Latest News

Items filtered by date: August 2018 - Universiti Malaysia Kelantan

40309761 2323887637838380 4483328622978924544 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

BACHOK I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menjimatkan RM627,914.00 bagi kos pengurusan kewangan universiti melalui pelaksanaan program inovasi dan kreatif oleh lima Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada tahun ini.

Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah, Konvensyen KIK pada tahun ini juga mencatatkan penjimatan masa sebanyak 168 hari yang merupakan satu kejayaan yang signifikan kepada pencapaian hasil inovasi yang digerakkan oleh ahli KIK yang majoriti terdiri daripada staf bukan akademik.

Beliau berkata, lima kumpulan KIK pada tahun ini berjaya membuktikan bahawa setiap staf di UMK adalah penyumbang terbesar khususnya untuk memberi idea dan cadangan yang berinovasi bagi menghasilkan budaya inovasi serta kreatif dalam kerja seharian.

40269378 2323888137838330 9015724915147407360 o“Justeru, penglibatan staf daripada pelbagai peringkat jawatan di dalam kumpulan KIK diberi peluang yang sama rata dalam menyumbangkan idea dan pendapat seterusnya melaksanakan langkah-langkah penyelesaian masalah atau penambahbaikan terhadap proses kerja sedia ada.

“Secara tidak langsung, KIK bukan sahaja memupuk budaya inovasi dan kreatif malah turut melatih anggota organisasi untuk tampil berani dalam merangka dan menyusun gerak kerja serta melaksanakan tindakan perubahan ke arah memantapkan keupayaan sumber manusia yang ada demi kebaikan organisasi,’ katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kali Kedua, di Laman Monsun, UMK Bachok, pada 29 Ogos 2018.

Turut hadir, Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kelantan, En. Nik Faizal Nik Ahmad, Ketua Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Dr. Monniaty Mohamed dan Pengurus Kualiti Malaysia Rail Link Sdn Bhd, En. Andra Syahrizal Mohamad.

Pada majlis itu, Prof. Madya Dr. Zailani turut menyampaikan hadiah kepada Kumpulan Ad Hoc dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Konvensyen KIK peringkat UMK.

Kumpulan ADHoC berjaya membawa balik geran penyelidikan berjumlah RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Kumpulan ADHOC yang menghasilkan produk satu inovasi baharu bertajuk Blok Batik Pointilisme untuk memberi kemudahan kepada pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran dengan kos yang lebih murah.

Kelebihan blok batik ini dapat mengembalikan elemen warisan yang semakin dilupakan.

Dalam pada itu, Kumpulan Try & Error dari Pejabat Pentadbiran Kampus Jeli selaku Naib Johan berjaya membawa balik geran penyelidikan berjumlah RM5000.00, trofi dan sijil penghargaan

Tempat ketiga diraih oleh Kumpulan Medixin mewakili Pejabat Pendaftar UMK yang turut memenangi geran berjumlah RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Try & Error manakala Pembentang Terbaik di raih oleh, En. Azzhar Mohd Nawi.

Menurut Prof. Madya Dr. Zailani, Konvesnyen KIK UMK baharu menjangkau tahun kedua penganjurannya dengan konvensyen yang pertama telah diadakan pada tahun lepas.

Katanya, KIK bagi perkhidmatan awam merupakan antara salah satu instrumen yang dikenalpasti dapat membantu meningkatkan kebolehcapaian KPI setiap agensi kerajaan melalui penyelesaian kepada masalah-masalah yang timbul dalam melaksanakan proses kerja harian.

“Apabila masalah dapat diselesaikan, ini bermakna ada penemuan cara dan kaedah baharu dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut yang seterusnya dapat mencetuskan nilai-nilai kreativiti dan inovasi yang turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Melalui inovasi tersebut Kumpulan Adhoc daripada FTKW yang telah mendapat penarafan emas, Kumpulan Medixin dan Legasi 19 mendapat penrafan perak dalam Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam di Universiti Malaya (UM), pada Ogos lalu,” katanya.

 

 

Published in Latest News

WhatsApp Image 2018 08 03 at 6.20.35 AM

Teks dan Foto : Institut Keusahawanan UMK (UMK-EI)

YIWU: Dua mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terpilih mengikuti Program Keusahawanan Run With Yiwu Global Youth Business 2nd Session atau YGYB di Yiwu, China, baru-baru ini.

Pelajar tersebut adalah Muhammad Nur Iman Md Yusri dan Nurul Huda Muhammad, yang merupakan pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).

