A- A A+
logoumkramadhan

UMK FOKUS TUJUH STRATEGI UTAMA MENDEPANI CABARAN 2017

Oleh : Syarimie Wosley, Aiman Syazwan & Noor Alizam Shafi'e      Foto : Al Azam Razi

AmanatNC2017

DALAM usaha mendokong perubahan dimensi dalam arena pendidikan yang semakin mengancam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggariskan tujuh (7) komponen utama sebagai fokus mendepani cabaran global  pada tahun 2017 seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Tujuh komponen itu merangkumi sumber manusia, kewangan, akademik dan pengantarabangsaan, penyelidikan dan inovasi, keusahawanan dan sosio-ekonomi, tadbir urus dan tranformasi serta penjenamaan untuk penjajaran strategik bagi merancakkan pembangunan universiti.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, sebagai permulaan universiti mengatur kembali strategi untuk memberi lebih perhatian kepada program dan aktiviti yang dapat memberikan lebih manfaat dan impak yang menyokong kepada pembentukan tujuh tanjakan yang dapat menyelesaikan isu-isu global tersebut.

Beliau berkata,  pihak pengurusan universiti juga telah menggariskan tiga  komponen penting bagi membentuk asas kepada kewujudan universiti iaitu kompentensi staf dan profesional, kepimpinan dan bakat serta pengiktirafan dan kepakaran.

“Universiti mengharapkan agar staf sedia ada ini dilatih dan mempunyai kompetensi sesuai dengan memaksimakan kepakaran dan kesesuaian mengikut bidang.

“Sehubungan itu, universiti menerusi Pusat Pengurusan Bakat juga sedang meneliti kemampuan staf, kebolehan dan juga kepakaran serta mencuba untuk mengasah bakat yang ada di kalangan staf untuk mengenalpasti calon-calon yang sesuai menerusi succession plan bagi meneruskan perjalanan dan hala tuju UMK,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor 2017 yang bertemakan Evolusi Universiti: Mencipta Identiti ke Arah Lestari, di UMK Kampus Kota, pada 15 Februari 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pendaftar UMK, Encik Pauzi Pak Chu dan Penolong Naib Canselor   (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Prof. Rosdi Ab Rahman. 

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, bagi mengurangkan darjah kebergantungan universiti terhadap peruntukan kerajaan, strategi kedua telah digerakkan menerusi tiga komponen utama iaitu penjanaan pendapatan menerusi Holding Company, penawaran kursus-kursus luaran (off campus, sarjana, program eksekutif oleh Institut Perusahaan kecil dan Sederhana (ISME), UMKCEE bersama PPS, PKPL dan fakulti-fakulti.

Dalam usaha penjimatan kewangan, beliau berkata untuk mengurangkan kos atau mempercekapkan lagi kos, pihak universiti telah memaksimakan guna tenaga secara dalaman, mewujudkan endowmen dan wakaf yang kini sedang diusahakan oleh Pusat Islam UMK dan Unit Perniagaan.

“Dalam strategi memperkasa akademik dan pengantarabangsaan, UMK memberi fokus kepada empat perkara yang merangkumi kecemerlangan akademik menerusi penawaran program yang berkualiti, menambahkan program-program akademik sesuai dengan keperluan pasaran.

“Kebolehpasaran graduan yang dihasilkan pada kadar 80 peratus menerusi keluaran dari program yang berasaskan industri seperti 2u2i, 3u1i, 2+1+1, dual dan double degree,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, UMK begitu agresif dalam konteks pengantarabangsaan universiti dengan memperkukuhkan jaringan serantau dengan universiti luar negara dan juga industri besar serta multinasional serta jaringan dan jalinan kerjasama dengan rakan strategik industri.

Tambah beliau, usaha menyokong tiga strategi tersebut terus diperkukuhkan menerusi strategi keempat iaitu penyelidikan dan inovasi.

“Kita telah merancang kembali untuk memberikan nafas baharu kepada tiga aspek dalam strategi ini iaitu keupayaan penyelidikan, penerbitan dan sitasi penyelidikan, jaringan dan jangkauan serta pemindahan teknologi, harta intelek dan pengkomersialan.

“Manakala strategi kelima bagi membantu pembangunan negara yang berteraskan kepada elemen keusahawanan dan sosio ekonomi, tiga komponen utama akan dilaksanakan iaitu merangkumi graduan holistik bercirikan keusahawanan dan ekosistem seimbang, pembelajaran sepanjang hayat serta libatsama keusahawanan akan dijajarkan semula untuk menyambut hasrat kerajaan,” katanya.

Strategi keenam, merupakan tonggak kepada lima strategi yang telah saya gariskan iaitu tadbir urus dan tranformasi penyampaian yang memainkan peranan asas untuk menyokong keseluruhan ekosistem universiti.

“Komponen itu terdiri daripada keutuhan tadbir urus merangkumi kecekapan pengurusan, intergriti dan kualiti sistem penyampaian, keupayaan perkhidmatan ICT, pembangunan prasarana dan kemudahan serta pengurusan ilmu,” ujarnya.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, dalam usaha memantapkan pengurusan universiti, UMK memperkenalkan strategi baharu iaitu penjenamaan untuk penjajaran strategik dengan komponen cadangan yang telah dikenalpasti iaitu merangkumi pembentukan jenama universiti menerusi promosi pelbagai (multi-promotional) yang diukur menerusi populariti universiti dan kursus yang menjadi pilihan pelajar.

“Seterusnya, dalam aspek komunikasi korporat menerusi pembinaan imej dan reputasi yang membina kandungan strategik bagi memastikan pemegang taruh memberikan kepercayaan serta membentuk hubungan baik dalam masa jangka panjang,” katanya.

Dalam aspek pembangunan penyelidikan, universiti telah mencapai sasaran dalam konteks bilangan produk penyelidikan yang dikomersilkan, bilangan amalan terbaik, inovasi serta bilangan projek pemindahan ilmu dan akademik dengan kerjasama industri atau komuniti.

“Lebih membanggakan, pada tahun 2016 UMK berjaya memenangi beberapa anugerah penyelidikan dan inovasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa yang merangkumi empat pingat emas, empat pingat perak, lapan pingat gangsa dan satu Intellectual Property.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Hassan menyifatkan majlis perutusan Amanat Naib Canselor 2017 ini menggariskan beberapa aspek utama untuk meningkatkan pencapaian universiti sehingga diperingkat global.

Beliau berkata, sebagai sebuah pasukan, kita haruslah bekerjasama, berfikiran positif dan menggunakan kepakaran tenaga kerja untuk memberikan sumbangan kepada universiti serta mampu menjana pendapatan sendiri.

“Sehubungan itu, pengenalan kepada konsep Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA), UMK antara universiti peneraju yang harus diberikan perhatian bagi memastikan wujudnya kesinambungan pembelajaran melalui pengalaman menerusi akreditasi oleh industri dan pengiktirafan industri,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 23 February 2017 12:49 Read 526 times

HOT TOPIC