semakan

Latest News

Items filtered by date: May 2019 - Universiti Malaysia Kelantan

3

KUALA LUMPUR 20 Mei I Universiti Malaysia Kelantan (UMK), menyantuni mantan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan mantan Naib Canselor UMK sempena Majlis Iftar Ramadhan Bersama Lembaga Pengarah UMK 2019 di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ (Dr.) Haji Husammuddin Yaacob, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi LPU, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman termasuk barisan mantan ahli-ahli LPU serta mantan Naib Canselor UMK yang telahmenabur bakti kepada pembangunan Universiti sejak 12 tahun lalu.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, majlis iftar ini adalah program tahunan anjuran Pejabat Pendaftar UMK setiap kali Ramadhan.

Katanya, pada tahun ini terdapat sedikit perbezaan dimana universiti telah menjemput kesemua mantan Pengerusi LPU, ahli-ahli LPU dan mantan Naib Canselor diatas jasa dan sumbangan bakti selepas berakhir tempoh perkhidmatan di UMK.

“Selain itu, secara tidak langsung hubungan baik ini dapat terus dikekalkan antara mantan dan pengurusan baharu universiti,” katanya.

Antara mantan ahli-ahli Lembaga Pengarah yang diraikan adalah Dato' Haji Mohd Faudzi Haji Che Mamat, Datuk (Dr.) Hafsah Hashim, Dato' Dr. Halim Hamat dan Dato' Ab. Rahman Mat.

Turut hadir, Pn. Norina Jamaludin, Dato' Azmi Mohd Ali, Datin Paduka Kartini Hj. Abdul Manaf, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Zainai Mohamed dan Prof. Dato' Dr. Mortaza Mohamed.

Hadir sama, Ahli-ahli LPU terdiri daripada Dato’ Prof. Dr. Che Muhaya Haji Mohamad, Dr. Wan Farisan Wan Sulaiman, En. Mohd Nazri Mat Noor, Puan Normalia Ibrahim dan Encik Zulkifli Mohd Zan.

Turut sama meraikan majlis tersebut adalah pihak Pengurusan Universiti iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Yang Menjalankan Tugas Pendaftar, En Mohd Akmal Abu Bakar dan Ketua Pustakawan UMK, En Azman Hashim.

Terdahulu, Dato’ Prof. Dr. Che Muhaya turut menyampaikan tazkirah ringkas Ramadhan.

4

Published in Latest News

3

PENGKALAN CHEPA I Industri penternakan terutamanya ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu industri yang akan menyumbang kepada pembangunan pertanian negara.

Permintaan terhadap makanan ternakan ruminan yang berkualiti dengan harga kompetitif terutamanya ketika musim perayaan adalah sangat tinggi dan ini membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat di bidang itu.

Justeru, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sentiasa bersedia membantu golongan penternak atau veterinarwan yang berminat dengan menganjurkan Seminar Pengurusan Pembiakan dan Pemapanan Peternakan Ruminan di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 4 Mei 2019

Pengarah Program selaku Ketua Jabatan Pengajian Klinikal FPV, Dr Siti Nor Che Yahya, berkata, program ini adalah perkongsian maklumat serta pemindahan teknologi kepada golongan sasar iaitu veterinarwan di seluruh Malaysia.

Katanya, program ini mendapat sambutan dengan penyertaan seramai 40 orang peserta terdiri daripada Veterinawan di serata Malaysia.

“Program sehari itu memberi pendedahan kepada para veterinawan dan pengurus ladang mengenai pengurusan pembiakan yang betul bagi meningkatkan hasil ternakan mereka.

“Pihak FPV telah menjemput Profesor Dr. Lionel James Dawson daripada Oklahoma State University, Amerika Syarikat yang merupakan pakar dalam bidang pembiakan terutamanya dalam bidang ruminan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh Prof. Dr. Lionel itu beliau berkata industri penternakan di Malaysia adalah amat penting dan relevan sebagai satu industri yang menyumbang kepada pembangunan pertanian negara.

Beliau berkata, pembangunan industri ini memastikan keselamatan makanan di dalam negara terjamin dan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap daging yang diimport ke Malaysia.

Menuru beliau industri daging ayam, Malaysia telah berjaya mencapai tahap sara diri (self-suffieciency level) dan telah mampu mengeksport bekalan ke luar negara.

Bagaimanapun, tahap sara diri industri ruminan masih belum mencapai tahap seperti industri bukan ruminan seperti ayam daging masih belum tercapai.

Justeru, pengetahuan dalam bidang pembiakan ternakan hendaklah dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil dalam pengeluaran produk ruminan.

Sementara itu, Dr. Siti Nor berkata UMK adalah antara institusi awam yang mengeluarkan para veterinawan dengan memberi tumpuan utama kepada ndustri ternakan dan menjadi pusat rujukan penternak untuk membantu meningkatkan hasil ternakan mereka terutamanya di Pantai Timur.

