Latest News

Items filtered by date: September 2018 - Universiti Malaysia Kelantan

42397388 1951930264861665 2281927050761601024 o

PENGKALAN CHEPA : Bilangan kemasukan pelajar Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menunjukkan peningkatan kepada 542 pelajar atau kenaikan sebanyak 40 peratus pada sesi semester September 2018/2019 berbanding tahun lepas iaitu 340 pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rafi Yacob, berkata, peningkatan ini adalah satu perkembangan yang baik kepada industri pelancongan dan hospitaliti yang mampu memberi manfaat serta pelbagai peluang kerjaya dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, antara faktor utama peningkatan pelajar ini adalah ekoran penambahan tawaran tempat di FHPK kerana mendapat permintaan tinggi daripada calon.

“Selain itu, peluang yang terbuka luas di industri ekoran permintaan tinggi daripada industri terhadap graduan dalam bidang pelancongan, hospitaliti dan kesejahteraan selepas mereka tamat pengajian juga menjadi penarik kepada peningkatan ini.

“Penyertaan industri dalam akademik di universiti turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman sebenar semasa belajar di universiti juga menjadi penyumbang kepada peningkatan pelajar FHPK,” katanya pada majlis perasmian program One Step Closer dan penyampaian sijil Anugerah Dekan FHPK, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 23 September 2018.

Turut hadir, Dekan FHPK, Prof. Madya Dr Ghazali Ahmad, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Dr. Roslizawati Che Aziz, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Mohd Fadil Mohd Yusof dan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan, Dr. Wan Mohd Nazdrol Wan Mohd Nasir.

Prof. Dr. Rafi menyarankan kepada FHPK untuk bekerjasama dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK khususnya dalam melaksanakan program-program kesukarelawanan, program kelab dan persatuan.

“Kerjasama ini bagi memastikan fakulti FHPK khasnya dan UMK amnya dapat melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah cemerlang dalam bidang-bidang lain serta pelajar-pelajar FHPK seimbang dalam kedua-dua bidang.

“Ini satu cabaran kepada pihak fakulti kerana pelajar FHPK perlu cemerlang dalam akademik dan bukan akademik kerana ini merupakan nilai tambah yang penting untuk pelajar dalam menempuhi sesi temuduga untuk bekerjaya dan akan meningkatkan peratusan Graduate Employability FHPK,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ghazali berkata, majlis Anugerah Dekan meraikan seramai 118 orang pelajar FHPK yang mencapai gred nilai kumulatif cemerlang (CGPA) iaitu 3.70 ke atas pada semester lepas.

Katanya, daripada jumlah 118 pelajar itu, seramai 50 pelajar adalah dari bidang Hospitaliti (SAH), 52 pelajar dari bidang Keusahawanan Kesihatan (SAW) dan 16 pelajar dari bidang Pelancongan (SAP).

Selain, majlis penyampaian anugerah dekan juga berlangsungnya program ceramah bertajuk One Step Closer Programme yang disampaikan oleh En Mohd Jamil bin Abdul Wahab iaitu Profesional Learning Fasilitator.

“Ceramah motivasi ini adalah bertujuan untuk meningkatkan semangat pelajar-pelajar FHPK untuk meneruskan kecemerlangan akademik dalam semester ini dan semester-semester seterusnya,” katanya.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

Published in Latest News

0I1A5855

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA I Pusat Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Kelab Kebajikan Staf UMK (KKSU) telah menganjurkan Seminar Keluarga Sakinah : Suami Berhemah, Isteri Peramah bertempat di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 20 September 2018.

Seminar yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JAHEIK, Dr Hasnan Hj Ramli, diadakan bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan kepada para peserta, khususnya yang telah berkahwin, tentang ilmu berkaitan memperkukuhkan lagi kerukunan rumah tangga yang menepati konsep yang disebut sebagai Mawaddah wa Rahmah.

Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Hj Nik Abdul Kadir Hj. Nik Mohamad, Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu dan Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad.

Sementara itu, tajuk ceramah yang dibincangkan pada seminar julung kali diadakan itu ialah ‘– Indahnya Berpasangan yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azhar, tajuk slot kedua ialah Suami Handsome, Isteri Owesome oleh Ustaz Mohd Suhaimi Mohamed iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK.

0I1A5846Ceramah ketiga bertajuk Sihir Dalam Rumah Tangga yang disampaikan oleh Dato’ Haji Nik Abdul Kadir.

