Latest News

PELAJAR FTKW RAIH PENDAPATAN RM3,200 HASIL MENDULANG EMAS SELAMA TIGA HARI

Wednesday, 31 May 2017 11:20

Oleh : Syarimie Wosley                   Foto : Aiman Syazwan

beritaemas

SERAMAI 25 pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mampu meraih pulangan sebanyak RM3,200 hasil mendulang emas selama tiga hari ketika menjalankan program Kajian Lapangan Misi Mendulang Emas Secara Tradisional di Kampung Perasu, Sungai Emas, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.

Biarpun kali pertama diberi pendedahan teknik mengayak atau mendulang emas secara tradisional menggunakan kayu banir yang dipahat dan kuali tetapi kebanyakan pelajar langsung tidak kekok untuk mencuba berikutan keseronokan melihat butir-butir emas yang diperolehi.

Cubaan pertama itu bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri bagi mahasiswa dan mahasiswi UMK, malah mereka tidak sabar untuk mendulang sebaik sahaja tiba di lokasi selepas menempuh perjalanan yang mencabar kira-kira hampir empat jam perjalanan daripada UMK Kampus Bachok ke Kampung Perasu, Gua Musang.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan FTKW, En.Mohd Aswawi Isa, ekspedisi kajian lapangan mendulang emas secara tradisional di kawasan di Gua Musang adalah sebagai pendedahan kepada pelajarnya untuk mereka merasai sendiri kerja-kerja mendulang emas secara moden dan tradisional iaitu menggunakan kuali dan dulang yang diperbuat daripada kayu banir.

Katanya, kaedah itu adalah warisan turun-temurun dan melalui aktiviti ini dapat  kami memelihara dan memulihara warisan alatan tradisional serta penerokaan kawasan penyelidikan baharu berdasarkan kajian lapangan pelajar dibawah bimbingan pensyarah untuk menganalisis dan menghurai sumber alam yang terdapat di Negeri Kelantan.

beritaemas3“Ternyata misi julung kali ini berjaya diadakan kerana para peserta yang menyertai program selama tiga hari dua malam itu didedahkan teknik mendulang emas secara tradisional yang sebelum ini tidak pernah mereka pelajari.

“Sejak tiga hari berada disini, kami tidak menyangka telah dianugerahkan rezeki walaupun kali pertama mencuba dan memperoleh beberapa gram emas dengan anggaran harga sebanyak RM3,200," katanya.

Turut menyertai program ini ialah 10 tenaga pengajar FTKW dan 10 sukarelawan dari Kelab Kembara 4x4 Kelantan.

Dalam pada itu, En. Mohd Aswawi, berkata, program ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar supaya dapat meningkatkan keupayaan diri untuk menggunakan seni nilai tradisional dalam rekabentuk produk dan mempunyai kesedaran tentang nilai estetika dan sumber asli.

Katanya, kajian ini juga merupakan program akademik bagi penilaian tugasan akhir pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan wakil pelajar bagi kursus CFT 1032 Rekabentuk Seni Tradisional yang bertujuan untuk membantu pelajar menganalisis , menghurai serta mendapat menilai konsep rekabentuk seni tradisional negara.

“Sepanjang program itu, pelajar diajar oleh fasilitator berpengalaman dengan cara mengesan jenis tanah yang berpotensi serta teknik melenggok dulang bagi mengasingkan logam berharga daripada batuan dan unsur lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar FTKW, Wan Nur Atikah Wan Ruslee, 21, menjadi pelajar pertama menemui emas walaupun pertama kali mencuba selepas mendapat bimbingan daripada penduduk kampung yang menjalankan aktiviti sepenuh masa mendulang emas.

“Saya amat teruja selepas beberapa minit mendulang berjaya menemui butir logam berharga itu yang dianggarkan bernilai RM50.

“Menurut pengalaman pendulang emas nilai emas saya temui ini boleh cecah RM50. Buat masa ini, saya tak bercadang untuk jual, saya nak simpan sebagai kenangan,” katanya.

beritaemas2

KAJIAN GEOSAINS UMK DI GUA MUSANG KENALPASTI LOKASI HIDUPAN ZAMAN JURASSIC

Sunday, 28 May 2017 10:47

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat               Foto : Fakulti Sains Bumi

KajianGeosains

KUMPULAN penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mengenalpasti 30,000 hektar hutan membabitkan dua lokasi di Gua Musang termasuk Taman Negara untuk membuktikan kewujudan hidupan haiwan pra sejarah berikutan penemuan beberapa kesan fosil purba dipercayai berusia lebih 500 juta tahun.