Katanya, melalui penganjuran bengkel ini adalah platform untuk meningkatkan ilmu kepakaran kepada para veterinawan seterusnya memajukan industri ternakan ruminan.

“Program ini juga menjadi platform kepada para veterinawan untuk meningkatkan ilmu dan mengembangkan kerjaya masing-masing di dalam bidang haiwan ruminan seperti lembu dan kambing.

“Selain daripada itu, peserta yang hadir juga akan mendapat 20 mata Continuous Professional Development (CPD) yang dikeluarkan oleh Majlis Veterinar Malaysia,” katanya.

2

Markah ini adalah diperlukan sebagai syarat untuk memperbaharui lesen amalan tahunan secara sah atau dipanggil ‘Annual Practice Certificate’ oleh para veterinawan.

Published in Latest News

60810824 10157221055332346 6734857608911388672 n

Pusat Hal Ehwal Korporat I Al Azam Razi

PENGKALAN CHEPA I Syarikat usahawan siswa Herba Life Supplier Sdn Bhd (HLS) menang anugerah Best of The Best dengan menewaskan 39 idea perniagaan kumpulan lain sempena Seminar Keusahawanan Perdagangan bertemakan Meet And Greet Entrepreneurs:Ideate and Validate yang diadakan di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, baru-baru ini.

Syarikat Herba Life Supplier Sdn Bhd turut dianugerahkan pingat emas dan anugerah Outstanding Teamwork Award.

Pada pertandingan itu, 39 idea projek syarikat usahawan siswa telah berjaya memenangi 17 anugerah emas dan 22 anugerah perak.

Menurut Ketua Kumpulan HLS Sdn Bhd, Akmal Najiha Fatima Ahmad Kamal, berkata, HLS adalah sebuah syarikat yang menyediakan adunan tumbuhan herba asli tanpa bahan pengawet kepada usahawan dan pengguna.

Beliau berkata, syarikat kami berkonsepkan kesihatan dan HLS Sdn Bhd bertindak sebagai pembekal yang bekerjasama dengan sebuah syarikat herba tempatan untuk mendapatkan stok herba mentah seperti tongkat ali, kacip fatimah dan ginseng bagi menghasilkan produk berasaskan bahan semula jadi.

“Kemudian, syarikat kami memperoses bahan mentah daripada hutan untuk diproses bagi memenuhi permintaan oleh usahawan atau syarikat-syarikat besar.

Syarikat HSL Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 3 Mac 2019 oleh dua pelajar tahun tiga lulusan Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) iaitu Akmal Najiha Fatima dan Aina Atiqah Bashri.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC), Prof. Dr. Raja Suzana Raja Kasim, berkata penganjuran karnival keusahawanan perdagangan adalah sempena Karnival Pengajaran dan Pembelajaran untuk memenuhi keperluan kursus pelajar tahun tiga FKP.

Katanya, program ini juga bagi mempromosikan siswa UMK menceburi bidang keusahawanan menerusi ilmupreneur dengan matlamat untuk mengasah bakat mahasiswa menjadi coach dan perunding dalam perniagaan di era Pendidikan 4.0 (IR4.0).

“Pada program itu turut berlangsung seminar keusahawanan untuk membawa satu pendekatan baharu kepada siswa UMK tentang validasi pasaran sebenar secara kreatif dan inovasi.

“Dua panel usahawan dijemput bagi berkongsi pengalaman dalam perkhidmatan profesional dan juga permentoran, perundingan dan penasihatan persyarikatan iaitu Coach Hj. Norlukmal Mat Ghani dari SPEED Office Sdn Bhd dan Coach Yusainy Yusof dari DSH Solution dan Tastebud Eatery & Services yang berkongsi pengalaman beliau mengenai pembentukan bakat usahawan di kalangan mahasiswa,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Raja Suzana, seminar ini amat berkesan dan telah berjaya mendekatkan minat keusahawanan mahasiswa UMK kepada usaha-usaha menerokai perniagaan baharu.

Katanya, usahawan dan pendidikan keusahawanan akan bersama dalam Seminar Keusahawanan Perdagangan dan berkongsi pengalaman dalam meneroka perniagaan baharu kepada pelajar-pelajar.

Sementara itu, Prof. Dr. Raja Suzana berkata, Karnival Pengajaran dan Pembelajaran Kali Ketiga itu diteruskan di UMK Bachok yang diadakan di Laman Canseleri, UMK Bachok pada 21 Mei 2019.

Pada pertandingan itu, lima syarikat usahawan siswa memenangi lima anugerah emas, sembilan anugerah perak dan 29 anugerah gangsa yang dipertandingkan pada Seminar Keusahawanan Perdagangan 2019.