Timbalan Pengarah Aktiviti Keusahawanan, Institut Keusahawanan UMK (UMK-EI), Encik Wan Mohd Yusuff Wan Ibrahim, berkata, pelajar UMK adalah sebahagian daripada lima pelajar Universiti Awam (UA) di Malaysia yang terpilih bersama-sama 40 peserta daripada 29 buah negara.

“Sebanyak 226 permohonan telah diterima oleh penganjur untuk menyertai program YGYB anjuran Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Yiwu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Dalam tempoh 10 hari, para peserta telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti slot kursus dan sesi lawatan ke beberapa lokasi perniagaan komersil di Yiwu termasuklah melawat ke International Trade Mart District 1 dan 5.

“Peserta juga diberi latihan dan bimbingan bagaimana untuk menghasilkan perancangan perniagaan yang betul bagi persediaan pertandingan perancangan perniagaan didalam kumpulan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nur Iman berkata, lawatan selama 10 hari ke Yiwu adalah satu pengalaman paling berharga kerana di sini terletaknya Pusat Borong YIWU iaitu pusat borong terbesar yang terletak di Wilayah Zhenjiang, China.

Katanya, sejarah asal Yiwu adalah bermula dengan sebuah bandar perkampungan yang kemudiannya dibangunkan menjadi pusat perniagaan terbesar di dunia yang terletak berhampiran dengan kawasan pergunungan.

“Sesi kelas pertama kami bermula dengan sesi pengenalan Yiwu’s International Trade oleh Pensyarah Huang Yi yang menerangkan fungsi dan operasi tempat perdagangan komersil yang menempatkan pelbagai produk yang dijual di Malaysia.

“Seterusnya, sesi memperkenalkan diri dan mempersembahkan kebolehan individu bagi membolehkan para mentor memilih mentee ataupun trainee sendiri mengikut kesesuaian bidang industri yang mereka minati,” katanya.

Menurut Muhammad Nur Iman, kelas perkongsian ilmu perkenalan berkaitan logistik antarabangsa, customs declaratio’ dan clearance oleh Pengurus Liu Wenying dari Kingston Logistik Co Sdn Bhd adalah satu pengalaman paling menarik kerana peserta diberi penerangan bagaimana urusan logistik dilakukan dan pengurusan penghantaran keluar serta masuk produk daripada China ke negara-negara lain.

Katanya, peserta juga diajar bagaimana untuk membuat urusan dengan perkhidmatan logistik di China.

“Dalam sesi lain, Pensyarah Xiong Aisha memberi maklumat berkenaan status Quo of ‘Cross-border E-commerce untuk pelancong atau orang lain berurusan dengan pembelian barang-barang daripada Yiwu,” katanya.

Namun, pengalaman paling berharga kepada 40 peserta ialah berpeluang melawat International Trade Mart District 1 dan 5 iaitu lokasi terbesar pusat borong di Yiwu yang menjual pelbagai produk daripada barang barang permainan hinggalah ke aksesori rumah.

Jelas Muhamad Nur Iman, terdapat lebih 8000 kedai dan 10000 jenis barang-barang yang dijual di sini dan perumpamaan mengatakan bahawa melawat lima minit setiap premis kedai di sini ibarat mengambil masa tempoh selama setahun untuk menghabiskan lawatan ke kedai-kedai di sini.

“Kami amat kagum dan bertuah kerana diberi peluang mengadakan lawatan seperti ini kerana kami juga berpeluang menyertai bengkel Amazon oleh Dai Ruiqi.

“Sesi perkongsian perniagaan online ini sangat menarik kerana tenaga pengajar menerangkan bagaimana untuk menjana duit menerusi platform Amazon,” katanya.

Tambah Muhamad Nur Iman, para peserta juga berpeluang melihat operasi STO Express Delivery Center yang mengaplikasikan teknologi seperti kenderaan ataupun robot kecil yang berfungsi untuk mengasingkan barang-barang hantaran kepada penerima mengikut lokasi dan daerah.

“Kumpulan daripada Malaysia yang membentangkan pelan perniagaan Trade Halal juga berjaya meraih tempat pertama dibawah bimbingan mentor Mr Kok.

“Walaupun sekadar tugasan pertandingan tetapi tugasan ini tetap mencabar daripada segi pemikiran serta strategi didalam perniagaan dan wakil Malaysia adalah antara kumpulan yang berjaya memonopoli keputusan pertandingan sepanjang program ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Muhammad Nur Iman menyifatkan lawatan ini sangat berbaloi dan memberi banyak manfaat kepada usahawan muda serta berjaya membuka mata serta minda khususnya status kemajuan dan pembangunan yang berlaku pesat di China khususnya Yiwu Zhejieng iaitu sebuah bandar yang dipenuhi bangunan pencakar langit.

