Latest News

Items filtered by date: April 2019 - Universiti Malaysia Kelantan

1

TANAH MERAH 28 April I Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), En. Zulkifli Mohd Zan, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Usahawan Belia Kelantan sempena Sambutan Hari Belia Negara & Youth Business Expo (YBEX) Peringkat Negeri Kelantan 2019, di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah, pada 27 April 2019.

3Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Haji Ahmad Yakob.

Program YBEX 2019 anjuran Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan serta Majlis Belia Kelantan, telah diadakan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April 2019.

Sementara itu, En Zulkifli yang merupakan pemilik dan Pengurus Real Design & Printing Centre, menyifatkan kejayaan manis itu sebagai pembakar semangat untuk beliau terus berusaha dan mencurahkan ilmu serta pengalaman kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Beliau yang begitu meminati bidang perniagaan dan keusahawanan tidak lokek untuk membantu masyarakat dengan memberikan semangat kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan tanpa modal dengan menjadi agen kepada produk syarikat percetakan.

“Saya melihat sumbangannya dalam membantu masyarakat dengan memberi bimbingan dan latihan dengan dilantik menjadi agen produk adalah sumbangan kecil kepada mereka untuk memulakan perniagaan.

“Dengan sedikit sumbangan yang dicurahkan itu ramai di kalangan belia di bawah bimbingan saya telah berjaya membuka perniagaan sendiri dan meraih keuntungan,” katanya yang merupakan Alumni UMK.

Selain aktif dalam keusahawanan, En. Zulkifli turut menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Kuda Amatur Negeri Kelantan dan Penaung Persatuan Alumni UMK

2

Published in Latest News

gelan1

Teks dan Foto : Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan

KUALA LUMPUR 23 April I Isu stigma dan diskriminasi terhadap golongan gelandangan masih wujud pada hari ini sehingga golongan ini dilabel sebagai pengotor dan sampah masyarakat.

gelan3Bahkan kerap kali gelandangan dicemuh sebagai komuniti yang mencemarkan pemandangan ibu kota, namun ada baiknya masyarakat merenung sejenak dan bertanyakan apakah puncanya yang menyebabkan golongan gelandangan ini merempat di kaki lima dan mengemis.

Jika dilihat di sebalik sejarah kehidupan mereka ini golongan gelandangan menjadi mangsa kemiskinan bandar, malah ada dikalangan mereka ditimpa konflik keluarga, gangguan mental dan gejala sosial.

Untuk membetulkan persepsi salah tanpa usul periksa ini, seramai 46 ahli kelab Visual Communication Design (VCODE)) termasuk ahli Kelab Nadi Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (Inspek), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan program “Khidmat Masyarakat for You” Gelandangan Kuala Lumpur di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, pada 23 April 2019.

Program anjuran Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dengan kerjasama InsPeK dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) adalah julung kali diadakan dengan tujuan utama untuk menyelami realiti kehidupan gelandangan di kota raya.

Penyelaras Program Khidmat Masyarakat for You, Dr. Tengku Fauzan Tengku Anuar, berkata program ini adalah inisiatif pelajar FTKW untuk mendapatkan pendedahan dan maklumat yang tepat faktor dan punca berlakunya isu gelandangan ini.

Katanya, melalui progrma tersebut mahasiswa dapat menyelami sendiri daripada pandangan mereka tentang realiti kehidupan gelandangan di kota raya.

“Hasil daripada pemerhatian dan tinjauan mendapati isu geladangan wujud adalah ekoran daripada desakan sosioekonomi dan gangguan emosi di luar kawalan menyebabkan mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

gelan4“Program ini turut membentuk jalinan hubungan di antara mahasiswa dengan masyarakat setempat terutamanya dalam membentuk modal insan yang berkualiti, nilai moral, kemahiran komunikasi dan memahami budaya setempat supaya mereka lebih menyedari akan tanggungjawab sosial yang perlu disumbangkan kepada masyarakat setelah bergraduat kelak,” katanya

Tambahnya, sesi beramah mesra dan bertanya khabar bersama warga lorong ini merupakan pendekatan baru dalam menyantuni golongan ini.

