A- A A+
logoumkramadhan

LEMBANGAN SUNGAI PENGKALAN DATU BERPOTENSI JADI DESTINASI WAJIB KUNJUNGAN KE KELANTAN

Oleh : Syarimie Wosley  & Nor Alizam Shafie     Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menyambut baik saranan oleh Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) bagi menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pelan pembangunan kawasan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD), Sering, yang berkeluasan 10 kilometer merentasi muara Pantai Senok sehingga ke Pasir Tumboh.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, untuk tujuan itu, UMK komited mewujudkan sebuah kumpulan penyelidikan yang terdiri daripada 400 penuntut tahun akhir daripada tiga fakulti iaitu Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Fakulti Seni Bina dan Ekistik (FEA) dan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK).

Katanya, kumpulan penyelidik, masyarakat setempat  akan bekerjasama dengan pelajar untuk melakukan penyelidikan dan memajukan LSPD berasaskan warisan serta alam semulajadi yang mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk melihat kesan sejarah yang terdapat di kawasan itu.

“Pelajar tahun akhir ini akan melakukan penyelidikan di sepanjang lembangan sungai sebagai tugasan akhir mereka bermula bulan ini dengan membuat kajian segera di setiap lokasi yang berpotensi dibangunkan.

“Kita juga menjangkakan lima hingga tujuh tesis dapat dihasilkan melalui projek ini yang akan dijadikan asas kepada pembangunan di lokasi kajian lapangan di LSPD," katanya selepas menerima kunjungan Presiden WASPADA, En. Mohd Asri Hussin, di Bilik Mesyuarat Eksekutif, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 5 Februari 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FTKW, Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Penggawa Daerah Sering selaku Timbalan Pengerusi WASPADA, En. Sabari Abdul Rashid.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, kajian ini akan mengenalpasti lokasi sesuai untuk tapak kajian nilai warisan LSPD yang boleh dibangunkan bagi mengembalikan kegemilangannya serta menjadi produk pelancongan baharu serta destinasi wajib kepada pelancong sebaik sahaja berkunjung ke Kelantan.

Tambah beliau, Lembangan Sungai Pengkalan Datu pernah menjadi pelabuhan utama pada tahun 1605 di negeri ini sehingga menjadi tumpuan pedagang serta terkenal dengan aktiviti seni budaya.

“Insha Allah, menerusi kajian ini kita dapat melihat impaknya pada tahun 2018 kerana LSPD berpotensi  dijadikan tarikan pelancongan baharu kerana kaya dengan pelbagai warisan baik dari segi sejarah mahupun kebudayaan penduduk sekitar.

"Kita juga akan mendokumentasikan hasil kajian untuk dijadikan rujukan masa hadapan supaya warisan ini tidak hilang," katanya.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 09 February 2017 11:54 Read 450 times

HOT TOPIC