A- A A+
logoumk10tahun

1500 HADIR SESI DIALOG TRANFORMASI NASIONAL 2050 (TN50) BERSAMA PERDANA MENTERI DI UMK

Oleh : Syarimie Wosley  Foto : Al Azam Razi

SERAMAI 1,000 golongan belia termasuk pelajar Universiti Awam (UA) dan pelajar sekolah memenuhi ruang Dewan Keusahawanan untuk bersama-sama Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bagi menghadiri Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Belia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 12 Mac 2017.

Manakala hampir 500 lagi berada di khemah luar dewan yang menjadikan jumlah keseluruhan kehadiran adalah hampir 1,500 pengunjung.

Program Sesi Dialog TN50 itu adalah kesinambungan kepada dasar TN50 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 Januari lalu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan bermatlamatkan mewujudkan platform mengumpul idea dan pandangan daripada golongan belia serta ulama muda dalam sesi berbentuk townhall bagi merancang dan menggerakkan pembangunan TN50.

Sesi dialog yang diadakan dalam suasana santai itu melibatkan pelajar UMK, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Kolej Pengajian Teknologi Mara (KPTM), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Maktab Sultan Ismail (SIC), Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra dan Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab serta pelajar Tahfiz.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Y.B. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Pendidikan Tinggi, Y.B. Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Dato' Makhtar Mustapha, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed dan Pengerusi Majlis Belia Malaysia, En. Mohd Syahbuddin Hashim.

Menurut YAB Dato’ Seri Mohd Najib, usaha memperkukuh pelaksanaan program TN50 adalah berlandaskan kepada lima elemen utama yang terkandung dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Beliau berkata, prinsip itu merupakan kayu ukur utama yang akan digunakan untuk mengukur lapan bidang utama pentadbiran negara seperti pendidikan, perundangan Islam, politik, kesihatan, ekonomi, budaya, sosial serta prasarana dan persekitaran.

“Gagasan ini di lakukan secara berstrategi dengan kata lain untuk berfungsi menjadi landasan dan asas kepada apa yang akan berlaku pada 30 tahun akan datang untuk menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan gemilang,” katanya.

Beliau yakin segala aspirasi rakyat Malaysia untuk membina negara ke arah lebih maju akan tercapai melalui TN50 dimana generasi kini mempunyai cita-cita besar dan apa yang diimpikan akan tercapai melalui gagasan ini.

Justeru, siri jelajah TN50 adalah platform untuk beliau mendengar sendiri suara hati dan aspirasi generasi muda atau pandangan golongan muda menerusi program yang berlangsung selama setahun untuk dikumpul sebelum hala tuju dan visi baharu dilaksanakan.

"Saya sentiasa ingat apa Imam Al-Ghazali selalu sebut, jika ingin tengok generasi akan datang, tengoklah generasi hari ini maksudnya kita mesti mendidik anak-anak dengan akhlak dan nilai daya juang yang utuh. Kerana itu kita buat dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata, pendidikan negara berada di tahap terbaik dan berkualiti supaya mampu melahirkan generasi dan individu yang lebih berpendidikan dan berdaya saing.

“Saya ingin kongsikan satu laporan dari Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) bahawa mereka yang berada di sekolah rendah ketika ini akan mengisi 60 hingga 65 peratus pekerjaan yang belum pun wujud.

“Dunia pada 2050 akan berbeza dan berubah dengan pantas sekali. Justeru kita perlu pastikan jenis pendidikan yang mampu melahirkan individu yang mempunyai adaptasi yang lebih anjal pada hari ini,’ katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi perhatian serius kepada peserta yang mengemukakan pandangan dan aspirasi TN50 antaranya daripada pelajar UITM Cawangan Kota Bharu, Fatin Najihah, yang berpendapat golongan wanita pada masa kini terlalu ramai jika hendak dibandingkan dengan golongan lelaki.

Beliau mahu pihak kerajaan memperluaskan peluang pekerjaan khususnya kepada para graduan wanita dalam memperkasakan skim-skim yang sedia ada terutamanya fokus kepada penjanaan pendapatan dalam sektor pekerjaan.

“Saya juga berharap agar pihak kerajaan dapat memberikan peluang yang sama rata kepada golongan wanita seperti mana golongan lelaki pada masa kini dimana golongan wanita mampu mendominasi penguasaan ilmu, kemahiran dan teknikal bahkan mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki,” jelasnya.

Aspirasi itu turut dikongsikan oleh Pensyarah Kanan UiTM Kelantan, Dr. Syah Razlan Zakaria, yang melihat Malaysia dari awal kemerdekaan sehinggalah kini telah melalui pelbagai dasar, dasar ekonomi baru, dasar penswastaan, dasar pendidikan negara dan pelbagai dasar telah dirangka.

Katanya, kejayaan dasar-dasar ini telah ditunjukkan oleh komitmen dan azam yang kuat daripada kerajaan yang mentadbir hari ini.

“Pada program TN50 ini dengan 30 tahun akan datang  kami menginspirasikan tiada lagi elemen-elemen yang menggugat kejayaan-kejayaan dasar yang kita ingin bangunkan seperti peningkatan indeks rasuah, isu ketirisan  dan penyelewangan di dalam urus tadbir di dalam kerajaan yang boleh merugikan pentadbiran negara.

“Maka, inspirasi kami selaku golongan muda ingin melihat negara Malaysia akan berada sebaris dengan negara-negara yang diiktiraf dari sudut urus tadbir politik dunia contohnya Switzerland, Australia, New Zealand dan  Hong Kong serta tidak mustahil pada tahun 2050 kerajaan Malaysia berada dalam 20 Top Ranking Good Government In The World,” katanya.

Manakala bagi Mohammad Aizul daripada Majlis Perwakilan Pelajar UMK, berpendapat bahawa aspirasi TN50 adalah program yang amat baik dan bermanfaat khususnya untuk masa depan anak-anak menjelang 2050.

Beliau juga mahu kerajaan memberikan pendidikan awal percuma dan tiada lagi yang menerima BRIM pada tahun 2050.

Bagi wakil Himpunan Siswazah Kelantan (Malaysia), Salina Mohamad, berkata, melihat  kepada ketidakstabilan sektor ekonomi kaum Hawa di negeri Kelantan sejak 30 tahun lalu maka pada TN50 ini kerajaan dapat merancang satu pendekatan baharu kepada golongan wanita ini supaya pada tahun 2050 tida ada lagi  isttilah ibu-ibu tunggal yang menerima bantuan daripada jabatan kebajikan masyarakat.

Beliau juga mahu penerima BRIM bukan lagi daripada kalangan kaum Hawa di negeri ini malah perkara paling penting sekali ialah  tidak lagi wujud rakyat Kelantan berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga pada tahun 2050.

“Saya mahukan Malaysia dan negeri Kelantan bergerak seiring untuk menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi setaraf dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Wednesday, 15 March 2017 10:24 Read 1120 times

HOT TOPIC