A- A A+
logoumkmerdeka2017

FROM ZERO TO HERO: PLATFORM CUNGKIL BAKAT JADI USAHAWAN

Oleh : Syarimie Wosley    Foto : Al Azam Razi

FIZIKALNYA mungkin kurang sempurna  daripada rakan-rakan normal lain kerana dilahirkan tanpa sebelah kaki malah jari-jari tangannya melekat sejak lahir tenyata menyukarkan pergerakannya bahkan sering diejek oleh rakan sekelas.

Namun, ejekan dan kata-kata sinis itu langsung tidak mematahkan semangat Ikon Sukarelawan Orang Kelainan Upaya (OKU), Raja Shamri Raja Husin atau mesra disapa dengan nama Abang Raja malah keadaan itu memberikan keistimewaan tersendiri buat dirinya.

Di sebalik kejayaan yang dikecapi pada hari ini, kehidupan Abang Raja sebenarnya banyak menyimpan latar belakang pahit waktu lampau mendorong dirinya untuk menjadi lebih tabah dan tidak hairanlah namanya kini menjadi  idola buat anak muda dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Raja Shamri anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan, setiap kali dalam ceramahnya tidak pernah lupa berkongsi pengalaman hidupnya yang dilahirkan dengan keadaan serba kekurangan serta membesar dalam keadaan kesempitan bersama-sama tujuh orang adik-beradiknya.

Dalam ceramahnya, Raja Shamri memberitahu kehidupan sebagai anak penoreh getah adalah guru yang banyak mengajar erti sebenar kehidupan dan bermula daripada pengalaman itulah banyak memotivasikan dirinya untuk berazam mengubah kehidupan lampau.

Menurutnya, kejayaan yang dimilikinya hari ini tidak mudah kerana pada awal memulakan kerjaya sebagai penceramah beliau pernah dihalau ketika menyampaikan ceramah motivasi di sebuah sekolah kira-kira 16 tahun lalu.

“Pada masa itu saya baharu sahaja memulakan kerjaya sebagai pakar motivasi di sekolah ketika berusia 25 tahun dan ekoran insiden itu saya bertekad untuk lebih serius dan mendalami ilmu untuk menjadi motivator kepada anak-anak muda Melayu supaya dapat manfaat daripada pengalaman hidup saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Keusahawanan Pantai Timur bertajuk ‘From Zero to Hero’ anjuran Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama The Third Force Malaysia serta Institute of Management (MIM), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 28 Mac 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Pengarah Pembangunan Usahawan ISME, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff, Ketua Bahagian Pemasaran Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Deepak Kumar Sharma dan Tokoh Usahawan,  Amiruddin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Uncle Tiger.

Raja Shamri sudah hampir 15 tahun mengendalikan program kecemerlangan diri, akademik, kepimpinan dan sebagainya melalui platform Golden Minds Consultant  juga menawarkan program-program team building, untuk badan korporat dan agensi kerajaan, program pembangunan diri untuk para pelajar sekolah, IPTA/IPTS, Kolej Matrikulasi, para usahawan MARA di seluruh negara, Brunei dan Indonesia.

Pada ceramahnya, Raja Shamri berkata untuk menjadi seorang ahli perniagaan atau usahawan yang berjaya hendaklah mestilah ikhlas dan tidak menjadikan perniagaan itu untuk  kaya, kerana niat itu sebenarnya salah.

"Sebaliknya kerjaya seorang usahawan hendaklah dilakukan dengan seikhlasnya selain bersedia mengubah diri menjadi usahawan yang berani mengubah sikap, belajar pengurusan kewangan, ubah imej atau personaliti diri dan mahir dalam cara menangani kritikan,” jelasnya.

ZeroToHero1Beliau juga menyarankan supaya golongan asnaf perlu belajar kaedah untuk meningkatkan diri dengan mempelajari kemahiran berniaga dan menjadi usahawan untuk menjana pendapatan.

“Golongan asnaf seharusnya keluar dari kepompong kemiskinan dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan yang mampu mengubah kehidupan mereka.

"Kerajaan telah menyediakan banyak bantuan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat tetapi sikap individu dan kurang pengetahuan dalam perniagaan, sikap dalam perniagaan seperti pengurusan duit, malas pergi belajar, malu buat pemasaran dan rendah diri yang wajar diubah untuk menjadi usahawan berjaya," katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohd Hakimin berkata, penganjuran program ini adalah bertujuan untuk membudayakan keusahawanan di kalangan pelajar kerana UMK sentiasa aktif mengadakan program-program seperti ini bukan sahaja untuk melahirkan usahawan tetapi manusia yang memiliki ciri-ciri keusahawanan.

Katanya, program ini terbukti berjaya kerana panel atau tokoh yang hadir untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan pada hari ini banyak berkongsi tips dan semangat kepada pelajar untuk bergiat dalam bidang perniagaan.

“Ini kerana keusahawanan ini pada hari ini semakin dinamik  dan sentiasa perlu di tambah baik.

“Program kerjasama UMK dan MIM ini adalah untuk mendedahkan orang ramai dengan tips baru tentang dunia keusahawanan dan seterusnya menjadikan bidang perniagaan sebagai karier yang patut diceburi oleh setiap pelajar seperti apa yang disarankan oleh pakar dan ikon motivasi iaitu Raja Shamri,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Sunday, 09 April 2017 14:01 Read 819 times

HOT TOPIC