Menurut Dr Hasnan, institusi kekeluargaan merupakan asas pembangunan sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati.

Beliau berkata kehidupan berumahtangga yang dibina perlu berasaskan nilai-nilai murni sebagaimana yang ditonjolkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana rumahtangga yang bahagia dan sempurna akan mampu menjamin lahirnya suami , isteri, ibu bapa serta anak-anak yang berkualiti.

“Setiap pasangan yang berkahwin semestinya mengimpikan satu kehidupan yang bahagia kerana rumahtangga yang bahagia menjadikan ahli-ahlinya dapat hidup dalam suasana tenang, harmoni dan selesa serta saling kasih mengasihi, hormat menghormati dan dapat melaksanakan setiap aktiviti-aktiviti rumahtangga dengan penuh kerelaan.

“Perjalanan hidup sesebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip prinsip saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lain, sentiasa memberi sokongan semasa menghadapi konflik dan saling bekerjasama dalam mneyelesaikan masalahyang dihadapi,” katanya.

Tambah beliau, kehidupan hidup berumahtangga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam menjalinkan hubungan suami isteri dan kegagalan untuk berbuat demikian akan mengundang ketegangan dan konflik.

“Oleh itu, tidak mustahil jika dikatakan bahawa krisis adalah salah satu perkara lumrah di dalam sebuah rumahtangga kerana situasi ini hanya dapat di atasi dengan kebijaksanaan suami dan sokongan daripada isteri penyayang.

“Sebagai sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk orang Islam di Kelantan, amatlah berharap para suami dan isteri agar bersama-sama mengemudikan rumahtangga ke arah mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, aman damai, disirami dengan kasih sayang, saling menghormati , saling memahami, ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul, saling mempercayai dan memberi sokongan serta dorongan kepada kebaikan dan nasihat menasihati daripada melakukan kejahatan.

Beliau berharap mudah-mudahan seminar Keluarga Sakinah pada hari ini dapat merungkai segala permasalahan yang sering menjadi punca pergaduhan dan kemelut rumahtangga sehingga menjejaskan tanggungjawab kepada pasangan masing-masing.

Dalam pada itu, En. Pauzi berkata, seminar ini diharapkan memberi kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan berumahtangga agar mereka dapat melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT dengan sebaik mungkin.

Katanya, kerukunan rumah tangga yang aman, damai dan bahagia maka staf di mana-mana jabatan pun akan menunjukkan kerja yang baik.

Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, mungkin dalam bentuk skala yang lebih besar.

“Saya percaya kerjasama yang erat antara pihak JAHEAIK dengan Pusat Islam UMK dapat dipertingkatkan dan memberi manfaat kepada kita semua,” katanya.

0I1A5913

Published in Latest News

0I1A5721

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 19 September I Dalam usaha memperkukuhkan profesion perancangan kewangan di kalangan masyarakat dan institusi pendidikan di Malaysia, Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Malaysia Financial Planning Council (MFPC) bekerjasama menganjurkan Seminar Perancangan Kewangan Kali Ke 2 2018 bertemakan Health is Wealth ataupun Kaya itu Sihat.

Seminar sehari yang berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota turut diserikan dengan keberangkatan tetamu khas diraja, Yang Berhormat Mulia Dato’ Hajah Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

0I1A5708Majlis perasmian seminar dan Pelancaran Buku Takaful Ikhtiarku telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah.

Turut hadir, Pengarah GERIC, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Presiden Khalifah Group, En. Mohd. Rizal Hussin, Pengurus Kanan AIA, En. Mohd Azhar Md. Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif, Salihin Shariah Advisory, Prof. Madya Dr. Ahcene Lahsana.

Seminar Perancangan Kewangan kali ke 2, itu turut mendapat kerjasama daripada MFPC, Khalifah group, AIA, Prince court Medical Centre dan Persatuan Perancangan Kewangan Bijak Malaysia.

Menurut Prof. Madya Dr. Zailani, pengurusan kewangan dan merancang perbelanjaan dengan bijak daripada awal bukan sahaja membantu memudahkan menguruskan wang malah dapat menyelamatkan masyarakat daripada krisis kewangan.

Beliau berkata, setiap daripada kita memerlukan kemahiran untuk menguruskan wang supaya kita dapat menyelamatkan, dan jika mungkin, melabur untuk membantu memenuhi jangkaan kita untuk kehidupan yang selesa dan gaya hidup yang mencukupi dalam tahun-tahun persaraan kita.