KajianGeosains3Lokasi kesan populasi haiwan pra-sejarah yang ditemui  itu membabitkan Hutan Simpan Bukit Hantu seluas 23,400 hektar dan sekitar lokasi lain seperti Pancur Tikam, Pancur Peneram serta Panchur Chelah seluas 8,000 hektar.

Ketua Jabatan GeoSains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Encik Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, sebahagian kesan fosil itu tersebut didapati dalam kawasan perlindungan contohnya di Taman Negara dan hutan simpan berhampiran yang dikaitkan dengan hidupan zaman Jurassic.

Beliau berkata, hasil penemuan itu adalah susulan  daripada tinjauan dan kajian geosains program Geo Mapping International 2016 yang diadakan selama 12 hari di kawasan hutan Gua Musang, pada 28 Mac hingga 8 April 2017.

KajianGeosains1

“Pada program kajian itu, para penyelidik turut berjaya mengenal pasti dengan lebih tepat bahawa struktur batuan di kawasan penemuan objek berusia 400 sehingga 500 juta tahun itu mempunyai bentuk muka bumi sama di kawasan penemuan fosil dinosaur di Wilayah Khon Khen, Thailand beberapa bulan lalu.

Katanya, selama beberapa hari menjalankan kajian kumpulan kami berjaya menemui fosil yang baharu iaitu  fossil moluska dari spesies Posidonia Kedahensis pada batuan batu lumpur karbonat daripada formasi Rabong di Kampung Pulai dalam skala tempoh usianya sekitar 241 sehingga 237 juta tahun yang lampau.

“Selain itu, pihak kami juga menemui fosil pada batu Kapur formasi Gua Musang yang merupakan fosil Ekinodermatadari spesies Crinoid yang hidup kira-kira 250 juta tahun yang lampau.

“Menerusi penemuan ini para peserta juga menjelajah kawasan lain yang berpotensi  kemungkinan untuk menjumpai sebahagian fosil yang membuktikan bahawa Kelantan turut menjadi tempat hidupan prasejarah,” katanya.

KajianGeosains2

Program Geo Mapping International 2017 membabitkan penyertaan seramai  80 pelajar yang dibahagikan kepada 12 kumpulan untuk menjalankan kajian di kawasan lapangan seperti Kampung Renok, Subong, Bandar lama Gua Musang, Kundur, Lepan Jaya, Mentara Jaya, Pulai, Batu Puteh dan sebagainya.

Katanya, peserta adalah terdiri daripada  kalangan pelajar yang mengambil jurusan Geosains Tahun Dua dan pelajar jurusan geologi daripada universiti tempatan dan luar negara di sekitar Asia Tenggara iaitu daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Padjajaran (UNPAD) Indonesia dan Universiti Teknologi Bandung (ITB) Indonesia.

KajianGeosains4

“Objektif penganjuran aktiviti ini adalah untuk pertukaran ilmu pengetahuan  atau kefahaman akademik yang berjaya  diwujudkan antara mahasiswa-mahasiswi UMK dengan universiti luar kerana setiap peserta akan diberi tugasan yang berkaitan subjek asas pemetaan untuk dipelajari.

“Selain itu, sepanjang  kajian tentang batuan dijalankan para peserta turut menemui  mineral dan fosil yang baru termasuklah penemuan penting seperti deposit mineral logam besi dan manganese, indikasi deposit emas, morfologi dolina, gua-gua batu kapur, tanda-tanda lubang tinggalan purba dan fosil,” jelas beliau.

Tambah En. Arham Muctar, pada hari terakhir, para peserta turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan erat antara pelajar dengan penduduk sekitar Gua Musang.

“Antara aktiviti yang diadakan seperti sukaneka, pertandingan mewarna, senamrobik dan aktiviti gotong-royong bersama-sama penduduk Kampung Batu Papan,” katanya.

KajianGeosains5

Program International Geomapping Gua Musang (IGGM) merupakan program tahunan di bawah kelolaan Jabatan Geosains sebagai salah satu kerja lapangan untuk subjek Asas Pemetaan Geologi.  

