A- A A+
logoumkramadhan

PROGRAM EMPOWERING THE COMMUNITY FOR BETTER LIVING-SUNGAI RUAL : INISIATIF EMPOWER ECER-UMK TINGKATKAN POTENSI MASYARAKAT ORANG ASLI

Oleh : Syarimie Wosley, Aiman Syazwan & Nor Alizam Shafie     Foto  : Al Azam Razi & Abdul Halim Abd. Aziz

MELIHAT kemesraan yang terjalin antara masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Rual dan 40 sukarelawan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sepanjang berlangsungnya Program Empowering The Community for Better Living-Sungai Rual,  memberi gambaran seolah-olah mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain.

Malah, peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan staf UMK juga teruja dan terharu apabila disambut mesra oleh masyarakat setempat selama berkampung  tiga hari dua malam di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Rual Jeli, Kelantan, bermula 18 hingga 20 Februari 2016.

Program julung kali diadakan itu adalah anjuran Empower ECER-UMK dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Pejabat RISDA Negeri Kelantan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pejabat Pendidikan Daerah Jeli, Pejabat Kesihatan Jeli, Hospital Universiti Sains Malaysia dan UMK Kampus Jeli.

Kampung Sungai Rual yang terletak di kawasan pedalaman daerah Jeli merupakan salah satu penempatan masyarakat Orang Asli yang dibuka sekitar tahun 1972 dengan keluasan 659 hektar.

Seramai 193 keluarga penduduk orang asli yang mendiami empat buah kampung ini iaitu Kampung Sungai Rual, Kampung Manok, Kampung Seberang dan Kampung Kalok adalah majoriti beragama Islam.

Hasil inisiatif kerajaan, masyarakat Orang Asli kini sudah mendiami perumahan tersusun di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) dan mereka juga sudah jauh berubah berbanding dahulu dimana tidak lagi tinggal berselerak dalam kelompok kecil di hutan.

Malah, penempatan masyarakat disini juga sudah dilengkapi dengan bekalan air bersih, elektrik, dewan orang ramai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Rual.

Namun, kehidupan masyarakat Orang Asli di sini semakin terdesak ekoran kawasan persekitaran mereka sudah banyak terjejas dimana sumber dan hasil hutan semakin berkurangan malah sumber pendapatan juga semakin kecil.

Justeru itu, UMK mengambil inisiatif  untuk membantu dengan harapan untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di Sungai Rual Jeli.

Menurut  Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, program ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan pihak UMK dengan masyarakat Orang Asli khususnya usaha UMK memperkasakan ekonomi, taraf pendidikan dan sosial serta kehidupan mereka seperti yang dihasratkan oleh Menteri Mentor UMK, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kehadiran UMK membuka hati mereka untuk menerima kami selaku tetamu sekali gus memberi kami peluang berbakti kepada penduduk menerusi program yang dilaksanakan ini dan diharapkan dapat menyuburkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua pihak.

“UMK memulakan kajian ini untuk mendapatkan data berkaitan sosial, penduduk dan ekonomi masyarakat Orang Asli untuk membuat kajian mengenalpasti isu dan masalah yang dihadapi penduduk bagi penghasilan model yang mampu meningkatkan sosio ekonomi mereka melalui aktiviti yang boleh memberi impak besar kepada sumber ekonomi.

“Sepanjang melakukan kajian, kita juga akan mengenalpasti potensi yang ada untuk diterokai seperti alam semulajadi yang boleh diformulasikan untuk dibangunkan seperti pelaksanaan program pertanian dan penternakan malah kekayaan  sumber air semulajadi dilihat bersesuaian untuk projek ternakan ikan air tawar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor  (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti),  Prof. Rosdi Ab Rahman, perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Rual, Jeli, berpotensi dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan mereka berdasarkan kedudukannya yang hanya terletak kira-kira 22 kilometer dari Bandar Jeli.

Justeru, pihak UMK menerusi Empower ECER-UMK memilih penempatan ini untuk menjalankan program sosial bersama masyarakat yang terdiri daripada suku Orang Asli Jahai.