“Ini dilihat lebih holistik dan besar impaknya melalui kaedah sentuhan dari hati ke hati berbanding dengan hanya memberi makanan dan barangan keperluan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah InsPeK, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, berkata program ini merupakan nilai tambah kepada hasil penyelidikan UMK selaras dengan niche area penubuhan InsPeK dalam menguruskan kemiskinan melalui kolaborasi bersama rakan strategik.

Beliau berkata, program ini adalah permulaan awal kepada kajian perangkap kemiskinan bandar yang sedang dirancang oleh InsPeK.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Dato’ Zainal Abidin Sakom, Pengurus Besar YBK, En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, pegawai pengiring daripada FTKW, Cik Nawwal Abdul Kadir, En. Ariff Ariffin, Cik Izati Nabila Marzuki dan staf InsPeK.

gelan2

Published in Latest News

 A3A0041

BACHOK 22 April I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang merangka beberapa pelan tindakan strategik untuk mengadakan kerjasama dengan Galeri Petronas di Kuala Lumpur khususnya dalam usaha mengangkat seni dan warisan dalam konteks menyebarluaskan produk warisan negeri Kelantan yang masih banyak belum diterokai.

Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Prof. Madya Ahamad Tarmidzi Azizan berkata, selepas membuka ruang untuk pementasan main puteri, makyong dan dikir barat membuat persembahan di Galeri Petronas, adalah tidak mustahil suatu hari nanti etak salai yang cukup sinonim sebagai makanan warisan Kelantan berjaya tampil di persembahkan di galeri yang berprestij itu.

 A3A9914 1Beliau berkata, Galeri Petronas terkenal dengan tagline Art For All dilihat sebagai pentas atau tempat mendukung pemuliharaan dan pembangunan kesenian tradisional di negara ini yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dengan takrifan yang lebih baharu dan bersifat kontemporari.

“Selain itu, galeri ini juga memberi peluang kepada universiti untuk memperkembangkan karya seni ke peringkat antarabangsa yang selaras dengan misi dan visi FTKW untuk membawa seni dan warisan secara ilmiah demi kesejahteraan masyarakat dan penjanaan ekonomi secara global,” katanya selepas sesi perbincangan umum isu seni dan warisan bertajuk How Art and Heritage Making Meaningful sempena program Art and Heritage Explores (AHE) di Laman Monsun, UMK Bachok, pada 21 April 2019.

Hadir sama, Pengarah Galeri Petronas, Puan Dzalina A. Manan, Ketua Pengurusan Galeri Petronas, En. Jefri Mohd Zain, Sekretariat Merdeka Award, YM Raja Idzam Shah Raja Mohamad dan Pengarah Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. A.S Hardy Shafii.

Menurut Prof. Madya Ahamad Tarmidzi, di peringkat awal pihak fakulti sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan supaya pensyarah di FTKW dilantik sebagai residen artis di Galeri Petronas.

Katanya, ini bagi memberi ruang yang lebih luas kepada fakulti membina hubungan yang lebih akrab antara kedua-dua pihak.

"FTKW juga mengadakan perbincangan bersama Galeri Petronas untuk mengangkat etak salai sebagai makanan warisan negeri Kelantan sekaligus ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, ini adalah antara inisiatif UMK selaras dengan misi fakulti untuk muncul sebagai hab rujukan utama dalam bidang seni dan warisan di wilayah zon timur.

“Saya melihat pada masa depan program bersifat akademik dan ilmiah ini yang kita boleh laksanakan bersama galeri petronas.

“Sekiranya program ini dapat dihasilkan pada masa depan saya percaya warisan akan terus diangkat ke peringkat antarbangsa menerusi kerjasama dengan Petronas selaku agensi kerajaan yang berprestij dalam mengangkat budaya dan seni.

“Inilah sumbangan khusus daripada FTKW kepada negara untuk melihat bidang warisan tidak dipandang serong tetapi secara realitinya produk seni dan warisan itu mampu dilihat dalam konteks yang lebih luas lagi,” katanya.