Justeru itu, kerajaan telah melaksanakan strategi menyeluruh untuk meningkatkan tahap literasi kewangan kepada semua rakyat Malaysia, dan membolehkan mereka untuk mengambil bahagian dalam pasaran kewangan dengan yakin.

“Program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar, dan masyarakat setempat dalam membuat pilihan kewangan yang bijak bagi merancang masa depan dan masa persaraan mereka.

“Inisiatif oleh GERIC menubuhkan WEALTH LAB atau Makmal kekayaan di UMK ini diharapkan dapat bekerjasama dengan pemain kewangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih celik kewangan,” katanya.

Tambah Prof. Madya Dr. Zailani, program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar, dan masyarakat setempat dalam membuat pilihan kewangan yang bijak bagi merancang masa depan serta masa persaraan mereka.

“Seminar ini juga membantu mendidik dan memberi maklumat kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhan dan Kementerian Pengajian Tinggi menyambut baik inisiatif universiti industri yang membina platform baru untuk meningkatkan pendidikan kewangan dan industri pengurusan wang.

“Inilah contoh kerjasama Rakan Profesional UMK dan Pemain Industri kewangan ini, yang bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme industri perancangan kewangan,” jelas beliau.

Tambah beliau, pada seminar itu pihak GERIC telah berjaya mengumpulkan pelajar, siswazah, insuran dan ejen amanah serta penasihat kewangan berlesen di bawah satu payung untuk menyediakan standard pendidikan kewangan yang konsisten.

“Program ini bukan sahaja akan meningkatkan pengetahuan dan keyakinan kewangan dalam industri perancangan kewangan, tetapi juga membantu mewujudkan kesedaran dan literasi di kalangan masyarakat di Kelantan.

“Matlamat utama ialah kita mahu penduduk di negara memiliki pengetahuan dan pendidikan serta menghargai peranan perancangan kewangan.

Beliau berharap komuniti celik kewangan adalah sangat penting untuk membina keyakinan pengguna di pasaran kerana mereka lebih bersedia untuk memilih pelaburan mereka dengan bijak.

“Pelabur mesti memahami hubungan risiko berbanding ganjaran untuk menguruskan wang secara bertanggungjawab dan untuk melindungi diri daripada penipuan skim cepat kaya yang menjanjikan wang mereka dua kali ganda dalam masa yang singkat.

“Sekali lagi saya ulangi bahawa tiada jalan pintas untuk penciptaan kekayaan,” katanya.

0I1A5794

Published in Latest News

0I1A5487

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 18 September I Pengurangan kadar jenayah merupakan sebahagian agenda penting daripada rancangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju dan selamat untuk pelancongan dan pelaburan perniagaan.

Justeru, kerajaan optimis memerangi jenayah secara menyeluruh kerana dengan langkah ini dapat memberi impak berupa peningkatan rasa selamat yang dinikmati oleh rakyat untuk membolehkan Malaysia berada dalam kalangan negara-negara yang selamat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Nadzri Siron berkata, perasaan takut terhadap perlakuan jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat kerana melibatkan kesan yang sungguh memudaratkan sepertimana ungkapan yang sering kita dengar iaitu Jenayah Membawa Padah.

0I1A5474Beliau berkata, kadar jenayah pada hari semakin serius dan kompeleks dan Malaysia tidak terlepas dari ancaman keganasan antarabangsa kerana kaedah yang digunakan berbagai bentuk malah jenayah pada masa kini boleh dilakukan di hujung jari melalui penyalahgunaan internet.

“Perlakuan jenayah juga mungkin timbul kerana desakan hidup, institusi kekeluargaan yang tidak harmoni dan faktor persekitaran.

“Oleh demikian, semua pihak haruslah bertindak secara kolektif dan berterusan dimana pendekatan baharu amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berperibadi mulia dan disegani oleh semua bangsa di dunia ini,” katanya pada perasmian Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur 2018 bertemakan Membendung Perlakuan Jenayah dan Pengulangan Jenayah, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 18 September 2018.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penjara, Dato’ Seri Zulkifli Omar; Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim, Ketua Polis Negeri Kelantan, Dato’ Hasanuddin Hassan, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Dato’ Abd. Aziz Nawi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Menurut Dato’ Sri Nadzri, langkah pencegahan jenayah amat penting kerana apabila sudah terjebak bukanlah mudah untuk diubati malah KDN melalui Jabatan Penjara terus berusaha memulih dan membina semula insan bergelar penghuni di sebalik tembok batu.

