Latest News

Items filtered by date: March 2018 - Universiti Malaysia Kelantan
Thursday, 29 March 2018 11:17

UMK LANCAR BUKU KEUSAHAWANAN SOSIAL

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat & Nor Suzila Ramli                Foto : Al Azam Razi

BedahBukuPBI

KOTA BHARU 28 Mac 2018 I PUSAT Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) dengan kerjasama Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini melancarkan buku berjudul 'Keusahawanan Sosial Islam:Gagasan dan Perspektif’ sempena Program Bedah Buku@PBI, di Dewan Eksperimental, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 28 Mac 2018.

BedahBukuPBI3Buku ini mengandungi 11 bab setebal 240 muka surat dihasilkan menerusi gabungan idea pemikiran dan penulisan 15 ahli akademik daripada Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah serta Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK.

Suntingan buku ini dibuat oleh Pengarah PBI, Dr. Burhan Che Daud, Dr. Nik Yusri Musa dan Ruzaini Ijon.

Manakala majlis pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pustakawan Kanan PPI, Encik Fahmi Abdullah.

Turut berlangsung ialah Forum Program Bedah Buku@PBI yang mengulas kandungan buku Keusahawanan Sosial Islam oleh empat orang narasumber yang juga penulis dalam buku tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Zain Mubarak (PBI), Dr. Marwan Ismail (PBI), Prof. Dr. Rafi Bin Yaacob (FKP), Dr. Noor Hisham Md Nawi (PBI) dan Dr. Nik Yusri Bin Musa selaku moderator.

BedahBukuPBI4Menurut Prof. Dr. Mohd Hassan, tradisi membaca pada hari ini memang tidak wujud lagi di kalangan generasi muda pada zaman sekarang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Oleh yang demikian, katanya UMK menerusi PBI mainkan peranan penting signifikan dengan suasana pada hari ini untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan mahasiswa dengan menganjurkan Program Bedah Buku@PBI.

“Program ini adalah bertujuan untuk menggalakkan para pelajar dan orang awam agar lebih dekat dan mencintai buku untuk meluaskan pengetahuan.

”Dalam erti sebenar bedah buku bukan bermaksud ‘book surgery’ tetapi adalah‘book review’ yang mencungkil isi kandungan yang terdapat pada buku setebal 240 muka surat ini,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Hassan menyifatkan melalui penganjuran program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan dan mengalakkan budaya membaca dalam kehidupan masyarakat serta menggelakkan pembaziran masa lapang yang terluang dalam kalangan mahasiswa.

BedahBukuPBI6

Tambah beliau, mahasiswa yang proaktif adalah mereka yang mengisi masa mereka dengan perkara dan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat seperti bersukan,beriadah serta membaca buku.

"Mereka juga bijak dalam menguruskan dan membahagikan masa mereka secara teratur dalam menjalani kehidupan sebagai penuntut ilmu,” katanya.

Sementara itu, Dr. Burhan berkata, pelancaran buku ini dan program Bedah Buku adalah untuk merangsang percambahan minda para pembaca selain ia dapat bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan pengetahuan yang baru 

BedahBukuPBI7

melalui pembacaan dan perkongsian tersebut.

Katanya, program ilmu ini memberi peluang kepada hadirin untuk mendapatkan sedikit perkongsian tentang intipati dan kandungan didalam buku yang terpilih.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan, berkata, idea dan konsep keusahawanan sosial Islam merupakan refleksi dari konsep keusahawanan sosial sebagai suatu pendekatan baharu dalam mendepani cabaran pembangunan yang semakin kompleks di abad ke-21.

Katanya, menerusi buku ini memupuk kesedaran ahli akademik untuk mendalami bidang keusahawanan sosial berteraskan acuan Islam, dengan harapan dapat memperkembangkan lagi ilmu keusahawanan sosial Islam sama ada daripada aspek epistemologi, antologi dan aksiologi.

BedahBukuPBI5

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK dan Nor Suzila Ramli        Foto : Al Azam Razi

 NLP

NLP1PEMIMPIN kelab dan persatuan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu berada di barisan hadapan mempertahankan universiti daripada serangan berita atau maklumat negatif yang di sebarkan pihak tertentu di media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, sejak kebelakangan ini media sosial menjadi platform kepada keyboard warrior melemparkan kritikan dan tomahan negatif yang ditujukan kepada universiti dan pemimpin negara.

