku Takaful Pelindungku UMK Wealth Lab MFPC.

UmkAgeCouncil3Pada majlis sama, Tan Sri Hamad Kama Piah turut menyaksikan Majlis Pertukaran Perjanjian antara UMK dengan Creadit Guarantee Corporation dan pelancaran Program KPT-CELCOM SISWAPRENEUR @UMK.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, berkata, penerbitan buku Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK ini sebagai satu usaha merekodkan kepada umum tentang perkembangan dan pencapaian yang dilaksanakan serta jaringan kerjasama Majlis AGE-UMK menjalankan agenda keusahawanan.

Katanya, selain itu kandungan utama buku ini ialah berkenaan program dan aktiviti kerjasama akademik, penyelidikan dan inovasi, perkongsian ilmu dan pengalaman serta program tanggungjawab sosial.

“Buku tersebut memperjelaskan kerjasama antara Ahli Majlis AGE-UMK dengan pihak universiti yang dilaksanakan mengikut struktur yang mantap melibatkan perkongsian pengalaman dalam sektor korporat dan akademik.

“Selain itu, ia merangkumi pencapaian dan kejayaan program AGE Council seperti memperkasakan keusahawanan merangkumi pelancaran Outlet Avon Malaysia dan UMK - Avon Business Model, Program Endownment Pembangunan Usahawan oleh Nadicorp Holdings dan Pengurusan Kiosk Celcom Axiata Berhad,”   katanya.

UmkAgeCouncil2Tambah beliau, buku itu juga mengandungi program Pemasaran Produk UMK di Portal 11-Street, Pertandingan Business Apprentice bersama Distinct Legacy Sdn. Bhd dan Projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd.

“Kandungan buku ini juga melibatkan program penyelidikan bersama Ahli AGE-UMK iaitu projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd., program Case Study in Retail: Challlenges, Solutions and Outcome bersama Bumiputra Retailers Organization, Projek Kerjasama Rural Transformation Program for Mambong, Singgora, Serunding bersama Khazanah Nasional dan Projek SME Innovation Index bersama Agensi Inovasi Malaysia.

“Buku ini juga mencatatkan kerjasama Projek Perundingan Bagi Rekabentuk Landskap Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dan program perkongsian ilmu dan pengalaman dalam Chairman Lecture Series UMK membabitkan Celcom Axiata Berhad, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Geo Solutions, Distinct Legacy Sdn Bhd dan Credit Guarantee Corporation,” jelas beliau.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, pada buku ini juga mencoretkan kejayaan jalinan kerjasama dalam memperkukuhkan agenda dalam insiatif AGE ini dengan pihak Universiti yang berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman dan Persetujuan sebagai membuktikan kesungguhan industri menjalinkan kerjasama.

UmkAgeCouncil1

 

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat           Foto : Al Azam Razi

AprisiasiNC

AprisiasiNC3PROFESOR Dato’ Dr. Husaini Omar yang baharu dilantik sebagai Naib Canselor Keempat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mampu meneruskan kesinambungan pencapaian UMK sebagai universiti berfokuskan keusahawanan yang cemerlang berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

Beliau yang dilantik Naib Canselor baharu UMK bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020 menggantikan Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pengalaman Prof. Dato’ Dr. Husaini dalam bidang akademik sememangnya tidak boleh dinafikan terutamanya kecekapan beliau dalam bidang tadbir urus korporat ketika menyandang jawatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum ini.

AprisiasiNC5

Beliau menyifatkan kemampuan Prof. Dato’ Dr. Husaini dalam kemampanan kewangan di UPM turut terserlah apabila berjaya mengenengahkan hasil penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan selain turut berjaya membawa UPM Holdings Sdn Bhd menjadi anak syarikat universiti awam terbaik di Malaysia.

“Pihak universiti amat berbangga dengan pelantikan ini dalam usaha meneruskan pencapaian dan kejayaan cemerlang UMK di peringkat nasional dan antarabangsa oleh Mantan Naib Canselor UMK , Prof. Dato’ Dr. Mortaza selama tiga tahun memimpin universiti ini.

“Kalau disusur dari segi sejarah, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed begitu dekat dengan UMK apatah lagi beliau adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di UMK pada 1 Jun 2007 sehingga 2012, sebelum kembali ke Universiti Malaysia Pahang.

