Latest News

UMK TERAPKAN KONSEP PENJENAMAAN SEMULA DALAM PENGUKUHAN OBJEKTIF UNIVERSITI KEUSAHAWANAN

Monday, 08 May 2017 12:03

apc2017

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mahu memperluaskan lagi peranannya dalam bidang pendidikan keusahawanan melalui proses penjenamaan semula khususnya dalam pengurusan dan pembangunan aspek keusahawanan bagi memastikan jenama UMK bertapak kukuh dan menjadi rujukan serantau.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata, warga Universiti seharusnya mula merangka strategi dan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan jenama UMK diperkukuhkan.

Justeru, beliau berkata dengan genap 10 tahun usia penubuhannya di persada pendidikan negara program-program akademik yang ditawarkan haruslah menepati keperluan pasaran dan berdaya saing disamping melaksanakan penyelidikan-penyelidikan berkualiti yang mampu dikomersialkan.

“Selain itu, universiti sewajarnya membina jaringan yang kukuh dengan industri dan pemain antarabangsa dengan memperkasakan penglibatan pihak industri dalam usaha mengukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajarnya.

“Dengan kerjasama dengan pihak industri dalam penubuhan syarikat di peringkat universiti seharusnya sektor ini perlu diperkembangkan sejajar tranformasi dalam dunia perniagaan.

"Jadi, universiti sewajarnya mengambil pendekatan dengan membentuk pelajar menjadi paksi kepada perniagaan baharu agar bersedia dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan, sekali gus membolehkan mereka bukan setakat berniaga tetapi mampu kekal dan kukuh dalam perniagaan masing-masing," katanya pada perasmian Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2016, di Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Hj.Hanafi Hj. Mamat dan En. Zulkifli Mohd Zan.

Hadir sama,  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu.

Pada majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah turut menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada 101 staf UMK yang menerima anugerah APC manakala 52 staf  menerima anugerah menerima Anugerah Gemilang Universiti (AGU).

Turut menerima ialah empat penerima Anugerah Jasa Universiti (AJU) dan empat lagi staf menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) manakala dua penerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftar UMK membuat kejutan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) sekali gus membawa pulang RM10,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, unversiti telah dipertanggunjawabkan untuk menghasilkan graduan yang bersifat holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dimana apabila menyebut graduan yang berciri keusahawanan, tidak lain tidak bukan bahawa UMK yang paling faham dan arif dengan objektif ini.

Katanya, keadaan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar dengan peluang pekerjaan yang terbatas dan persaingan yang semakin sengit ini menuntut dari kita pihak universiti agar sentiasa cakna akan tuntutan pasaran.

“Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, tugas kita di sini bukan sekadar melahirkan job seekers tapi misi besar kita adalah untuk melahirkan job creators.

“Daripada kajian terbaru menunjukkan bahawa hampir separuh daripada semua pekerjaan yang ada di dunia pada hari ini akan boleh diautomasikan menjelang tahun 2055, melibatkan sejumlah pendapatan keseluruhan sebanyak USD15 trillion,” jelas beliau.

Tambah beliau, bagi Malaysia sendiri, workforce automation potential adalah pada tahap 51 peratus dan ini dijangka memberi kesan kepada lebih 6.3 juta pekerja.

“Jelas sekali, tugas kita ini bukannya mudah dan pendekatan yang diambil juga mestilah sejajar atau pun lebih terkehadapan (forward looking) atau mungkin nasib kita sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi akan menjadi seperti syarikat- syarikat seperti Nokia atau Kodak kerana mereka tidak mampu bergerak seiring peredaran zaman untuk terus kekal relevan dalam memastikan visi dan misi nya dapat dicapai,” katanya.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, dalam kajian yang dijalankan oleh MIT Skoltech Initiative yang bertajukCreating University-based Entrepreneurial Ecosystems: Evidence from Emerging World Leaders merumuskan bahawa terdapat lima faktor utama yang telah menyumbang kepada kejayaan 10 buah universiti- universiti antarbangsa yang berjaya dalam aspek pembangunan ekosistem keusahawanan.

Katanya, pendekatan strategik yang dilaksanakan iaitu pihak pengurusan universiti memperjuangkan agenda keusahawanan yang bersifat responsif dan relevan dengan suasana keusahawanan setempat dan nasional.