Justeru, beliau berharap mahasiswa dan pemimpin pelajar atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) perlu sentiasa bersedia membantu universiti menyalurkan maklumat positif dan benar dalam usaha membasmi penularan berita palsu yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

NLP2

“Dengan itu, kursus kepimpinan ini menggalakkan pemimpin pelajar ini menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain untuk mempertahankan universiti melalui sebaran matlumat yang tepat ataupun membalas isu-isu mahupun kritikan –kritikan yang dilemparkan dengan tindakbalas yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Kursus Kepimpinan Dan Penerapan NLP Kepada Pemimpin Kelab Dan Persatuan 2018 anjuran Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK, di D’wasin Campsite, Gerik,Perak, pada 23 Mac 2018.

Turut hadir, Pegawai Psikologi UMK, En Nik Zulkamal Nik Hassan, Penolong Pendaftar, En. Muhamad Hafizuddin Mat Nawi dan En. Mohd Hafizie Abd Rahman.

NLP3Kursus tiga hari yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mac 2018 adalah pendekatan baharu BAPP untuk memberi pendedahan dan menerapan elemen kepimpinan, pembentukan jati diri dan NLP bagi memantapkan pemimpin kelab dan persatuan yang berdaftar di bawah Pejabat HEPA.

Program itu dihadiri kira-kira 80 peserta terdiri daripada pemimpin kelab dan persatuan daripada UMK Bachok, UMK Kampus Jeli dan UMK Kampus Kota.

Menurut Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman, kursus kepimpinan ini adalah satu agenda penting di dalam universiti kerana selain melahirkan mahasiswa cemerlang dalam akademik universiti juga mahu mereka terlibat dengan persatuan dan kelab untuk menjadi pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang cekap dan efisyen.

NLP7

Katanya, sekiranya mahasiswa tidak dilatih dan didedahkan dengan nilai kepimpinan kemungkinan besar sesebuah organisasi itu mungkin tidak akan dapat diuruskan dengan baik dan sempurna.

“Kursus kepimpinan ini juga menerapkan nilai –nilai seperti amanah dan cekap supaya tidak berlaku penyelewengan ataupun penyalahgunaan kuasa apabila mereka memimpin persatuan dan organisasi mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, En. Mohd Hafizuddin berkata, program ini memberikan pendedahan berkenaan tatacara dan garis panduan yang betul bagi penyediaan kertas kerja, laporan repot kejayaan projek bagi setiap program NLP6yang telah diadakan dan proses-proses yang perlu sebelum dan selepas program diadakan.

“Kursus ini juga dapat meningkatkan soft skill excellent dalam diri wakil-wakil pemimpin kelab dan persatuan.

“Penerapan modul di dalam program ini merangkumi latihan fizikal, rohani dan kesediaan pelajar dalam membawa kelab/persatuan yang lebih baik dan cemerlang dalam membantu merealisasikan matlamat universiti bagi melahirkan graduan yang berkepimpinan, berkeyakinan dan berketerampilan,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat       Foto : Unit Empower ECER-UMK

MUHAMAD AMIRUDDIN BIN SAIDI2

KERJASAMA Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menerusi Program Latihan Akademik Empower ECER telah mampu meningkatkan mutu dan prestasi pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2017 khususnya di negeri Kelantan.

m.amirul izzat

Kerjasama itu membabitkan UMK yang bertindak sebagai Penyedia Perkhidmatan Program di bawah Empower ECER bagi kawasan Ketereh, Bachok, Jeli dan Gua Musang.

Menurut Pengarah Unit Empower ECER-UMK, Dr Arbaiah Abdul Razak, kejayaan itu dibuktikan dengan pencapaian cemerlang 360 pelajar SPM 2017 di empat daerah di negeri ini yang mendapat keputusan 100 peratus lulus seterusnya melayakkan mereka untuk mendapat Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 40 pelajar memperolehi keputusan 5A ke atas dan sebahagian besar pelajar yang mendapat keputusan 5A ke atas ini adalah pelajar dari Parlimen Jeli.

“Kejayaan yang diperolehi oleh kesemua pelajar dibawah Empower ECER-UMK itu cukup membanggakan kerana 89 peratus pelajar ini telah menunjukkan prestasi dari segi Gred Purata Murid (GPM) sekaligus membuktikan kejayaan program Empower ECER,” katanya pada Majlis Kecemerlangan SPM 2017, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Bachok, Kelantan, pada 15 Mac 2018.

Turut hadir, Pengurus Besar ECERDC Kelantan, En. Jalaludin Omar.