Katanya, usaha tersebut dilakukan dengan berbagai cara sama ada melalui pemulihan di dalam penjara dan juga di luar penjara.

“Allhamdullilah, melalui usaha serta penambahbaikan pemulihan secara berterusan kadar kes berulang atau residivis untuk Jabatan Penjara Malaysia masih lagi rendah berbanding kadar residivis di luar negara.

“Selain itu, sokongan masyarakat amat diperlukan bagi membantu bekas penghuni dalam membina jati diri dan hadirnya mereka ke dalam masyarakat dan tidak dipandang sepi malah memberi peluang kepada mereka untuk berubah dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara,” jelas beliau.

Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia terus berdepan dengan cabaran utama apabila 20 daripada 37 penjara di seluruh negara mengalami kesesakan dengan jumlah keseluruhan mencatatkan 61,000 banduan yang menjalani hukuman pelbagai kesalahan jenayah sehingga Ogos tahun ini.

Dato’ Seri Nadzri berkata, jumlah melebihi 50 peratus itu membabitkan kesesakan banduan di penjara-penjara lama di serata negeri.

Sempena Program Mesej Dari Penjara, turut diadakan pameran oleh Jabatan Penjara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kelantan, Parol Negeri Kelantan dan Unit Pameran Bas Bergerak Jabatan Penjara Malaysia.

0I1A5477

Published in Latest News

41677674 2333078676919276 3858639442390548480 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto   : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 13 Sept I Jabatan Penerangan (JAPEN) menyasarkan pembabitan seramai 6,000 mahasiswa-mahasiswi daripada Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi menjayakan program Apa Kata Anak Malaysia yang diadakan di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah JAPEN, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid berkata, program Apa Kata Anak Malaysia adalah kesinambungan daripada program Apa Kata Gen Y kelolaan JAPEN sejak tahun 2015.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan program itu pada 2015 hingga 2017, sebanyak 32 program seumpama itu berjaya dilaksanakan melibatkan lebih 22,500 peserta.

“Program ini diakui amat berkesan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan mahasiswa dan mahasisiwi khususnya golongan muda amnya untuk memberikan pandangan, cadangan, aspirasi dan harapan ke arah bersama-sama membina negara Malaysia yang padu, aman dan makmur.

41601914 2333078726919271 4458187872997998592 o“Keberkesanan program ini juga dilihat untuk melahirkan dan mengasah bakat-bakat baharu barisan pelapis komunikator muda yang mahir serta berkaliber dalam menyampaikan idea-idea serta pandangan yang bernas secara bijaksana, berhemah dan kreatif,” katanya pada perasmian Program Apa Kata Anak Malaysia Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Zaliman Sauli dan Pemangku Pengarah JAPEN Kelantan, En. Azhar Ismail.

Sempena Program Apa Kata Anak Malaysia itu juga berlangsungya forum bertajuk Apa Kata Anak Malaysia 2018 #Sayangi Malaysiaku yang disertai oleh Cik Nur Atiqah Zaihan (UiTM ), Haffezur Awel (Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Lingheswaran a/l Muniandy (USM) dan Mohamad Aimi Mohd Zubir (UMK).

Turut diadakan Program Khidmat Masyarakat membabitkan seramai 65 pelajar UMK bergotong-royong membersihkan kawasan Taman Perumahan Tanjung Chat, Kota Bharu, pada 12 September 2018.

Menurut Dato’ Mohd Sukari, satu kajian menyeluruh yang diadakan mendapati 8,000 responden di 11 negeri mendapati 97 peratus bersetuju program ini dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan mahasiswa dan mahasisiwi.

Katanya, manakala 99 peratus responden mengatakan mereka bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Kajian itu juga menafikan persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa belia-belia tidak lagi ada nilai jatidiri dan semangat cintakan negara,” katanya.

Published in Latest News

41745255 2333077310252746 7735175060020789248 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU 12 September I Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan Program Khidmat Masyarakat Mahasiswa dan Mahasiswi Bersama Komuniti sempena Program Apa Kata Anak Malaysia (AKAM) Peringkat Negeri Kelantan 2018, di Taman Perumahan Tanjung Chat, hari ini.

Program secara intelligent engagement, adalah salah satu intipati untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda khususnya mahasiswa UMK dengan memberi ruang mereka terlibat secara tidak langsung dalam program berbentuk semangat cintakan negara dan keamanan demi melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab sebagai warganegara.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yacob.