“Kami juga tertarik dengan prinsip dan falsafah masyarakat di China kerana kebanyakan penduduknya berlumba-lumba untuk berjaya.

“Kami juga diberi peluang bekerjasama dengan usahawan serta mentor yang hebat seperti Mr Kok Chit Hock iaitu rakyat Malaysia yang berasal daripada Johor merupakan seorang usahawan luar yang telah memiliki empayar perniagaan yang berjaya di China,” katanya.

Pada hari terakhir, para peserta kali lagi diberi peluang melawat Yiwu Trade Centre untuk membeli dan melihat produk yang berpotensi untuk dibawa ke pasaran di Malaysia.

“Sepanjang berada di Yiwu, terdapat beratus produk yang masih belum memasuki pasaran Malaysia dan paling mencabar adalah untuk membuat transaksi produk kerana mereka langsung tidak memahami bahasa Inggeris,” jelasnya.

Published in Latest News

40069305 2321267211433756 365084344852676608 o

Teks dan Foto : Unit Kebudayaan UMK

YALA : Kumpulan Lestari Warisan (Le’Waris) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan membuat persembahan sempena program YRU Academic Fair 2018 yang berlangsung di Universiti Yala Rajabhat, Yala, Thailand pada 15 hingga 17 Ogos 2018.

Kumpulan Le Waris menjadi satu-satunya Universiti Awam (UA) daripada Malaysia dijemput bagi mengadakan persembahan kebudayaan sempena Academic Fair 2018.

Persembahan ini juga berjaya memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dua-dua buah universiti yang terjalin selepas termeterainya memorandum persefahaman sebelum ini.

Menurut Pegawai Kebudayaan, Unit Kebudayaan UMK, En. Wan Mohd Arizuddin Wan Mohd Nor, jemputan membuat persembahan di luar negara ini adalah satu penghormatan besar kepada Le’Waris walaupun ahli nya bukanlah terdiri daripada kalangan penari profesional.

Katanya, ini merupakan kali keempat pihak YRU menjemput Kumpulan Le’Waris untuk mengadakan persembahan sempena YRU Academic Fair.

40106716 2321267268100417 4325239664316252160 o“Kami di Unit Kebudayaan UMK berbesar hati dengan pelawaan dan peluang ini kami manfaatkan sebaik-baiknya untuk kumpulan kami bertukar serta berkongsi idea dan seni budaya Negara masing-masing,” katanya.

Mengulas tentang persembahan di Yala, Wan Mohd Arizuddin atau nama panggilan Are Jue berkata, Kumpulan Le’Waris mempersembahkan tarian yang berunsurkan negeri Kelantan.

“Kumpulan kami mempersembahkan dikir yang telah diurbankan atau dikenali dengan nama dikir fusion tetapi masih mengekalkan unsur-unsur tradisional.

“Manakala YRU mempersembahkan pentomin, dikir barat hulu dan juga nyanyian yang diiringi oleh kumpulan pemuzik band,” katanya.

Beliau berkata, persembahan kebudayaan itu disaksikan sendiri oleh Presiden YRU, Prof. Dr. Sombat Yotathip dan 1,000 pelajar YRU, tetamu serta masyarakat luar kampus.

Wan Mohd Arizuddin, persembahan tarian oleh Kumpulan Le’ Waris yang terdiri daripada sembilan pelajar UMK itu berjaya memukau penonton dan secara tidak langsung berjaya mengangkat seni budaya rakyat Kelantan ke peringkat lebih tinggi.

Tambah beliau, program ini dapat memberi banyak peluang kepada pelajar unutk mengenali pelbagai jenis seni budaya yang terdapat di Thailand serta berkongsi seni budaya Malaysia kepada pelajar-pelajar di YRU.

40089053 2321267418100402 4426888590886174720 o

Published in Latest News

40209927 2321275788099565 9022386061531152384 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

BACHOK I Pusat Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkongsi kemeriahan sambutan Aidiladha dengan mengagihkan sebanyak 180 bungkusan daging korban kepada 100 staf, 50 komuniti Kampung Mukim Nemang dan 30 sukarelawan sebagai pengisian Program Ibadah Korban 1439H yang kali kedua di adakan di Perkarangan Masjid UMK Bachok, pada 22 Ogos 2018.

Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad, berkata, program agihan itu dibuat sebaik sahaja selesai aktiviti menyembelih, gotong-royong melapah daging dan membungkus yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 11 pagi.

Katanya, seramai 30 sukarelawan terdiri daripada staf Pusat Islam, UMK dan penduduk kampung Mukim Nemang terlibat pada gotong-royong tersebut.