ECERSPM20186Pada majlis itu, pelajar cemerlang SPM 2017 yang terlibat di bawah program Latihan Akademik empower ECER telah diraikan dan menerima sijil serta hadiah sagu hati bagi menyuntik semangat mereka untuk mengekalkan meneruskan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

Dr. Arbaiah berkata, majlis Kecemerlangan SPM 2017 untuk Program Latihan Akademik 2017 itu merupakan satu usaha untuk memberi memberi semangat dan galakan kepada pelajar untuk terus berjaya dan mencapai cita-cita mereka selepas tamat peperiksaan.

"Program ini merupakan salah satu program anjuran ECERDC dengan kerjasama UMK,” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan ini seharusnya diiringi dengan usaha yang berlipat kali ganda lagi kerana SPM bukannya pengakhiran perjuangan untuk mengejar cita-cita,

“Pelajar seharusnya berusaha dengan lebih gigih lagi dengan memasuki institut pengajian tinggi samada universiti awam, swasta dan juga bidang teknikal.

ECERSPM2018“Kejayaan ini amat membanggakan apabila pelajar dibawah program Latihan Akademik empower ECER merupakan pelajar yang lemah matapelajaran dan dalam golongan B40 telah mampu mencapai kejayaan yang hasil program anjuran Empower ECER dengan kerjasama UMK,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Jeli (2), Mohamad Amirul Izzat Sabri, yang berjaya memperoleh keputusan 5A pada SPM 2017 menyifatkan kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kerjasama dan bimbingan yang diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya program Empower ECER.

Katanya, sebelum menyertai program latihan akademik Empower ECER keputusan peperiksaannya kurang baik dan lemah dengan hanya mendapat 1B1C1D dan 6G.

“Selepas menyertai program tersebut saya terkejut dan gembira selepas mendapat keputusan SPM baru-baru ini kerana berjaya memperolehi 5A dan lulus semua matapelajaran.

“Kejayaan ini adalah dorongan menerusi program Empower ECER yang dianjurkan di sekolah seperti program Gilap Minda, Campus Life, English Fun Day dan Superb Mind telah banyak memberi manfaat khususnya kaedah untuk meningkatkan cara pembelajaran dan ulangkaji yang betul dan sistematik,” katanya.

Mohamad Amirul, turut bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak kerana memberi telah menyuntik semangat dan motivasi dalam diri untuk beliau berjaya dalam mengejar cita-cita saya sebagai seorang pegawai polis.

Katanya, dengan pendapatan keluarga ayahnya seorang pemandu lori dan ibunya seorang suri rumah sepenuh masa amat sukar baginya untuk mendapatkan tuisyen luar yang pasti menelan belanja ratusan ringgit.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat             Foto : Pusat Islam UMK

Picture4

SERAMAI 1,180 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat manfaat daripada program Infaq anjuran Pusat Islam UMK, sepanjang tempoh Januari sehingga Disember 2017 membabitkan peruntukan berjumlah RM21,357.80.

Picture5

Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad berkata, usaha yang dilaksanakan itu bertujuan untuk meringankan beban pelajar melalui sumbangan berupa bantuan makanan dengan menyasarkan pelajar daripada golongan asnaf.

Beliau berkata, program Infaq ini meliputi bantuan makanan dan berupa bantuan lain yang dilaksanakan bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan.

“Program yang bermula sejak tahun lalu itu memberi manfaat kepada pelajar membabitkan ketiga-tiga universiti iaitu UMK Bachok, UMK Kampus Kota dan UMK Kampus Jeli.

"Antara inisiatif dan pendekatan yang telah dilaksanakan oleh Pusat Islam UMK adalah dengan memberi bantuan kupon makanan percuma dan tajaan berbuka puasa,” katanya selepas Majlis Budaya Ilmu, di Masjid UMK, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Picture1

Menurut Prof. Madya Dr. Azhar, pada semester lepas pihak Pusat Islam telah mengagihkan kupon makanan sebanyak RM70 seminggu untuk setiap pelajar bagi membolehkan mahasiswa mendapatkan makanan dan minuman secara percuma di kafe atau restoran telah disediakan.

Katanya, pihak Pusat Islam UMK juga menitikberatkan program kerohanian seperti aktiviti memasak bubur Asyura, majlis berbuka puasa dan sebagainya

Prof. Madya Dr. Azhar berkata, objektif utama program Infaq adalah bertujuan membudayakan amalan infaq/sedekah dalam kalangan warga universiti dan merealisasikan misi UMK dalam memberi perkhidmatan berasaskan tanggungjawab sosial.