4

Published in Latest News

1

PENGKALAN CHEPA 12 Mei I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima zakat perniagaan berjumlah RM210,000.00 daripada tiga syarikat korporat pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Bersama Warga UMK, di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

4Sumbangan zakat itu, adalah daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) dan Maybank Berhad.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Dato’ (Dr.) Hj. Husammuddin Yaacub diiringi oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail menerima sumbangan zakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, En. Mohd Muazam Mohamad berjumlah RM50,000, Naib Presiden Eksekutif EFTB, Mohamad Sani Ayob sebanyak RM100,000.00 dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Pejabat Wilayah Maybank Berhad, Md Shahri Md Alwi berjumlah RM60,000.00.

Pada majlis yang sama, Dato’ (Dr.) Hussamuddin turut menyampaikan replika cek sumbangan zakat berjumlah RM200,000.00 berupa bantuan sokongan pengajian kepada 400 pelajar asnaf UMK dan sumbangan zakat kepada 43 anak yatim daripada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa' Siti Aminah (RAYS).

Sementara itu, Dato’ (Dr.) Hussamuddin berkata, sekiranya mahu menjadi universiti nombor satu di Malaysia, Asia Tenggara dan Asia kita perlu mendapat sokongan daripada organisasi besar seperti BIMB, Maybank dan EFTB.

Katanya, organisasi ini seharusnya menyokong setaip usaha yang dilaksanakan oleh UMK sebagai universiti awam termuda di negara ini.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap daripada kita ini meletakkan visi bahawa suatu hari nanti kita mahu masuk syurga.

Katanya, untuk menjadi orang-orang berjaya di dunia dan mati masuk syurga hendaklah membentuk akhlak yang baik.

“Cabaran utama sebagai umat yang dilahirkan beragama Islam, apakah persiapan kita untuk memastikan kita jadi Islam sampai mati,” katanya.

Turut diadakan ialah tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad.

8

9

10

Published in Latest News

2

PENGKALAN CHEPA 12 Mei I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyusun strategi yang lebih berfokus untuk muncul sebagai Universiti Keusahawanan Nombor Satu di Malaysia menjelang 2023, di ASEAN menjelang 2026 dan di ASIA 2030.

7Dalam mencapai matlamat itu, UMK telah memperkenalkan model Pelan Strategik Keusahawanan baharu menerusi pelancaran gerak gempur dan kempen berstrategik bagi merealisasikan agenda Universiti Keusahawanan terunggul di Negara ini dan pada peringkat serantau.

Pelancaran Gerak Gempur Universiti No 1 di Malaysia pada 2023, Asia Tenggara (2026) dan Asia (2030) itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Dato’ (Dr.) Hj. Hussamuddin Yaacub di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 12 Mei 2019.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, Yang Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor merangkap Pengarah Pusat Strategik Universiti, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Turut berlangsung majlis penyampaian kad petunjuk prestasi (KPI) oleh Pengerusi LPU kepada Naib Canselor dan Pengurusan Tertinggi lain yang akan diperturunkan kepada 21 Pusat Tanggungjawab serta diikuti dengan penyerahan watikah perlantikan kepada Jawatankuasa Pelan Strategik UMK dan pelancaran lencana kempen Gerak Gempur iaitu simbolik kepada pelan strategik yang bakal dilaksanakan secara bersama oleh warga UMK untuk bidang pengajian Keusahawanan.

Menurut Prof. Dr. Noor Azizi, kerangka rumusan pada hari ini akan menjadi asas utama kepada gerak kerja untuk pembangunan agenda keusahawanan bagi mencapai hasrat status Universiti Keusahawanan nombor satu di negara ini menjelang tahun 2023.

Seterusnya menjadi terbaik di Asia Tenggara pada 2026 dan Asia menjelang 2030.

Beliau menjelaskan keyakinan itu bersandarkan kepada keusahawanan (Core Steering) dalaman yang kukuh dengan Keterlibatan organisasi dalaman sesebuah universiti, terutamanya kepimpinan, visi dan strategi.

“Selain itu, program keusahawanan harus diberi keutamaan dan menjadi agenda utama dari akar umbi sehingga ke peringkat LPU.

“Kita akan memaksimumkan peranannya termasuk mengubah gerak kerja sedia ada selain disokong pelbagai inisiatif pembangunan diperkenalkan oleh universiti.

5"Penekanan juga akan diberikan kepada keterlibatan dan kerjasama semua warga UMK termasuk pensyarah, fakulti, pelajar, pentadbiran dan pemain industri agar bergerak seiring dalam mencapai misi itu," katanya.

Tambah beliau, suasana dan tingkah laku keusahawanan perlu ada di segenap pelusuk universiti termasuklah pemikiran inovatif dan sifat keusahawanan di segenap lapisan dalam organisasi juga harus ada, bermula di pihak pengurusan sehinggalah kepada peringkat bawahan.

“Sifat ‘opportunity driven”,“risk-taking”, “critical-thinking”,“fast-driven” yakni bersegera dalam setiap peluang juga perlu di pupuk. Sifat-sifat ini harus dimulai dari sekarang.

