Latest News

Items filtered by date: December 2017 - Universiti Malaysia Kelantan

0I1A5721

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 19 September I Dalam usaha memperkukuhkan profesion perancangan kewangan di kalangan masyarakat dan institusi pendidikan di Malaysia, Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Malaysia Financial Planning Council (MFPC) bekerjasama menganjurkan Seminar Perancangan Kewangan Kali Ke 2 2018 bertemakan Health is Wealth ataupun Kaya itu Sihat.

Seminar sehari yang berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota turut diserikan dengan keberangkatan tetamu khas diraja, Yang Berhormat Mulia Dato’ Hajah Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

0I1A5708Majlis perasmian seminar dan Pelancaran Buku Takaful Ikhtiarku telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah.

Turut hadir, Pengarah GERIC, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Presiden Khalifah Group, En. Mohd. Rizal Hussin, Pengurus Kanan AIA, En. Mohd Azhar Md. Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif, Salihin Shariah Advisory, Prof. Madya Dr. Ahcene Lahsana.

Seminar Perancangan Kewangan kali ke 2, itu turut mendapat kerjasama daripada MFPC, Khalifah group, AIA, Prince court Medical Centre dan Persatuan Perancangan Kewangan Bijak Malaysia.

Menurut Prof. Madya Dr. Zailani, pengurusan kewangan dan merancang perbelanjaan dengan bijak daripada awal bukan sahaja membantu memudahkan menguruskan wang malah dapat menyelamatkan masyarakat daripada krisis kewangan.

Beliau berkata, setiap daripada kita memerlukan kemahiran untuk menguruskan wang supaya kita dapat menyelamatkan, dan jika mungkin, melabur untuk membantu memenuhi jangkaan kita untuk kehidupan yang selesa dan gaya hidup yang mencukupi dalam tahun-tahun persaraan kita.

Justeru itu, kerajaan telah melaksanakan strategi menyeluruh untuk meningkatkan tahap literasi kewangan kepada semua rakyat Malaysia, dan membolehkan mereka untuk mengambil bahagian dalam pasaran kewangan dengan yakin.

“Program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar, dan masyarakat setempat dalam membuat pilihan kewangan yang bijak bagi merancang masa depan dan masa persaraan mereka.

“Inisiatif oleh GERIC menubuhkan WEALTH LAB atau Makmal kekayaan di UMK ini diharapkan dapat bekerjasama dengan pemain kewangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih celik kewangan,” katanya.

Tambah Prof. Madya Dr. Zailani, program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar, dan masyarakat setempat dalam membuat pilihan kewangan yang bijak bagi merancang masa depan serta masa persaraan mereka.

“Seminar ini juga membantu mendidik dan memberi maklumat kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhan dan Kementerian Pengajian Tinggi menyambut baik inisiatif universiti industri yang membina platform baru untuk meningkatkan pendidikan kewangan dan industri pengurusan wang.

“Inilah contoh kerjasama Rakan Profesional UMK dan Pemain Industri kewangan ini, yang bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme industri perancangan kewangan,” jelas beliau.

Tambah beliau, pada seminar itu pihak GERIC telah berjaya mengumpulkan pelajar, siswazah, insuran dan ejen amanah serta penasihat kewangan berlesen di bawah satu payung untuk menyediakan standard pendidikan kewangan yang konsisten.

“Program ini bukan sahaja akan meningkatkan pengetahuan dan keyakinan kewangan dalam industri perancangan kewangan, tetapi juga membantu mewujudkan kesedaran dan literasi di kalangan masyarakat di Kelantan.

“Matlamat utama ialah kita mahu penduduk di negara memiliki pengetahuan dan pendidikan serta menghargai peranan perancangan kewangan.

Beliau berharap komuniti celik kewangan adalah sangat penting untuk membina keyakinan pengguna di pasaran kerana mereka lebih bersedia untuk memilih pelaburan mereka dengan bijak.

“Pelabur mesti memahami hubungan risiko berbanding ganjaran untuk menguruskan wang secara bertanggungjawab dan untuk melindungi diri daripada penipuan skim cepat kaya yang menjanjikan wang mereka dua kali ganda dalam masa yang singkat.

“Sekali lagi saya ulangi bahawa tiada jalan pintas untuk penciptaan kekayaan,” katanya.

