A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK DAN IKTBN KOMIITED JAYAKAN KONSEP KESAKSAMAAN DAN KESERAKANAN UNTUK TINGKATKAN TADBIR URUS

Oleh : Syarimie Wosley      Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) akan bekerjasama untuk menjayakan konsep kesaksamaan dan keserakanan yang memfokuskan tiga perkara utama iaitu program pembangunan pembelajaran sepanjang hayat (PSH), pembangunan akademik dan gunasama prasarana.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, berkata, universiti  perlu mengambil peluang diatas  konsep keserakanan dan kebersamaan ini dalam usaha untuk menjayakan agenda pendidikan di negeri ini yang dilihat  sebagai koloborasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, ini adalah selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan konsep Keserakanan dan Kesepunyaan dimana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu menjalinkan kerjasama di kalangan IPT dengan mengamalkan konsep berasaskan commonality and congeniality berasaskan prinsip saling menghormati, kerjasama dan menolak cara kerja silo.

“Walaupun UMK dan IKTBN berfokus kepada bidang yang berlainan namun ketidaksamaan inilah yang akan memberikan sinergi yang begitu baik dalam pengurusan.

“Melalui kolokium ini ketiga-tiga perkara utama itu diharap dapat diperhalusi bersama diantara kedua-dua pihak seterusnya dilaksanakan dalam memastikan hasrat yang murni dalam melahirkan bangsa dan negara yang maju ke hadapan,” katanya pada perasmian Kolokium Keserakanan dan Kebersamaan UMK dan IKBTN di Bilik Mesyuarat Lembaga Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 23 Mac 2017.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Prof. Rosdi Ab. Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Bachok, Pn. Hjh. Kamariah Mahmood, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKTBN Bachok, Pn. Laila Nazura Nawi.

Menurut Prof. Dr. Mohd Hassan, hasil daripada perbincangan ini beberapa keputusan boleh dicapai iaitu ahli boleh berganding bahu menyampaikan pengalaman pembelajaran yang unik, boleh berkongsi sumber insan dan kewangan, menjalankan penyelidikan berimpak tinggi bersama-sama dan boleh mengeluarkan sijil, diploma dan ijazah bersama.

“Asas kesepunyaan ini adalah saling hormat-menghormati dan keserakanan (collegiality) amat diperlukan dalam keadaan ekonomi masih dalam proses pengukuhan sehingga terdapat keperluan peruntukan kewangan yang perlu diselaraskan melalui pengurangan bajet tahun semasa setiap agensi.

“Saya percaya dengan konsep kesepunyaan ini membolehkan penjimatan kos dan pengoptimuman sumber dapat dilaksanakan,” jelas beliau.

Dalam kolokium itu, pelbagai inisiatif  telah diwujudkan khususnya berkaitan dengan kluster akademik iaitu pengambilan pelajar, kerjasama pameran dan pembelajaran mengenai perabot,  gunasama prasarana seperti penyewaan asrama dan fasiliti, pengajian sepanjang hayat iaitu perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris serta program lanjutan pengajian tenaga pengajar.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 06 April 2017 12:22 Read 1124 times

HOT TOPIC