“Nama beliau begitu sinonim dengan fasa permulaan untuk peletakan asas terutamanya dalam aspek membangunkan infrastruktur dan merangka hala tuju UMK,” katanya pada Majlis Aspresiasi 2018 di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur, pada 8 Januari 2018.

AprisiasiNC2

Tan Sri Hamad Kama Piah turut menyaksikan majlis serah tugas oleh Prof. Dato’ Dr. Mortaza kepada Prof. Dato’ Dr. Husaini sebagai Naib Canselor Baharu UMK.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Pengurusan Kanan UMK.

Menurut Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah, Dato’ Dr. Mortaza telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan menerusi perancangan program akademik, menyusun sistem pentadbiran organisasi dan berjaya menanggani cabaran isu sumber manusia yang membolehkan UMK berfungsi sebagai sebuah Universiti.

Katanya, pihak Universiti menzahirkan penghargaan diatas pengalaman yang telah dicurahkan oleh Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed sebagai tenaga penggerak UMK.

AprisiasiNC1

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Mohd Norhafizan Muhammad

East Coast Railway Link MalaysiaPELAKSANAAN Projek Rangkaian Rel Pantai Timur atau ECRL bakal mengubah landskap pembangunan dan ekonomi di Bachok sekaligus membawa banyak impak besar khususnya kepada perkembangan pembangunan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin berkata, projek ECRL yang masih dalam pembinaan awal itu mempunyai stesen berhampiran dengan universiti yang terletak di Jelawat atau dikenali dengan nama Stesen UMK.

Beliau berkata, penduduk Bachok amat bertuah kerana terdapat sebuah stesen ECRL dibina di daerah ini yang akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan memberi manfaat besar bukan sahaja di kawasan berkenaan malah kepada perkembangan kampus UMK.

“Pembangunan ECRL akan membawa lebih ramai pelancong daripada luar yang akan menggunakan stesen keretapi di Jelawat malah dengan penambahan jumlah pelajar UMK seramai 5000 akan memainkan peranan yang besar dalam memajukan ekonomi Bachok yang akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan ECRL.

“Dengan jumlah pelajar seramai itu bukan sahaja menghidupkan suasana kampus Bachok tetapi mereka juga akan mempunyai permintaan kepada perkhidmatan dan barang-barang keperluan yang dihasilkan oleh rakyat Bachok di sekitar universiti ini,” katanya pada sesi temuramah Dokumentari Pembangunan Negeri Kelantan oleh FINAS di UMK Bachok, Tangok, Kelantan, pada 7 Januari 2018..

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab Latif, Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu dan Penolong Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penilaian Projek, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, En. Wan Suhardi Wan Sukri.

ecrl

Menurut Dato’ Dr. Awang Adek, selain projek ECRL, Bachok berpotensi besar untuk berkembang dan dibangunkan sebagai hub pendidikan di Pantai Timur menerusi perkembangan UMK dengan penambahan empat buah fakulti tidak lama lagi.

“Buat masa ini, UMK Bachok menempatkan seramai 2248 pelajar di dua buah fakulti dan dengan penambahan empat buah fakulti yang besar itu pelajar UMK dijangka akan bertambah seramai 5000 pelajar,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Dr. Awang Adek selaku Ketua UMNO Bahagian Bachok membayangkan daerah Bachok bakal bertukar wajah dalam tempoh yang singkat dengan terlaksananya projek dibawah Kerajaan Persekutuan seperti Hospital Bachok dan Tok Bali Supply Base (TBSB) di Tok Bali yang masih dalam pembinaan.

Katanya, melalui pelaksanaan pembangunan itu banyak memberi kesan positif kepada perkembangan Bachok dimana ini menjamin masa depan yang baik kepada kawasan ini dan Kelantan.

“Walaupun Tok Bali terletak di Pasir Puteh tetapi lokasinya yang bersempadanan memberi kesan positif dan impak besar kepada Bachok itu sendiri.

“Kita berharap semua pelaksanaan projek pembangunan ini akan disambut baik oleh rakyat Kelantan di Bachok dan mereka menyokong usaha kerajaan untuk memajukan Bachok terutamanya pembangunan di UMK,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                 Foto : Al Azam Razi

AuladUMK1

KESATUAN Staf Pelaksana Universiti Malaysia Kelantan (KESPUMK) menjadi Kesatuan pertama di UMK menubuhkan Pusat Didikan kanak-kanak yang dikenali sebagai Tadika Perintis Aulad berkonsepkan pembelajaran Islamik berasaskan Pendidikan Keusahawanan di dalam suasana kampus.