Pusat Hal Ehwal Korporat I Foto Muhamad Fariz Muhammad Zain (FTKW)

4

Published in Latest News
image 6483441
BACHOK 18 April I Sebanyak 100 kilogram etak habis diagihkan dalam tempoh tidak sampai satu jam kepada lebih 1000 warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta orang ramai yang hadir sempena Karnival Etak Salai Kelantan 2019. 
 
image 6483441 3Karnival bertemakan Makanan Warisan Tahun 2019 membabitkan 14 pengusaha etak di seluruh Kelantan, telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail di Laman Saadong Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
 
Sambutan daripada pengunjung amat luar biasa kerana sejak awal jam 8 pagi orang ramai sudah beratur menunggu untuk merasai keenakan etak yang disediakan seperti Etak Salai Tumis, Etak Salai Sira, Etak Salai BBQ, Etak Salai Paprika, Etak Salai Cheese, Etak Salai Ori, Etak Salai Masin Manis, Etak Salai Seaweed dan Etak Salai Tom Yam.
 
Sejurus karnival dimulakan urusetia yang terdiri daripada pelajar FTKW tidak menang tangan apabila etak habis diagihkan kira-kira dalam masa satu jam saja.
 
Antara yang mencuri perhatian pengunjung ialah etak salai berperisa paprika dan ‘cheese’ (keju) yang dicetuskan oleh penjual etak, Nor Atikah Zakaria, 25, daripada  Bukit Bunga, Jeli.
 
Keunikan etak yang disalut keju itu amat istimewa kerana  etak salai tradisional hanya bersalutkan rempah sahaja.
 
Sementara itu, Karnival Etak Salai anjuran FTKW itu dimulakan dengan acara demontrasi  menyalai etak salai, pameran penyelidikan etak, pameran alat mengokok etak, pameran produk pembungkusan etak, tayangan video dokumentari penyelidikan etak dan pameran produk-produk pelajar FTKW.
 
Antara pengusaha etak yang terlibat dan masih aktif ialah daripada Kampung Kasar di Pasir Mas, Cabang Empat Tok Mek Ngah dan Kok Keli di Tumpat, Bukit Bunga di Jeli dan Bukit Marak di Kota Bharu.
 
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi, berkata, UMK kini dalam proses mendokumentasikan Etak Salai sebagai makanan warisan tradisi di Negeri Kelantan dengan mengangkat eatak salai sebagai makanan warisan ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu lagi warisan tidak ketara.
 
Beliau berkata, UMK sudah menjalankan kajian  untuk menternak benih etak secara makmal, membantu memastikan etak tahan lebih lama melalui pembungkusan industri dan kaedah masakan yang lebih selamat daripada bakteria.
 
“Sempena karnival ini telah diadakan mesyuarat Pemegang Taruh 2.0 bersama vendor etak (usahawan / peniaga / pembekal / pengokok etak) bersama-sama agensi kerajaan untuk membantu meningkatkan produktiviti etak, memelihara, memulihara habitat etak dan mengangkat etak salai sebagai makanan warisan di peringkat Negeri, Negara dan UNESCO.
 
“Kita percaya bahawa Etak Salai adalah sejenis makanan warisan yang digemari oleh masyarakat di Negeri Kelantan dan berdasarkan kajian kumpulan penyelidik UMK ini didapati makanan ini telah diamalkan di negeri Kelantan sejak Tahun 1960an oleh penduduk-penduduk di pinggir sungai kelantan,” katanya.
 
image 6483441 5Dalam pada itu, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi berharap karnival etak salai dapat memberikan perjelasan yang bertuntaskan nilai akademik dan ilmiah kepada pihak umum serta kepada pemegang taruh berkaitan potensi dan prospek perniagaan etak salai 
 Malaysia, khususnya di Negeri Kelantan.
 
Katanya, ini berlandaskan kepada penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik UMK  sejak tahun 2016 dan akan berakhir pada November 2019. 
 
