A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK RANGKUL 4 PINGAT EMAS DI KONVESYEN MINI TEAM EXCELLENCE 2017

Oleh : Aiman Syazwan    Foto : Al Azam Razi

DALAM usaha menggalakkan pembudayaan minda kreatif dan inovatif di kalangan warga kerja perkhidmatan awam di negeri ini, Malaysia Productivity Corporation (MPC) menganjurkan Konvesyen Mini Team Excellence Wilayah Pantai Timur yang telah diadakan di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan pada 4 April 2017.

Konvesyen TE dianggap satu platform bagi mengiktiraf projek inovatif dan kreatif yang telah berjaya dilaksanakan di organisasi  dengan menyediakan platform bagi aktiviti penanda arasan dari aspek perbandingan tahap pencapaian impak projek di antara organisasi yang menyertai konvensyen ini.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut tidak ketinggalan menyertai pertandingan tersebut dan berjaya merangkul empat pingat emas.

Pada tahun ini, sebanyak 17 kumpulan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam pengurusan organisasi mengambil bahagian untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi masing-masing.

Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, kumpulan UMK yang terdiri daripada Ad Hoc, 4-rest, Sopro dan Adrenalin berjaya menambat hati para juri terhadap servis dan produk yang dihasilkan dari aspek penambahbaikan serta penjimatan kos yang efisyen.

Pingat emas yang diraih oleh kumpulan Ad Hoc adalah menghasilkan inovasi kaca mata untuk memudahkan pelukis mendapat titik pusat manakala kaedah pembiakan pokok menerusi Teknologi Lenturan Udara (tut) hasil ciptaan kumpulan 4-rest.

Disamping itu, sistem pengumpulan data penerbitan dan penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan Sopro memberi kemudahan yang sistematik sehingga mampu menjimatkan kos sehingga RM 206,000 setahun dan kumpulan Adrenalin turut menyumbang pingat emas terhadap perkhidmatan kemudahan servis kenderaan yang dilakukan.

Menurut Pengerusi MPC, Encik Nik Faizal Nik Ahmad berkata, program ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan hasil inovasi termasuk proses, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), teknikal, serta penjimatan kos yang digunakan oleh setiap organisasi.

Selain itu, menerusi konvensyen mini ini setiap kumpulan mempamerkan kreativiti terhadap produk ciptaan mereka menerusi idea yang mampu memberi sumbangan besar terhadap syarikat.

“Penganjuran Konvensyen KIK juga akan membantu setiap agensi secara keseluruhannya dalam menambah baik segala urusan seperti memperkenalkan produk untuk meningkatkan kecekapan kerja dan penciptaan sistem yang lebih berkesan.

“Program ini turut memberi peluang kepada setiap kumpulan untuk mempersembahkan projek penambahbaikan yang mampu memberi impak positif kepada organisasi serta meningkatkan imej ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Sunday, 16 April 2017 09:23 Read 910 times

HOT TOPIC