AuladUMKPresiden KESPUMK, Sdr. Mohd Shairuzani Che Hussin berkata, penubuhan Tadika Perintis Aulad telah memulakan operasinya secara rasmi pada 1 Januari 2018 Tadika ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar juga pada hari pertama Tadika beroperasi.

Beliau berkata, program pelaksanaan tadika ini adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam akademik serta bersifat keusahawanan dengan melatih pelajar menjadi pro-aktif dan berwawasan dengan menggunakan bahasa ingeeris sebagai bahasa perantaraan semasa proses pembelajaran.

Katanya,  inisiatif KESPUMK ini telah bermula sejak tahun 2013 bertujuan memberi kemudahan dan memenuhi keperluan  staf dan sebagai keprihatinan pihak majikan terhadap keperluan staf. Tadika ini memulakan operasinya bermula jam  8.00 pagi sehingga 6.00 petang setiap hari kecuali hari jumaat dan sabtu.

tadika kespumk 2

“Selain itu, penubuhan tadika ini juga adalah satu model graduan umk yang telah berjaya mencipta peluang menjana pendapatan dengan cara tersendiri serta membuka apat membuka ruang pembelajaran untuk bakal  graduan sekiranya berminat menjadi tenaga pengajar dan urus tadbir operasi pusat jagaan itu.

“Setelah mememulakan operasi pertamanya terdapat 22 pelajar yang terdiri daripada seorang kanak-kanak bawah dua tahun, 19 kanak-kanak berusia 2 hingga 6 tahun dan 2 orang kanak-kanak kategori transit yang telah mendaftar,” katanya pada Majlis Perasmian Tadika Perintis Aulad, di Surau Al-Ridhwan, Asrama IBS, UMK Bachok, pada 1 Januari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd Osman, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Infrastruktur & Pengurusan Aset), Prof. Ir. Dr. Shah Nor Basri dan Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu.l, Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Pusat Islam UMK dan beberapa Pegawai Kanan Universiti yang lain.

tadika kespumk 3Tambah Sdr. Mohd Shairuzani, pihak Kesatuan amat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan dari staf UMK sebaik sahaja permohonan pendaftaran awal dibuka pada bulan Disember 2017.

konsep pembelajaran tadika, kelas intensif pembacaan, kelas pengajian Al Quran dan Iqra, program cuti sekolah dan kem motivasi adalah antara program yang telah dirancang oleh pihak Tadika.

“Pihak KESPUMK merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak Pengurusan UMK yang memberi sokongan sehingga penubuhan Tadika Perintis Aulad yang bertemakan Route to Entrepreneur berjaya direalisasikan.

“Inisiatif Kesatuan mewujudkan tadika di universiti ini adalah bertepatan dalam menyahut seruan kerajaan untuk membantu keperluan ibu bapa yang bekerjaya menguruskan keluarga dengan lebih efisien dan efektif selain memastikan produktiviti staf dapat ditingkatkan,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                                   Foto : Al Azam Razi

 

PARA Pentadbir Universiti disarankan mengekalkan prestasi perkhidmatan cemerlang dan lebih profesional sejajar dengan peranannya dalam mempertingkatkan kualiti kerja yang lebih produktif, berkualiti dan inovatif.

Mantan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, untuk keberhasilan pencapaian yang cemerlang pentadbir perlu lebih gigih berusaha kerana penghasilan hasil kerja pada masa kini bukan berdasarkan kepada output atau bilangan kerja yang dihasilkan tetapi lebih kepada outcome iaitu keberkesanan.

Beliau berkata, melalui penganjuran Seminar Pentadbir Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2017 ini adalah untuk memastikan kualiti perkhidmatan dan tadbir urus organisasi berada di tahap yang tinggi sekaligus dapat mengatasi segala kelemahan.

“Ini juga sebagai wadah perkongsian terbaik amalan terbaik sebagai tanda aras kepada penambahbaikan tadbir urus dan pengurusan sumber manusia yang lebih cekap dan efisyen.

“Seminar ini juga sebagai medan perkongsian amalan terbaik tadbir dan pengurusan sumber manusia di UMK dan boleh dijadikan sebagai satu cabaran untuk memuhasabahkan diri, melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kreativiti, produktiviti dan kualiti dari segi keberhasilan kerja,” katanya pada Seminar Pentadbir UMK 2017 bertemakan Pentadbir Holistik Dan Seimbang Ke Arah Pengukuhan Kualiti, di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada 30 Disember 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Infrastruktur & Pengurusan Aset), Prof. Ir. Dr. Shah Nor Basri dan Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu.