“Kedua, pihak fakulti atau jabatan membudayakan bidang akademik yang menyokong dan memberi ganjaran terhadap penerokaan keusahawanan dalam konteks rentas disiplin (cross disciplinary context), ketiganya ialah kegiatan keusahawanan dipacu oleh pihak Universiti dengan jabatan atau unit dalam sesebuah universiti mengambil langkah proaktif dalam memastikan penyampaian sebarang kegiatan keusahawanan.

“Faktor keempat ialah gerakan keusahawanan yang diterajui oleh para siswazah sendiri dimana komuniti pelajar ini juga telah menggunapakai kelebihan ekosistem sedia ada seperti akses kepada mentor yang berpengalaman dan juga hubungan rapat dengan pihak pengurusan universiti,” katanya.

Tambah beliau, selain itu faktor kelima ialah peranan komuniti usahawan luar dimana semua universiti mempunyai hubungan yang teguh yang dibina berdasarkan kepercayaan dan faedah bersama antara universiti. 

“Universiti berperanan dalam menyediakan platform untuk individu-individu ini dengan memainkan peranan yang jelas dalam kehidupan universiti,” jelasnya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata,  universiti itu yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya terus mengorak langkah ke hadapan agar setanding universiti awam lain di seluruh negara.

Beliau berkata, universiti telah memanfaatkan sepenuhnya 1,300 kakitangan selain kekuatan 530 pensyarah yang kini kembali menyumbang bakti kepada universiti ini selepas menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Urus tadbir Universiti semakin hari kian kompleks dengan pelbagai cabaran yang dihadapi, termasuklah cabaran sumber kewangan, sumber manusia, infrastruktur dan pelbagai lagi termasuklah perubahan teknologi yang begitu pesat.

“Dalam menghadapi cabaran tersebut, kita tidak boleh leka dan hanyut dibuai angan-angan, kerana tanggungjawab untuk memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa memenuhi ekpektasi pelanggan harus tetap dipikul,” katanya.

Tambah beliau, semua staf disarankan untuk terus meningkatkan produktiviti kerja, melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dan sentiasa berkhidmat berpaksikan kepuasan pelanggan.

“Rebutlah peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing ke arah meningkatkan kecemerlangan Universiti,” jelasnya.                                                                                            

500 PESERTA MERIAHKAN LARIAN PERDANA 10 TAHUN UMK

Monday, 01 May 2017 12:12

larian10tahun

LARIAN Perdana bersempena Sambutan 10 Tahun Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat sambutan hebat apabila lebih 500 peserta hadir menyemarakkan larian anjuran Pusat Ko-Kurikulum, Pejabat Hal Ehwal bertempat di UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, pada 29 April 2017.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 10 kilometer, 5 kilometer dan dan Fun Run 2.4 kilometer bermula di UMK Kampus Bachok yang telah disempurnakan pelancaran Flagg Off oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif.

Sebelum itu, kira-kira 500 peserta yang diketuai oleh Prof. Dato’ Abdul Aziz bersama-sama bersenamrobik sebelum memulakan larian pada kira-kira 8.30 pagi

Menurut Prof. Dato’ Abdul Aziz, larian perdana yang julung kali diadakan ini mendapat penyertaan daripada beberapa agensi yang dijemput di sekitar daerah Bachok termasuk penyertaan berkumpulan dan individu daripada negeri Perak, Selangor, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, program ini adalah medium terbaik dalam memperkenalkan UMK yang sinonim dengan 10 tahun penubuhannya di samping mengeratkan hubungan antara warga Institut Pengajian Tinggi dan pelbagai agensi kerajaan di sekitar kampus UMK Bachok.

“Sehubungan itu, program ini memberi peluang kepada universiti menjalinkan hubungan dengan masyarakat setempat dalam melaksanakan idea kreatif dan inovatif serta mempromosikan UMK sejajar dengan penubuhannya sekaligus membudayakan gaya hidup sihat di kalangan staf dan masyarakat.

"Larian ini juga sekaligus memberi kesempatan kepada peserta berlari sambil mengambil mengenal Kampus Bachok,” katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UMK,  En. Zulkifli Mohd Zan, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum, En. Mohammad Nizamuddin Abdul Rahim dan Pegawai Belia dan Sukan, En. Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib.

