A- A A+
logoumkramadhan

32 PESERTA EMPOWER ECER TERIMA BANTUAN PERALATAN DANA USAHAWAN BUMIPUTERA TERAJU

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan              Foto : Ab Halim Hafiz Bin Ab Aziz

PESERTA Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan Program Latihan Akademik (Empower ECER) disaran meningkatkan usaha dan kemahiran untuk menimba ilmu seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini untuk membantu membangunkan perniagaan sekaligus mewujudkan pelbagai perniagaan yang berdaya saing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, sebagai usahawan beliau mahu melihat masyarakat menjadi usahawan global contohnya dengan berniaga di atas talian yang merupakan pemasaran yang paling ideal pada masa kini.

Justeru itu, setiap 32 peserta Empower ECER ini ini sewajarnya meningkatkan pencapaian dan kemahiran dalam pelbagai bidang agar dapat memperbaiki dan mengembangkan perniagaan untuk bergelar seorang usahawan yang berjaya.

“Program Empower ECER anjuran Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan Program Latihan Akademik (Empower ECER) bertujuan memberi latihan dan pendedahan ilmu keusahawanan serta pendidikan kepada peserta.

“Program ini adalah  satu program pembangunan modal insan yang diperkenalkan oleh ECERDC untuk membantu golongan miskin, belia, pengangguran dan orang kurang upaya untuk meningkatkan pendapatan serta peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Lantikan Program Akademik di Dewan Utama UMK Kampus Jeli, Kelantan, pada 1 Februari 2017.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Dato’ Husni Salleh, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh,Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, En. Zulkifli Yaacob, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Dato’ Makhtar Mustapa dan Pengarah MITI Kelantan, En. Nik Mohd Fahim Muhaimin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Penolong Naib Canselor UMK selaku Ketua Projek Empower ECER, Prof. Rosdi Ab. Rahman.

Seramai 32 usahawan dibawah Program Empower ECER  daerah Jeli dan Bachok menerima sumbangan peralatan dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM200,000 dan mengikut keperluan serta bidang perniagaan masing-masing dengan nilai maksimun RM10,000 seorang.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis penyampaian watikah pelantikan sekolah di bawah Program Latihan Kemahiran Akademik Empower ECER kepada 14 buah sekolah-sekolah di kawasan Jeli dan Tanah Merah. 

Dalam pada itu, En. Zulkifli berkata, program Empower ECER yang diwujudkan sejak 2011 itu telah berjaya membantu golongan memerlukan khususnya penduduk setempat untuk menambah pendapatan sekaligus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata, program tersebut sudah dijalankan dengan kerjasama UMK khususnya dalam bidang akademik bagi membantu pelajar berprestasi rendah dan miskin khususnya di Jeli dan Bachok telah mencapai kejayaan.

“Melalui program akademik ini, kita telah mengambil pendekatan dari segi memberi latihan tubi serta motivasi kepada pelajar yang turut mendapat kerjasama baik daripada ibu bapa.

“Alhamdullilah, daripada 400 pelajar yang menyertai program tersebut, kita dapati 60 pelajar telah mencapai keputusan cukup cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Rosdi berkata, terdapat seramai 1800 peserta Latihan Akademik dan 2,220 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah dan sedang mengikuti program-program empower ECER di Kelantan dari tahun 2011 sehingga kini.

Beliau berkata, Empower ECER diperkenalkan buat pertama kalinya di Jeli pada tahun 2011 dan seterusnya diperluaskan ke dearah Bachok pada tahun 2013, Ketereh pada tahun 2014 dan Gua Musang, Tumpat dan Machang pada tahun 2016.

“Pada majlis hari ini, seramai 32 peserta menerima bantuan peralatan perniagaan melalui Dana Usahawan Bumiputera TERAJU yang bertujuan membantu perusahaan-perusahaan baharu yang berpotensi untuk berkembang.

“Manakala program latihan akademik itu merupakan salah satu inisiatif pembangunan pendidikan anak-anak peserta Agropolitan Rantau Manis yang akan menduduki peperiksaan UPSR, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipilih sekolah yang menunjukkan prestasi rendah dan kita ambil segelintir pelajar ini daripada anak-anak keluarga miskin yang lemah untuk membantu membimbing mereka,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Tuesday, 07 February 2017 10:47 Read 543 times

HOT TOPIC