Katanya, program ini dilaksanakan melalui skim potongan gaji daripada staf sebagai usaha untuk membudayakan amalan infaq untuk menampung perbelanjaan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti berorentasikan kebajikan yang dianjurkan.

Picture2

"Saya yakin peruntukkan hasil daripada pemotongan gaji ini boleh ditambah sekali ganda lagi pada tahun depan, sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar kurang berkemampuan untuk mengikutinya.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan lebih 1500 pelajar untuk mendapat manfaat daripada program infaq ini dengan penambahan bilangan staf yang menyertai skim pemotongan gaji,” katanya.

Sehubungan itu, pihak Pusat Islam amat mengalu-alukan penglibatan staf UMK untuk menyumbang dan merebut ganjaran pahala bersedekah dengan kadar minimum sebanyak RM3.00 sebulan.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat
Foto : Al Azam Razi

021D085C 7E32 4BDA 81A6 5DAFED17E7CA

BESUT 18 Mac 2018 – UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) yang dikenali sebagai kampus Universiti P. Ramlee, di Taman Ilmu, Besut, Terengganu, pada 15 Mac 2018.

658A725C 203D 4C40 BEFB C2E0EF114356MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar manakala ASWARA diwakili oleh Rektornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Mohd. Rizon Johari.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Dato’ Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Terengganu, YB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Rashidi Hasbullah yang mewakili Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Kerjasama UMK dengan ASWARA memfokus kepada bidang seni kreatif iaitu latihan, bidang pendidikan, pembangunan modal insan, penyelidikan dan perkongsian pengetahuan serta pembangunan dan pertukaran pelajar dan pensyarah.

Menurut Prof. Datuk Dr. Ir. Mohd. Rizon, kampus Universiti P.Ramlee yang bakal membuat pengambilan pada September ini di Taman Ilmu adalah cawangan pertama selain kampus induk di Kuala Lumpur .

Beliau berkata, sesi pengambilan pertama pelajar dijangka dalam lingkungan 500 hingga 1,000 orang untuk September ini.

6B5C36D2 2470 442C 8B0E FC74B802DE0A“Kampus Universiti P. Ramlee itu akan menggunakan sembilan blok bangunan di Taman Ilmu, dan pihaknya menyasarkan jumlah keseluruhan pelajar akan mencecah sekitar 5,000 apabila berkembang kelak.

“Pada hari ini berlangsungnya majlis penyerahan tapak kampus Universiti P. Ramlee oleh Menteri Besar Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Rashidi Hasbullah yang mewakili Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz,” katanya.

Tambah beliau, pada majlis itu juga, berlangsungnya majlis menandatangani MoU antara ASWARA dengan dua buah universiti awam iaitu UMK dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menjalinkan kerjasama apabila kampus itu beroperasi.

“Menerusi kerjasama itu, kedua-dua buah Universiti Awam itu akan menfaatkan semua kemudahan yang terdapat di kampus ini seperti asrama, kompleks Pusat Pelajar, Dewan Konvokesyen Dan Kompleks Sukan Serta Mini Stadium dan Masjid,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli

5E3136AF 4E28 4B1D 80AF 4B90D32D1135

KOTA BHARU 15 Mac 2018 I LEFTENAN Kolonel Prof. Dr. Zaliman Sauli dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baharu untuk tempoh selama tiga tahun berkuatkuasa 15 Mac 2018 hingga 14 Mac 2021.

2B01D2C6 24A2 4911 9FC0 91C0D63E28C9Pelantikan Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada surat bertarikh 12 Mac 2018 akan menggantikan Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif yang bersara wajib pada 28 Februari 2018.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Warga UMK merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman diatas pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) Baharu yang bakal meneruskan kesinambungan dan mendukung matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang berkualiti bagi kebolehpasaran serta memperkasakan UMK.

94DF4120 C8A1 4FA2 8192 6AB8E2FB5C77Beliau berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda dalam Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam Bahan dan Peranti Semikonduktor Lanjutan, di Universiti Surrey, United Kingdom.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam pendidikan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam Kejuruteraan Mikroelektronik.