“Pembahagian sumbangan kepada staf ini dibuat berasaskan daripada kupon kepada staf setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berkelayakan termasuklah pekerja am kontraktor.

40126066 2321275874766223 8418943379781451776 o“Manakala 50 bungkusan daging yang dipakejkan terus diagihkan kepada ahli jawatankuasa masjid Mukim Neman untuk dibahagikan kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurut Prof. Madya Dr. Azhar, program Ibadah Korban 1439H ini adalah inisiatif berterusan Pusat Islam bertujuan menghidupkan suasana dan amalan ibadah korban di bulan Zulhijah yang mulia.

“Selain itu, program ini juga dapat memupuk perasaan persaudaraan dan hormat-menghormati di antara warga UMK dan masyarakat.

“Ini secara tidak langsung dapat melahirkan rasa cinta di kalangan warga UMK terhadap majlis-majlis keagamaan sejajar dengan tuntutan agama,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Azhar menyifatkan kejayaan pengenalan skim potongan gaji ibadah korban yang buat kali kedua diperkenalkan sejak tahun lalu sedikit-sebanyak dapat membantu memberi kemudahan kepada staf untuk melaksanakan ibadah korban.

“Skim yang diperkenalkan tahun 2017 itu membolehkan semua staf mengambil bahagian dalam ibadah korban dengan bayaran potongan gaji sebanyak RM100 sebulan bermula awal Januari 2018.

“Kita harap staf lebih ramai staf dapat mengambil bahagian pada program ibadah korban menerusi skim potongan gaji pada tahun hadapan dan kami mengalu-alukan program ini diadakan dengan lebih besar merangkumi staf , pelajar dan penduduk tempatan,” katanya.

40082364 2321275824766228 9132959109803409408 o

.

Published in Latest News

DSC 3876

Teks dan Foto : Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT)

SERAMAI 30 pelajar daripada Sekolah Menengah Sains Jeli, MRSM Jeli dan Seoul International School, di Korea Selatan telah bekerjasama mengadakan Kem Kajian Bersama dan Pertukaran Budaya menerusi kajian kualiti air serta sistem kumbahan bertempat di daerah Jeli Kelantan.

Kem Kajian Bersama itu adalah susulan daripada kerjasama antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan University of Seoul (UoS) di Korea Selatan.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu bermula pada 3 hingga 5 Ogos 2018 membabitkan penglibatan pelajar sekolah menengah dari Korea dan Malaysia yang bermatlamat untuk memberi pendedahan berkaitan isu air dan sanitasi.

Program ini adalah selaras dengan hasrat dan aspirasi Sustainable Development Goals 2030 serta program kolaboratif yang secara tidak langsung dapat meluaskan pengalaman pelajar melalui perkongsian ilmu dan budaya serta kemahiran dalam bidang sains.

Pensyarah Kanan FBKT, Dr. Hasyiya Karimah Adli, berkata, kem kajian selama tiga hari memberi tumpuan penyelidikan berkenaan kualiti air dan sistem kumbahan di Kampung Lakota, Jeli, Kelantan.

Katanya, kem ini memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar mengenai isu air, sanitasi dan pengurusan alam yang lestari, sambil meluaskan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang sains.

“Selain itu, kem ini juga secara tidak langsung dapat meluaskan pengalaman pelajar daripada Korea Selatan dengan budaya penduduk Malaysia dan beramah mesra dan seterusnya mempromosikan budaya Malaysia kepada delegasi Korea.

“Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini seperti mengendalikan penyelidikan analisis kualiti air di kawasan sekitar Jeli, menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan pertukaran budaya di antara Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

Kem kajian ini mendapat bimbingan daripada Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ishak selaku Ketua Penyelidik dan Pengarah Program bersama dengan Prof. Hyunook Kim dari University of Seoul, Korea.

Kem Kajian telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Cik Suraya Norin Ismail manakala majlis penutup oleh Timbalan Dekan Akademik FBKT, Prof. Madya Dr. Noor Azlina Ibrahim.

Program Kem Kajian ini turut mendapat kerjasama staf akademik FBKT dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar UMK Kampus Jeli.

Menurut Dr Hasyiya, hasil kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik mempunyai perancangan di masa hadapan bagi menjalankan program susulan di Seoul International School pada setiap tahun secara berselang-seli di kedua-dua negara.

