Latest News

apc2017

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mahu memperluaskan lagi peranannya dalam bidang pendidikan keusahawanan melalui proses penjenamaan semula khususnya dalam pengurusan dan pembangunan aspek keusahawanan bagi memastikan jenama UMK bertapak kukuh dan menjadi rujukan serantau.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata, warga Universiti seharusnya mula merangka strategi dan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan jenama UMK diperkukuhkan.

Justeru, beliau berkata dengan genap 10 tahun usia penubuhannya di persada pendidikan negara program-program akademik yang ditawarkan haruslah menepati keperluan pasaran dan berdaya saing disamping melaksanakan penyelidikan-penyelidikan berkualiti yang mampu dikomersialkan.

“Selain itu, universiti sewajarnya membina jaringan yang kukuh dengan industri dan pemain antarabangsa dengan memperkasakan penglibatan pihak industri dalam usaha mengukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajarnya.

“Dengan kerjasama dengan pihak industri dalam penubuhan syarikat di peringkat universiti seharusnya sektor ini perlu diperkembangkan sejajar tranformasi dalam dunia perniagaan.

"Jadi, universiti sewajarnya mengambil pendekatan dengan membentuk pelajar menjadi paksi kepada perniagaan baharu agar bersedia dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan, sekali gus membolehkan mereka bukan setakat berniaga tetapi mampu kekal dan kukuh dalam perniagaan masing-masing," katanya pada perasmian Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2016, di Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Hj.Hanafi Hj. Mamat dan En. Zulkifli Mohd Zan.

Hadir sama,  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu.

Pada majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah turut menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada 101 staf UMK yang menerima anugerah APC manakala 52 staf  menerima anugerah menerima Anugerah Gemilang Universiti (AGU).

Turut menerima ialah empat penerima Anugerah Jasa Universiti (AJU) dan empat lagi staf menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) manakala dua penerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftar UMK membuat kejutan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) sekali gus membawa pulang RM10,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, unversiti telah dipertanggunjawabkan untuk menghasilkan graduan yang bersifat holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dimana apabila menyebut graduan yang berciri keusahawanan, tidak lain tidak bukan bahawa UMK yang paling faham dan arif dengan objektif ini.

Katanya, keadaan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar dengan peluang pekerjaan yang terbatas dan persaingan yang semakin sengit ini menuntut dari kita pihak universiti agar sentiasa cakna akan tuntutan pasaran.

“Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, tugas kita di sini bukan sekadar melahirkan job seekers tapi misi besar kita adalah untuk melahirkan job creators.

“Daripada kajian terbaru menunjukkan bahawa hampir separuh daripada semua pekerjaan yang ada di dunia pada hari ini akan boleh diautomasikan menjelang tahun 2055, melibatkan sejumlah pendapatan keseluruhan sebanyak USD15 trillion,” jelas beliau.

Tambah beliau, bagi Malaysia sendiri, workforce automation potential adalah pada tahap 51 peratus dan ini dijangka memberi kesan kepada lebih 6.3 juta pekerja.

“Jelas sekali, tugas kita ini bukannya mudah dan pendekatan yang diambil juga mestilah sejajar atau pun lebih terkehadapan (forward looking) atau mungkin nasib kita sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi akan menjadi seperti syarikat- syarikat seperti Nokia atau Kodak kerana mereka tidak mampu bergerak seiring peredaran zaman untuk terus kekal relevan dalam memastikan visi dan misi nya dapat dicapai,” katanya.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, dalam kajian yang dijalankan oleh MIT Skoltech Initiative yang bertajukCreating University-based Entrepreneurial Ecosystems: Evidence from Emerging World Leaders merumuskan bahawa terdapat lima faktor utama yang telah menyumbang kepada kejayaan 10 buah universiti- universiti antarbangsa yang berjaya dalam aspek pembangunan ekosistem keusahawanan.

Katanya, pendekatan strategik yang dilaksanakan iaitu pihak pengurusan universiti memperjuangkan agenda keusahawanan yang bersifat responsif dan relevan dengan suasana keusahawanan setempat dan nasional.

“Kedua, pihak fakulti atau jabatan membudayakan bidang akademik yang menyokong dan memberi ganjaran terhadap penerokaan keusahawanan dalam konteks rentas disiplin (cross disciplinary context), ketiganya ialah kegiatan keusahawanan dipacu oleh pihak Universiti dengan jabatan atau unit dalam sesebuah universiti mengambil langkah proaktif dalam memastikan penyampaian sebarang kegiatan keusahawanan.

“Faktor keempat ialah gerakan keusahawanan yang diterajui oleh para siswazah sendiri dimana komuniti pelajar ini juga telah menggunapakai kelebihan ekosistem sedia ada seperti akses kepada mentor yang berpengalaman dan juga hubungan rapat dengan pihak pengurusan universiti,” katanya.

Tambah beliau, selain itu faktor kelima ialah peranan komuniti usahawan luar dimana semua universiti mempunyai hubungan yang teguh yang dibina berdasarkan kepercayaan dan faedah bersama antara universiti. 

“Universiti berperanan dalam menyediakan platform untuk individu-individu ini dengan memainkan peranan yang jelas dalam kehidupan universiti,” jelasnya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata,  universiti itu yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya terus mengorak langkah ke hadapan agar setanding universiti awam lain di seluruh negara.

Beliau berkata, universiti telah memanfaatkan sepenuhnya 1,300 kakitangan selain kekuatan 530 pensyarah yang kini kembali menyumbang bakti kepada universiti ini selepas menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Urus tadbir Universiti semakin hari kian kompleks dengan pelbagai cabaran yang dihadapi, termasuklah cabaran sumber kewangan, sumber manusia, infrastruktur dan pelbagai lagi termasuklah perubahan teknologi yang begitu pesat.

“Dalam menghadapi cabaran tersebut, kita tidak boleh leka dan hanyut dibuai angan-angan, kerana tanggungjawab untuk memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa memenuhi ekpektasi pelanggan harus tetap dipikul,” katanya.

Tambah beliau, semua staf disarankan untuk terus meningkatkan produktiviti kerja, melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dan sentiasa berkhidmat berpaksikan kepuasan pelanggan.

“Rebutlah peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing ke arah meningkatkan kecemerlangan Universiti,” jelasnya.                                                                                            

Published in Latest News

What our Students say?

Latest Update: 17 September 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search