A- A A+
logoumk10tahun

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan              Foto : Al Azam Razi & Ab Halim Hafiz Bin Ab Aziz

KOTA BHARU: Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN 2017) Zon Pantai Timur mencatatkan lebih 35,000 pengunjung pada hari pertama berlangsungnya program yang sebelum ini dikenali Jom Masuk U sebaik sahaja dibuka pada jam 9  pagi, semalam.

Jumlah itu merekodkan  pelawat harian tertinggi yang pernah direkodkan pada program KPTN 2015 di Kelantan dengan jumlah kehadiran 35,000 ribu pelawat sudah berduyun-duyun melawat pameran pada petang Sabtu di pusat membeli-belah AEON Mall, Kota Bharu, Kelantan, yang diadakan bermula 11 sehingga 12 Februari 2017.

Majlis perasmian KPTN 2017 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Dato’ Seri Idris Jusoh dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) sekali lagi menjadi hos bagi program KPTN 2017 Zon Pantai Timur yang bertemakan Pendidikan Negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan KSU (pembangunan),  Dato’ Nik Ali Mat Yunus.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof.  Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Karnival KPTN adalah Signature Programme’ KPT sebagai platform saluran hebahan utama bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara selain usaha mempromosi serta publisiti mengenai kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi bagi Sesi Akademik 2017/2018 dengan sasaran 305,000 pengunjung di enam zon sepanjang program ini berlangsung.

Karnival ini berlangsung bermula 11 Februari sehingga 26 Mac 2017 di enam zon utama dan satu mini zon seluruh Malaysia bermula di Kelantan dan seterusnya berakhir di Negeri Sembilan yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan pendidikan tinggi seperti 20 Universiti Awam, Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan lain-lain agensi di bawah KPT.

Menurut YB Dato’ Seri Idris, KPTN 2017 dilihat dapat membantu pelajar untuk membuat pilihan pengajian selain menyalurkan maklumat terkini dan peluang pendidikan yang ditawarkan di negara ini.

Beliau berkata, program hari ini juga bertujuan mempromosi serta menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi kemasukan Sesi Akademik 2017/2018.

“Sempena program KPTN itu turut diadakan program Soaring Upward sebagai medan interaksi antara pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar-pelajar lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Diploma dan sebagainya.

“Program KPTN juga ingin memberitahu bahawa pendidikan tinggi negara pada hari ini terus meningkat dan telah mendapat  pengikitrafan daripada  seluruh negara dan dengan ini pelajar kita tidak lagi segan silu untuk memlih menyambung pengajian tinggi di dalam negara,” katanya pada majlis perasmian KPTN dan Sesi Taklimat  Awam Jelajah Kementerian Pengajian Tinggi: Peningkatan Berterusan (Soaring Upward), di AEON Mall, Kota Bharu, Kelantan, pada 11 Februari 2017.

Tambah YB. Dato’ Seri Idris, berkata, Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan inisaitif Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (ICGPA) kepada mahasiswa yang bertujuan melahirkan pelajar holistik berciri keusahawanan dan seimbang.

“Sistem CGPA Bersepadu merupakan satu daripada insiatif di bawah lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) (PPPM-PT),” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Hassan berkata, program KPTN diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada segenap lapisan masyarakat khususnya bakal-bakal mahasiswa, ibu bapa dan guru-guru mendapat pendedahan yang secukupnya berkenaan dengan peluang-peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan di Universiti-universiti awam dan swasta.

Katanya, UMK selaku tuan rumah berkerjasama dengan KPT menyediakan sejumlah 130 booth pameran yang terdiri daripada 20 UA, agensi-agensi kelayakan, badan pembiayaan pendidikan dan sebagainya.

“KPTN -2017 diadakan selama dua hari berturut-turut  bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang dengan masuk percuma,” katanya.

