A- A A+
logoumkmerdeka2017

KARNIVAL UPTOWN WARISAN PACU EKONOMI DAN MARTABATKAN BUDAYA BANGSA

Oleh : Syarimie Wosley     Foto : Ehsan FTKW

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) sentiasa memainkan peranan penting dalam usaha ke arah menjamin kelestarian seni dan membudayakan keusahawanan kreatif (Creative Entrepreneurship) khususnya dalam memacu pembangunan ekonomi setempat sekaligus memartabatkan kebudayaan serta warisan tempatan.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, UMK melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) diwujudkan tidak sekadar memberi manfaat dalam perkembangan sosio-ekonomi daerah Bachok, Kelantan, malah  jauh ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kekayaan seni dan budaya ini jika diolah dengan baik berupaya menjadi sumber industri kreatif bagi menjana sumber pendapatan dan memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi negara yang seiring dengan slogan FTKW iaitu Pemerkasaan Warisan Menerusi Teknologi Kreatif (Empowering Heritage Through Creative Technology).

“Justeru, penganjuran program Karnival Uptown Warisan (KUTW@2017) atau Heritage Uptown Carnival (HUTC@2017) diadakan bagi menggalakkan proses pemindahan ilmu akademik dan program pengantarabangsaan Creative Transfer Program 2017 (CREATEPRO@2017) dengan kerjasama PSU.

“Program-program seperti ini amat digalakkan dan pengurusan universiti sendiri sentiasa memantau peratus bilangan dan hasilan program kolaborasi bersama industri dan komuniti samada diperingkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya pada Majlis Perasmian dan Pelancaran  KUTW@2017, di Perkampungan Budaya, Teniat, UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, pada 25 Februari 2017.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Bachok, TYT Dato’ Dr. Awang Adek Hussin.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, program sebegini banyak membuka peluang dan potensi dalam pelbagai bidang, khasnya dalam bidang warisan dan teknologi kreatif khususnya dalam mewujudkan jaringan rakan strategik selaras dengan agenda Pelan Strategik UMK 2017 yang menggalakkan kerjasama di peringkat antarabangsa seperti kolaborasi antara FTKW dan Faculty of Communication Sciene, Prince of Songkla University, Thailand.

Katanya, kerjasama itu juga mewujudkan kerjasama pengkomersilan projek penyelidikan dimana para pensyarah dan penyelidik berpeluang mengetengahkan produk kajian serta mengkaji nilai komersil produk mereka bersama-sama dengan prospek pengguna atau pembeli yang berpotensi.

“Selain itu, para pelajar juga dapat mempraktikkan ilmu dan atribut keusahawanan di samping kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran komunikasi, perancangan program, penyelesaian masalah dan platform permulaan bagi syarikat-syarikat pelajar yang baru memulakan perniagaan.

“Program seperti ini juga menyerlahkan bakat kemahiran staf akademik dalam penganjuran majlis kerana proses akademik tidak hanya berlangsung di dalam ruang kuliah, makmal atau studio sahaja malah  program ini juga pada masa yang sama dapat menjana pendapatan, mengasah dan membentuk kakitangan UMK yang berkemahiran secara holistik,” jelas beliau.

Sementara itu, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, program Karnival UPTOWN Warisan yang diadakan pada 24 hingga 26 Februari 2017 bertujuan memberi peluang kepada warga kampus dan masyarakat beramah mesra melalui aktiviti menghiburkan.

Beliau berkata, program terbuka kepada semua warga kampus dan orang awam itu adalah usaha UMK bagi membudayakan ekosistem keusahawanan disamping memartabatkan seni warisan di fakulti terbabit.

“Program ini juga sebagai platform pembangunan ekonomi penduduk setempat kerana mereka mendapat tapak berniaga untuk menawarkan produk jualan.

“Penganjuran program ini juga dapat memartabat dan memperkasakan seni warisan budaya tradisional menerusi teknologi kreatif, terutama membabitkan seni warisan masyarakat di Kelantan,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program ini, termasuk persembahan dikir barat, wayang kulit, busking, pertunjukan dan bengkel angklung, selain pertunjukan serta bengkel wau.

Aktiviti lain adalah pameran agensi kerajaan, gerai makan dan minuman, gerai kemeja-t, gerai jualan kraf tangan, ‘food truck’ dan penjelajahan menggunakan pacuan empat roda.

Dalam pada itu, Pengarah Acara Funride 4x4 Challenge, En. Mohd Aswawi Isa, selain aktiviti jualan dan kebudayaan, turut diadakan pertandingan cabaran 4X4 yang bertujuan untuk memperkenalkan kawasan UMK Kampus Bachok sebagai destinasi trek  dan hab sukan pacuan empat roda.

Katanya, UMK Kampus Bachok bakal dikenali sebagai satu-satunya universiti awam pertama memiliki trek pacuan empat roda yang terdapat di Malaysia.

“Justeru itu, penganjuran cabaran FunRide 4x4 yang julung kali diadakan ini juga adalah untuk memperkenalkan sukan lasak yang semakin mendapat tempat dan mampu memberi impak positif kepada staf dan masyarakat di Kelantan disamping untuk menjelajah kawasan UMK Bachok yang masih banyak tidak diterokai.

"Aktiviti itu berjaya mendapat sambutan ramai dan ramai di kalangan peserta berpuas hati dengan laluan yang disediakan sejauh dua kilometer itu amat mencabar mental dan fizikal peserta,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 02 March 2017 12:14 Read 906 times

HOT TOPIC