Seminar anjuran Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISA) ini dihadiri oleh seramai 104 pentadbir UMK.

Dalam pada itu, Mejar (K) Pauzi berkata, pentadbir perlu membudayakan amalan konsep pengurusan tadbir urus yang baik berlandaskan kepada etika, produktiviti, kualiti, integriti dan akauntabiliti memandangkan fungsi pentadbir tidak boleh dilihat sebagai tempat mengurus sumber manusia sahaja.

Katanya, seminar ini yang memberi peluang kepada para pentadbir berkongsi amalan-amalan terbaik dalam tadbir urus dan pengurusan, maka saya menyeru kepada semua pentadbir yang hadir agar dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi.

“Kejayaan sesuatu pengurusan tidak akan tercapai tanpa komitmen, perancangan dan pelaksanaan yang aktif dan dalam pelaksanaan kerja di UMK yang mencabar, sesungguhnya kepentingan dalam melaksanakan kerja memerlukan kefahaman dan penjelasan yang tepat.

Tambah beliau, pentadbir harus sedar bahawa terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh UMK pada masa ini yang boleh membantutkan kejayaan contohnya perkara terpenting ialah tekanan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan bajet yang lebih kecil dan realiti pelaksanaan termasuk isu kurang jelas.

“Pentadbir universiti adalah pendokong dan penyokong utama proses pengurusan di UMK yang boleh terus melangkah ke hadapan menjulang aspirasi kepimpinan universiti,” katanya.

Sementara itu, Mantan Presiden PERTISA, En Raja Azlan Raja Ismail, menyifatkan seminar itu memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi cabaran yang dihadapi serta inisiatif-insiatif yang boleh dilaksanakan ke arah memastikan Pentadbir UMK berada di tahap prestasi yang hebat.

Katanya, seminar ini juga memberi latihan dan pengetahuan kepada pentadbir tentang fungsi serta peranan yang perlu dimainkan dalam pembangunan sesebuah organisasi disamping menyediakan ruang untuk membincangkan kepentingan meningkatkan kemahiran dan kefahaman tentang tadbir urus universiti secara holistik.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat              Foto : Al Azam Razi

DatoHusaini

PROF DATO’ DR HUSAINI OMAR memulakan tugas secara rasmi sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu pada 1 Januari 2018 (Isnin) menggantikan Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed yang bersara wajib pada 25 Disember 2017.

Pelantikan Prof. Dato’ Dr. Hussaini sebagai Naib Canselor Keempat  bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2020 diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Beliau tiba di Pejabat Canseleri yang terletak di UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa kira-kira jam 8.00 pagi  diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarbangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif.

Beliau kemudian diberi taklimat ringkas struktur dan operasi pentadbiran kampus UMK Kampus Kota  oleh Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan Infrastruktur & Pengurusan Aset), Prof. Ir. Dr. Shah Nor Basri.

Setengah jam kemudian beliau ke Pejabat Canseleri yang terletak di UMK Bachok untuk hadir mesyuarat pertama bersama pihak pengurusan UMK.

Prof. Dato’ Dr. Hussaini adalah anak kelahiran Kelantan  pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam bidang Geologi, sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di University of Leeds, United Kingdom dalam bidang sama.

2 dato nc baru 2018

Beliau kemudian meneruskan pembelajaran di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di UPM dalam bidang Kejuruteraan Sistem, sebelum memulakan kerjaya sebagai pensyarah di universiti berkenaan pada 1996.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama UPM, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Dekan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan serta Pengarah Urusan UPM Holdings.

Ketokohan beliau dalam bidang akademik, tadbir urus korporat dan kemampuan memastikan kemampanan kewangan universiti turut terserlah apabila berjaya mengenengahkan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan.

3 dato nc baru 2018

Pihak Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar diatas pelantikan sebagai Naib Canselor Baharu UMK yang bakal meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan terhadap kecemerlangan UMK dalam mencapai visi serta misi sebagai universiti berteraskan keusahawanan.

Published in Latest News

What our Student say?

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan
Karung Berkunci 36,
Pengkalan Chepa, 16100,
Kota Bharu, Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search