“Tiada tempat untuk orang yang lembab dan terhegeh-hegeh di UMK ini,” katanya.

Sementara itu, pada sesi pembentangan oleh Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, untuk memastikan pelaksanaan pelan strategik keusahawanan secara sistematik dilaksanakan setiap PTJ harus mendokong Pelan Strategik Keusahawanani agar boleh dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata, teras strategik Universiti akan diubahsuai mengikut perkembangan semasa bagi membolehkan inisiatif yang digariskan dilaksanakan dan pemantauan turut dilakukan berdasarkan keperluan Pelan Strategik Keusahawanan Universiti secara dalam talian.

“Selain itu, dashboard sedia ada turut dikemaskini semula bagi menyesuaikannya selaras dengan keperluan Kementerian yang sesuai dengan agenda keusahawanan universiti.

“Dalam aspek itu, sumber yang diperlukan akan disediakan dan diperkasakan serta mampu dicapai melalui struktur dan hirarki, kewangan, sumber manusia, infrastruktur dan sebagainya bagi membolehkan sokongan dan tindakan dilaksanakan dengan cekap dan sistematik (mengikut kemampuan Universiti).

Beliau juga menegaskan bahawa ICT harus berupaya sebagai pemangkin (enabler) bagi menyokong inisiatif strategik keusahawanan yang dihasratkan oleh universiti.

Pusat Hal Ehwal Korporat I Foto I Al Azam Razi & Ab Halim Hafiz Ab Aziz

8

Published in Latest News

3

Teks & Foto I Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

BEIJING : Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berupaya meraih jualan lebih tinggi berikutan 12 produk inovasi dan penyelidikan yang dihasilkan oleh penyelidik UMK mendapat permintaan tinggi daripada usahawan serta industri daripada China di Pameran dan Persidangan The 10th China International Modern Agricultural Exhibition (CIMAE) 2019, Pusat Perdagangan Antarbangsa China, Beijing, China, pada 26 April hingga 29 April 2019.

Produk tersebut terdiri daripada bahan kosmetik daripada madu kelulut dan arang teraktif daripada tempurung kelapa, baja organik semula jadi, bahan bakar daripada arang tempurung  kelapa, bahan serat daripada kenaf dan enzim sumber mikroorganisma untuk pengolahan serat.

Turut mendapat perhatian ialah produk Aerosol semburan nyamuk daripada rumpair Azolla, bahan semula jadi anti-jentik nyamuk Aedes, ikan terfermentasi,  jem labu varieti baru, cuka buah-buahan tempatan, sabun dan kapsul kesihatan daripada madu kelulut dan bahan penjerap bau, AcBioC.

Delegasi UMK diketuai oleh Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan empat penyelidik iaitu Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dr. Mardawani Mohamad, Dr Mohd Hafiz Jamaludin dan Dr. Mohamad Faiz Mohd Amin, telah hadir menyertai pameran CIMAE yang diadakan selama empat hari.

1Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, pembabitan UMK pada CIMAE 2019 adalah amat strategik dan tepat pada masanya untuk universiti menembusi pasaran antarabangsa selaras dengan pengkomersialan produk menerusi pemasaran ke negara China.

Beliau berkata, universiti harus berbangga kerana hasil penyelidikan yang dibawa menghadiri pameran dan persidangan antarabangsa ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada usahawan Negara China.

“Penyertaan universiti pada pameran ini adalah menerusi jemputan oleh China Agriculture University (CAU), yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kejuruteraan Pertanian, China.

“Produk hasil penyelidikan ini adalah program yang dibiayai di bawah berbagai skim geran penyelidikan oleh penyelidik UMK,” katanya.

Tambah beliau, sebahagian produk adalah untuk kegunaan harian dan  telah dipatenkan hak cipta harta intelek serta telah memenangi berbagai anugerah sama ada di Pameran Teknologi Inovasi, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) 2019 dan pameran Malaysia Teknology Expo (MTE) dan pameran antarabangsa Nuremberg. 

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim menyifatkan penyertaan UMK pada CIMAE 2019 telah mencipta sejarah tersendiri apabila semua hasil penyelidikan ini mendapat sambutan dan telah menerima pesanan awal (pre order) oleh pihak usahawan China yang terdiri dari peruncit tempatan,  agen pembekal  produk, usahawan  pengimport dan individu yang terlibat dengan perniagaan di pasar borong dan pasar raya. 

“Lebih membanggakan semua produk ini turut ditempah oleh ahli perniagaan untuk pasaran di Dubai, UAE.

“Pameran yang pada mulanya bermatlamat untuk mempamer hasil penyelidikan untuk perkongsian pengetahuan akademik telah bertukar menjadi misi perdagangan,” katanya.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, permintaan serta minat yang tinggi oleh  usahawan  adalah disebabkan keyakinan mereka terhadap hasil  penyelidikan di Universiti dalam penghasilan produk bernilai, di samping kesemua produk yang dipamerkan ini  adalah dari sumber organik dan semula jadi yang tidak terdapat di Negara China.