0I1A5794

Published in Latest News

0I1A5487

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 18 September I Pengurangan kadar jenayah merupakan sebahagian agenda penting daripada rancangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju dan selamat untuk pelancongan dan pelaburan perniagaan.

Justeru, kerajaan optimis memerangi jenayah secara menyeluruh kerana dengan langkah ini dapat memberi impak berupa peningkatan rasa selamat yang dinikmati oleh rakyat untuk membolehkan Malaysia berada dalam kalangan negara-negara yang selamat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Nadzri Siron berkata, perasaan takut terhadap perlakuan jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat kerana melibatkan kesan yang sungguh memudaratkan sepertimana ungkapan yang sering kita dengar iaitu Jenayah Membawa Padah.

0I1A5474Beliau berkata, kadar jenayah pada hari semakin serius dan kompeleks dan Malaysia tidak terlepas dari ancaman keganasan antarabangsa kerana kaedah yang digunakan berbagai bentuk malah jenayah pada masa kini boleh dilakukan di hujung jari melalui penyalahgunaan internet.

“Perlakuan jenayah juga mungkin timbul kerana desakan hidup, institusi kekeluargaan yang tidak harmoni dan faktor persekitaran.

“Oleh demikian, semua pihak haruslah bertindak secara kolektif dan berterusan dimana pendekatan baharu amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berperibadi mulia dan disegani oleh semua bangsa di dunia ini,” katanya pada perasmian Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur 2018 bertemakan Membendung Perlakuan Jenayah dan Pengulangan Jenayah, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kota Bharu, Kelantan, pada 18 September 2018.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penjara, Dato’ Seri Zulkifli Omar; Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim, Ketua Polis Negeri Kelantan, Dato’ Hasanuddin Hassan, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Dato’ Abd. Aziz Nawi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Menurut Dato’ Sri Nadzri, langkah pencegahan jenayah amat penting kerana apabila sudah terjebak bukanlah mudah untuk diubati malah KDN melalui Jabatan Penjara terus berusaha memulih dan membina semula insan bergelar penghuni di sebalik tembok batu.

Katanya, usaha tersebut dilakukan dengan berbagai cara sama ada melalui pemulihan di dalam penjara dan juga di luar penjara.

“Allhamdullilah, melalui usaha serta penambahbaikan pemulihan secara berterusan kadar kes berulang atau residivis untuk Jabatan Penjara Malaysia masih lagi rendah berbanding kadar residivis di luar negara.

“Selain itu, sokongan masyarakat amat diperlukan bagi membantu bekas penghuni dalam membina jati diri dan hadirnya mereka ke dalam masyarakat dan tidak dipandang sepi malah memberi peluang kepada mereka untuk berubah dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara,” jelas beliau.

Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia terus berdepan dengan cabaran utama apabila 20 daripada 37 penjara di seluruh negara mengalami kesesakan dengan jumlah keseluruhan mencatatkan 61,000 banduan yang menjalani hukuman pelbagai kesalahan jenayah sehingga Ogos tahun ini.

Dato’ Seri Nadzri berkata, jumlah melebihi 50 peratus itu membabitkan kesesakan banduan di penjara-penjara lama di serata negeri.

Sempena Program Mesej Dari Penjara, turut diadakan pameran oleh Jabatan Penjara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kelantan, Parol Negeri Kelantan dan Unit Pameran Bas Bergerak Jabatan Penjara Malaysia.

0I1A5477

Published in Latest News

41677674 2333078676919276 3858639442390548480 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto   : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA 13 Sept I Jabatan Penerangan (JAPEN) menyasarkan pembabitan seramai 6,000 mahasiswa-mahasiswi daripada Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi menjayakan program Apa Kata Anak Malaysia yang diadakan di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah JAPEN, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid berkata, program Apa Kata Anak Malaysia adalah kesinambungan daripada program Apa Kata Gen Y kelolaan JAPEN sejak tahun 2015.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan program itu pada 2015 hingga 2017, sebanyak 32 program seumpama itu berjaya dilaksanakan melibatkan lebih 22,500 peserta.

“Program ini diakui amat berkesan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan mahasiswa dan mahasisiwi khususnya golongan muda amnya untuk memberikan pandangan, cadangan, aspirasi dan harapan ke arah bersama-sama membina negara Malaysia yang padu, aman dan makmur.