4E3F4F18 32EE 4DD8 930A B09D2F45676ASepanjang perkhidmatan di UniMAP , Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman aktif dalam pengajaran dan penyelidikan serta mendapat banyak pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam bidang penyelidikan beliau pernah menerima anugerah cemerlang dan memenangi Pingat Emas dalam Pameran Reka Bentuk Industri & Teknologi Inovasi Antarabangsa ke-17 (ITEX 2006), dalam kategori Reka Bentuk dan Fabrikasi Pemanas MEMS untuk Aplikasi Peranti Automotif, pada pertandingan yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau memperoleh pingat emas dalam Pameran Perdagangan Antarabangsa Idea-Inventions-Produk Baru di Nuremberg, Jerman, 2008 (IENA 2008), Pembangunan MEMS Manifold Pressure Sensor Absolute (MAPs).

Published in Latest News

DSC 4135

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat & Nor Suzila Ramli

Foto : Al Azam Razi

SERAMAI 240 pelajar Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dari lapan buah sekolah sekitar Bachok dan Gua Musang di Kelantan bertuah apabila terpilih mengikuti Program Empower ECER: Awesome Camp Siri 2/2018 yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program Awesome Camp adalah sebuah program latihan Akademik sebagai satu usaha untuk memberi motivasi dan membentuk jati diri pelajar agar lebih ke depan dan mampu bersaing dengan pelajar dalam arus perdana.

Peserta Awesome Camp terdiri daripada 120 orang pelajar PPSR dari kawasan Bachok iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat, SK Pantai Senak, SK Pak Badol dan Sk Tangok manakala 120 pelajar PPSR kawasan Gua Musang terdiri daripada SK Renok Baru, SK Jeram Tekoh, SK Paloh 1 dan II.

Menurut Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (Pengurusan Kurikulum Bahasa) Bachok, Pn. Soo Ah Khem, peserta Awesome Camp - Empower ECER amat bertuah kerana terpilih untuk mengikuti sesi pembelajaran yang lebih seronok, suasana yang kondusif dan persekitaran yang selesa berbanding pelajar yang tidak berpeluang menyertainya.

Beliau berkata, program mempunyai banyak manfaat dan kelebihan dimana mereka dapat menyertai kelas tambahan secara percuma disamping ECER juga menyediakan pelbagai aktiviti dan program yang berfaedah kepada peserta secara percuma.

“Selain itu, para peserta dapat menyertai kem-kem motivasi serta lawatan sambil belajar untuk membuka minda mereka sebagai penyuntik semangat para peserta untuk menjadi pelajar yang cemerlang.

“Pelajar yang ada di dalam dewan ini adalah mereka yang terpilih dan berpeluang menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan nanti,” katanya pada majlis perasmian penutup Awesome Camp 2018, di PCB Resort, Kota Bharu, Kelantan, pada 12 Mac 2018.

Turut hadir, Pengarah Projek Khas Empower ECER, Dr. Arbaiah Abdul Razak dan Pengurus Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Negeri Kelantan, En. Mohd. Zaharuddin Mahmood.

Pn. Soo Ah Khem turut berkongsi tips untuk menjadi pelajar yang cemerlang ialah sentiasa mempunyai cita-cita yang tinggi, hadir ke sekolah setiap hari, tumpukan perhatian di dalam kelas, pelajar yang aktif di dalam dan luar kelas dan sentiasa menyiapkan tugasan atau kerja sekolah

Katanya, pelajar yang cemerlang juga sentiasa buat ulangkaji pelajaran, banyak membaca dan mancang jadual belajar secara sistematik.

“Pada program ini peserta mendapat bimbingan oleh fasilitator yang diselangselikan dengan ceramah atau nasihat dan motivasi oleh pakar motivasi dan penceramah yang dijemput,” katanya.

Sementara itu, Dr. Arbaiah berkata, program ini diadakan khusus untuk memenuhi keperluan pelajar dari lapan buah sekolah di Bachok dan Gua Musang yang sedang membuat persiapan untuk penilaian PSSR tahun ini.

“Selepas tiga hari mengikuti program pelajar lebih bermotivasi dan berkeyakinan bagi menghadapi PPSR seterusnya mencipta kecemerlangan.

“Setiap peserta lebih bermotivasi dan meningkatkan kemenjadiaan murid sebagai seorang pelajar berwawasan, cemerlang dan mampu membuat keputusan dengan bijak selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat            Foto : Al Azam Razi

BenterasDadah

BenterasDadah1

SEKUMPULAN 80 sukarelawan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) daripada 11 buah Universiti Awam (UA) di seluruh Malaysia menyertai program turun padang PEMADAM@Kampung 2018 anjuran Bahagian Kaunseling, Kerjaya dan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertempat di Kampung Jintan dan Alor Piah, Pasir Mas, Kelantan, pada 8 Mac 2018.