“Ini merupakan suatu strategi pemasaran lautan biru bagi UMK. Pameran ini telah menjadi medan perundingan untuk menjayakan kerjasama perniagaan peringkat antarabangsa yang sangat berkesan.

“UMK merupakan satu-satunya Universiti di Asia Tenggara yang dijemput khas oleh Persatuan Kejuruteraan Pertanian dan Pertanian Pintar, China untuk menunjukan keupayaan dan pencapaian penyelidikan yang bernilai komersial,” katanya. 

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim menjelaskan bahawa pencapaian ini adalah satu kejayaan UMK dalam memperkasakan agenda keusahawanan yang berimpak tinggi kepada masyarakat, sesuai dengan konsep penyelidikan translasional berteraskan konsep RICE UMK iaitu Penyelidikan (Research), Inovasi (Innovation), Pengkomersialan (Commercialization) dan Syarikat (Enterprise).

Katanya, UMK akan bkerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing bagi mewujudkan jaringan perniagaan antara UMK dan usahawan China. 

“Ini adalah cabaran baru UMK! Kejayaan ini juga telah membuka peluang untuk UMK menandatangani memorandum persefahaman dengan CAU melalui Kolej Informatik dan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik,  CAU,  ke arah mewujudkan Institut Pertanian Pintar UMK-China.

“Daripada kerjasama ini, institut ini bertanggung jawab memastikan daya pengeluaran hasil pertanian dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi akan hasil berasaskan pertanian,  daripada Negara China ini,” katanya.

Menurut beliau, satu kertas kerja tentang Pertanian Moden dan Pintar telah dibentangkan di persidangan ini oleh untuk membincangkan inisiatif UMK untuk terlibat dalam penghasilan penyelidikan yang selaras dengan keperluan 4IR menggunakan data raya, robotik dan bio-pengesanan.

“Usaha ini adalah gandingan beberapa PTJ di UMK yang terdiri daripada Fakulti Industri Asas Tani, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Institut Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari dan Pusat Kecerdasan Buatan dan Data Raya.

“Serentak dengan itu juga satu ketetapan telah dibuat untuk mengadakan bengkel tentang Pertanian Moden dan Pintar oleh CAU yang melibatkan penyertaan daripada UMK pada bulan Julai nanti,” katanya.

Usaha ini akan melengkapkan usaha Universiti untuk mengtransformasi ladang pertanian UMK, AgroTechno Park (ATP)  untuk dijadikan showcase dalam amalan pertanian moden, pintar dan lestari.

Kejayaan usaha ini telah  memberi kekuatan kepada warga UMK dalam memperkasakan agenda keusahawanan ke arah pencapaian iltizam UMK untuk menjadi  Universiti Keusahawanan No.1 di Malaysia menjelang 2023, di ASEAN menjelang 2026 dan di Asia menjelang 2030.

2

Published in Latest News

1

Pusat Hal Ehwal Korporat I Foto Al Azam Razi

BACHOK I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi memberi peluang kepada lulusan PERDA-TECH melanjutkan pengajian pendidikan Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Majlis menandatangani MoU telah diadakan di Bilik Mesyuarat FTKW, UMK Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail dan Pengurus Besar PERDA, En. Rosman Hj. Hashim, telah menandatangani MoU tersebut dan disaksikan oleh Pengerusi Tekun Nasional, Dato’ Seri Mohd Suparadi Mohamad Nor dan Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan.

Menurut Prof. Ts. Dr. Noor Azizi, kerjasama dengan PERDA-TECH adalah satu inisiatif UMK bagi membangunkan secara bersama bidang pengajian teknikal yang terunggul berteraskan kemahiran teknikal dan teknologi yang ditawarkan oleh FTKW dan UMK.

Beliau berkata, koloborasi ini memberikan manfaat besar kepada kedua belah pihak dan memenuhi kehendak serta keperluan pasaran melalui penyampaian program yang cemerlang berlandaskan kepada trend TVET masa kini.

“Melalui kerjasama ini, UMK akan bertindak sebagai penasihat akademik dalam pembangunan program bagi bidang pengajian diploma dan sijil di PERDA-TECH.

“Pihak FTKW turut memberikan bimbingan dan latihan pembangunan modal insan khususnya kepada program reskilling dan upskiling pensyarah PERDA-TECH yang secara tidak langsung membangunkan program pembangunan keusahawanan pelajar dalam bidang industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata melalui jalinan kerjasama ini, UMK berjaya menampakkan diri dalam industri kreatif Negara dan antarabangsa sebagai sebuah Universiti Keusahawanan yang menjulang Warisan Negara Malaysia dalam usaha memelihara dan memulihara Warisan Negara.