“Pasukan penyelidik Transdisiplinary Research Grant Scheme (TRGS) ini diketuai oleh Dekan Fakulti Sains Bumi, Prof. Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak, dan Dekan  FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan.
 
“Selain itu, pasukan ini turut melibatkan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) dan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP),  yang membabitkan empat (4) projek utama iaitu bidang Warisan, Sains Tulen dan Sains Sosial,” katanya.
 
Pusat Hal Ehwal Korporat I Ab Halim Hafiz Ab Aziz & Al Azam Razi
 
#BinaLegasiUMK Bersama
#OfficialUMK #UMKinfo #UMKmedia #EntrepreneurshipUniversity #kpmspt #vcumk #MutualRespek #WeAreUMKFamily #OneUMKOneDream
 
image 6483441 2
Published in Latest News
image 6483441 1
 
KOTA BHARU 17 April I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi hijau khususnya dalam  pelupusan sisa sampah dan penggunaan plastik berasaskan petroleum. 
 
Justeru, UMK melalui Fakulti BioKejuruteraan dan Teknologi (FBKT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kelantan Utilities Mubaraakan Sdn Bhd  (KUM) dengan menyediakan master plan bagi Pembangunan Mampan Teknologi Hijau Negeri Kelantan untuk Kelestarian Bandar Pintar.
 
image 6483441 3Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh  Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail manakala KUM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) merangkap Pengarah Eksekutif KUM,
 Tn. Haji Abdul Rashid Mohd Yusoff, di Dewan Teratai, Kota Darulnaim,Kota Bharu, Kelantan.
 
MOU tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Besar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUM, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor  (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.
 
Turut hadir, Pengerusi Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur Dan Utiliti, merangkap Ahli Lembaga Pengarah KUM, YB. Dato SR. Haji Azami Mohd Nor, Pengerusi Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar,  Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Dekan FBKT, 
Prof. Madya Dr. Noor Azlina  Ibrahim dan Penyelidik FBKT, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
 
MoU itu dijangka dapat memberikan manfaat besar buat rakyat Negeri Kelantan untuk memastikan negeri ini benar-benar bebas daripada isu sampah sarap berasaskan plastik.
 
Menurut Prof. Ts. Dr. Noor Azizi, kerjasama ini adalah peristiwa penting di dalam hubungan antara UMK dan Kerajaan Negeri Kelantan serta KUM Holdings Sdn Bhd pada hari ini.
 
image 6483441 2Beliau berkata,  kerjasama ini adalah sebagai permulaan untuk  pihak UMK bersama Kerajaan Negeri menjalankan kajian dan pembangunan berkaitan pelaksanaan pembangunan mampan di mana fokus awal adalah dengan mengadakan kajian secara menyeluruh berkenaan dengan penggunaan plastik dan potensi menggantikan bungkusan plastik (termasuk beg plastik dan bekas polistrin) dengan plastik biodegradasi di negeri Kelantan.
 
“Melalui kerjasama ini, ianya membolehkan kedua-dua pihak bertukar maklumat dan merancang langkah seterusnya untuk menjayakan hasrat kerajaan ini.
 
“Kerjasama ini sebagai persediaan untuk mencari alternatif bagi plastik berasaskan petroleum ini, untuk industri biodegradasi ini perlu dikembangkan dalam masa yang terdekat ini dengan memastikan industri ini dapat dimulakan dan dibangunkan dengan lancar,” katanya.
 
Tambah beliau, pihak UMK akan sedaya upaya membantu Kerajaan Negeri Kelantan  dengan bekerjasama dan terlibat di dalam membangunkan polisi teknologi hijau iaitu “zero waste policy in Kelantan” dengan kedua-dua pihak berkongsi dan menyediakan maklumat berkenaan projek “waste to wealth” bagi menghasilkan produk nilai tambah (value-added).
 
Katanya, kerjasama ini juga membabitkan penyelidikan secara kolaboratif antara KUM dan UMK untuk penyelidikan dan inovasi produk nilai tambah daripada hasil biodiversity yang ada di negeri Kelantan.
 