Selain itu, antara daya tarikan KPTN 2017 ialah kehadiran  Ikon Belia Negara iaitu Saudara Wan Nazri (Jurutera Menara Jam Masjidilharam) yang merupakan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tarikan lain ialah kaunter pengisian permohonan UPU Online, Pameran Sains Dan Inovasi, Pembiayaan Pendidikan – Ceramah / Booth PTPTN, MARA, Yayasan, Pameran ART (Lukisan Pelajar, Arca dan Lain-lain) dan Pemeriksaan Kesihatan Percuma (Tekanan Darah Tinggi & Kencing Manis)

Turut diadakan ialah pertandingan fotografi, pertandingan ukiran/gubahan buah, aktiviti keusahawanan, jualan Hasil/Produk Fakulti UMK, Pameran Superbiker dan penampilan Istimewa Didi & Friends (Ikon Kanak-Kanak).

Oleh : Syarimie Wosley  & Nor Alizam Shafie     Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menyambut baik saranan oleh Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) bagi menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pelan pembangunan kawasan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD), Sering, yang berkeluasan 10 kilometer merentasi muara Pantai Senok sehingga ke Pasir Tumboh.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, untuk tujuan itu, UMK komited mewujudkan sebuah kumpulan penyelidikan yang terdiri daripada 400 penuntut tahun akhir daripada tiga fakulti iaitu Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Fakulti Seni Bina dan Ekistik (FEA) dan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK).

Katanya, kumpulan penyelidik, masyarakat setempat  akan bekerjasama dengan pelajar untuk melakukan penyelidikan dan memajukan LSPD berasaskan warisan serta alam semulajadi yang mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk melihat kesan sejarah yang terdapat di kawasan itu.

“Pelajar tahun akhir ini akan melakukan penyelidikan di sepanjang lembangan sungai sebagai tugasan akhir mereka bermula bulan ini dengan membuat kajian segera di setiap lokasi yang berpotensi dibangunkan.

“Kita juga menjangkakan lima hingga tujuh tesis dapat dihasilkan melalui projek ini yang akan dijadikan asas kepada pembangunan di lokasi kajian lapangan di LSPD," katanya selepas menerima kunjungan Presiden WASPADA, En. Mohd Asri Hussin, di Bilik Mesyuarat Eksekutif, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 5 Februari 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FTKW, Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Penggawa Daerah Sering selaku Timbalan Pengerusi WASPADA, En. Sabari Abdul Rashid.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, kajian ini akan mengenalpasti lokasi sesuai untuk tapak kajian nilai warisan LSPD yang boleh dibangunkan bagi mengembalikan kegemilangannya serta menjadi produk pelancongan baharu serta destinasi wajib kepada pelancong sebaik sahaja berkunjung ke Kelantan.

Tambah beliau, Lembangan Sungai Pengkalan Datu pernah menjadi pelabuhan utama pada tahun 1605 di negeri ini sehingga menjadi tumpuan pedagang serta terkenal dengan aktiviti seni budaya.

“Insha Allah, menerusi kajian ini kita dapat melihat impaknya pada tahun 2018 kerana LSPD berpotensi  dijadikan tarikan pelancongan baharu kerana kaya dengan pelbagai warisan baik dari segi sejarah mahupun kebudayaan penduduk sekitar.

"Kita juga akan mendokumentasikan hasil kajian untuk dijadikan rujukan masa hadapan supaya warisan ini tidak hilang," katanya.

Oleh : Syarimie Wosley       Foto : Al Azam Razi  

SELEPAS melalui beberapa fasa membina nama dalam konteks pembangunan keusahawanan sosial, ASEAN Learning Network Council atau ALNC kini maju selangkah lagi sebagai sebuah platform yang berjaya mewujudkan kerjasama bersepadu di rantau ini khususnya dalam bidang pendidikan keusahawanan sosial dikalangan anggota yang terlibat.

ALNC yang ditubuhkan pada tahun 2009 dianggotai oleh Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Perlis, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prince of Songkla University, Princess of Naradhiwas University, Thaksin University (Thailand) Institut Teknologi Bandung, Indonesia Center For Sustainable Development, University of Bengkulu (Indonesia), Banking University of Ho Chi Minh City (Vietnam), San Beda College, De La Salle University (Filipina) dan University of St Gallen (Switzerland).