“Dalam konteks UMK projek ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan Creative Techno Park (CTP) yang telah diluluskan untuk dibangunkan di UMK Bachok yang meliputi pembangunan pusat vendor dan inkubator keusahawanan, perkampungan budaya,  taman tema, dan pusat beli-belah,” katanya.

5

Published in Latest News
5b5afabc 3b83 4de2 924e b598eeff4ea7
KUALA LUMPUR 3 Mei I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mengungguli kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa  apabila memenangi lima pingat emas dan tujuh pingat perak di Pameran Teknologi Inovasi, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) 2019 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 3 Mei 2019.
 
UMK turut merangkul  Best Invention Award ITEX 2019  (Universities and Educational  Institusion Category) menerusi produk A Novel Encapsulated Soft Gelatin Capsule from Combination of Honey, Olive Oil and Black Seed Oil for Pharmaceutical and Nutraceutical Application oleh Prof. Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman.
 
Pada ITEX 2019, UMK melalui Pejabat Perundingan Harta Intelek Dan Pengkormersialan (CICO), Pejabat Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi) telah menghantar 12 penyertaan, dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan selama tiga hari bermula 2 Mei hingga 4 Mei 2019, untuk bersaing dengan lebih 1,000 ciptaan dari 23 negara.
 
ITEX yang menyambut ulangtahun ke 30 tahun merupakan platform research ideas bagi ciptaan dan inovasi peringkat antarabangsa paling berprestij bagi penyelidik dan pemain industri.
 
Pameran itu adalah pusat sehenti bagi pencipta, pereka dan usahawan untuk mempamerkan ciptaan, idea, prototaip, produk dan reka bentuk terbaru mereka kepada pelabur, pengeluar, pengedar dan pemasar di Asia dan seterusnya, membuka jalan untuk menghubungkan mereka dengan mereka yang mencari idea baru, serta pengkomersilan dan kolaborasi teknologi.
 
Penyumbang pingat emas UMK adalah menerusi produk A Novel Encapsulated Soft Gelatin Capsule from Combination of Honey, Olive Oil and Black Seed Oil for Pharmaceutical and Nutraceutical Applications oleh Prof. Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, produk CORE - From OKU2U STEMpreneur to STEM Education and Learning oleh Prof. Dr. Raja Suzana Raja Kasim, produk Enhancement Efficiency of Silicone Based Antifoam oleh Dr. Zubaidah Aimi Abdul Hamid, produk Nano-Azocides – Green Nanoparticles For Mosquito Control oleh Ts. Dr. Mohamad Faiz  Mohd Amin dan produk Vhysol-Novel Sol-Gel Hybrid Sorbent Material For Ultra Trace Level Pesticides Analysis oleh Dr. Krishna Veni A/P Veloo.
 
Manakala pingat perak dimenangi oleh produk Model Lestari Rumah Burung Walet oleh Dr. Wan Khairy Wan Ibrahim, produk Integrated Kenaf Bio-Processing System - Biozyme Ultimate Debark unit (B.U.D.U) oleh Dr. Mardawani Mohamad, Blok Batik Pointillsme oleh Encik Muhammad Najibul Muthiie Che Ya'acob dan An Edutaiment Augmented Reality (AR) App For Kids To Learn Animals oleh Ts. Dr. Tan Tse Guan.
 
Turut meraih pingat perak adalah produk Premium Multiblock : Multi Solution For Ruminants oleh Dr. Nor Dini Rusli, Mambong Pottery: From Heritage To Legacy oleh Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad dan SME Innovation Index (SMEii): Web Application - based Capability and Competency Index to Asses SME's Innovation oleh Prof. Madya Dr. RosIi Saleh.
 
IMG 8020Menurut Prof. Ts. Dr. Ahmad Ziad, produk inovasi " A Novel Encapsulated Soft-Gelatin Capsule From Combination of Trigona Honey, Olive Oil and Black Seed Oil for Pharmaceutical and Nutraceutical Applications" adalah produk kombinasi tiga bahan makanan terbaik iaitu madu kelulut, minyak habbatus sauda dan minyak zaitun yang diformulasikan secara saintifik dengan menggunakan kaedah teknologi dan kejuruteraan.
 
Katanya, produk ini diklasifikasikan sebagai makanan tambahan (food supplement) untuk penjagaan kesihatan dan kecantikan dalam bentuk softgel 3 dalam 1 untuk memudahkan pengambilan oleh pengguna yang mengamalkan pengambilan makanan yang berasaskan makanan Sunnah ini.
 
“Produk ini bukan sahaja dihasilkan untuk memudahkan pengambilannya malah dipek cara yang mudah dan boleh dibawa ke mana sahaja.
 