“Kerjasama ini juga akan memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan pada masa depan dari segi penyelidikan bersama, projek bersama, penerbitan bersama, mobiliti kakitangan dan pelajar. 
 
“Pada masa sama, kerjasama ini UMK dan Kerajaan Negeri akan bersama menyertai program antara universiti dan industri seperti penyelidikan, sarjana dan pasca siswazah, “ katanya.
image 6483441
Published in Latest News
57852499 2253700434684645 4170343086125219840 n
 
Pusat Hal Ehwal Korporat I Foto Ab Halim Hafiz Ab Aziz
 
KOTA BHARU 15 April I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menyertai misi Dagang Jelajah Dewan80 ‘Road To Aran’ melibatkan perjalanan sejauh 3,500 kilometer (km) pergi dan balik selama 11 hari melalui konvoi jalan darat yang merentasi tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam.
 
Program anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan (DPMMNK) dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Thailand ini bermula pada hari ini  sehingga 26 April 2019.
 
57343453 2253700938017928 706189384780611584 nTiga pensyarah UMK itu terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Lukman Ismail (Fakulti Industri Asas Tani), Dr. Abul Hafidz Yusoff (Fakulti Bioteknologi dan Kejuruteraan) dan Mohd Mahmud@Mansur (Fakulti Industri Asas Tani)
 
Majlis Pelepasan Misi Dagang Jelajah Dewan80 Road To Aran telah disempurnakan oleh Menteri Besar, YB Dato’ Ahmad Yakob, di pekarangan Hotel Jewels, Kota Bharu, hari ini.
 
Turut hadir, Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Hj. Che Omar, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan (DPMMNK), En. Mohd. Ali Amin Ab. Latif, Pengarah Pejabat Perundingan Harta Intelek Dan Pengkormersialan, Dr. Mohd Hafiz Jamaludin, Timbalan Pendaftar Pejabat Jaringan Industri Dan Kolaborasi UMK, Pn. Alifah Adnan.
 
Objektif utama misi ini adalah bertujuan untuk membuka peluang kepada para usahawan meninjau peluang-peluang perniagaan di Thailand dan di negara-negara terbabit dengan misi tersebut.
 
Misi itu turut disertai oleh 50 agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),  Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Tourism Malaysia.
57026406 2253700548017967 666597753475825664 n
Published in Latest News

1

Pusat Hal Ehwal Korporat I Al Azam Razi

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) komited memperkukuhkan hubungan dengan Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia bagi  mengembangkan potensi kerjasama di antara kedua-dua pihak khususnya dalam penawaran program-program akademik dan pendidikan keusahawanan.

3Potensi kerjasama itu diputuskan melalui kunjungan hormat delegasi UMK ke Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam di Putrajaya, pada 8 April 2019.

Delegasi UMK yang diketuai oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail telah disambut mesra oleh Duta Brunei Darussalam di Malaysia, TYT. Dato’ Paduka Haji Alaihuddin Bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.

Turut hadir, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),  Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Che Omar, Pengarah Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail dan CEO Limasah Sdn. Bhd, Dr. Mohd Fazlan Ghazali.

Pada kunjungan itu, kedua-dua pihak telah bersetuju mengukuhkan kerjasama membabitkan kepentingan tiga perkara, iaitu pemerkasaan masyarakat dengan ilmu dan kemahiran keusahawanan, termasuklah para pelajar,  kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi yang selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (4IR) dan  pengurusan kemiskinan.

Kunjungan hormat itu turut dipaterikan dengan semangat untuk bersama dalam pelbagai aspek, khususnya berkaitan dengan pendidikan di peringkat tertiari.

2

Published in Latest News

image 6483441 6

Pusat Hal Ehwal Korporat I

KOTA BHARU 10 April I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berhasrat menjadi antara universiti terbaik di dunia dengan menjadi universiti yang setaraf dengan universiti terkemuka di peringkat antarabangsa.