Beliau berkata, menerusi kajian ini satu pembentangan hasil kajian berkaitan kebersihan air dan sisa buangan pepejal terawat untuk penjagaan alam sekitar akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pada program itu, delegasi daripada Korea Selatan berpeluang melawat sekitar bandar Kota Bharu dan diberi kesempatan mengenali makanan tradisional Malaysia dan Korea, aktiviti permainan tradisional dan melawat dusun dan kebun getah dan merasai musim buah-buahan di Kelantan.

“Para peserta juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan melalui persembahan dikir barat dan gamelan,” katanya.

WhatsApp Image 2018 08 07 at 10.24.27 PM

Published in Latest News
7c576075 1984 4e8f a199 00b0dc12c2a8
Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat 
Foto : Abdul Halim 
PENGKALAN CHEPA 14 Ogos I Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memainkan peranan utama pembangunan murid sebagai generasi masa depan melalui pemikiran inovatif dan kreatif dalam ekonomi global yang penuh persaingan ke arah Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
 
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) En. Zainuren Haji Mohd Nor, pendidikan STEM adalah satu landasan dalam menyediakan bekalan tenaga kerja mahir, berbakat dan berdaya tahan ke arah pembangunan ekonomi yang lestari demi memenuhi permintaan dalam bidang berkenaan.
 
Justeru, KPM telah menggerakkan polisi-polisi yang mencerminkan komitmen negara dalam memanfaat, mengguna, dan memajukan sains dan teknologi menerusi Penggubalan & Pelaksanaan Dasar Sains & Teknologi Negara Pertama (1986-1989), Pembangunan Industri Teknologi: Satu Pelan Tindakan Kebangsaan (1990-2001) dan Dasar Sains & Teknologi Negara Kedua serta Pelan Tindakan (2002-2010).
“Pendidikan STEM merupakan pembelajaran yang sesuai untuk semua peringkat umur, boleh dilaksanakan secara formal dengan pengintergrasian antara Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik berdasarkan kurikulum dan secara bukan formal melalui ko-akademik dengan kokurikulum serta juga pembelajaran tidak formal.
 
710f95bc ff75 4006 9475 db42637a6ce2“Umumnya, pelbagai cara yang kreatif dan inovatif boleh diaplikasikan melalui penggunaan konteks pembelajaran yang lebih bermakna dan berkait dengan kehidupan sebenar murid melalui pendekatan rekabentuk kejuruteraan (Engineering Design) dalam usaha membentuk pemikiran kritis dan kreatif,” katanya pada majlis perasmian Kolokium Pendidikan STEM Kelantan 2018, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, di sini, hari ini.
 
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Negeri Kelantan, En. Muhammad Zahari Osman dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr. Latip Muhammad.  
 
Kolokium ini adalah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan pelbagai agensi industri.
Menurut En. Zainuren, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM sangat menarik kerana sesuai dan boleh dipelajari oleh semua peringkat umur dan kini menjadi tumpuan bukan hanya di Malaysia tetapi di serata dunia.
 
Katanya, sesebuah negara bergantung kepada penguasaan dalam bidang STEM dan seterusnya akan membantu negara melonjak ke tahap negara maju.
“Kaedah pembelajaran harus dipelbagaikan agar sesuai dengan sesuatu peringkat umur atau peringkat pendidikan tersebut,” katanya.
 
Tambah beliau, penekanan kepada bidang STEM ini adalah sejajar dengan hasrat KPM untuk mengukuhkan pembangunan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) dan STEM sebagai sumber kekuatan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
 
“KPM juga telah melaksanakan pelbagai usaha dalam memperkukuh kan pendidikan STEM melalui inisiatif Perkukuhan Pendidikan STEM dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025). 
 
“Insiatif pengukuhan pendidikan STEM adalah bermatlamat untuk melahirkan murid yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan nilai yang berguna, dengan menggunakan pendekatan inkuiri, pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan masalah.
 
“Ini juga adalah salah satu usaha meningkatkan kemahiran murid menggunakan perisian komputer atau alatan canggih yang berteknologi tinggi dengan menekankan aspek kreatif, kritis, inovatif, dan proaktif serta mengalakkan aktiviti secara berpasukan,” katanya.
 
Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, kolokium Pendidikan STEM merupakan satu daripada usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru dalam bidang terhadap mata pelajaran berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau ringkasnya STEM.
 
Katanya, Revolusi Industri 4.0 memerlukan kita menyerap elemen STEM dengan lebih giat lagi dalam setiap proses pembelajaran dimana pendidikan STEM memainkan peranan utama dalam membangunkan murid Malaysia sebagai generasi masa depan dengan pemikiran inovatif dalam ekonomi global yang penuh persaingan.
 