“Melalui hasil testimoni pengguna, produk ini dapat membantu melancarkan penghadaman, menurunkan kadar gula dalam darah, memberi tenaga seharian, sesuai untuk pesakit gout dan lain-lain lagi,” katanya selepas menerima anugerah Malam Cipta Budaya, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
 
Prof. Ts Dr. Ahmad Ziad berkata, produk softgel ini telah dipatenkan melalui MyIPO (patent no. UI2017001487) dan telah menembusi beberapa negara seperti di Brunei, Kepulauan Maldives, Kazakhstan dan di Beijing China.
 
Lebih membanggakan katanya produk softgel ini telah mendapat beberapa pengiktirafan di dalam negara melalui penyertaan di Carnival, Research and Innovation UMK dengan mendapat pingat Emas, seterusnya mendapat pingat emas dan special awards di Malaysia Technology Expo (MTE) dan Pingat Emas dan Inovasi terbaik keseluruhan universiti dan institusi pendidikan di ITEX 2019.
 
Sementara itu, Pengarah CICO UMK, Dr. Mohd Hafiz Jamaludin berkata, pencapaian itu adalah satu komitmen penting pejabat Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi untuk menjadikan produk penyelidikan universiti diiktiraf di peringkat antarabangsa.
 
IMG 8021Beliau menyifatkan pencapaian pada kali ini adalah penyumbang kepada senarai ciptaan dan inovasi universiti, yang komited dengan memberi peluang kepada para penyelidik kearah pengkomersialan produk dan inovasi baharu untuk kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
 
"Pencapaian pada kali ini adalah kejayaan semua pihak yang terbabit menjayakannya khususnya terhadap komitmen untuk memartabatkan kecemerlangan universiti bagi mencapai kecemerlangan yang berterusan.
 
“Saya berterima kasih kepada semua pihak terbabit khususnya para penyelidik dalam menjayakan ITEX 2019.
 
“Insha Allah, pihak CICO dan ILCO akan cuba untuk  sebaik mungkin bagi penambahbaikan pada pameran atau pertandingan inovasi  pada masa akan datang,” katanya.
 
Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat Foto Al Azam Razi
 
IMG 8019
Published in Latest News

59039438 2476776732549469 894064723325091840 o

Teks dan Foto : Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu

PENGKALAN CHEPA I Dalam usaha merangsang kreativiti dan inovasi pelajar, sebanyak lapan pasukan daripada tujuh buah sekolah mempamerkan kreativiti dengan menyertai pertandingan Young Maker Challenge @ American Corner (YMC@AC) Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Keusahawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 26 April 2019.

Program itu merupakan anjuran Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu melalui American Corner UMK bagi memilih pasukan untuk bertanding di YMC@AC Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur, pada 2 Mei 2019.

Dua pasukan telah berjaya melayakkan diri untuk ke peringkat akhir iaitu Pasukan Zhentrone dari Maktab Rendah Sains MARA menerusi projek inovasi Osmo Planto dan Pasukan Optimus Prime dari SMK Mulong mempertaruhkan projek inovasi mereka Mini and Portable Lawn Machine.

Kedua-dua projek inovasi telah mendapat penarafan emas dengan menewaskan enam pasukan yang bertanding iaitu SMK Kubang Kerian, SMK Gaal, SMK Kadok, SMK Rantau Panjang dan SMK Zainab 1.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah YMC@AC Peringkat Negeri Kelantan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob,

Turut hadir, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Ts. Dr. Tan Tse Guan dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, En Mohd Hasnin Abdul Aziz.

Pertandingan ini dihakimi oleh Dr. Hakimin bin Abdullah (UMK) , Mohd Zafian Mohd Zawawi (UiTM Kampus Machang) dan Khairulanam Zakaria (MKZ Petshop).

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Rafi, pertandingan ini merupakan salah satu siri pertandingan inovasi YMC@AC yang dianjurkan oleh UTM XCite yang disokong oleh Kedutaan Amerika dan melalui kerjasama dengan lima universiti tempatan iaitu UMK, USM, UNIMAS, UNIMAP dan UMS.

Katanya, projek Inovasi yang dipamerkan oleh setiap kumpulan merupakan projek inovasi hebat yang memenuhi keperluan pendidikan masa kini yang berteraskan Sains, Teknologi, Membaca, Bahasa Inggeris, Seni dan Matematik (STREAM).

“Menerusi pencipta muda ini dapat diketengahkan dan malah boleh dikomersialkan sebagai produk yang akan membantu masyarakat.

“Pihak UMK sangat komited dalam membantu para pelajar dan pihak sekolah melalui program kerjasama dan inisiatif pemindahan ilmu secara berterusan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya para pelajar dan berharap program seperti ini diadakan engan penglibatan lebih ramai pelajar,” katanya.

Manakala Pengarah Program YMC@AC Peringkat Negeri Kelantan, En. Amirul Firdaus Zilah berkata, program YMC@AC ini merupakan program untuk meningkatkan kesedaran dan minat pelajar dalam bidang STREAM terutama pelajar yang kurang berkemampuan.