Program turun padang membenteras penyelahgunaan dadah itu turut mendapat kerjasama PEMADAM Kebangsaan dan Kelab Komuniti Jintan dan Alor Piah telah berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mac 2018.

Ahli Lembaga Pengarah UMK selaku Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, YB Senator Dato’ Hj. Hanafi Mamat, berkata, kehadiran sukarelawan PEMADAM yang terdiri daripada mahasiswa UA turun padang melakukan aktiviti bersama penduduk kampung sedikit sebanyak berjaya memberi keyakinan kepada generasi muda tentang bahayanya penyelahgunaan dadah.

BenterasDadah3Beliau berkata, kerjasama dalam membendung penyalahgunaan dadah daripada pelbagai pihak ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah penyalahgunaan dadah.

“Usaha mengekang penyalahgunaan dadah menjadi kenyataan adalah selaras dengan gerakan dan usaha kerajaan untuk memerangi dadah secara habis-habisan..

“Penglibatan semua lapisan masyarakat termasuklah pihak swasta dan badan- badan bukan kerajaan diperlukan dalam membanteras masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Program PEMADAM@Kampung 2018, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Pn. Alifah Adnan, Setiausaha PEMADAM Kebangsaan, Pn. Zuriah, Pengerusi Kelab Komuniti Jintan Alor Piah, En. Mohd Asri Pah dan Penyelaras Program, En. Mohd. Zamani Mohd Nawi.

BenterasDadah6Sementara itu, Pn. Alifah berkata, pihak UMK berbesar hati dengan Kelab Komuniti Jintan dan Alor Piah kerana sudi menerima mahasiswa-mahasiwa daripada 11 buah UA sebagai anak angkat serta memberikan kerjasama baik melancarkan program PEMADAM@Kampung 2018.

Katanya, program PEMADAM@Kampung 2018 yang pertama kali diadakan ini membabitkan kerjasama daripada Kelab PEMADAM daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Selain itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UMK.

BenterasDadah4“Usaha membasmi penyalagunaan dadah adalah tanggungjawab semua dan kerjasama antara UA ini adalah sebahagian daripada aktiviti untuk membantu kerajaan memastikan bahawa kebajikan rakyat ini terjaga,” katanya.

Pn. Alifah, berkata, pelbagai program telah diatur bersama penduduk setempat untuk mewujudkan hubungan dua hala di antara mereka seperti gotong-royong membersihkan kubur, persediaan rewang untuk bekwoh rakyat, sukaneka dan lain-lain.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli             Foto : Al Azam Razi

MTE2018

MTE201814

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) berjaya memenangi, tiga emas, empat perak, lima gangsa dan tiga merit pada pertandingan Malaysia Technology Expo 2018 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 22 hingga 24 Februari 2018.

Manakala produk inovasi VHySOL, yang dihasilkan oleh Penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Dr. Krishna Veni A/P Veloo telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas (Japan Intellectual Property Association Award) – Best Invention in Green Technology.

UMK melalui Pejabat Perundingan, Harta Intelek dan Pengkomersialan (CICO), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menghantar sebanyak 15 produk inovasi untuk menyertai pertandingan MTE 2018 kali ke 17 yang bertemakan Asia’s Inventions and Innovations Marketplace.

Majlis perasmian MTE 2018 yang dianjurkan bersama oleh PROTEMP Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd dan Malaysian Association of ResearchScientists (MARS) telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dato Dr. Mashitah Mohd Yusoff.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Rahmah Othman, Pengarah Perundingan, Harta Intelek dan Pengkomersilan (CICO) UMK, Dr. Mohd Hafiz Jamaludin serta Timbalan Naib Canselor dan Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Awam.

MTE20186

Pertandingan MTE 2018 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Invention & Innovation Awards, Malaysia International Design Expo & Awards dan Asian Youth Innovation Awards & Expo dan Stem Mentor-Mentee Awards.

Sebanyak 54 pingat emas, 83 pingat perak, 116 pingat gangsa dan 42 anugerah khas disediakan pada MTE 2018.

Menurut Dr. Mohd Hafiz, penyertaan UMK ke MTE 2018 adalah langkah terbaik bagi para penyelidik untuk mendapat pengiktirafan, mempromosi serta mengkomersilkan teknologi dan inovasi terbaharu yang dihasilkan oleh para penyelidik dan ahli akademik untyuk tujuan pengkomersialan dan 

MTE20187

pasaran global.