41601914 2333078726919271 4458187872997998592 o“Keberkesanan program ini juga dilihat untuk melahirkan dan mengasah bakat-bakat baharu barisan pelapis komunikator muda yang mahir serta berkaliber dalam menyampaikan idea-idea serta pandangan yang bernas secara bijaksana, berhemah dan kreatif,” katanya pada perasmian Program Apa Kata Anak Malaysia Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Zaliman Sauli dan Pemangku Pengarah JAPEN Kelantan, En. Azhar Ismail.

Sempena Program Apa Kata Anak Malaysia itu juga berlangsungya forum bertajuk Apa Kata Anak Malaysia 2018 #Sayangi Malaysiaku yang disertai oleh Cik Nur Atiqah Zaihan (UiTM ), Haffezur Awel (Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Lingheswaran a/l Muniandy (USM) dan Mohamad Aimi Mohd Zubir (UMK).

Turut diadakan Program Khidmat Masyarakat membabitkan seramai 65 pelajar UMK bergotong-royong membersihkan kawasan Taman Perumahan Tanjung Chat, Kota Bharu, pada 12 September 2018.

Menurut Dato’ Mohd Sukari, satu kajian menyeluruh yang diadakan mendapati 8,000 responden di 11 negeri mendapati 97 peratus bersetuju program ini dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan mahasiswa dan mahasisiwi.

Katanya, manakala 99 peratus responden mengatakan mereka bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Kajian itu juga menafikan persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa belia-belia tidak lagi ada nilai jatidiri dan semangat cintakan negara,” katanya.

Published in Latest News

41745255 2333077310252746 7735175060020789248 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KOTA BHARU 12 September I Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan Program Khidmat Masyarakat Mahasiswa dan Mahasiswi Bersama Komuniti sempena Program Apa Kata Anak Malaysia (AKAM) Peringkat Negeri Kelantan 2018, di Taman Perumahan Tanjung Chat, hari ini.

Program secara intelligent engagement, adalah salah satu intipati untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda khususnya mahasiswa UMK dengan memberi ruang mereka terlibat secara tidak langsung dalam program berbentuk semangat cintakan negara dan keamanan demi melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab sebagai warganegara.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yacob.

Turut hadir, Pengerusi KRT Taman Perumahan Tanjung Chat, Dato’ Seri Hj. Mohd Aiseri Alias, Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, En. Azhar Hj. Ismail, Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, En. Zaid Ahmad dan Pengarah Pusat Tranformasi Komuniti UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu Mohd Nor.

Menurut Prof. Dr. Mohd Rafi, program ini membabitkan penyertaan seramai 65 mahasiswi UMK dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan KRT Taman Perumahan Tanjung Chat.

41547364 2333077360252741 5160137893129224192 oBeliau berkata, sebagai generasi muda di institusi pendidikan tinggi sewajarnya diberi pendedahan dan didikan untuk cintakan negara melalui pelbagai program berunsurkan kemasyarakatan serta patriotisme.

“Program aktiviti sebegini dapat meningkatkan kesedaran generasi muda khususnya serta masyarakat setempat amnya tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan kebersihan yang dapat menjamin kesejahteraan hidup.

“Aktiviti ini juga dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dengan mementingkan kesihatan yang baik sekaligus dapat mengelakkan penyakit seperti demam tinggi, kencing tikus dan lain-lain lagi penyakit berpunca daripada persekitaran yang tidak terjaga rapi,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Rafi menyifatkan bahawa penduduk di sini amat prihatin terhadap isu ini dan perkara itulah program pada hari ini dapat dilaksanakan di Taman Perumahan Tanjung Chat.

Katanya, penganjuran program ini dapat memberi ruang kepada mahasiswa mendekati masyarakat untuk berkongsi pandangan tentang apa jua perkara dan dapat memupuk semangat perpaduan dan jati diri kita sebagai warganegara Malaysia.

“Program ini sewajarnya diadakan secara berkala di peringkat KRT mahupun daerah dan juga negeri kerana selain dapat sama-sama membersihkan kawasan sekitar, ianya juga dapat menjadi aktiviti riadah yang baik.

“Selain itu, dapat juga memupuk semangat cintakan kebersihan seterusnya cintakan negara di kalangan ahli masyarakat khususnya anak-anak muda dan UMK amat berbesar hati dapat bersama-sama menyumbang khidmat bersama komuniti setempat khususnya penduduk pada hari ini dalam membantu menjaga kebersihan alam sekitar dan akan sentiasa menyokong usaha murni sebegini,” jelas beliau.