Pertandingan ini juga melibatkan beberapa agensi yang dijemput di sekitar daerah Bachok antaranya Institut Kemahiran Belia Negara Daerah Bachok, Pejabat Pendidikan  Daerah Bachok, Pusat Giat Mara Bachok, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok, Kolej Vaksional Bachok, Sekolah Menengah Badak dan juga beberapa buah sekolah yang berhampiran di sekitar UMK Kampus Bachok.

Larian ini menawarkan wang tunai keselruhan berjumlah RM1,000 bagi ketiga-tiga kategori.

Acara itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang di mana pelbagai aktiviti akan disediakan termasuk cabutan bertuah menerusi ruang promosi yang lebih hebat.

200 TEMPAT DITAWARKAN SAMBUNG PENGAJIAN DI UMK : PELUANG KEDUA SEMPENA PROGRAM JELAJAH PENDIDIKAN BUMIPUTERA 2017

Tuesday, 18 April 2017 16:06

 

 

Oleh : Syarimie Wosley      Foto : Al Azam Razi

JelajahBumiputera1

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan sebanyak 200 tempat kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf secara bersyarat sebagai laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut untuk mengikuti program ijazah sarjana muda bagi sesi 2017/2018 pada September depan.

JelajahBumiputera3Penolong Pendaftar Kanan,  Bahagian Pentadbiran Akademik UMK, En. Mohd Zamri Ismail berkata, tawaran bersyarat ini diberikan kepada kumpulan isi rumah di bawah kategori B40 dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 (JPB).

Beliau berkata,  ini selaras dengan objektif program JPB yang bermatlamat menyediakan peluang kedua kepada golongan pelajar Melayu dan bumiputera yang miskin dan kurang berkemampuan serta tidak menerima sebarang tawaran atau tercicir ke universiti dan kolej kemahiran pada kemasukan UPU bagi sesi September 2017.

JelajahBumiputera4“Peluang ini masih dibuka kepada pelajar yang tergolong dalam kategori ini untuk hadir ke Bahagian Pentadbiran Akademik UMK Kampus Bachok untuk membuat semakan kelayakan masing-masing untuk mengisi kekosongan 200 tempat untuk mengikuti 24 program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Pelajar yang berminat boleh membawa kad pengenalan sendiri, ibu bapa dan salinan keputusan peperiksaan SPM, STPM, matriks/diploma, MUET serta slip pendapatan ibu bapa yang disahkan ke pejabat BPA sehingga bulan Ogos 2017,” katanya pada program JPB 2017 di Dewan Terbuka Tok Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, Kelantan.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Induk JPB 2017, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, TYT Dato’ Dr. Awang Adek Hussin,

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Pengerusi Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Dato’ Mohd Faizal Daud.

JelajahBumiputera2Pada majlis itu, UMK turut menyerahkan surat tawaran kepada Siti Nuramalina Amran yang berjaya menerima permohonan untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK.

Booth UMK yang dibuka seawal jam 9.00 pagi dan berakhir 2.00 petang mendapat sambutan ramai yang yang membuka permohonan untuk kesemua 24 kursus yang ditawarkan mengikut ketiga-tiga kampus UMK.

Pada program itu sebanyak 20 IPTA dan 12 kolej kemahiran menyertai JPB 2017 dengan sokongan padu dari Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Tan Sri Ir. Prof Sahol Hamid berkata, program JPB 2017 menyediakan 50,000 kekosongan untuk pelajar yang layak bagi melanjutkan pelajaran di 35 IPTA termasuk kolej kemahiran, kolej komuniti dan sebagainya yang terlibat dalam jelajah  ini .

JelajahBumiputera5“Keseluruhan 55 lokasi jelajah yang terpilih untuk tahun ini dan sudah separuh lokasi yang kita selesaikan sejak 11 Mac keutamaannya untuk pelajar miskin dan dari luar bandar di mana mereka boleh masuk mana-mana IPTA atau kolej kemahiran bersesuaian dengan kelayakan mereka sama ada di peringkat sijil, diploma serta ijazah," katanya.

Menurutnya, pelajar miskin yang terpilih akan menerima wang pendahuluan, namun ada juga negeri yang beri peruntukan khas untuk anak negeri mereka seperti Perlis dan Negeri Sembilan.

“Kita beri sumbangan wang pendahuluan ini sebab kita dapati ramai yang tak dapat masuk IPTA sebab tak dapat sediakan wang pendahuluan,” katanya.

What our Students say?

Latest Update: 15 Jan 2019

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search