A- A A+
logoumkramadhan

UMK TUAN RUMAH MESYUARAT ASEAN LEARNING NETWORK COUNCIL KE -21

Oleh : Syarimie Wosley       Foto : Al Azam Razi  

SELEPAS melalui beberapa fasa membina nama dalam konteks pembangunan keusahawanan sosial, ASEAN Learning Network Council atau ALNC kini maju selangkah lagi sebagai sebuah platform yang berjaya mewujudkan kerjasama bersepadu di rantau ini khususnya dalam bidang pendidikan keusahawanan sosial dikalangan anggota yang terlibat.

ALNC yang ditubuhkan pada tahun 2009 dianggotai oleh Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Perlis, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prince of Songkla University, Princess of Naradhiwas University, Thaksin University (Thailand) Institut Teknologi Bandung, Indonesia Center For Sustainable Development, University of Bengkulu (Indonesia), Banking University of Ho Chi Minh City (Vietnam), San Beda College, De La Salle University (Filipina) dan University of St Gallen (Switzerland).

Menurut Pengerusi ALNC, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed, ALNC yang dibangunkan secara usahasama menerusi pendekatan keusahawanan telah melaksanakan pelbagai strategi dan program pembangunan enterpris sosial dan ekonomi di peringkat Asia Tenggara serta antarabangsa.

Katanya, setiap tahun ALNC menganjurkan pelbagai aktiviti dan program pendidikan untuk membantu masyarakat antarabangsa dengan melaksanakan kerja lapangan.

“Pendekatan ALNC adalah untuk menggalakkan kerjasama perkongsian pengalaman pembelajaran di kalangan universiti ASEAN terutamanya dalam bidang keusahawanan sosial untuk memberi nilai tambah kepada anggota-anggota yang terlibat.

“Pada masa yang sama universiti yang terlibat dengan ALNC turut bersama-sama menjayakan program Social Entrepreneurship of Economic Development (SEED) dengan tujuan untuk membuka dan memberi peluang kepada universiti masing-masing untuk berkongsi pengalaman, bekerjasama dalam program keusahawanan sosial dan menjalankan pelbagai program aktiviti akademik bersama di bawah ALNC,” katanya pada Mesyuarat ALNC kali ke 21 di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, yang diadakan pada 2 hingga 4 Februari 2017.

Terdahulu, Mesyuarat ALNC kali ke-20 telah dianjurkan oleh Princess of Naradhiwas University, Thailand pada 28 hingga 31 Julai 2016.

Turut hadir, Naib Pengerusi ALNC, Father Aloysius Maranan, Pengarah Eksekutif ALNC, Prof. Emeritus Dr. Li Choy Chong , Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif.

Melihat kepada kejayaan dan pencapaian kepada program ALNC dalam tempoh lapan tahun, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai berkata,  ALNC adalah satu badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah berjaya didaftarkan sebagai pertubuhan berdaftar yang berpangkalan di Switzerland.

Katanya, pemilihan di Switzerland tersebut berdasarkan kepada kemudahan yang ada terutamanya dari segi perundangan dan pemudah cara untuk kita bergerak menerusi satu kumpulan besar dengan tujuan utama untuk menjadikan pertubuhan ini bersifat lebih global dari segi kedudukannya..

Sementara itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz berkata, UMK sekali lagi menjadi tuan rumah untuk mesyuarat kerjasama dua hala ALNC sebagai satu platform yang bertujuan membincangkan peluang kerjasama strategik dan pembangunan akademik antara universiti tempatan dan luar negara yang menganggotai ALNC.

Beliau berkata, penganjuran mesyuarat ini adalah bertujuan berkongsi pengalaman dalam aktiviti serta industri yang terlibat dengan program keusahawanan sosial yang telah dijalankan oleh UMK dan impak program tersebut kepada masyarakat di kampung yang terlibat dengan program keusahawanan sosial.

“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan jaringan kerjasama, hubungan erat dan semangat persaudaraan di antara universiti-universiti di ASEAN dalam anggota ALNC.

“UMK amat mengalu-alukan pelbagai aktiviti kerjasama di kalangan ahli seperti peluang melaksanakan penyelidikan bersama, aspek pengajaran atau pembelajaran pelajar, penganjuran bengkel dan program mobiliti serta pertukaran staf,” jelas beliau.

Tambah Prof. Dato’ Abdul Aziz, penganjuran program SEED juga  sebagai kaedah yang paling berkesan dalam meningkatkan status sosio ekonomi daripada orang tempatan.

Katanya, program ini telah mendedahkan para peserta kepada pembelajaran yang sebenar kerana mereka menyelesaikan isu-isu sebenar masyarakat yang disasarkan dan mahasiswa atau peserta diberi tugasan pada setiap program untuk membuat peluang perniagaan dengan mewujudkan aktiviti keusahawanan untuk dimajukan di setiap dearah.

“Oleh itu, peserta yang terlibat perlu bekerjasama dengan penduduk kampung dalam merancang dan melaksanakan pelan perniagaan yang boleh memberi impak kepada peningkatan sumber pendapatan kepada masyarakat.

“Kejayaan pelaksanaan program SEED siri pertama, kedua, keempat dan ketujuh di Tumpat, Kelantan, siri ketiga bersama komuniti orang asli Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, siri kelima serta ketujuh di Bachok, Kelantan dan siri ke enam dan ketujuh di Tanah Merah, Kelantan sebelum ini telah membawa aspirasi besar kepada UMK untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan dalam Program SEED dengan universiti-universiti di serantau ASEAN,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 09 February 2017 16:48 Read 482 times

HOT TOPIC