Pelaksanaan program bidang sains, keusahawanan dan perniagaan serta kesusasteraan menjadi nilai tambah kepada universiti untuk terus maju kehadapan serta membantu membangunkan ekonomi negara.

Justeru, dalam usaha menyebarluaskan maklumat dan aktiviti penyelidikan serta program-program yang dianjurkan universiti sepanjang tahun maka UMK perlu mewujudkan peluang dan ruang menjalinkan hubungan baik dengan warga media.

Menurut Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, berkata UMK telah berusia melebihi 12 tahun dan dalam tempoh itu telah banyak kecemerlangan yang telah dicapai dan kita mahu keterlihatan universiti itu dapat dipertingkatkan melalui peranan media.

Beliau berkata, peranan media penting untuk membantu universiti mencapai objektif itu dengan membantu menyebarluaskan tentang aktiviti yang sedang, telah dan apa yang akan dilakukan oleh universiti.

“Peranan UMK di negeri Kelantan dari sudut pembangunan sosio ekonomi adalah amat penting untuk membantu negara kita mencapai wawasan sebagai sebuah negara maju melalui pencapaian penyelidikan inovasi dan aktviti keusahawanan di peringkat universiti.

“Justeru, universiti komited untuk mencapai taraf universiti keusahawanan terbaik di Asia dan seterusnya di dunia berdasarkan kepada pencapaian dalam akademik, penyelidikan serta program keusahawanan yang ditawarkan oleh universiti,” katanya pada program Jalinan Mesra Pengurusan UMK Bersama Media di Hotel Perdana , Kota Bharu, pada 9 April 2019.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI),

Sementara itu, Prof. Dr. Noor Azizi berkata, dalam aspek penyelidikan dan inovasi universiti telah mampamerkan kecemerlangan apabila muncul sebagai sebagai universiti paling banyak memenangi pingat emas iaitu tujuh pingat emas di Malaysia Technology Expo (MTE) 2019.

Katanya, kejayaan itu menunjukkan produk penyelidikan dan inovasi yang menang di MTE boleh dikembangkan untuk dipasarkan secara komersial melalui penglibatan pihak industri.

“Dalam usaha itu, UMK telah berjaya menandatangani memorandum persefahaman kerjasama dengan pihak industri dan apa kita harapkan perjanjian ini jumlah pelajar mendapat pekerjaan atau kebolehpasaran graduan akan meningkat.

“Melalui kerjasama itu, UMK telah berusaha mengkomersialkan hasil penyelidikan tersebut untuk kita bukan sahaja dapat bersaing di peringkat nasional tetapi di rantau Asia,” jelas beliau.

Untuk mencapai kejayaan UMK, beliau berharap elemen hubungan pengurusan universiti dengan warga media perlu bersama untuk kelangsungan bagi memastikan UMK terus cemerlang di masa hadapan.

Published in Latest News

1

Oleh : Aiman Syazwan Zainal Abidin Foto : Ab Halim Hafiz Ab. Aziz

JELI 6 April I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) menganjurkan Program Belia IPT: Kem Eksplorasi Alam yang julung-julung kalinya diadakan di Kampung Kalai, Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

4Seramai 77 pelajar UMK Kampus Kota, Jeli dan Bachok termasuk sukarelawan dari Kelab Kembara 4x4 Kelantan mengikuti eksplorasi alam dengan aktiviti mendulang emas secara tradisional di tapak lombong emas di kawasan pendalaman Jeli, Kelantan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Zaliman Sauli, ekspedisi mendulang emas secara tradisional di kawasan Jeli memberi pendedahan kepada para pelajar untuk pelajar mencuba dan merasai pengalaman kaedah mendulang emas secara moden dan tradisional menggunakan kuali serta dulang yang dipahat daripada kayu banir.

Beliau berkata, aktiviti mendulang emas adalah warisan warisan turun-temurun memelihara dan memulihara warisan alatan tradisional di samping penerokaan kawasan emas dan batu permata berdasarkan kajian lapangan di bawah bimbingan pensyarah untuk menganalisis serta menghurai sumber alam yang terdapat di Kelantan.