Beliau berkata, secara keseluruhan produk inovasi yang dihasilkan oleh UMK berpotensi besar dan mampu dikomersialkan untuk manfaat bersama yang merupakan satu indikator kemampuan universiti terutamanya anugerah khas oleh JIPA.

“Pada MTE 2018 kali ini UMK berjaya meraih tiga emas menerusi kumpulan penyelidik Fakulti Keusahawanan Dan Perniagaan (FKP) yang menghasilkan projek bertajuk Pengajaran Dan Pembelajaran Inovatif Teknopreneurship berasaskan Teknologi Teknopreneurship.

MTE20185“Projek pengajaran dan pengajaran ini adalah hasil inovatif untuk tujuan kursus akademik berasaskan teknologi dianggap pragmatik kepada kecekapan pelajar dan daya tahan diri untuk melaksanakan proses pembangunan produk baru (terutamanya untuk produk berasaskan teknologi yang memenuhi piawaian antarabangsa),” katanya.

Tambah beliau, interaksi antara elemen keusahawanan, teknologi dan pelajar keupayaan muncul sebagai pertimbangan utama bagi pelajar untuk membangunkan produk yang boleh dipasarkan yang menonjolkan unsur berteknologi tinggi.

“Kursus akademik ini untuk menjelaskan dan memberi kesan kepada konteks kehidupan sebenar perniagaan berasaskan teknologi tinggi yang memerlukan inovasi berterusan dari ideasi sehingga pasaran antarabangsa.

MTE201811

Pingat emas kedua sebuah produk yang telah dihasilkan hasil daripada inovasi daripada Dr.Krishna Veni Veloo iaitu penyelidik daripada FIAT bertajuk V-HySol yang satu inovasi untuk menyediakan produk yang berkos rendah,” katanya.

Dr. Mohd Hafiz berkata, V-HySOL dihasilkan dalam prestasi pengeluaran ekstraksi (kos penjimatan), pendekatan mesra alam, hijau dan sangat bermanfaat untuk menangani pencemaran yang muncul dalam organik (EOPs).

Manakala pingat emas ketiga menerusi kategori perlindungan alam sekitar iaitu produk bertajuk AcBioC: All-Can Bio-Carbon yang dihasilkan oleh Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah daripada FIAT yang menghasilkan satu produk bertujuan untuk membangunkan produk biookarbon berasaskan biomas disamping mengurangkan isu pembuangan sisa pepejal dan agrowaste.

“Produk ini bertujuan untuk mengurangkan pembakaran terbuka dan pembuangan terbuka agrowaste serta mengurangkan pencemaran air. AcBioC: All-can Bio-Carbon mampu menegakkan nilai estetik alam sekitar disamping mempromosikan aktiviti ekonomi masyarakat,” katanya.

MTE20183

Sementara itu, pingat perak disumbangkan menerusi produk E-siyahah : An Interactive Platform to Learn Arabic Language for Tourism Purpose Pusat Pengajian Bahasa Dan Pembangunan Insaniah dan projek MOOC : 2e Towards 2s In Learning; Enhancing And 9Engaging (2e) Students Towards Satisfaction And Self Directed, Access And Paced In Learning daripada Pusat Pengajaran Dan Pembelajaran.

Manakala, seterusnya pingat perak daripada produk Ergosof oleh penyelidik Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rasdan Ismail dan produk My-Akti-FIL oleh Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah daripada Fakulti Industri Asas Tani.

MTE201810Pingat gangsa turut diraih daripada A New Asesessment Tool of Entrepreneurial Characteristic Using Mobile Android Game Freezer (Fakulti Keusahawanan Dan Perniagaan) produk Malaysian Sign Langage Application     (Pusat Pengajaran dan Pembelajaran) dan Design Model For Islamic Animated Infographic (Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan).

Turut meraih gangsa ialah produk The Effectiveness Interactive Learning Tools Towards Student Involvement InTeaching and Learning (Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan) dan Blended Learning: Engendering Education 4.0 by Capturing 2015-2017 and Stipulating 2018-2020 Data Analytics (Pusat Pengajaran Dan Pembelajaran).