Menurut Pengerusi ALNC, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed, ALNC yang dibangunkan secara usahasama menerusi pendekatan keusahawanan telah melaksanakan pelbagai strategi dan program pembangunan enterpris sosial dan ekonomi di peringkat Asia Tenggara serta antarabangsa.

Katanya, setiap tahun ALNC menganjurkan pelbagai aktiviti dan program pendidikan untuk membantu masyarakat antarabangsa dengan melaksanakan kerja lapangan.

“Pendekatan ALNC adalah untuk menggalakkan kerjasama perkongsian pengalaman pembelajaran di kalangan universiti ASEAN terutamanya dalam bidang keusahawanan sosial untuk memberi nilai tambah kepada anggota-anggota yang terlibat.

“Pada masa yang sama universiti yang terlibat dengan ALNC turut bersama-sama menjayakan program Social Entrepreneurship of Economic Development (SEED) dengan tujuan untuk membuka dan memberi peluang kepada universiti masing-masing untuk berkongsi pengalaman, bekerjasama dalam program keusahawanan sosial dan menjalankan pelbagai program aktiviti akademik bersama di bawah ALNC,” katanya pada Mesyuarat ALNC kali ke 21 di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, yang diadakan pada 2 hingga 4 Februari 2017.

Terdahulu, Mesyuarat ALNC kali ke-20 telah dianjurkan oleh Princess of Naradhiwas University, Thailand pada 28 hingga 31 Julai 2016.

Turut hadir, Naib Pengerusi ALNC, Father Aloysius Maranan, Pengarah Eksekutif ALNC, Prof. Emeritus Dr. Li Choy Chong , Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif.

Melihat kepada kejayaan dan pencapaian kepada program ALNC dalam tempoh lapan tahun, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai berkata,  ALNC adalah satu badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah berjaya didaftarkan sebagai pertubuhan berdaftar yang berpangkalan di Switzerland.

Katanya, pemilihan di Switzerland tersebut berdasarkan kepada kemudahan yang ada terutamanya dari segi perundangan dan pemudah cara untuk kita bergerak menerusi satu kumpulan besar dengan tujuan utama untuk menjadikan pertubuhan ini bersifat lebih global dari segi kedudukannya..

Sementara itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz berkata, UMK sekali lagi menjadi tuan rumah untuk mesyuarat kerjasama dua hala ALNC sebagai satu platform yang bertujuan membincangkan peluang kerjasama strategik dan pembangunan akademik antara universiti tempatan dan luar negara yang menganggotai ALNC.

Beliau berkata, penganjuran mesyuarat ini adalah bertujuan berkongsi pengalaman dalam aktiviti serta industri yang terlibat dengan program keusahawanan sosial yang telah dijalankan oleh UMK dan impak program tersebut kepada masyarakat di kampung yang terlibat dengan program keusahawanan sosial.

“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan jaringan kerjasama, hubungan erat dan semangat persaudaraan di antara universiti-universiti di ASEAN dalam anggota ALNC.

“UMK amat mengalu-alukan pelbagai aktiviti kerjasama di kalangan ahli seperti peluang melaksanakan penyelidikan bersama, aspek pengajaran atau pembelajaran pelajar, penganjuran bengkel dan program mobiliti serta pertukaran staf,” jelas beliau.

Tambah Prof. Dato’ Abdul Aziz, penganjuran program SEED juga  sebagai kaedah yang paling berkesan dalam meningkatkan status sosio ekonomi daripada orang tempatan.

Katanya, program ini telah mendedahkan para peserta kepada pembelajaran yang sebenar kerana mereka menyelesaikan isu-isu sebenar masyarakat yang disasarkan dan mahasiswa atau peserta diberi tugasan pada setiap program untuk membuat peluang perniagaan dengan mewujudkan aktiviti keusahawanan untuk dimajukan di setiap dearah.

“Oleh itu, peserta yang terlibat perlu bekerjasama dengan penduduk kampung dalam merancang dan melaksanakan pelan perniagaan yang boleh memberi impak kepada peningkatan sumber pendapatan kepada masyarakat.