Turut hadir, Pengerusi KRT Taman Perumahan Tanjung Chat, Dato’ Seri Hj. Mohd Aiseri Alias, Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, En. Azhar Hj. Ismail, Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, En. Zaid Ahmad dan Pengarah Pusat Tranformasi Komuniti UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu Mohd Nor.

Menurut Prof. Dr. Mohd Rafi, program ini membabitkan penyertaan seramai 65 mahasiswi UMK dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan KRT Taman Perumahan Tanjung Chat.

41547364 2333077360252741 5160137893129224192 oBeliau berkata, sebagai generasi muda di institusi pendidikan tinggi sewajarnya diberi pendedahan dan didikan untuk cintakan negara melalui pelbagai program berunsurkan kemasyarakatan serta patriotisme.

“Program aktiviti sebegini dapat meningkatkan kesedaran generasi muda khususnya serta masyarakat setempat amnya tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan kebersihan yang dapat menjamin kesejahteraan hidup.

“Aktiviti ini juga dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dengan mementingkan kesihatan yang baik sekaligus dapat mengelakkan penyakit seperti demam tinggi, kencing tikus dan lain-lain lagi penyakit berpunca daripada persekitaran yang tidak terjaga rapi,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Rafi menyifatkan bahawa penduduk di sini amat prihatin terhadap isu ini dan perkara itulah program pada hari ini dapat dilaksanakan di Taman Perumahan Tanjung Chat.

Katanya, penganjuran program ini dapat memberi ruang kepada mahasiswa mendekati masyarakat untuk berkongsi pandangan tentang apa jua perkara dan dapat memupuk semangat perpaduan dan jati diri kita sebagai warganegara Malaysia.

“Program ini sewajarnya diadakan secara berkala di peringkat KRT mahupun daerah dan juga negeri kerana selain dapat sama-sama membersihkan kawasan sekitar, ianya juga dapat menjadi aktiviti riadah yang baik.

“Selain itu, dapat juga memupuk semangat cintakan kebersihan seterusnya cintakan negara di kalangan ahli masyarakat khususnya anak-anak muda dan UMK amat berbesar hati dapat bersama-sama menyumbang khidmat bersama komuniti setempat khususnya penduduk pada hari ini dalam membantu menjaga kebersihan alam sekitar dan akan sentiasa menyokong usaha murni sebegini,” jelas beliau.

41627547 2333077476919396 5179288177344512000 o

Published in Latest News

40779075 1928742843847074 7292604836518821888 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA I Seramai 100 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima bantuan khas bagi membantu meringankan kos sara diri mereka yang kurang berkemampuan untuk memulakan pengajian bagi sesi September 2018/2019.

Pengurniaan sumbangan itu disampaikan oleh Tengku Temenggong Kelantan selaku Pro Canselor UMK, YBM. Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan anakanda, YM Tengku Nur Qistina.

Tengku Temenggong Kelantan bertitah bantuan itu diberikan kepada 50 pelajar baharu lelaki dan 50 pelajar perempuan melibatkan ketiga-tiga buah kampus UMK sebagai insiatif membantu meringankan kos sara diri pelajar baharu yang akan memulakan pengajian.

Beliau berkata, bantuan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan kerana pihak universiti sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar.

“Pada kemasukan ini salah seorang pelajar kurang bernasib baik telah dikenalpasti untuk menerima bantuan khusus dan pihak universiti telah berusaha untuk mengenalpasti lebih ramai lagi pelajar yang kurang bernasib baik.

“Saya juga difahamkan pihak UMK telah melancarkan tabung untuk pelajar kurang bernasib baik dan pihak universiti juga telah berusaha untuk mendapatkan peruntukan dana khas daripada pihak swasta bagi menganjurkan lebih banyak program kebajikan,” katanya pada Lawatan Mesra Tengku Temenggong Kelantan dan Pro Canselor UMK, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam dan Tengku Nur Qistina sempena Minggu Mesra Mahasiswa UMK (3M), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 3 Sepetember 2018.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu.

YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam berharap, pihak UMK akan memperbanyakkan lagi pelaksanaan aktiviti berorientasikan kebajikan dan pihak pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti berbentuk kebajikan untuk merasai dan menghargai betapa bertuahnya kita berbanding mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya mengalukan-alukan penglibatan pihak UMK membudayakan amalan sedekah dan infaq dikalangan warganya sebagai menjadi mereka yang terpilih dan bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Oleh demikian, amalan infaq dan sedekah harus diterapkan daripada diri penuntut-penuntut dan inshAllah amalan mulia akan diteruskan selepas berada di alam pekerjaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, buat julung kalinya dalam program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) seramai 100 pelajar baharu yang kurang berkemampuan menerima pengurniaan bantuan dari istana melalui Pro Canselor UMK.

40654343 1928739317180760 7596118604685246464 oKatanya, bantuan ini memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan yang terdiri daripadakeluarga yang berpendapatan di bawah RM4000 (B40) melibatkan ketiga-tiga buah kampus.

“Untuk rekod, seramai 3893 pelajar UMK yang merupakan pendapatan ibu bapa bawah RM4000 (B40) di ketiga-tiga kampus berjaya dikenalpasti,” katanya.

Justeru, pihak pengurusan universiti akan memastikan kebajikan pelajar UMK terjaga melalui hasrat penubuhan Yayasan Tuanku Canselor UMK bagi mempertingkatkan program kebajikan pelajar.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Husaini, setiap tahun pihak universiti sentiasa memastikan agar setiap bebanan pelajar yang tidak berkemampuan dapat dikurangkan melalui sumbangan dari badan korporat dan individu.

Katanya, sehingga 30 Ogos 2018, UMK telah mengagihkan sebanyak RM144,100.00 wang zakat kepada pelajar yang memerlukan dan RM2900.00 bantuan kewangan khas kepada pelajar bukan Islam.

Published in Latest News

40684660 2326242080936269 7099421481037201408 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi & Ab. Halim Hafiz

PENGKALAN CHEPA 2 September I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan 3,132 tempat kepada mahasiswa baharu sesi kemasukan September 2018/2019 bagi mengikuti 24 program pengajian akademik di ketiga-tiga kampusnya iaitu di UMK Bachok, Kampus Kota dan Jeli.

Program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda itu ditawarkan menerusi lapan fakulti iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Fakulti Senibina dan Ekistik (FAE).

Selain itu, Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, berkata, seramai 2,151 (sehingga jam 4.30 petang) daripada jumlah keseluruhan pelajar baharu yang melaporkan diri secara serentak di ketiga-tiga kampus UMK pada hari ini.

Beliau berkata, proses pendaftaran pelajar baharu berlangsung dalam suasana yang teratur dan lancar menerusi bantuan daripada pihak pengurusan serta urus setia termasuk sukarelawan pelajar yang bertindak sebagai pemudah cara kepada ibu bapa dan pelajar untuk mendaftar.

“UMK membuat persediaan yang begitu rapi untuk proses kemasukan pelajar baharu tahun ini dan pelajar baharu akan terlibat dengan Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang bermula pada hari ini hingga 6 September 2018.

“Program 3M dengan pelbagai aktiviti menarik ini, dirancang khas supaya pelajar baharu dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan suasana persekitaran, aktiviti dan kemudahan di kampus,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd. Rafi ketika diminta mengulas tentang peningkatan permohonan di kalangan mahasiswa baharu beliau berkata UMK menjadi pilihan utama pelajar kerana universiti adalah universiti berfokus dalam bidang tujahan keusahawanan.

Katanya, peningkatan sambutan terhadap universiti ini untuk melanjutkan pelajaran adalah selaras dengan matlamatnya yang berteraskan bidang keusahawanan kerana pelajar begitu berminat dalam agenda keusahawanan kerana bidang ini bukan sahaja melahirkan usahawan tetapi mampu mencipta pekerjaaan kepada orang lain sebaik sahaja tamat pengajian.

“Tidak semua universiti awam di negara ini menyediakan kemudahan ini dan di UMK pelajar bukan sahaja diberi bimbingan tentang teori tetapi pratiks.

“Malah, dalam tempoh pengajian di UMK pelajar diberi galakan dalam bidang keusahawanan untuk terlibat dalam aktviti perniagaan serta keusahawanan dan inilah keunikan tersendiri UMK yang menjadi tarikan pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka di sini," katanya.

Tambah beliau, pelajar juga dapat mempraktikkan ilmu atau pengetahuan dalam keusahawanan menerusi fasiliti pembelajaran yang lengkap dengan menggalakkan pelajar terlibat dalam bidang keusahawanan dalam tempoh pengajian di UMK.

Published in Latest News

What our Students say?

Latest Update: 3 December 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search