“Pendidikan STEM merupakan satu daripada usaha meningkatkan kemahiran bidang STEM (‬Science, Technology, Engineering & Mathematics‬) bagi membantu meningkatkan produktiviti dan daya saing negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
 
“Bagi memenuhi hasrat ini, sudah tentu pengetahuan serta budaya STEM perlu diterapkan kepada masyarakat dan pelajar serta menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat dan pelajar, maka usaha untuk menggerakkan inovasi dari peringkat akar umbi akan menjadi lebih mudah dan dapat disebarluaskan,” katanya.
 
Justeru itu, pihak kerajaan, warga pendidik, badan bukan kerajaan atau NGO serta masyarakat perlu berganding bahu menyumbang kepakaran bagi menyokong usaha memperkasakan ini berjalan dengan lancar sebagai satu usaha untuk menyediakan tenaga kerja Negara berkemahiran tinggi pada masa akan datang.
 
63f9f93d 9a80 42b2 a122 3c92fbbb9b2b
Published in Latest News

39032306 2305405716353239 4800066080053657600 n

GAMBANG 11 Ogos I Seramai 114 atlet kontinjen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memulakan persaingan merebut pingat dalam 17 acara sukan yang dipertandingkan pada kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (SUKUM) ke-43, yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Pahang, bermula 10 hingga 18 Ogos 2018.

Kontinjen UMK mengambil bahagian dalam tujuh acara pada SUKUM ke 43 iaitu acara badminton (individu), bola sepak (senior dan veteran), ping pong, berbasikal (senior dan veteran), memanah, boling padang dan petanque.

38923528 2305405663019911 8092026394948665344 nTimbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Kamel Mohamad, yang mewakili Menteri Pendidikan Malaysia , YB Dr. Maszlee Malek telah hadir menyempurnakan perasmian kejohanan SUKUM kali ke 43 yang berlangsung dalam suasana penuh gemilang dan warna-warni dengan menonjolkan kepelbagaian budaya serta kesenian negeri Pahang.

Menurut beliau, kejohanan sukan SUKUM merupakan platform bagi menyatukan semangat perpaduan antara warga staf universiti.

"SUKUM merupakan penghubung bagi memartabatkan sukan seiring pendidikan di negara ini menerusi penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontigen masing-masing.

"Selain bersaing secara sihat dalam lapangan sukan, atlet dari semua kontigen juga diharap dapat menghayati semangat kesukanan dan pada masa sama memanfaatkan SUKUM sebagai medan perhubungan profesional secara santai," katanya dalam teks ucapan perasmian SUKUM ke-43.

Kejohanan SUKUM Ke 43 ini membabitkan penyertaan seramai 2,600 atlet daripada 21 kontinjen mewakili universiti awam seluruh negara.

Sebanyak 17 acara sukan bakal dipertandingkan seperti futsal, basikal, olahraga, badminton, sepak takraw, catur, tenis, ping pong, lawn bowls, memanah, petanque, temping boling, golf, bola sepak, bola tampar, bola jaring dan memancing.

Beberapa venue pertandingan telah dipilih seperti di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Stadium Sekolah Sukan Malaysia Pahang Gambang, Gelanggang Tenis Taman Gelora Kuantan, Gelanggang Lawn Bowls Indera Mahkota, SUKPA, Kelab Golf diRaja Pekan dan Megalanes Berjaya Megamall.

38920549 2305405826353228 8785169996956303360 n

Published in Latest News

38817981 2302082456685565 4943169373834575872 o

BACHOK 9 Ogos I Seramai 20 mahasiswa/i Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan 19 pelajar Universiti Andalas (UNAND), Padang di Indonesia berpeluang merasai sendiri pengalaman berharga bersama penduduk Kampung Kuau, Bachok, Kelantan, menerusi Program Khidmat Komuniti UMK Dan Universitas Andalas, pada 4 hingga 9 Ogos 2018.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Haji Ibrahim Che Omar telah menyempurnakan program yang berlangsung selama enam hari pada 4 Ogos lalu.

Program anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK, Jabatan Penerangan Negeri Kelantan dan Muafakat Komuniti Malaysia Kampung Kuau /Keluat adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara UMK dengan Universitas Andalas, Padang di Indonesia.

Program ini juga bersempena programme mobiliti inboud berkredit UNAND di UMK selama tiga minggu bermula pada 21 Julai hingga 11 Ogos 2018 yang membabitkan 19 pelajar tahun akhir UNAND.

Pengarah UCTC UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu Mohd Nor, berkata, pelaksanaan program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua mahasiswa yang terlibat terutamanya dari Universitas Andalas, Indonesia tentang cara hidup, kegiatan ekonomi, kebudayaan dan sosial masyarakat di luar bandar di Negeri Kelantan.