“Objektif program ini adalah untuk menyediakan peluang pembelajaran pengetahuan baru kepada pelajar kurang berkemampuan dan menerusi aktiviti seperti ini dapat membangunkan set Kemahiran Hidup merangkumi Penyelesaian Masalah Inovatif, Pemikiran Reka Bentuk, Ketahanan, Kegigihan, Kerjasama & Proses Pitching.

“Melalui program ini diharapkan dapat memberikan galakan pembelajaran berterusan melalui pendedahan dan pendekatan sistematik terhadap perisian dan perkakasan sumber terbuka,” katanya.

Tambahnya, melalui penganjuran ini dapat menterjemahkan perlaksanaan Bootcamp khusus yang dilaksanakan dua kali pada setiap hujung minggu dan hasilnya dipamerkan pada pertandingan YMC@AC peringkat Negeri Kelantan pada hari ini.

Peserta YMC@AC Peringkat Negeri Kelantan

57213708 2476776882549454 5649050397143203840 o

Published in Latest News

1

BACHOK 29 April I Cuba anda bayangkan hidangan yang menggabungkan etak yang diperap dengan garam, bawang putih, serai dan sedikit budu yang kemudian disalai menggunakan bara sabut kelapa menjadi antara menu popular di Malaysia dan dipasarkan hidangan itu ke seluruh dunia.

Kudapan dari negeri Kelantan itu nampaknya telah berjaya mencuri perhatian ramai dan tidak mustahil selepas ini menjadi menu popular dengan penganjuran Karnival Etak Salai oleh UMK melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW),” beritahu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ (Dr.) Husammuddin Hj. Yaacob.

3Beliau menyifatkan penganjuran Karnival Etak Salai merupakan satu idea kreatif sehingga mendapat sambutan luar biasa.

“Ini adalah sebahagian contoh pemikiran kreatif yang sewajarnya dimiliki oleh usahawan.

“Saya rasa mahasiswa UMK perlu mengambil kesempatan yang telah dimulakan oleh FTKW dengan memperkenalkan produk etak salai sebagai hidangan popular dan berjaya menembusi pasaran di Malaysia sekaligus ke pasaran antarabangsa,” katanya pada majlis perasmian program Unipreneur Fest, di UMK Bachok, pada 28 April 2019.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Menjalankan Tugas Pendaftar, En. Mohd Akhmal Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Pusat Keusahawanan UMK selaku Pengarah Program Unipreneur Fest, En. Wan Mohd Yusuff Wan Ibrahim.

Menurut Dato’ (Dr.) Hussamuddin, perbezaan antara usahawan dengan manusia biasa ialah usahawan dapat menghidu peluang untuk menjana buat duit.

Katanya, usahawan ini memiliki keistimewaan kerana usahawan dapat merekabentuk kejayaan dan sebagai usahawan anda digalakkan untuk mengambil inisiatif sendiri melontarkan idea-idea baharu.

“Selain itu, usahawan juga perlu memiliki kemahiran menghidu peluang dan berfikir secara kreatif dan sewajarnya mahasiswa UMK yang mahu bergelar sebagai usahawan ada kemahiran itu.

“Kejayaan yang diperolehi saya pada hari ini tidak datang dengan mudah dan penuntut mesti membuat perancangan dalam usaha mencapainya,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Zaliman berkata, program Unipreneur Fest mendapat penyertaan 12 universiti awam tempatan dan luar negara yang diadakan selama tiga hari dua malam bermula pada 27 April hingga 29 April 2019.

4Beliau berkata, program ini memberi pendedahan aktiviti keusahawanan kepada peserta menerusi Forum Keusahawanan Mahasiswa, Media Talk Bersama Alumni, Pameran Produk Syarikat Siswa Universiti, perkongsian daripada agensi-agensi seperti CELCOM dan agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan iaitu SMECorp dan MAGIC.

“Pada festival itu, turut diadakan larian Run UMK, persembahan kebudayaan seperti dikir barat, tarian inang oleh pelajar UMK serta pameran oleh industri yang bekerjasama dengan UMK termasuk Celcom dan SME Corp.

“Terdapat 44 gerai pameran syarikat pelajar, 10 gerai pameran yang menjual pelbagai jenis barangan terutama makanan, minuman dan cenderamata, manakala untuk orang awam UMK menyediakan 10 tapak untuk food truck dan 20 tapak jualan ‘car boot,” katanya.

Selain itu, turut berlangsung YSEALI Bootcamp bersama US Embassy, Mini Games, eGames, Liga Finalty dan Street Soccer.

Prof. Ts. Dr. Zaliman, berharap program ini memberi impak dan mewujudkan kerjasama antara Universiti Awam di Malaysia dan masyarakat sekitar serta memberi pendedahan kepada pelajar tentang keusahawanan, sukan dan kebudayaan.

Pusat Hal Ehwal Korporat I Foto Ab Halim Hafiz Ab Aziz

5

Published in Latest News

What our Students say?

Latest Update: 20 August 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search