“Kejayaan pelaksanaan program SEED siri pertama, kedua, keempat dan ketujuh di Tumpat, Kelantan, siri ketiga bersama komuniti orang asli Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, siri kelima serta ketujuh di Bachok, Kelantan dan siri ke enam dan ketujuh di Tanah Merah, Kelantan sebelum ini telah membawa aspirasi besar kepada UMK untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan dalam Program SEED dengan universiti-universiti di serantau ASEAN,” katanya.

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan              Foto : Ab Halim Hafiz Bin Ab Aziz

PESERTA Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan Program Latihan Akademik (Empower ECER) disaran meningkatkan usaha dan kemahiran untuk menimba ilmu seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini untuk membantu membangunkan perniagaan sekaligus mewujudkan pelbagai perniagaan yang berdaya saing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, sebagai usahawan beliau mahu melihat masyarakat menjadi usahawan global contohnya dengan berniaga di atas talian yang merupakan pemasaran yang paling ideal pada masa kini.

Justeru itu, setiap 32 peserta Empower ECER ini ini sewajarnya meningkatkan pencapaian dan kemahiran dalam pelbagai bidang agar dapat memperbaiki dan mengembangkan perniagaan untuk bergelar seorang usahawan yang berjaya.

“Program Empower ECER anjuran Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan Program Latihan Akademik (Empower ECER) bertujuan memberi latihan dan pendedahan ilmu keusahawanan serta pendidikan kepada peserta.

“Program ini adalah  satu program pembangunan modal insan yang diperkenalkan oleh ECERDC untuk membantu golongan miskin, belia, pengangguran dan orang kurang upaya untuk meningkatkan pendapatan serta peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Lantikan Program Akademik di Dewan Utama UMK Kampus Jeli, Kelantan, pada 1 Februari 2017.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Dato’ Husni Salleh, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh,Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, En. Zulkifli Yaacob, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Dato’ Makhtar Mustapa dan Pengarah MITI Kelantan, En. Nik Mohd Fahim Muhaimin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Penolong Naib Canselor UMK selaku Ketua Projek Empower ECER, Prof. Rosdi Ab. Rahman.

Seramai 32 usahawan dibawah Program Empower ECER  daerah Jeli dan Bachok menerima sumbangan peralatan dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM200,000 dan mengikut keperluan serta bidang perniagaan masing-masing dengan nilai maksimun RM10,000 seorang.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis penyampaian watikah pelantikan sekolah di bawah Program Latihan Kemahiran Akademik Empower ECER kepada 14 buah sekolah-sekolah di kawasan Jeli dan Tanah Merah. 

Dalam pada itu, En. Zulkifli berkata, program Empower ECER yang diwujudkan sejak 2011 itu telah berjaya membantu golongan memerlukan khususnya penduduk setempat untuk menambah pendapatan sekaligus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata, program tersebut sudah dijalankan dengan kerjasama UMK khususnya dalam bidang akademik bagi membantu pelajar berprestasi rendah dan miskin khususnya di Jeli dan Bachok telah mencapai kejayaan.

“Melalui program akademik ini, kita telah mengambil pendekatan dari segi memberi latihan tubi serta motivasi kepada pelajar yang turut mendapat kerjasama baik daripada ibu bapa.

“Alhamdullilah, daripada 400 pelajar yang menyertai program tersebut, kita dapati 60 pelajar telah mencapai keputusan cukup cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Rosdi berkata, terdapat seramai 1800 peserta Latihan Akademik dan 2,220 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah dan sedang mengikuti program-program empower ECER di Kelantan dari tahun 2011 sehingga kini.

Beliau berkata, Empower ECER diperkenalkan buat pertama kalinya di Jeli pada tahun 2011 dan seterusnya diperluaskan ke dearah Bachok pada tahun 2013, Ketereh pada tahun 2014 dan Gua Musang, Tumpat dan Machang pada tahun 2016.

“Pada majlis hari ini, seramai 32 peserta menerima bantuan peralatan perniagaan melalui Dana Usahawan Bumiputera TERAJU yang bertujuan membantu perusahaan-perusahaan baharu yang berpotensi untuk berkembang.