38740234 2302082476685563 2972969997149667328 oKatanya, program ini juga sebahagian aktiviti bagi merapatkan hubungan antara mahasiswa dan pensyarah UMK dan mahasiswa dan pegawai dari Universitas Andalas, Indonesia dalam satu program di samping mewujudkan silaturahim dengan masyarakat di luar bandar.

“Selain itu, program ini juga memberi peluang melatih mahasiswa dan mahasiswi kedua-dua universiti untuk bertindak sebagai agen sukarelawan bagi membantu masyarakat sekeliling dalam pelbagai aspek bantuan.

“Program ini juga memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa kedua-dua universiti untuk meneroka kehidupan masyarakat bersama keluarga angkat di kawasan luar bandar yang menjalankan aktiviti ekonomi yang bergantung kepada sumber pertanian,” katanya.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Anizu, antara program dan aktiviti yang dijalankan adalah program gotong royong membersih Tanah Perkuburan Padang Badak, Kem Motivasi pelajar Kg. Kuau bersama peserta program, Perlawanan Persahabatan Bola Tampar, persembahan Malam Kebudayaan dari mahasiswa UMK dan Universitas Andalas dan persembahan khas Tiupan Serunai Penduduk Kg Kuau.

Beliau berkata, para peserta juga diberi peluang merasai sendiri pengalaman gotong-royong mengadakan majlis kenduri sekampung, bengkel kecantikan Avon dan penampilan diri, program baiki dua buah rumah keluarga asnaf, ziarah kesihatan di lima buah keluarga dengan kerjasama Pusat Kesihatan UMK, persembahan dikir barat antara Pasukan Kg Kuau dan Pasukan Kg Pengkalan Cina serta khidmat pendidikan di SMK Badak membabitkan seramai 100 pelajar Tingkatan 4.

Sementara itu, Pensyarah Kanan FKP selaku Pengarah Program Mobiliti Inbound UNAND dan UMK, Dr. Mohd Zulkifli Muhammad berkata, program di Kampung Kuau merupakan satu program di bawah UCTC yang menjadi sebahagian daripada program Mobiliti InBound UNAND dan UMK.

Beliau berkata, program Mobiliti Inbound UNAND dan UMK berlangsung selama 21 hari bermula 21 Julai hingga 11 Ogos dalam memenuhi keperluan Kuliah Kerja Nyata (KKN), UNAND.

“Para Pelajar UNAND terlibat dalam program ini adalah seramai 19 yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian seperti perubatan, kemanusiaan, ekonomi, sosial dan politik, pertanian, kejuruteraan dan matematik serta sains semulajadi.

“Sepanjang 21 hari tersebut, pelajar FKP dan UNAND dikehendaki melaksanakan program di Kampung Kuau dengan beberapa program khidmat komuniti di beberapa tempat di Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, antara aktiviti yang dijalankan ialah program khidmat komuniti di Pusat Asuhan Harian Kanak-Kanak Spastik di Pengkalan Chepa selama tiga hari dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta sukaneka melibatkan kanak—kanak spastik.

“Kemudian, program komuniti diteruskan ke Pusat Warga Emas iaitu Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa dan di sana pelajar-pelajar terlibat dengan penjagaan warga emas seperti memberi makan dan minum serta memandikan warga emas.

“Setelah selesai program komuniti lima hari tersebut, pelajar-pelajar telah terlibat dengan Bengkel Keusahawanan dan tidak lengkap pelajar UNAND membuat program di UMK sekiranya pelajar tidak didedahkan dengan pembelajaran keusahawanan,” katanya.

Menurut Dr. Mohd. Zulkifli, program keusahawanan yang dijalankan itu bertepatan dengan falsafah kurikulum pengajian di UMK yang berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dimana para peserta daripada UNAND dapat merasai sendiri pengalaman perniagaan di Rantau Panjang dan pembentangan rancangan perniagaan.

“Pelajar-pelajar UNAND dan UMK juga terlibat pula dengan program sekolah di dua buah sekolah iaitu SK Padang Mokan Kota Bharu dan SK Abdul Hadi di Kota Bharu iaitu antara sekolah tertua di Kelantan yang dibuka pada tahun 1927.

“Pelajar-pelajar UNAND dan UMK membantu murid-murid sekolah rendah dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik dalam bentuk permainan (games) dan dilaksanakan berkonsepkan Fun Learning atau didik hibur,” katanya.