Menurut En. Arham Muctar, program ini adalah untuk pelajar yang mengambil jurusan Geosains untuk memenuhi keperluan enam puluh hari kerja lapangan dan justeru program ini pad masa sama  untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa/wi terhadap pemetaan geologi serta mengaplikasikan di dalam kerja lapangan ini.

Program ini juga bertujuan mengkaji morfologi kawasan Gua Musang dan mengemaskini peta geologi kawasan Gua Musang memlalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.

KajianGeosains6

KONVENSYEN INOVATIF, KREATIF UMK HASILKAN PENJIMATAN KOS OPERASI DAN PENGURUSAN RM1.2 JUTA

Thursday, 25 May 2017 11:39

kik2017

KUMPULAN Medixin daripada Jabatan Pendaftar muncul johan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), bertempat di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, baru-baru ini.

Kemenangan menerusi kategori utama itu membolehkan Kumpulan Medixin membawa pulang geran daripada pihak universiti bernilai RM10,000, berserta trofi, sijil dan hadiah iringan.

Manakala tempat kedua, dimenangi oleh Kumpulan Adrenalin daripada Pejabat Pengurusan Infrastruktur dan Aset (PPIA) yang membawa pulang geran berjumlah RM7,000 dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Legasi 19 daripada Pejabat Perpustakaan Dan Pengurusan Ilmu (PPI) yang berjaya membawa pulang geran berjumlah RM5,000, piala dan sijil.

Sementara itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang diwakili oleh kumpulan Wisdom, turut menyerlah pada KIK 2017 apabila menggondol Anugerah Persembahan Terbaik manakala Timbalan Pendaftarnya, Puan Alifah Adnan membuat kejutan muncul sebagai pemenang Anugerah Fasilitator Terbaik.

Dalam pada itu, Kumpulan Adhoc daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) memenangi Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Visual Terbaik dimenangi oleh Kumpulan 4Rest daripada gabungan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Agro Park.

Manakala, Penolong Pendaftar, Pejabat Pentadbiran UMK Kampus Jeli, En. Azzhar Mohd Nawi daripada Kumpulan Try N Error pula membuat kejutan apabila muncul sebagai pemenang Anugerah Pembentang Terbaik KIK 2017.

Menurut wakil kumpulan Medixin, kemenangan itu adalah menerusi idea menghasilkan sistem pengurusan cekap iaitu E-Medical yang merupakan sistem yang telah dibangunkan sebagai akses untuk staf mendapatkan rawatan perubatan di mana-mana klinik panel UMK yang berdaftar.

Katanya, melalui sistem E-Medical, pengguna atau warga UMK mendapat manfaat daripada kelebihan ini yang memudahkan penyimpanan rekod maklumat staf yang mendapatkan rawatan.

“Staf yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik panel tidak perlu lagi menggunakan buku rawatan sebaliknya hanya perlu menunjukkan kad staf atau kad pengenalan/tanggungan sebagai pengenalan diri,” katanya.

Sebanyak 14 kumpulan yang bertanding di peringkat akhir konvensyen itu dimana proses penghakiman diketuai oleh Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Negeri Kelantan dan juri-juri profesional.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd. Osman berkata, manfaat daripada penganjuran Konvensyen KIK 2017 adalah UMK dapat memperkenalkan sistem dan cara kerja baru yang boleh menjana kecemerlangan organisasi melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai (value creation).

Katanya, penghasilan inovasi dan kreativiti yang lahir daripada kumpulan KIK universiti itu juga memberi impak besar kepada universiti menerusi penjimatan kos operasi yang dicatatkan secara terkumpul daripada kesemua 15 kumpulan KIK iaitu sebanyak RM 1,276,476.06.

"Dengan kepakaran dan pelbagai input yang dihasilkan kita dapat mengurangkan kos perbelanjaan operasi dan pengurusan universiti,” katanya.

Kumpulan KIK yang memenangi Konvensyen pada kali ini akan diberi peluang untuk mewakili UMK dalam konvensyen KIK peringkat Universiti Awam pada tahun ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Selain itu, pemenang juga berpeluang untuk menyertai Konvensyen Peringkat Wilayah Anjuran MPC dan pelbagai pertandingan lain.

What Our International Students Say?

Latest Update: 19 Oktober 2020

E-Community



 

Contact

Universiti Malaysia Kelantan,
16300 Bachok
Kelantan

Tel: +609-771 7000/ +609-779 7400/ +609-779 7000

 

Search