“Program selama tiga hari dua malam itu didedahkan teknik mendulang emas secara tradisional dan penyelidikan yang sebelum ini tidak pernah mereka pelajari.

8“Walaupun kali pertama pelajar mencuba teknik mendulang yang betul ianya membuahkan hasil apabila memperoleh beberapa gram emas dengan anggaran harga sebanyak RM7000.00,” katanya.

Sementara itu, kem eksplorasi alam turut diselitkan dengan program ekspedisi mencari batu permata di lokasi beberapa meter daripada tapak lombong emas.

Menurut Penyelaras Program, Mohd Asmawi Isa, kawasan pendalaman Jeli sebenarnya kaya dengan sumber mineralnya seperti emas, perak dan batu permata.

Katanya, lokasi ini amat sesuai untuk aktiviti penyelidikan dan kajian secara terperinci mengenai jenis batuan yang terdapat di sana.

“Ekspedisi mencari batu permata ini merupakan program pertama yang pernah diadakan ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar supaya dapat meningkatkan keupayaan diri dan kajian mengenai sumber alam mengenai nilai estetika serta sumber asli.

“Sepanjang program itu, pelajar diajar oleh fasilitator berpengalaman dengan cara mengesan jenis tanah yang berpotensi serta teknik menggali bagi mengasingkan batuan daripada batuan unsur lain.

“Setelah setengah hari mengali kawasan tanah disekitar kawasan ekspedisi para pelajar telah menemui ketulan batu permata dikenali sebagai batu kecubung yang dianggarkan bernilai sebanyak RM15,000.00,” katanya.

2

Published in Latest News

kad staf

PENGKALAN CHEPA : Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan kad staf terbaharunya dengan imej dan rekaan terkini menampilkan elemen warna korporat serta teknologi QR Code UMK yang akan diedarkan secara berperingkat di setiap kampus bermula April 2019.

Rekaan kad staf serba baharu itu menampilkan teknologi terkini dengan ciri-ciri keselamatan pintar telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, YBhg. Dato’ (Dr.) Hussamuddin Hj. Yaacub menerusi penyampaian replika kad kapada Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Yang Menjalankan Tugas Pendaftar, En. Mohd Akhmal Abu Bakar, berkata, edisi baharu kad staf ini bagi mengantikan kad staf lama yang akan mula diedarkan kepada semua staf secara berperingkat mengikut kampus bermula dengan UMK Kampus Kota.

Katanya, penukaran kad staf akan dibuat secara berperingkat memandangkan proses cetakan kad masih berjalan selaras dengan pelaksanaan mengikut kriteria dan ciri-ciri yang ditetapkan.

“Kad staf baharu ini turut mengambil warna merah selaku salah satu warna korporat UMK sebagai warna utama.

“Pejabat Pendaftar UMK selaku pemegang amanah bagi pengurusan kad staf dan pelajar UMK bermula pada tahun 2014 telah menguruskan semua proses cetakan kad staf secara dalaman dengan proses cetakan kad staf dan pelajar diuruskan sendiri oleh staf Pejabat Pendaftar tanpa melibatkan pihak luar.

“Pengurusan kad ini memberikan nilai penjimatan hampir RM 100,000.00 setahun daripada jumlah kos yang terpaksa dikeluarkan bagi cetakan kad untuk staf dan pelajar UMK,” katanya.

Pada majlis itu, En. Mohd Akhmal turut menyerahkan kad staf baharu kepada ahli Ex Officio Lembaga Pengarah Universiti terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarbangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Bendahari UMK, Puan Junaidah Badar dan Wakil Senat dalam LPU, Prof. Dr. Safa'ai Deris.

Majlis pelancaran ini telah diadakan bersempena Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK Bil. 1/2019.

Sebarang pertanyaan berhubung penukaran kad baharu boleh menghubungi bahagian Governan dan Kualiti, Pejabat Pendaftar, UMK Bachok di talian 09 - 779 7400.

Published in Latest News
Page 1 of 2

What Our International Students Say?

Latest Update: 16 November 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search