A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK CADANGKAN PEMBUDAYAAN PEMBELAJARAN WARISAN DI SEMUA UNIVERSITI PADA KONGRES BUDAYA 2017

Oleh : Syarimie Wosley, Nor Alizam Shafie & Aiman Syazwan      Foto : Al Azam Razi

 

USAHA mengekalkan dan memulihkan warisan seni budaya bukan perkara mudah dan lebih sukar serta menjadi cabaran utama ialah bagaimana untuk memelihara struktur akar umbinya supaya warisan itu tidak terpinggir ibarat kata tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.

KBNUmk4

Selain itu, kurangnya minat generasi muda dalam aspek warisan dan budaya menjadi penyumbang utama kepada halangan serta cabaran untuk mengekalkan warisan itu supaya ia tetap utuh serta kekal relevan sepanjang zaman.

Justeru, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mewujudkan  perancangan strategi  yang bermatlamat untuk menjadikan aspek bidang pengajian warisan dan budaya sebagai kurikulum asas bagi kursus Pengajian Warisan dan Budaya di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.  

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Ibrahim Che Omar berkata, jika dilihat pada masa kini kita didapati wujudnya fenomena di mana mahasiswa yang dilahirkan oleh IPT-IPT di Malaysia kurang berjaya melahirkan graduan yang memiliki jati diri tulen sebagai rakyat Malaysia bagi pembinaan sebuah Negara Bangsa di Malaysia itu sendiri.

Beliau menyifatkan isu ini harus dilihat secara serius dan penting untuk ditangani segera bagi memastikan fenomena ini tidak terus membelenggu kita dalam proses membina ketamadunan sebuah Negara Bangsa.

“Saya percaya bidang Pengajian Warisan dan Budaya berupaya untuk memberikan kesedaran kepada pemimpin negara, ahli akademik, mahasiswa dan masyarakat umum tentang kepentingan ilmu Warisan dan Budaya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Dalam usaha untuk mencapai hasrat tersebut, satu dasar dan polisi yang utuh berkaitan warisan dan budaya perlu digubal dan dibina bagi memastikan pembentukan disiplin ilmu Pengajian Warisan dan Budaya mempunyai garis panduan dan hala tuju yang jelas untuk memantapkan lagi kelestarian disiplin ilmu Pengajian Warisan dan Budaya bagi pembangunan ketamadunan Negara Bangsa di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pra Kongres Budaya 2017 bertajuk Dasar/Polisi Pengajian Warisan Dan Budaya di IPT, anjuran UMK dengan kerjasama Pejabat Penasihat Sosio Budya Kerajaan Malaysia, di Hotel Emaslink Pacific, Kota Bharu, Kelantan, pada 29 Mac 2017.

Turut hadir, Ketua Sekolah Warisan, Universiti Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Pengarah, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Hashim, Pensyarah Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),  Prof. Datin Dr. Maryati Muhamed, Sarjana Bebas dan Penyelidik, Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan selaku Pengerusi Pra Kongres Budaya 2017 Peringkat UMK,  Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, penganjuran Pra Kongres Budaya 2017 peringkat UMK ini adalah bertujuan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya enam resolusi berkaitan penggubalan dasar/polisi Pengajian Warisan dan Budaya untuk memperkenalkan kursus Pengajian Warisan dan Budaya sebagai kursus wajib di IPT-IPT di seluruh Malaysia.

Katanya, sebanyak lima kertas kerja akan dibentangkan dan mencakupi aspek konsep bidang pengajian warisan dan budaya, perkongsian pengalaman, pembangunan pelajar secara holistik dan gabungan teknologi dalam konteks warisan dan budaya.

“Oleh itu, semua input ini adalah diharapkan dapat digunakan sebagai asas bagi menggubal dan membina sebuah Dasar dan Polisi Pengajian Warisan Budaya untuk diimplementasikan di seluruh IPT di Malaysia.

“Rumusan ini juga kita akan bawakan untuk dijadikan sebahagian dari elemen penting menelusuri gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) pada Kongres Budaya 2017 yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April nanti,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Ahamad Tarmizi berharap kongres ini ini mampu melahirkan buah fikiran dan idea bernas untuk diimplementasikan bagi melestarikan bidang Pengajian Warisan dan Budaya sebagai salah satu bidang ilmu pilihan utama pelajar di masa hadapan di Universiti Awan dan Swasta di negara ini.

Katanya, seni dan warisan budaya harus berkembang mengikut peredaran zaman untuk membentuk satu generasi muda yang membina jati diri dan memupuk nilai budi kearah pembinaan ketamadunan Negara bangsa Berbudaya Tinggi.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan kecemerlangan dan pengamalan budaya tinggi di kalangan mahasiswa dapat dibina menerusi penawaran kursus pengajian warisan dan budaya ini sebagai kursus wajib atau elektif universiti.

“Bidang warisan dan budaya merupakan elemen yang penting untuk diberi perhatian kerana ini adalah kunci kepada usaha FTKW untuk menerajui dan mengungguli bidang warisan dan budaya supaya UMK menjadi rujukan kepada universiti lain dalam bidang tersebut,” katanya.

Prof. Madya Ahamad Tarmizi percaya dengan kerjasama Pejabat Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta UMK kita dapat menonjolkan komitmen sebagai pejuang warisan dan budaya di Malaysia.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 06 April 2017 11:56 Read 1014 times

HOT TOPIC