38795097 2302082200018924 4982179530991992832 o

Published in Latest News

38878157 2302269353333542 3512442272056606720 n

PENGKALAN CHEPA 9 Ogos I Bagi menyemarakkan kempen semangat "SAYANGI MALAYSIAKU”, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda menyemai semangat patriotisme dikalangan pelajar dan staf, secara serentak di UMK Bachok, UMK Kampus Jeli dan UMK Kampus Kota, pagi tadi.

Peluang ini wajar diambil oleh warga kampus dalam memupuk perpaduandan memeriahkan sambutan hari kemerdekaan apabila warga kampus mengambil tanggungjawab untuk turun bersama-sama memasang jalur gemilang menghiasi persekitaran kampus.

Kehadiran 80 pelajar dan staf memeriahkan aktiviti memasang bendera bagi menyemai semangat kecintaan kepada negara selaras dengan tema Hari Kebangsaan bertemakan Sayangi Malaysiaku yang disambut pada 31 Ogos 2018.

Kempen mengibarkan bendera Malaysia bermula pada 4 Ogos hingga 16 September 2018.

38784237 2302269336666877 1898981380033871872 n

Published in Latest News

38713682 2300956733464804 2814165973676851200 o

PENGKALAN CHEPA 8 Ogos I Kontinjen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu jadikan kejayaan Crotia di Piala Dunia 2018 di Russia sebagai misi penting untuk memburu pingat pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke 43 di Universiti Malaysia Pahang (UMP), pada 10 hingga 18 Ogos 2018.

Walaupun dianggap negara kerdil dengan jumlah penduduk seramai 4 juta orang namun selaku finalis Piala Dunia 2018, Crotia telah berjaya melahirkan ramai bakat dalam bola sepak dan pelbagai lagi jenis sukan sekali pun kekurangan sumber dan kemudahan sukan yang lengkap.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, berkata banyak perkara yang boleh dijadikan sumber teladan dan inspirasi daripada kejayaan negara ini dan Crotia telah membuktikan tiada yang mustahil dalam bidang sukan.
"Jika Croatia berjaya melakukan kita semua juga dapat impikan perkara sama.

38655866 2300956533464824 6294843436411387904 o“Selaku sebuah universiti yang paling bongsu kita mengakui bahawa kita agak kerdil untuk menguasai kejohanan ini jika dibandingkan dengan universiti-universiti tersohor atau well established seperti Universiti Malaya dan UPM yang mempunyai lebih ramai atlet dan kemudahan sukan yang serba lengkap,” katanya pada majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen UMK, En.Pauzi Pak Chu di Dewan Eksprimental, UMK Kampus Kota, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Husaini, berdasarkan kepada saiz kontinjen UMK untuk kejohanan Sukum 2018 dengan penyertaan 114 atlet dan pegawai dalam 8 acara sukan yang membawa cabaran universiti ini di UMP nanti jelas memberikan signifikasi dan isyarat bahawa kita telah bersedia untuk menjadi pesaing pada kejohanan kali ini.

Katanya, dengan semangat kesukanan yang tinggi kita percaya bahawa persaingan dalam kejohanan ini diraikan dengan displin dan kesedaran untuk memelihara imej dan nama baik UMK.

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun berikanlah cabaran yang terbaik bagi menunjukkan kesungguhan tuan dan puan sebagai wakil kepada UMK sepanjang temasya ini.

“Pada masa yang sama, sukalah saya menyatakan disini bahawa pihak pengurusan UMK sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan sukan di universiti ini,” katanya.

Tambah beliau, komitmen ini dizahirkan melalui sokongan berterusan terhadap inisiatif-insiatif yang digerakkan oleh Pusat Sukan UMK termasuklah pembangunan bakat sukan, program latihan atlet dan penyediaan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi untuk manfaat warga UMK secara keseluruhannya.

“Majlis pada hari ini walaupun sekadar satu simbolik, namun bendera UMK yang akan diserahkan itu merupakan manifetasi harapan daripada pihak pengurusan Universiti ini kepada anda untuk memberikan sumbangan terbaik melalui penyertaan dalam kejohanan tahunan ini,” jelasnya.

Pada kejohanan SUKUM 2017 ke-42 yang lalu, UMK berjaya berada di kedudukan 17 daripada keseluruhan universiti bertanding dengan menyertai tujuh acara sukan dengan empat acara sukan sahaja yang menyumbang tujuh pingat iaitu Bola Sepak (1 Perak), Basikal VIP (1 perak), ping pong 1 gangsa dan memanah sebanyak tiga gangsa.

38712104 2300956653464812 2622854051410214912 o

Published in Latest News
Page 1 of 2

What our Students say?

Latest Update: 01 November 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search