“Lebih istimewa dari segi sejarah, Kampung Sungai Rual bukan sahaja menjadi penempatan Orang Asli daripada rumpun suku Jahai malah turut didiami suku orang Asli berketurunan Bateq dan Mendriq.

“Hasrat kami adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kampung ini sekaligus menjustifikasikan dan meningkatkan kerelevanan kewujudan UMK kepada masyarakat setempat dan projek ini  pada awalnya dicadang untuk dilaksanakan pada bulan Mac namun diawalkan pada bulan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, program ini juga lebih kepada mendapatkan data berkaitan sosial, penduduk dan ekonomi masyarakat orang Asli dan tanggungjawab sosial UMK kepada masyarakat orang Asli.

Tambah Prof. Rosdi, berkata, melalui kerjasama dengan agensi terlibat seperti JAKOA dan semua pihak ini yang   berganding bahu diatas satu platform untuk membangunkan program pembangunan pendidikan, ekonomi dan sumber manusia

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama dari kalangan agensi kerajaan  ini mampu menjadi satu kenyataan untuk membangunkan penempatan Orang Asli Sungai Rual Jeli yang masih kaya dengan alam semulajadi untuk memberi peluang mereka melaksanakan dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti pertanian dan peternakan.  

“Sebagai sebuah universiti yang terletak di daerah ini maka UMK bertanggungjawab untuk memartabatkan kewujudannya untuk memperkasakan dan memberi impak kepada masyarakat dan pembangunan wilayah,” katanya.

Dalam pada itu,  Pengarah Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (INSPEK), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, peranan kami dalam projek ini ialah membuat kajian untuk aktiviti mencari tahu (fact-finding) dan mapping potensi, kemahiran, minat serta masalah dan kekangan yang akan menjadi dasar untuk pembentukan program susulan dalam rangka membantu masyarakat Sungai Rual ini.

Katanya, dengan mengaplikasikan kepakaran yang kita ada ini, ianya dapat diadaptasikan menerusi pendekatan dan rangka untuk membina jaringan sosial dan mengenalpasti apa pontensi yang ada pada komuniti serta seterusnya merekodkan hasil kajian.

“Hasil kajian yang dapat kita kongsikan menemukan  lima modal komuniti iaitu terdiri daripada tahap kefahaman tradisional generasi muda semakin rendah, kefahaman moden lebih ke depan dan mendahului, modal sumber semakin berkurangan dan tahap pengetahuan yang semakin rendah serta tahap potensi pengetahuan tradisi rendah sebaliknya tahap pengetahuan baharu tinggi.

“Melalui pendekatan itu, kita dapati tidak kurang daripada 15 produk ekonomi yang berpotensi untuk diceburi oleh masyarakat Orang Asli seperti ternakan ikan tawar, tanaman pisang dan tebu,” katanya.

Tambah Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal, menerusi informasi ini kita mendapati penduduk disini menunjukkan minat mendalam terhadap aktiviti ini dan sanggup untuk menerima latihan serta bimbingan melalui modul yang kita rangka untuk program ini.

“Kita berharap  untuk memadankan kumpulan-kumpulan yang terbentuk dengan syarikat swasta, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah secara tidak langsung menyatakan hasrat untuk ikut membantu, dan melaksanakan aktiviti ekonomi yang bersesuaian dan sekaligus membantu kehidupan masyarakat Orang Asli,” jelas beliau.  

Menurut pelajar Fakulti Industri Asas Tani (FIAT),  Nurul Afizah Mohd Afiq Wong, yang menyertai program itu memberitahu program ini membuka peluang kepada beliau dan sukarelawan lain mendekati pelajar-pelajar sekolah daripada masyarakat Orang Asli bagi meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka dalam bidang akademik.

Katanya, sepanjang tiga hari bermukim disini beliau amat seronok dan teruja untuk berkongsi sedikit pengetahuan dan ilmu kepada kanak-kanak yang terlibat dalam program tersebut.

“Kami dibahagian kepada dua kumpulan, untuk membentuk modul aktiviti latihan berkumpulan di sekolah yang beteraskan akademik untuk membantu kanak-kanak ini lebih kreatif dan berfikiran terbuka,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 02 March 2017 11:21 Read 574 times

HOT TOPIC