A- A A+
logoumkramadhan

KARNIVAL PENDIDIKAN TINGGI NEGARA 2017 CATAT LEBIH 35,000 PENGUNJUNG HARI PERTAMA

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan              Foto : Al Azam Razi & Ab Halim Hafiz Bin Ab Aziz

KOTA BHARU: Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN 2017) Zon Pantai Timur mencatatkan lebih 35,000 pengunjung pada hari pertama berlangsungnya program yang sebelum ini dikenali Jom Masuk U sebaik sahaja dibuka pada jam 9  pagi, semalam.

Jumlah itu merekodkan  pelawat harian tertinggi yang pernah direkodkan pada program KPTN 2015 di Kelantan dengan jumlah kehadiran 35,000 ribu pelawat sudah berduyun-duyun melawat pameran pada petang Sabtu di pusat membeli-belah AEON Mall, Kota Bharu, Kelantan, yang diadakan bermula 11 sehingga 12 Februari 2017.

Majlis perasmian KPTN 2017 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Dato’ Seri Idris Jusoh dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) sekali lagi menjadi hos bagi program KPTN 2017 Zon Pantai Timur yang bertemakan Pendidikan Negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan KSU (pembangunan),  Dato’ Nik Ali Mat Yunus.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof.  Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Karnival KPTN adalah Signature Programme’ KPT sebagai platform saluran hebahan utama bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara selain usaha mempromosi serta publisiti mengenai kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi bagi Sesi Akademik 2017/2018 dengan sasaran 305,000 pengunjung di enam zon sepanjang program ini berlangsung.

Karnival ini berlangsung bermula 11 Februari sehingga 26 Mac 2017 di enam zon utama dan satu mini zon seluruh Malaysia bermula di Kelantan dan seterusnya berakhir di Negeri Sembilan yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan pendidikan tinggi seperti 20 Universiti Awam, Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan lain-lain agensi di bawah KPT.

Menurut YB Dato’ Seri Idris, KPTN 2017 dilihat dapat membantu pelajar untuk membuat pilihan pengajian selain menyalurkan maklumat terkini dan peluang pendidikan yang ditawarkan di negara ini.

Beliau berkata, program hari ini juga bertujuan mempromosi serta menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi kemasukan Sesi Akademik 2017/2018.

“Sempena program KPTN itu turut diadakan program Soaring Upward sebagai medan interaksi antara pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar-pelajar lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Diploma dan sebagainya.

“Program KPTN juga ingin memberitahu bahawa pendidikan tinggi negara pada hari ini terus meningkat dan telah mendapat  pengikitrafan daripada  seluruh negara dan dengan ini pelajar kita tidak lagi segan silu untuk memlih menyambung pengajian tinggi di dalam negara,” katanya pada majlis perasmian KPTN dan Sesi Taklimat  Awam Jelajah Kementerian Pengajian Tinggi: Peningkatan Berterusan (Soaring Upward), di AEON Mall, Kota Bharu, Kelantan, pada 11 Februari 2017.

Tambah YB. Dato’ Seri Idris, berkata, Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan inisaitif Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (ICGPA) kepada mahasiswa yang bertujuan melahirkan pelajar holistik berciri keusahawanan dan seimbang.

“Sistem CGPA Bersepadu merupakan satu daripada insiatif di bawah lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) (PPPM-PT),” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Hassan berkata, program KPTN diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada segenap lapisan masyarakat khususnya bakal-bakal mahasiswa, ibu bapa dan guru-guru mendapat pendedahan yang secukupnya berkenaan dengan peluang-peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan di Universiti-universiti awam dan swasta.

Katanya, UMK selaku tuan rumah berkerjasama dengan KPT menyediakan sejumlah 130 booth pameran yang terdiri daripada 20 UA, agensi-agensi kelayakan, badan pembiayaan pendidikan dan sebagainya.

“KPTN -2017 diadakan selama dua hari berturut-turut  bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang dengan masuk percuma,” katanya.

Selain itu, antara daya tarikan KPTN 2017 ialah kehadiran  Ikon Belia Negara iaitu Saudara Wan Nazri (Jurutera Menara Jam Masjidilharam) yang merupakan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tarikan lain ialah kaunter pengisian permohonan UPU Online, Pameran Sains Dan Inovasi, Pembiayaan Pendidikan – Ceramah / Booth PTPTN, MARA, Yayasan, Pameran ART (Lukisan Pelajar, Arca dan Lain-lain) dan Pemeriksaan Kesihatan Percuma (Tekanan Darah Tinggi & Kencing Manis)

Turut diadakan ialah pertandingan fotografi, pertandingan ukiran/gubahan buah, aktiviti keusahawanan, jualan Hasil/Produk Fakulti UMK, Pameran Superbiker dan penampilan Istimewa Didi & Friends (Ikon Kanak-Kanak).

Published in Latest News
Last modified on Saturday, 11 February 2017 17:41 Read 1333 times

HOT TOPIC