41627547 2333077476919396 5179288177344512000 o

Published in Latest News

40779075 1928742843847074 7292604836518821888 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA I Seramai 100 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima bantuan khas bagi membantu meringankan kos sara diri mereka yang kurang berkemampuan untuk memulakan pengajian bagi sesi September 2018/2019.

Pengurniaan sumbangan itu disampaikan oleh Tengku Temenggong Kelantan selaku Pro Canselor UMK, YBM. Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan anakanda, YM Tengku Nur Qistina.

Tengku Temenggong Kelantan bertitah bantuan itu diberikan kepada 50 pelajar baharu lelaki dan 50 pelajar perempuan melibatkan ketiga-tiga buah kampus UMK sebagai insiatif membantu meringankan kos sara diri pelajar baharu yang akan memulakan pengajian.

Beliau berkata, bantuan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan kerana pihak universiti sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar.

“Pada kemasukan ini salah seorang pelajar kurang bernasib baik telah dikenalpasti untuk menerima bantuan khusus dan pihak universiti telah berusaha untuk mengenalpasti lebih ramai lagi pelajar yang kurang bernasib baik.

“Saya juga difahamkan pihak UMK telah melancarkan tabung untuk pelajar kurang bernasib baik dan pihak universiti juga telah berusaha untuk mendapatkan peruntukan dana khas daripada pihak swasta bagi menganjurkan lebih banyak program kebajikan,” katanya pada Lawatan Mesra Tengku Temenggong Kelantan dan Pro Canselor UMK, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam dan Tengku Nur Qistina sempena Minggu Mesra Mahasiswa UMK (3M), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 3 Sepetember 2018.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu.

YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam berharap, pihak UMK akan memperbanyakkan lagi pelaksanaan aktiviti berorientasikan kebajikan dan pihak pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti berbentuk kebajikan untuk merasai dan menghargai betapa bertuahnya kita berbanding mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya mengalukan-alukan penglibatan pihak UMK membudayakan amalan sedekah dan infaq dikalangan warganya sebagai menjadi mereka yang terpilih dan bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Oleh demikian, amalan infaq dan sedekah harus diterapkan daripada diri penuntut-penuntut dan inshAllah amalan mulia akan diteruskan selepas berada di alam pekerjaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata, buat julung kalinya dalam program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) seramai 100 pelajar baharu yang kurang berkemampuan menerima pengurniaan bantuan dari istana melalui Pro Canselor UMK.

40654343 1928739317180760 7596118604685246464 oKatanya, bantuan ini memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan yang terdiri daripadakeluarga yang berpendapatan di bawah RM4000 (B40) melibatkan ketiga-tiga buah kampus.

“Untuk rekod, seramai 3893 pelajar UMK yang merupakan pendapatan ibu bapa bawah RM4000 (B40) di ketiga-tiga kampus berjaya dikenalpasti,” katanya.

Justeru, pihak pengurusan universiti akan memastikan kebajikan pelajar UMK terjaga melalui hasrat penubuhan Yayasan Tuanku Canselor UMK bagi mempertingkatkan program kebajikan pelajar.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Husaini, setiap tahun pihak universiti sentiasa memastikan agar setiap bebanan pelajar yang tidak berkemampuan dapat dikurangkan melalui sumbangan dari badan korporat dan individu.

Katanya, sehingga 30 Ogos 2018, UMK telah mengagihkan sebanyak RM144,100.00 wang zakat kepada pelajar yang memerlukan dan RM2900.00 bantuan kewangan khas kepada pelajar bukan Islam.

Published in Latest News

40684660 2326242080936269 7099421481037201408 n

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi & Ab. Halim Hafiz

PENGKALAN CHEPA 2 September I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan 3,132 tempat kepada mahasiswa baharu sesi kemasukan September 2018/2019 bagi mengikuti 24 program pengajian akademik di ketiga-tiga kampusnya iaitu di UMK Bachok, Kampus Kota dan Jeli.

Program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda itu ditawarkan menerusi lapan fakulti iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Fakulti Senibina dan Ekistik (FAE).

Selain itu, Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, berkata, seramai 2,151 (sehingga jam 4.30 petang) daripada jumlah keseluruhan pelajar baharu yang melaporkan diri secara serentak di ketiga-tiga kampus UMK pada hari ini.