Dalam pada itu, tiga produk berjaya memenangi merit menerusi produk Online Practicum Evaluation System (Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan), produk F-Lash(Filter Splash (Fakulti Keusahawanan Dan Perniagaan) dan Research Ideation Canvas (RIC) daripadaPusat Keusahawanan Global, Penyelidikan & Inovasi UMK.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat        Foto : Al Azam Razi

 CLS

CLS7

INSTITUSI Pendidikan Tinggi perlu mempersiapkan pelajar dan graduan dengan ilmu serta pendidikan sebagai teras dalam usaha mengharungi cabaran baharu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, ledakan industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Beliau berkata, dunia sekarang telah mengalami perubahan seangkatan dengan Revolusi Industri 4.0. sebagai contohnya apa yang berlaku hari ini iaitu syarikat teksi terbesar di dunia iaitu UBER tidak mempunyai teksi atau pemandu malah peruncit yang paling terkenal dan berharga di dunia iaitu ALIBABA tidak mempunyai inventori.

CLS6“Pemilik media sosial yang paling popular iaitu Facebook tidak mempunyai pusat berita, vendor software terbesar iaitu AppleStores and Google tidak membuat aplikasi serta banyak lagi perubahan yang ketara dan ini adalah merupakan perubahan Digital Disruption yang telah berlaku seangkatan dengan Revolusi Industri 4.0.

“Jadi sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global,” katanya pada Program Syarahan Pengerusi (Chairman Lecture Series) Bagi Tahun 2018, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 8 Mac 2018.

CLS3Program CLS Siri 1/2018 kali ini menampilkan Pengerusi Symphony Life Berhad, Tan Sri Azman Yahya sebagai penceramah utama yang menyampaikan ceramah bertajuk The Digital Disruption - What It Means For Businesses   And Careers.

Turut mengundang ialah Pengarah Institut Kepintaran Buatan Dan Data Raya (AIBIG), Prof. Dr. Mohd Saberi Tan Ah Chik @ Mohamad yang menyampaikan ceramah bertajuk Digital Disruption : Transformation Of World.

Manakala moderator ialah Pengarah Pejabat Jaringan Industri & Kolaborasi (ILCO), Prof. Dr. Balakrishnan A/L Parasuraman.

CLS4Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, Program Syarahan Pengerusi CLS ini dilihat sebagai sebuah platform perkongsian ilmu yang sangat bagus melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh korporat yang berjaya untuk diterapkan oleh staf universiti serta mahasiswa UMK khususnya dalam usaha memperkasakan modal insan negara.

Katanya, objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa, staf UMK dan agensi-agensi jemputan untuk menerokai idea-idea, pendekatan yang baharu dan praktis terkini dalam sesebuah industri.

CLS2

“Selain, daripada itu, program ini secara tidak langsung membolehkan para akademik untuk membuat penilaian terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran agar ianya selari dengan perkembangan sektor industri semasa sekaligus staf akademik dapat bekerjasama dengan pihak industri.

“Pakar akademik perlu menjalankan aktiviti penyelidikan dan program lanjutan bersama pakar industri dimana hasil daripada aktiviti tersebut akan dijadikan sumber yang berfaedah bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Tambah beliau, program seumpama ini sememangnya memberikan impak yang besar kepada kita khususnya tentang perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada mahasiswa serta ahli akademik UMK khususnya.

“Sebagai sebuah universiti keusahawanan, panduan serta nasihat daripada tokoh-tokoh tersohor ini sememangnya amat kita dambakan,” katanya.

CLS8

Sementara itu, Tan Sri Azman berkata peredaran zaman membawa kepada pelbagai perubahan teknologi namun sebagai mahasiswa yang berpendidikan dan berpegetahuan luas haruslah berani dan bersedia menghadapi revolusi yang akan berlaku pada masa akan datang.

Katanya, kita tidak perlu takut apa yang ada dihadapan kita sekarang ini,tetapi kita perlu fokus dengan apa yang berlaku dan menerima perubahan digital ini.

“Dalam Digital Disruption akan memberi kesan keatas setiap antara kita dan ia memberi impak yang besar kedalam kehidupan dan bisnes masyarakat.

CLS9“Merujuk kepada kepentingan bisnes dan kerjaya,masyarakat perlu tahu bagaimana ia memberi kesan negatif di dalam kehidupan mereka dan mereka juga perlu mencari langkah lebih awal untuk menangani masalah tersebut, “ katanya.

Tan Sri Azman menyifatkan bahawa masyarakat hari ini lalida ataupun tidak kisah dengan “Digital Disruption” malah mereka tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

“Masyarakat perlu tahu ia bakal menjadi perubahan besar dalam industri dan memberi impak yang besar kepada semua.

“Sekiranya masyarakat tahu cara untuk menguruskan masalah ini, ia akan menjadi satu peluang yang besar”, katanya.

CLS5

Published in Latest News
Page 1 of 2

What our Students say?

Latest Update: 01 November 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search