“Manakala program latihan akademik itu merupakan salah satu inisiatif pembangunan pendidikan anak-anak peserta Agropolitan Rantau Manis yang akan menduduki peperiksaan UPSR, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipilih sekolah yang menunjukkan prestasi rendah dan kita ambil segelintir pelajar ini daripada anak-anak keluarga miskin yang lemah untuk membantu membimbing mereka,” katanya.

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan      Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menggariskan empat perkara asas  yang perlu diberi tumpuan utama sepanjang 2017 bagi membolehkan universiti itu terus  memacu kecemerlangan dalam agenda pembangunan universiti dan negara seiring dengan perkembangan arena pendidikan tinggi global yang semakin mencabar supaya tidak ketinggalan.

Empat aspek utama itu ialah kepentingan elemen keusahawanan sebagai dasar pembangunan universiti, pembangunan sumber manusia, kecemerlangan tadbir urus dan kemapanan kewangan yang menjadi teraju kepada pergerakan yang stabil serta memberi impak kepada universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata, UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan tidak hanya boleh melihat pembelajaran dan pengajaran (P & P) dalam kerangka lama yang hanya menekankan pengkhususan peperiksaan semata-mata.

Beliau berkata, dalam konteks pendidikan pada hari ini perkara asas adalah bagaimana kita boleh mempersiap-siagakan anak didik kita dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menjadikan mereka usahawan dan tenaga mahir yang berdaya saing dan bersifat global.

“Selain itu, beberapa perkara asas yang perlu di beri perhatian secara menyeluruh ialah konsep P& P di mana UMK harus berupaya melahirkan graduan yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan sesuai dengan keperluan di abad ke 21 seperti mana yang dijelaskan menerusi The Fourth Industry Revolution yang dibincangkan di dalam World Economic Forum 2017 di Davos.

Fourth Industry Revolution ini telah menyebabkan eksositem industri seluruh dunia berubah termasuk Malaysia dan menyebabkan organisasi perlu berubah secara meluas dan mendalam seiring dengan perubahan dunia iaitu dalam bentuk produktiviti, pengurusan dan tadbir urus,” katanya pada Majlis Perutusan YBhg. Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan Tahun 2017, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Hj. Hanafi Hj. Mamat, Dato’ Azmi Mohd Ali dan En. Zukifli Mohd Zan.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Prof. Rosdi Ab. Rahman.

Menurut Tan Sri Dato’ Seri Hamad Kama Piah, sejak penubuhannya pada tahun 2007, peranan UMK menghasilkan produk yang berkualiti dan berdaya saing untuk pasaran domestik memang tidak dapat disangkal lagi dimana universiti dipertanggungjawabkan menghasilkan graduan bersifat holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang.

Katanya, daripada kajian yang dijalankan menunjukkan dengan jelas betapa getirnya keadaan pasaran pekerjaan pada hari ini dimana saban tahun lebih 40 000 graduan menganggur dan mampu memperoleh  pendapatan yang rendah iaitu kurang daripada RM 2000 sebulan.

“Justeru, kajian juga menunjukkan kelemahan graduan yang ingin menyertai pasaran pekerjaan didapati tidak memiliki kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah  serta sukar membuat keputusan antara faktor utama graduan tidak layak untuk mengisi-mengisi jawatan pekerjaan yang ditawarkan di industri.

“Disinilah pihak universiti memerlukan satu anjakan paradigma dimana pasaran kerja pada masa akan datang akan semakin terhad, mencabar dan sangat kompetitif. Oleh demikian, universiti harus mempunyai hubungan simbiosis dengan industri supaya manfaat ini dapat berlaku secara dua hala,” jelas beliau.

Tambah beliau, selain itu universiti juga harus berupaya merubah masyarakat daripada tiada kepada ada, sedikit kepada lebih banyak dan juga berupaya mengubah landskap sosio-ekonomi masyarakat dan juga negara.