Beliau berkata, proses pendaftaran pelajar baharu berlangsung dalam suasana yang teratur dan lancar menerusi bantuan daripada pihak pengurusan serta urus setia termasuk sukarelawan pelajar yang bertindak sebagai pemudah cara kepada ibu bapa dan pelajar untuk mendaftar.

“UMK membuat persediaan yang begitu rapi untuk proses kemasukan pelajar baharu tahun ini dan pelajar baharu akan terlibat dengan Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang bermula pada hari ini hingga 6 September 2018.

“Program 3M dengan pelbagai aktiviti menarik ini, dirancang khas supaya pelajar baharu dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan suasana persekitaran, aktiviti dan kemudahan di kampus,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd. Rafi ketika diminta mengulas tentang peningkatan permohonan di kalangan mahasiswa baharu beliau berkata UMK menjadi pilihan utama pelajar kerana universiti adalah universiti berfokus dalam bidang tujahan keusahawanan.

Katanya, peningkatan sambutan terhadap universiti ini untuk melanjutkan pelajaran adalah selaras dengan matlamatnya yang berteraskan bidang keusahawanan kerana pelajar begitu berminat dalam agenda keusahawanan kerana bidang ini bukan sahaja melahirkan usahawan tetapi mampu mencipta pekerjaaan kepada orang lain sebaik sahaja tamat pengajian.

“Tidak semua universiti awam di negara ini menyediakan kemudahan ini dan di UMK pelajar bukan sahaja diberi bimbingan tentang teori tetapi pratiks.

“Malah, dalam tempoh pengajian di UMK pelajar diberi galakan dalam bidang keusahawanan untuk terlibat dalam aktviti perniagaan serta keusahawanan dan inilah keunikan tersendiri UMK yang menjadi tarikan pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka di sini," katanya.

Tambah beliau, pelajar juga dapat mempraktikkan ilmu atau pengetahuan dalam keusahawanan menerusi fasiliti pembelajaran yang lengkap dengan menggalakkan pelajar terlibat dalam bidang keusahawanan dalam tempoh pengajian di UMK.

Published in Latest News

40309761 2323887637838380 4483328622978924544 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

BACHOK I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menjimatkan RM627,914.00 bagi kos pengurusan kewangan universiti melalui pelaksanaan program inovasi dan kreatif oleh lima Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada tahun ini.

Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah, Konvensyen KIK pada tahun ini juga mencatatkan penjimatan masa sebanyak 168 hari yang merupakan satu kejayaan yang signifikan kepada pencapaian hasil inovasi yang digerakkan oleh ahli KIK yang majoriti terdiri daripada staf bukan akademik.

Beliau berkata, lima kumpulan KIK pada tahun ini berjaya membuktikan bahawa setiap staf di UMK adalah penyumbang terbesar khususnya untuk memberi idea dan cadangan yang berinovasi bagi menghasilkan budaya inovasi serta kreatif dalam kerja seharian.

40269378 2323888137838330 9015724915147407360 o“Justeru, penglibatan staf daripada pelbagai peringkat jawatan di dalam kumpulan KIK diberi peluang yang sama rata dalam menyumbangkan idea dan pendapat seterusnya melaksanakan langkah-langkah penyelesaian masalah atau penambahbaikan terhadap proses kerja sedia ada.

“Secara tidak langsung, KIK bukan sahaja memupuk budaya inovasi dan kreatif malah turut melatih anggota organisasi untuk tampil berani dalam merangka dan menyusun gerak kerja serta melaksanakan tindakan perubahan ke arah memantapkan keupayaan sumber manusia yang ada demi kebaikan organisasi,’ katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kali Kedua, di Laman Monsun, UMK Bachok, pada 29 Ogos 2018.

Turut hadir, Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kelantan, En. Nik Faizal Nik Ahmad, Ketua Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Dr. Monniaty Mohamed dan Pengurus Kualiti Malaysia Rail Link Sdn Bhd, En. Andra Syahrizal Mohamad.

Pada majlis itu, Prof. Madya Dr. Zailani turut menyampaikan hadiah kepada Kumpulan Ad Hoc dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Konvensyen KIK peringkat UMK.

Kumpulan ADHoC berjaya membawa balik geran penyelidikan berjumlah RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Kumpulan ADHOC yang menghasilkan produk satu inovasi baharu bertajuk Blok Batik Pointilisme untuk memberi kemudahan kepada pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran dengan kos yang lebih murah.

Kelebihan blok batik ini dapat mengembalikan elemen warisan yang semakin dilupakan.

Dalam pada itu, Kumpulan Try & Error dari Pejabat Pentadbiran Kampus Jeli selaku Naib Johan berjaya membawa balik geran penyelidikan berjumlah RM5000.00, trofi dan sijil penghargaan

Tempat ketiga diraih oleh Kumpulan Medixin mewakili Pejabat Pendaftar UMK yang turut memenangi geran berjumlah RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Try & Error manakala Pembentang Terbaik di raih oleh, En. Azzhar Mohd Nawi.

Menurut Prof. Madya Dr. Zailani, Konvesnyen KIK UMK baharu menjangkau tahun kedua penganjurannya dengan konvensyen yang pertama telah diadakan pada tahun lepas.

Katanya, KIK bagi perkhidmatan awam merupakan antara salah satu instrumen yang dikenalpasti dapat membantu meningkatkan kebolehcapaian KPI setiap agensi kerajaan melalui penyelesaian kepada masalah-masalah yang timbul dalam melaksanakan proses kerja harian.

“Apabila masalah dapat diselesaikan, ini bermakna ada penemuan cara dan kaedah baharu dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut yang seterusnya dapat mencetuskan nilai-nilai kreativiti dan inovasi yang turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Melalui inovasi tersebut Kumpulan Adhoc daripada FTKW yang telah mendapat penarafan emas, Kumpulan Medixin dan Legasi 19 mendapat penrafan perak dalam Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam di Universiti Malaya (UM), pada Ogos lalu,” katanya.

 

 

Published in Latest News

WhatsApp Image 2018 08 03 at 6.20.35 AM

Teks dan Foto : Institut Keusahawanan UMK (UMK-EI)

YIWU: Dua mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terpilih mengikuti Program Keusahawanan Run With Yiwu Global Youth Business 2nd Session atau YGYB di Yiwu, China, baru-baru ini.

Pelajar tersebut adalah Muhammad Nur Iman Md Yusri dan Nurul Huda Muhammad, yang merupakan pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).

Timbalan Pengarah Aktiviti Keusahawanan, Institut Keusahawanan UMK (UMK-EI), Encik Wan Mohd Yusuff Wan Ibrahim, berkata, pelajar UMK adalah sebahagian daripada lima pelajar Universiti Awam (UA) di Malaysia yang terpilih bersama-sama 40 peserta daripada 29 buah negara.

“Sebanyak 226 permohonan telah diterima oleh penganjur untuk menyertai program YGYB anjuran Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Yiwu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Dalam tempoh 10 hari, para peserta telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti slot kursus dan sesi lawatan ke beberapa lokasi perniagaan komersil di Yiwu termasuklah melawat ke International Trade Mart District 1 dan 5.

“Peserta juga diberi latihan dan bimbingan bagaimana untuk menghasilkan perancangan perniagaan yang betul bagi persediaan pertandingan perancangan perniagaan didalam kumpulan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nur Iman berkata, lawatan selama 10 hari ke Yiwu adalah satu pengalaman paling berharga kerana di sini terletaknya Pusat Borong YIWU iaitu pusat borong terbesar yang terletak di Wilayah Zhenjiang, China.

Katanya, sejarah asal Yiwu adalah bermula dengan sebuah bandar perkampungan yang kemudiannya dibangunkan menjadi pusat perniagaan terbesar di dunia yang terletak berhampiran dengan kawasan pergunungan.

“Sesi kelas pertama kami bermula dengan sesi pengenalan Yiwu’s International Trade oleh Pensyarah Huang Yi yang menerangkan fungsi dan operasi tempat perdagangan komersil yang menempatkan pelbagai produk yang dijual di Malaysia.

“Seterusnya, sesi memperkenalkan diri dan mempersembahkan kebolehan individu bagi membolehkan para mentor memilih mentee ataupun trainee sendiri mengikut kesesuaian bidang industri yang mereka minati,” katanya.

Menurut Muhammad Nur Iman, kelas perkongsian ilmu perkenalan berkaitan logistik antarabangsa, customs declaratio’ dan clearance oleh Pengurus Liu Wenying dari Kingston Logistik Co Sdn Bhd adalah satu pengalaman paling menarik kerana peserta diberi penerangan bagaimana urusan logistik dilakukan dan pengurusan penghantaran keluar serta masuk produk daripada China ke negara-negara lain.

Katanya, peserta juga diajar bagaimana untuk membuat urusan dengan perkhidmatan logistik di China.