“Mengupayakan masyarakat bukan sahaja dengan memberikan ilmu tetapi ilmu yang memberikan manfaat kepada mereka bukan sahaja dalam bentuk teori tetapi dalam bentuk pratikal untuk menyelesaikan masalah semasa,” katanya.

Sementara itu dalam konteks sumber manusia, kebolehan daripada aset terpenting universiti iaitu sumber manusia harus dimaksimakan menerusi konsep multi-tasking yang diserapkan kepada pelajar dalam konteks pengajaran dan pembelajaran yang lebih ke depan.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah mengingatkan bahawa graduan yang diperlukan oleh industri adalah graduan yang berkeupayaan dalam pelbagai aspek.

Oleh demikian, untuk melahirkan graduan sebegitu, kita juga perlu mempunyai karekter yang sama sebagai role model yang bukan sekadar menjadikan pelajar sebagai mampu berteori tetapi mampu menjalankan tugas yang diamanhkan menerusi KPI yang telah ditentukan oleh universiti.

“Setiap individu di dalam universiti harus menanamkan sikap untuk menjadi lebih pro-aktif dengan menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan mempunyai karekter pelbagai fungsi (multi-tasking) serta berpengetahuan tinggi berpaksikan teknologi dan kemahiran ilmu yang tinggi.

“Dengan wujudnya sumber manusia di universiti sedemikian, saya percaya bahawa UMK berupaya menjadi sebuah institusi yang inklusif (komprhensif) bagi melahirkan modal insan yang berupaya mendokong pembangunan negara di masa hadapan,” katanya.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, UMK juga harus bersedia untuk menukar pemikiran dari konsep kovensional dalam menawarkan pengajian kepada konsep berasaskan intergrasi teknologi bagi membina kapasiti dan seterusnya memperkenalkan konsep kampus tanpa sempadan.

Katanya, pendidikan sejagat menerusi aplikasi teknologi seperti Massive Open Online Courses (MOOC) dan terkini kepada mobile application turut menuntut kita untuk berubah dan mengurus universiti dengan lebih berkesan.

“Ekoran, bidang pendidikan juga terkesan oleh rombakan teknologi terbaru kian memberi saingan kepada penyampaian pihak universiti yang lebih tradisional.

“Menerusi bentuk tradisional ini yang telah dapat digantikan oleh media atas talian membolehkan pelajar melalui pengalaman belajar P&P yang lebih sistematik dimana  lebih daripada 10 juta pelajar serta di serata dunia telah berdaftar dan mengikuti syarahan atas talian melalui teknik MOOC ini pada tahun 2013,” jelas beliau.

Tambah beliau, melalui kaedah eksprimental learning ini, pelajar akan didedahkan dengan pelbagai aspek keusahawanan, funding, pemasaran  dan lain-lain.

“Dengan menggunakan pendekatan ini pihak universiti secara tidak langsung mengasah pelbagai kemahiran dalam kalangan para pelajar seperti soft skill yang akhirnya dapat melahirkan graduan yang bersifat keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata dalam usaha manyahut seruan kerajaan dan KPT di dalam  kerangka agenda arena pendidikan tinggi antarabangsa, perkara ini perlu dilihat secara lebih serius oleh semua warga universiti  dengan melihat kepentingan bahawa UMK bukan sahaja sebagai pusat ilmu atau tempat menuntut ilmu.

Katanya, universiti pada masa yang sama adalah tempat menyebarkan ilmu supaya ilmu tersebut lebih bermakna dan juga diperolehi dengan mudah oleh masyarakat setempat menerusi perkongsian pintar yang dilaksanakan.

“Dengan ini  kewujudan universiti menjadi lebih bermakna sekiranya mereka berjaya menjadikan ilmu sebagai aset yang menjadi rujukan kepada masyarakat global seperti yang dipelopori oleh Universit Oxford dan Universiti Cambridge,” katanya. 

Page 1 of 51
Malaysia Government Ministry of Higher Education MSC Malaysia MAMPU MQA Higher Education Malaysia PTPTN AKEPT 1Malaysia 1Akses

HOT TOPIC