“Dalam sesi lain, Pensyarah Xiong Aisha memberi maklumat berkenaan status Quo of ‘Cross-border E-commerce untuk pelancong atau orang lain berurusan dengan pembelian barang-barang daripada Yiwu,” katanya.

Namun, pengalaman paling berharga kepada 40 peserta ialah berpeluang melawat International Trade Mart District 1 dan 5 iaitu lokasi terbesar pusat borong di Yiwu yang menjual pelbagai produk daripada barang barang permainan hinggalah ke aksesori rumah.

Jelas Muhamad Nur Iman, terdapat lebih 8000 kedai dan 10000 jenis barang-barang yang dijual di sini dan perumpamaan mengatakan bahawa melawat lima minit setiap premis kedai di sini ibarat mengambil masa tempoh selama setahun untuk menghabiskan lawatan ke kedai-kedai di sini.

“Kami amat kagum dan bertuah kerana diberi peluang mengadakan lawatan seperti ini kerana kami juga berpeluang menyertai bengkel Amazon oleh Dai Ruiqi.

“Sesi perkongsian perniagaan online ini sangat menarik kerana tenaga pengajar menerangkan bagaimana untuk menjana duit menerusi platform Amazon,” katanya.

Tambah Muhamad Nur Iman, para peserta juga berpeluang melihat operasi STO Express Delivery Center yang mengaplikasikan teknologi seperti kenderaan ataupun robot kecil yang berfungsi untuk mengasingkan barang-barang hantaran kepada penerima mengikut lokasi dan daerah.

“Kumpulan daripada Malaysia yang membentangkan pelan perniagaan Trade Halal juga berjaya meraih tempat pertama dibawah bimbingan mentor Mr Kok.

“Walaupun sekadar tugasan pertandingan tetapi tugasan ini tetap mencabar daripada segi pemikiran serta strategi didalam perniagaan dan wakil Malaysia adalah antara kumpulan yang berjaya memonopoli keputusan pertandingan sepanjang program ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Muhammad Nur Iman menyifatkan lawatan ini sangat berbaloi dan memberi banyak manfaat kepada usahawan muda serta berjaya membuka mata serta minda khususnya status kemajuan dan pembangunan yang berlaku pesat di China khususnya Yiwu Zhejieng iaitu sebuah bandar yang dipenuhi bangunan pencakar langit.

“Kami juga tertarik dengan prinsip dan falsafah masyarakat di China kerana kebanyakan penduduknya berlumba-lumba untuk berjaya.

“Kami juga diberi peluang bekerjasama dengan usahawan serta mentor yang hebat seperti Mr Kok Chit Hock iaitu rakyat Malaysia yang berasal daripada Johor merupakan seorang usahawan luar yang telah memiliki empayar perniagaan yang berjaya di China,” katanya.

Pada hari terakhir, para peserta kali lagi diberi peluang melawat Yiwu Trade Centre untuk membeli dan melihat produk yang berpotensi untuk dibawa ke pasaran di Malaysia.

“Sepanjang berada di Yiwu, terdapat beratus produk yang masih belum memasuki pasaran Malaysia dan paling mencabar adalah untuk membuat transaksi produk kerana mereka langsung tidak memahami bahasa Inggeris,” jelasnya.

Published in Latest News

40069305 2321267211433756 365084344852676608 o

Teks dan Foto : Unit Kebudayaan UMK

YALA : Kumpulan Lestari Warisan (Le’Waris) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan membuat persembahan sempena program YRU Academic Fair 2018 yang berlangsung di Universiti Yala Rajabhat, Yala, Thailand pada 15 hingga 17 Ogos 2018.

Kumpulan Le Waris menjadi satu-satunya Universiti Awam (UA) daripada Malaysia dijemput bagi mengadakan persembahan kebudayaan sempena Academic Fair 2018.

Persembahan ini juga berjaya memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dua-dua buah universiti yang terjalin selepas termeterainya memorandum persefahaman sebelum ini.

Menurut Pegawai Kebudayaan, Unit Kebudayaan UMK, En. Wan Mohd Arizuddin Wan Mohd Nor, jemputan membuat persembahan di luar negara ini adalah satu penghormatan besar kepada Le’Waris walaupun ahli nya bukanlah terdiri daripada kalangan penari profesional.

Katanya, ini merupakan kali keempat pihak YRU menjemput Kumpulan Le’Waris untuk mengadakan persembahan sempena YRU Academic Fair.

40106716 2321267268100417 4325239664316252160 o“Kami di Unit Kebudayaan UMK berbesar hati dengan pelawaan dan peluang ini kami manfaatkan sebaik-baiknya untuk kumpulan kami bertukar serta berkongsi idea dan seni budaya Negara masing-masing,” katanya.

Mengulas tentang persembahan di Yala, Wan Mohd Arizuddin atau nama panggilan Are Jue berkata, Kumpulan Le’Waris mempersembahkan tarian yang berunsurkan negeri Kelantan.

“Kumpulan kami mempersembahkan dikir yang telah diurbankan atau dikenali dengan nama dikir fusion tetapi masih mengekalkan unsur-unsur tradisional.

“Manakala YRU mempersembahkan pentomin, dikir barat hulu dan juga nyanyian yang diiringi oleh kumpulan pemuzik band,” katanya.

Beliau berkata, persembahan kebudayaan itu disaksikan sendiri oleh Presiden YRU, Prof. Dr. Sombat Yotathip dan 1,000 pelajar YRU, tetamu serta masyarakat luar kampus.

Wan Mohd Arizuddin, persembahan tarian oleh Kumpulan Le’ Waris yang terdiri daripada sembilan pelajar UMK itu berjaya memukau penonton dan secara tidak langsung berjaya mengangkat seni budaya rakyat Kelantan ke peringkat lebih tinggi.

Tambah beliau, program ini dapat memberi banyak peluang kepada pelajar unutk mengenali pelbagai jenis seni budaya yang terdapat di Thailand serta berkongsi seni budaya Malaysia kepada pelajar-pelajar di YRU.

40089053 2321267418100402 4426888590886174720 o

Published in Latest News

40209927 2321275788099565 9022386061531152384 o

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

BACHOK I Pusat Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkongsi kemeriahan sambutan Aidiladha dengan mengagihkan sebanyak 180 bungkusan daging korban kepada 100 staf, 50 komuniti Kampung Mukim Nemang dan 30 sukarelawan sebagai pengisian Program Ibadah Korban 1439H yang kali kedua di adakan di Perkarangan Masjid UMK Bachok, pada 22 Ogos 2018.

Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad, berkata, program agihan itu dibuat sebaik sahaja selesai aktiviti menyembelih, gotong-royong melapah daging dan membungkus yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 11 pagi.

Katanya, seramai 30 sukarelawan terdiri daripada staf Pusat Islam, UMK dan penduduk kampung Mukim Nemang terlibat pada gotong-royong tersebut.

“Pembahagian sumbangan kepada staf ini dibuat berasaskan daripada kupon kepada staf setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berkelayakan termasuklah pekerja am kontraktor.

40126066 2321275874766223 8418943379781451776 o“Manakala 50 bungkusan daging yang dipakejkan terus diagihkan kepada ahli jawatankuasa masjid Mukim Neman untuk dibahagikan kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurut Prof. Madya Dr. Azhar, program Ibadah Korban 1439H ini adalah inisiatif berterusan Pusat Islam bertujuan menghidupkan suasana dan amalan ibadah korban di bulan Zulhijah yang mulia.

“Selain itu, program ini juga dapat memupuk perasaan persaudaraan dan hormat-menghormati di antara warga UMK dan masyarakat.

“Ini secara tidak langsung dapat melahirkan rasa cinta di kalangan warga UMK terhadap majlis-majlis keagamaan sejajar dengan tuntutan agama,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Azhar menyifatkan kejayaan pengenalan skim potongan gaji ibadah korban yang buat kali kedua diperkenalkan sejak tahun lalu sedikit-sebanyak dapat membantu memberi kemudahan kepada staf untuk melaksanakan ibadah korban.

“Skim yang diperkenalkan tahun 2017 itu membolehkan semua staf mengambil bahagian dalam ibadah korban dengan bayaran potongan gaji sebanyak RM100 sebulan bermula awal Januari 2018.

“Kita harap staf lebih ramai staf dapat mengambil bahagian pada program ibadah korban menerusi skim potongan gaji pada tahun hadapan dan kami mengalu-alukan program ini diadakan dengan lebih besar merangkumi staf , pelajar dan penduduk tempatan,” katanya.

40082364 2321275824766228 9132959109803409408 o

.

Published in Latest News
Page 1 of 14

What our Students say?

Latest Update: 20 September 2018

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search